Home Novel Cinta Takdir Cinta Kita
Bab 17

Maznah sedang ralit memasak di dapur. Arra tersenyum nakal. Dia melangkah perlahan-lahan mendekati Maznah. Bau sambal petai bilis menusuk ke dalam lubang hidungnya. 

Sedapnya bau, desis hati kecil Arra. 

Bahu Maznah ditepuk. "Masak apa tu?"

Terkejut Maznah. "Hisy Arra ni buat Cik Nah terperanjat ajelah."

Arra ketawa kecil. Bahu Maznah dipegang. "Bukan selalu pun usik Cik Nah," kata Arra sambil tersenyum. "Tiga hari aje lagi Arra kat sini. Lepas ni tak tahu pulak bila dapat jumpa Cik Nah."

Api gas dipadamkan. Wajah Maznah kelihatan sedih. "Rindulah Cik Nah dekat Arra nanti."

Arra mengambil makaroni dari dalam laci. Dia menggosok bahu Maznah. "Cik Nah janganlah sedih. Nanti Arra call bila free."

"Lambat lagi ke Arra nak habis belajar?" soal Maznah lalu mencedok sambal petai bilis ke dalam mangkuk.

"Setahun setengah aje lagi. Kenapa Cik Nah?" 

"Tak lama dah. Saja tanya. Anak Cik Nah hujung tahun ni baru habis belajar." kata Maznah sambil tersenyum. Berkat pertolongan Dato' Sri Zainuddin, dia mampu menghantar anaknya belajar sehingga ke universiti.

"Alhamdulillah," ujar Arra turut gembira mendengarnya. "Cik Nah masak banyak ke menu makan malam ni?"

"Tak banyak pun. Sambal petai bilis dengan ayam goreng aje," kata Maznah lalu duduk diatas kerusi. "Kenapa Arra tanya?"

"Arra nampak macam ada sup aje."

"Sup sayur sikit sebab Aril tak makan petai. Datin dah pesan tadi jangan masak banyak sangat."

Arra sekadar menganggukkan kepalanya. "Aril tak makan petai ke?"

Maznah menggelengkan kepalanya. "Tak. Arra makan ke?"

"Arra makan ikan bilis aje. Petai tak makan jugak."

"Aril tak minat. Kalau masak petai dia memang takkan makan lauk yang ada petai tu. Arra tanya kenapa?" soal Maznah sambil tersenyum dengan makna yang tersirat.

Arra mengerutkan dahinya melihat Maznah tersenyum begitu. "Cik Nah jangan fikir bukan-bukan tau. Arra tanya tu sebab nk masak makaroni," kata Arra sambil mengacau makaroni di dalam kuali.

"Owh. Ingat Arra nak tahu apa yang Aril suka?" usik Maznah.

Pinggang Maznah dicuit. "Hisy Cik Nah ni ke situ pulak," marah Arra. 

Arra mengambil pinggang diatas rak. Api gas dimatikan. Dia mencedok makaroni lalu diletakkan diatas meja. "Cubalah rasa," kata Arra lalu melabuhkan punggung diatas kerusi.

"Cik Nah tak makan Arra."

Arra mengambil sudu lalu menyua ke mulut Maznah. "Rasa dulu."

"Tak apa ke?" soal Maznah bimbang. Dia tidak mengemari makanan barat. Walaupun anaknya pernah masak beberapa kali di rumah. Namun dia tidak pernah merasa makanan itu.

"Sikit aje," ujar Arra sambil tersenyum.

Maznah teragak-agak ingin membuka mulut. Perlahan-lahan dia mengunyah makaroni yang telah dimasak oleh Arra. Pada awalnya di merasa agak pelik. Tetapi senyuman mula terukir diwajahnya. Sudu ditangan Arra dipegangnya. 

"Sedap," kata Maznah sambil menjamu selera.

Arra tersenyum mendengarnya. "Hah... Kan Arra dah cakap," ujarnya sambil ketawa. Lucu dengan telatah Maznah kelihatan gelojoh ketika makan. "Cuba dahulu baru tahu."

"Arra tak makan?" soal Maznah apabila melihat Arra hanya minum air kosong.

"Kejap lagi. Arra nak pergi bersihkan kolam," ujar Arra lalu bangkit dari tempat duduknya. 

