Home Novel Cinta Takdir Cinta Kita
Bab 27

"Arra?" ujar Ryan terkejut melihat Arra dari seberang jalan di hadapan Restoran Abang Strawberry. 

Ryan mengeluarkan telefon bimbit lalu mengambil foto Arra bersama Aril. Dia melangkah masuk ke dalam kereta. Matanya masih memerhati tingkah laku Arra dari jauh. Kelihatan Aril meninggalkan Arra sendirian. Dia tersenyum kecil. Idea jahat tetiba terlintas di fikirannya. Enjin kereta dihidupkan.

Tangannya memegang stereng kereta dengan kemas. Sebaik sahaja melihat Arra berhenti di tengah-tengah jalan. Tanpa membuang masa dia menekan pedal minyak. Keretanya meluncur laju ke arah Arra.

Namun, sasarannya tidak kena apabila secara tiba-tiba Arra telah diselamatkan oleh sesorang. Dia menggelengkan kepalanya. Kereta dipandu dengan laju keluar dari kawasan Cameron Highlands. Dia bimbang jika tindakannya yang cuba melanggar Arra diketahui oleh orang lain.

"Panjang lagi umur kau kan, Arra?" ujar Ryan lalu ketawa.

Bayangan susuk tubuh Arra masih segar dalam ingatannya. Sejak kejadian rancangannya gagal. Dia tidak lagi berpeluang untuk keluar dengan mana-mana gadis yang disukainya. Maklumlah dirinya kini sudah menjadi buruan polis. Dia tidak boleh leka kerana pihak polis berada di mana-mana sahaja.

Ryan memberhentikan keretanya di pinggir jalan. Stereng kereta dihentak dengan kuat. "Arrggghh!!!" jeritnya dengan kuat. Bengang kerana tidak berjaya mencederakan Arra. 

Telefon bimbitnya dicapai. Dia berani menggunakan telefon setelah membeli sim kad baru. Nombor telefon Melysa didail. Namun, masih tidak dapat. Dia yakin gadis itu telah menukar nombor telefon. Dia melihat foto Arra lalu mengirim foto itu kepada Melysa melalui email.

"Aku akan pastikan kau orang merana!" jerit Ryan dengan marah. Dia memegang stereng kereta dengan kuat. "Kau memang tak guna Mel? Aku akan hancurkan hidup kau. Apa yang berlaku semua sebab kau. Aku akan pastikan kau takkan bahagia kalau aku ditangkap polis." kata Ryan dengan penuh dendam di dalam hatinya.

Setelah hampir setengah jam berhenti. Dia kembali memandu keretanya. Kali ini dia menuju ke Kuala Lumpur. Disana dia akan menemui seorang kawan yang boleh menjamin keselamatan daripada terus dikejar oleh pihak polis. Dia memandu dengan berhati-hati menggunakan lorong-lorong tikus bagi mengelakkan bertembung dengan pihak polis ketika membuat sekatan jalan raya.


"SAYANG, bangunlah. Kita dah sampai," ujar Aril lalu mematikan enjin kereta. Tali pinggang kereta ditanggalkan. Aril membuka pintu kereta. Matanya kembali terarah pada Arra yang masih lena dibuai mimpi.

Dia tersenyum melihat wajah Arra ketika tidur. Dia merapati wajahnya dengan bibir Arra. Terasa deruan nafas Arra ketika ini. Satu kucupan singgah di bibir Arra.

Arra terkejut apabila berasa ada sesuatu pada bibirnya. Dia menjliat bibirnya. Dia membuka matanya. Dia terkejut melihat wajah Aril dihadapannya. Tangannya pantas menolak tubuh Aril agar menjauhinya.

"Abang buat apa ni?" soal Arra lalu mengelap bibirnya dengan tisu.

Aril ketawa perlahan lalu melangkah keluar dari kereta. "Lain kali tidur mati lagi," kata Aril lalu melangkah masuk ke dalam rumah.

Arra membontoti langkah Aril. "Tak boleh kejutkan elok-elok ke?" marah Arra tidak berpuas hati dengan tindakan Aril yang telah mencium bibirnya ketika dia masih tidur.

"Abang dah kejutkan tadi. Sayang aje tak dengar. Selesa sangat ke tidur dalam kereta?"

Arra menjeling marah. "Dah terpaksa. Takkan nak suruh Arra tidur tepi jalan kot?" balas Arra masih tidak mahu mengalah.

"Apa yang kecoh ni. Sampai ke dapur dengar?" soal Puan Anisah sambil membawa dulang berisi air teh serta sedikit makanan sebagai menu petang pada hari ini.

"Menantu ibu nilah. Ada saja idea nak kenakan Arra," adu Arra kepada ibunya.

"Alah, dah nama pun suami. Dia nak bermanjalah tu. Tak pun bergurau," ujar Puan Anisah sambil menuangkan air teh ke dalam cawan.

Aril melabuhkan punggungnya diatas kerusi. "Hah... betul kata ibu. Tak bergurau tak mesrakan ibu?" 

Arra menjuihkan bibirnya. "Menangkanlah menantu kesayangan ibu ni."

"Muncung panjang tu nak minta dicium ke?" usik Aril lagi.

Arra menjeling marah. Dia melangkah masuk ke dalam bilik. Aril hanya mampu memandang Arra berlalu meninggalkannya. Dia tahu rajuk Arra tidak lama. Dia sudah tahu bagaimana cara ingin memujuk isterinya dengan mudah.

"Lewat sampai. Jalan jem ke?" 

"Taklah. Sebelum balik tadi singgah dulu beli barang," kata Aril sambil menikmati hidangan menu petang.

"Kenapa tak beli awal-awal?"

"Arra nak bawa balik buah strawberi dengan bunga. Itu yang baru beli tadi. Beli awal-awal rosaklah ibu."

"Owh. Manalah ibu tahu. Abah pernah ajak ke sana sekali dua. Tapi tak pernah buat balik buah strawberi. Biasanya makan kat sana aje," jelas Puan Anisah.

"Kami ada belikan hadiah untuk ibu dengan abah. Nanti Aril ambilkan."

"Hadiah apa? Buat susah-susah aje, Aril."

"Tak susah pun. Bukannya selalu," balas Aril sambil tersenyum.

"Ibu ada masak Ikan patin tempoyak. Aril makan tak?"

Aril menelan air liur mendengarnya. "Aril makan tapi tak banyaklah. Bila ibu masak?"

"Ibu masak tengah hari tadi. Arra suka sangat patin tempoyak. Kalau nak makan ibu nak panaskan lauk dulu."

"Eh, tak apalah ibu. Aril nak rehat dulu. Sekejap lagi kami makan," ujar Aril dengan lembut agar tidak melukai hati ibu mertuanya.

"Baiklah. Ibu nak ke depan sekejap," ujar Puan Anisah lalu bangkit dari tempat duduknya. Dia melangkah keluar dari rumah lalu mengambil penyapu. Dia tidak suka melihat kawasan rumahbya bersepah. Sudah menjadi tugas hariannya membersihkan halaman rumah.


ARRA membuka pintu tingkap di dalam biliknya. Angin sejuk mula terasa. Walau cuaca tidaklah sedingin seperti berada di Cameron Highlands. Tetapi angin yang bertiup cukup menyegarkan dirinya yang kepanasan dengan sikap Aril. Keluhan kecil dilepaskan. Perbualannya dengan Amir dingati kembali. Dia tidak menyangka Hairi telah lama menyukainya dalam diam. 

"Meh nak tengok tangan?" pinta Aril lalu menarik tangan Arra. 

Amir hanya sekadar memerhati.

Arra mula berasa segan apabila Aril begitu peduli tentang dirinya. "Sikit aje. Nanti letak ubat okeylah," ujar Arra perlahan lalu menarik tangannya.

"Mata tengok mana tadi?" soal Aril geram.

"Sebelum melintas sayang dah tengok kiri kanan. Memang tiada kereta lalu pun. Manalah tahu masa melintas tu tetiba ada kereta."

Aril mengeluh berat. "Nasib Amir sempat tolong. Kalau tidak? Abang tak tahulah apa yang terjadi dekat sayang!"

"Bukan salah Arra pun. Pemandu kereta tu macam sengaja nak langgar Arra?" jelas Amir.

Aril memandang wajah Amir. "Sengaja?"

Amir menganggukkan kepalanya. "Secara tak sengaja tadi nampak pemandu tu baru saja keluar dari kedai ni. Masa tu lah Arra tengah melintas jalan," ujar Amir apa yang dilihatnya. "Orang tu macam sengaja ambil peluang nak langgar Arra masa nak melintas tadi," sambungnya.

Aril hairan. Fikirannya kacau. Dia mula terfikirkan sesuatu. Matanya kembali menatap wajah Arra. Dia memegang tangan isterinya. Jantungnya berdegup dengan laju apabila melihat isteri tercinta berada dalam bahaya. Entah mengapa dia berasa amat takut kehilangan Arra. Walaupun selama ini dia hanya berpura-pura menganggap Arra sebagai isteri dihadapan Melysa. Kini tidak lagi. Setelah diijabkabulkan dia amat menyayangi dan mencintai Arra Safiyya.

"Bila kahwin?" soalan Amir mengejutkan Aril daripada lamunannya yang panjang.

Arra mengerling ke arah Aril apabila disoal begitu oleh Amir. Sebolehnya dia tidak mahu orang lain mengetahui bagaimana cara mereka telah dikahwinkan.

"Baru sebulan," jawab Aril.

Arra menganggukkan kepalanya. "Maaflah tak sempat jemput masa majlis perkahwinan kami."

"Tunggu majlis resepsi nanti datanglah," ujar Aril.

Majlis resepsi apa pulak abang ni, detik hati kecil Arra. Dia terkejut mendengarnya.

"Bila?"

Kring! Kring! Kring!

"Saya minta diri sekejap," ujar Aril bangkit lalu dari tempat duduknya. Panggilan telefon daripada pejabat segera dijawab. 

Arra mengacau air minumannya dengan straw. Dia agak kekok apabila ditinggal berdua dengan Amir. 

"Bila majlis resepsi?"

"Huh?" Arra teragak-agak ingin memberitahunya. "Tak tahu lagi. Nanti Arra maklumkan semula."

"Okey," balas Amir sepatah. Dia turut menikmati minumannya. 

Arra memandang Aril yang masih lagi rancak berbual dengan pemanggil dihujung talian. Dia melihat jam pada tangannya. "Amir buat apa kat sini?" 

"Amir selalu datang makan kat sini."

"Selalu?"

Amir tersenyum. "Rumah Amir dekat area sini aje."

"Oh ya ke? Tak tahulah pulak Amir tinggal dekat sini."

"Tak semua orang tahu Amir tinggal sini. Kawan-kawan rapat aje yang tahu termasuk Hairi."

Arra menelan air liur. Sudah lama dia tidak mendengar khabar tentang Hairi. Dia memandang wajah Amir. "Ermm... Arra nak tanya sesuatu boleh?" 

"Apa?"

"Apa yang Arra nak tanya ni. Janganlah Amir salah faham pula."

"It's okay. Apa yang nak ditanyakan tu?"

"Amir tahu perasaan Hairi dekat Arra?"

Amir tersenyum pahit. Dia menganggukkan kepalanya. "Dia tak cakap dekat Arra?"

"Ada. Tapi sejujurnya Arra memang anggap Hairi sebagai kawan aje."

"Hairi tu dah lama sukakan Arra dalam diam. Tapi dia tu nampak aje macam playboy. Sebenarnya pemalu orangnya bila berhadapan dengan orang yang dia suka."

Arra tersenyum sumbing. "Arra tak pernah pun simpan perasaan apa-apa dekat Hairi. Lagipun Ain yang suka kan Hairi dalam diam. Tapi itu dulu. Sekarang Arra tak rasa Ain masih simpan perasaan sayang tu untuk Hairi lagi," ujar Arra dengan lembut. Dia tahu Ain kini telah bahagia dengan kenalan barunya Hanif.

"Sebenarnya Amir pernahlah suruh Hairi berterus terang sebelum terlambat," ujar Amir bersama satu keluhan kecil. "Tapi... nak buat macam mana dah tiada jodoh kan?" sambungnya dengan berat.

Arra sekadar menganggukkan kepalanya. "Nanti Amir bagi tahulah dekat dia."

"Bagi tahu apa?"

"Ermm... Arra dah kahwin?"

"InsyaAllah," balas Amir dengan berat hati.

Arra menarik nafas perlahan. "Arra tahu mungkin sukar untuk dia terima kenyataan ini. Tapi untuk apa dia terus mengharapkan sesuatu yang tidak pasti."

"Betul tu Arra," ujar Amir sambil tersenyum. "Anyway congratulations of your wedding. Amir doakan Arra berbahagia selalu disamping suami tersayang."

"Amin. Terima kasih. Arra pun doakan Amir dipertemukan dengan jodoh yang baik satu hari nanti."

"InsyaAllah."

"Eh makanlah nasi tu. Asyik bersembang aje. Makanlah," ujar Arra apabila nasi lemak yang dipesan masih belum dijamah.


"ADUH beratnya beg sayang!" omel Aril lalu meletakkan beg bagasi dihadapan almari.

Suara Aril menyedarkan Arra daripada lamunannya yang panjang. Dia menjeling marah. 

"Ada apa dalam beg sayang ni?"

Arra melabuhkan punggungnya di atas tilam. Dia  hanya mendiamkan diri. Geram dengan usikan Aril. 

Aril mengeluh kecil melihat sikap Arra yang hanya menyepikan diri. Perasaan geram mula muncul di dalam hatinya apabila melihat Arra berkelakuan begitu. Minyak gamat diambil dari atas meja solek. Dia duduk disebelah Arra. Telefon bimbit diambil dari tangan Arra. Dia membuka penutup botol lalu menuangkan sedikit minyak pada telapak tangan Arra yang luka.

"Nasib Allah masih lagi panjangkan umur sayang," omel aril lalu menyimpan ubat gamat. "Kalau cedera tadi macam mana? Siapa nak jaga abang lepas ni?" usik Aril.

Arra menarik tangannya. "Ramai lagi orang yang boleh jaga abang," ujar Arra dalam nada rajuk. 

"Siapa?"

Arra bangkit dari tempat duduknya. Dia menanggalkan tudung lalu disangkut pada dinding. "Mama, papa, ibu abah. adik beradik abang kan ada. Andai kata ajal Arra dah sampai takkan abang nak meratap kematian sayang pulak."

"Arra!!!" marah Aril. 

Arra terdiam. Dia tidak tahu kata-katanya akan membuat Aril marah sebegitu. "Betul apa yang sayang cakap kan? Ajal maut kan ketentuan Allah. Tak semestinya orang yang sakit akan mati dulu. Orang yang sihat pun boleh meninggal tiba-tiba jika dah ajalnya," ujarnya perlahan.

"Enough!" kata Aril dengan marah lalu bangkit dari tempat duduknya. Dia melangkah keluar dari bilik bagi menenangkan hatinya.

Arra hanya membiarkan Aril berlalu keluar. Dia sengaja menguji Aril dengan berkata begitu. Dia mahu melihat sejauh mana Aril menyayanginya. Kepala yang tidak gatal digaru perlahan. Tombol pintu dipegang. Tiba-tiba berasa ada sesuatu menolak pintu biliknya. 

"Ibu?"

"Aril nak ke mana?"

"Ambil barang agaknya," ujar Arra cuba berfikiran positif.

"Arra tak nak makan nasi ke?"

"Ibu masak apa?"

"Special untuk anak kesayangan ibu. Semestinya ikan patin masak tempoyak," ujar Puan Anisah dengan ceria.

Senyuman mula terukir diwajah Arra mendengar menu masakan ibunya. "Wah sedapnya. Sekejap lagi Arra ke dapur."

"Okey. Ibu panaskan lauk dulu. Ajak Aril makan sekali."

"Okey, ibu."

Arra duduk diatas tilam. Beg bagasi diambil lalu dibuka. Dia mengeluarkan baju-baju kotor lalu dimasukkan ke dalam bakul untuk dicuci. Kemudian dia menyusun barang-barang yang dibeli dari Cameron Highlands untuk diberikan kepada ahli keluarganya sebagai hadiah.

Pintu bilik dibuka. 

"Ibu ni Arra ada belikan barang sikit," ujar Arra lalu memandang wajah insan yang membuka pintu biliknya yang disangka adalah ibunya. "Abang."

Sejambak bunga ros biru dihulurkan oleh Aril kepada Arra. "Nah."

Aik dah tak marah ke? omel hati kecil Arra. Dia menyambut jambangan bunga yang diberikan oleh Aril.

"Terima kasih. Bila abang beli?"soal Arra lalu meletakkan jambangan bunga diatas tilam.

Aril melabuhkan punggungnya diatas tilam. Tangan Arra diraih lalu diciumnya. Kepala Arra diusap perlahan. Dahi Arra dicium penuh dengan kelembutan. "Abang minta maaf sebab tinggikan suara tadi."

Arra tersenyum. "Arra tak ambil hati pun. Arra saja uji abang. Manalah tahu abang tiba-tiba nak marah," ujar Arra perlahan bimbang jika kata-katanya akan melukai hati suaminya lagi.

"Sayang tahu tak, betapa sayangnya abang dekat sayang. Isteri abang?"

"Banyak mana rasa sayang tu?"

"Kasih sayang abang ibarat air sungai yang sentiasa mengalir tanpa henti. Cinta abang buat sayang ibarat buih-buih ombak dipantai yang akan sentiasa memenuhi hati abang," ujar Aril dengan lembut. "Janganlah sayang meragui kasih sayang dan cinta abang buat sayang?"

Wah... sejak bilalah suami aku pandai berkata-kata indah begini, detik hati kecil Arra. Wajahnya terukir senyuman bahagia mendengar ucapan Aril.

Rambut Arra dibelai perlahan. Pipi Arra dielus halus. Aril memegang leher Arra. Tubuh Arra ditolak perlahan. Mereka baring diatas tilam. Aril mula mencium pipi wajah Arra sehingga ke leher. Haruman minyak wangi yang dipakai oleh Arra menusuk ke dalam hidungnya.

Arra kaku. Dia sangat lemah apabila dibelai begitu. "Abang."

"Syyyhhh... Bagilah abang lepas rindu."

Arra ketawa. "Kita baru balik honeymoon. Lepas rindu apanya," ujar Arra cuba menepis tangan Aril yang mahu membuka butang bajunya.

"Siapa suruh buat abang marah?"

"Tapi...?"

Cup! Satu ciuman hinggap dibibir Arra. 

"I love you," bisik Aril perlahan sambil mengigit manja telinga Arra.

"Abang, gelilah," ujar Arra lalu menolak tubuh Aril daripada terus menindih tubuhnya.

Aril merangkul pinggang Arra. "Nak pergi mana?"

Tuk! Tuk! Tuk!

"Arra?" panggil Puan Anisah.

"Ya, ibu."

"Ibu dah panaskan lauk. Nanti Arra makan ya. Dah sejuk nanti tak sedap pulak?"

"Okey, ibu."

Aril mendengus geram. 

"Abang, jom makan," ajak Arra dengan lembut.

Aril mengeraskan badannya. "Abang tak nak. Temanlah abang."

Wajah Arra mula kemerahan. Dia meleraikan pelukan Aril lalu membetulkan bajunya. "Ibu dah masak special untuk sayang. Tak makan nanti terasa hati ibu pulak."

"Untuk sayang aje. Abang tak makan pun patin tempoyak tu," ujar Aril masih lagi berkeras tidak mahu berganjak dari atas katil.

Arra mengeluh perlahan. Dia merapati tubuh Aril yang meniarap. Kepala Aril diusap perlahan. Dia mula mencium pipi Aril. "Jom makan. Malam nanti sayang bagi upah," ujar Arra perlahan sambil menahan rasa malu yang bersarang di dalam hatinya apabila berbicara begitu.

"Okey, jom," balas Aril lalu bangkit dari tempat duduknya. 

Mereka melangkah keluar dari bilik lalu menuju ke dapur. Arra menikmati makanan dengan berselera sekali. Aril pula kurang berselera kerana diusik oleh Arra agar makan ikan patin masak tempoyak. Suasana petang itu berlalu dengan bahagia bersama usikan suami isteri di dapur.


BUNYI guruh yang berdentum dilangit mengejutkan Melysa daripada lenanya yang panjang. Dia mengucap panjang. Rafiq disebelah dilihat masih lena dibuai mimpi. Lenanya terganggu apabila hujan lebat mula membasahi bumi ketika ini. Diiringi dengan bunyi guruh, petir dan kilat sambung menyambung. Dia bangkot dari pembaringan lalu menuju ke kamar mandi. Dia mengambil wuduk.

Melysa mengambil sejadah lalu dibentang ke arah kiblat. Dia menunaikan solat sunat tahajud setelah melihat jam baru menunjukkan angka dua pagi. Usai menunaikan solat sunat tahajud. Dia membaca doa.

"Ya Allah sesungguhnya Engkaulah yang maha berkuasa. Ya Allah, ampunilah segala dosaku. Lindungilah Aril dan Arra di mana jua mereka berada. Selamatkanlah mereka daripada niat jahat Ryan. Hanya kepada-Mu aku memohon pertolongan. Amin."

Melysa mengaminkan doanya. Telekung ditanggalkan lalu disangkut pada almari. Dia mencapai telefon bimbitnya. Email yang baru dibuka ditenung dengan pandangan yang kosong. Fikirannya kusut. Dia duduk diatas tilam. Matanya yang mengantuk berasa segar pula. Dia mengeluh kecil apabila tidak dapat melelapkan mata setelah berpusing kiri dan kanan mencari keselesaan untuk tidur.

"Mel?"

Melysa memandang wajah Rafiq. Dia mengukirkan senyuman. "Maaflah. Mel mengganggu abang tidur ke?"

Rafiq bangun daripada pembaringan. Dia mengusap wajahnya perlahan. "Kenapa ni?"

"Tiada apalah. Abang tidurlah."

Rafiq merangkul badan Melysa. Kepala isterinya ditarik agar diletakkan diatas bahunya. "Cakaplah. Macam ada sesuatu yang mengganggu fikiran sayang?" ujar Rafiq sambil menggosok belakang badan Melysa.

Melysa mengeluh berat. Telefon bimbit yang masih dipegang diserahkan kepada Rafiq. 

"Kenapa?"

"Tengok email."

Tanpa berfikir panjang. Rafiq membuka email seperti yang diminta oleh Melysa. 


Email dibuka. Sekeping Foto Arra ditepi jalan dilihat. Nota yang terselit bersama foto itu menakutkan.


AKU AKAN BUNUH ARRA SEPERTI YANG DIMINTA.


Rafiq mengeluh berat. Telefon bimbit diserahkan semula kepada Melysa. Dia menarik nafas panjang lalu menghembuskannya perlahan. Wajah Melysa dipandang. Dalam kesamaran cahaya lampu dia meraih tangan Melysa. 

"Esok kita maklumkan kepada Aril."

"Tapi..."

Rafiq meletakkan jari telunjuknya pada bibir Melysa. "Perkara ini, kita tak boleh diamkan saja. Aril perlu tahu. Hal ini melibatkan nyawa isteri dia."

"Sayang takut."

Rafiq menarik tubuh Melysa ke dalam pelukannya. "Sayang tak perlu takut. Abang kan ada."

"Sayang tak sangka Ryan akan terus menggugut sayang?"

"Jadikan ia satu pengajaran," kata Rafiq perlahan. "Lain kali sesusah mana pun jangan berurusan dengan orang seperti Ryan."

Melysa menganggukkan kepalanya. Air mata yang ditahan mula mengalir membasahi pipinya. "Mel dah cakap jangan ganggu mereka lagi. Tapi Ryan tak puas hati sebab sayang buat laporan polis."

"Abang tahu. Kita serahkan aje pada pihak polis. Satu hari nanti abang yakin Ryan pasti akan mendapat hukumannya," ujar Rafiq lalu meleraikan pelukan. Air mata Melysa disapu. "Jomlah tidur. Esok kan kerja?" 

Melysa menggelengkan kepalanya. "Abang tidurlah. Esok sayang tak kerja."

"Kerja atau tak, sayang tetap kena tidur," ujar Rafiq lalu merebahkan badannya. "Meh baring atas lengan abang," ujar Rafiq lalu menepuk lengannya. 

Melysa tersenyum kecil. "Okey," ujarnya lalu menurut saja arahan Rafiq. Dia memeluk erat pinggan Rafiq. 

Rafiq mengusap kepala Melysa. Dia mengelus lembut pipi isterinya. Dahi Melysa dicium. Kasih dan sayangnya amat dalam buat Melysa. Walaupun pada awalnya hati Melysa sukar untuk dicuit. Kini takdir telah menyatukan mereka. Hanya doa yang dipanjatkan agar hubungan mereka suami isteri kekal hingga ke syurga. Akhirnya mereka terlena.


Previous: Bab 26
Next: Bab 28

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Andayu