"Pok Zaki baru bersihkan semalam?"

"Tahu. Tapi Arra nak main air kejap," kata Arra lalu melangkah meninggalkan Maznah. 

Arra duduk bersimpul di tepi kolam. Niatnya ingin membersihkan kolam terbantut apabila melihat air di dalam kolam sudah bersih. Kerja membersihkan kolam mandi adalah tugas Pok Zaki. Namun, Arra suka mengambil alih tugas itu kerana ingin bermain air.

Dia mula bermain-main dengan air di dalam kolam. Fikirannya mula teringatkan lagu bawang putih bawang merah lalu menyanyi. Tanpa disedari Aril sedang memerhati tingkah lakunya dari tingkat atas. 

Usai menyanyi Arra meletakkan telefon bimbitnya di atas tanah. Dia membaringkan badannya di atas lantai. Ikatan rambutnya dilepaskan. Rambutnya yang panjang mengurai diletakkan ke dalam kolam. Dia memejamkan mata sambil membasahkan rambutnya dengan air.


"TAK sangka sedap pulak Arra masak," kata Maznah setelah menghabiskan sepinggan makaroni.

"Arra masak apa Cik Nah?" soal Aril dari belakang.

Maznah bangkit dari tempat duduknya. "Eh, Aril." Dia melemparkan senyuman. "Arra masak apa entah ni. Cik Nah lupa pulak namanya," kata Maznah sambil mencuci pinggan.

"Oh... makaroni," kata Aril setelah melihat di dalam kuali.

"Hah... makaroni. Masakan barat ni bukannya Cik Nah tau sangat."

"Arra mana?"

"Katanya nak bersihkan kolam."

"Okey. Jangan bagi tau dia saya dah balik," kata Aril lalu melangkah keluar dari ruangan dapur. Dia segera meniti tangga dan masuk ke dalan biliknya.

Briefcase diletakkan di atas meja. Tali leher ditanggalkan. Pintu balkoni dibuka. Dia melihat Arra sedang asyik bermain air dengan tangannya. Dia tersenyum. 

Aril melangkah masuk ke dalam biliknya semula. Tuala segera dicapai. Sebaik sahaja kakinya melangkah masuk ke dalam bilik air. Dia mendengar suara Arra menyanyi. Suara Arra menyanyi lagu Perigi Biru jelas kedengaran.


Wahai perigi... 

Perigi air nya biru

Tempat bermain... 

Bermain pari dan mambang


Mohon izin kan hamba merayu ibu

Izin kan hamba merayu ibu

Bagi penawar hatiku yang bimbang

Wahai bonda ibu kandungku


"Lagu bawang putih bawang merah?" kata Aril sambil tersenyum. Dia kembali melangkah ke balkoni. Suara Arra menyanyi sungguh merdu. 


Wahai bondaku

Bondaku si ikan kaloi

Timbullah bonda ooiii...

Timbullah tunjukkan diri


Nasi melukut dengan sayur keladi

Nasi melukut sayur keladi

Untuk bondaku di pagi hari

Wahai bonda ibu kandungku


Aril tersenyum mendengarnya. Tanpa membuang masa dia dengan pantas melangkah keluar dari biliknya dan terus ke kolam mandi. Dia melihat Arra memejamkan matanya. Perlahan-lahan dia menghampiri gadis itu. Sekuntum bunga mawar dipetiknya 

Aril turut baring secara mengiring disebelah Arra. Suara Arra seakan menyanyi di dalam hati. Aril tersenyum. Air di dalam kolam disimbah pada kepala Arra. Bunga mawar yang dipetiknya disapu pada pipi gadis itu.

Arra terkejut lalu membuka matanya. Dia melihat Aril sedang tersengih ke arahnya. Arra bingkas bangun dari pembaringan. Rambutnya yang basah terkena wajah Aril apabila Arra bangun dengan tergesa-gesa. 

Aril berdiri. Dia mengelap wajahnya dengan tuala. Wajah Arra dipandang sambil mengukirkan senyuman. Suara Arra menyanyi seakan masih kedengaran di cuping telinganya.

"Bila balik?" soal Arra terkejut dengan kehadiran Aril. Dia memerah air dari rambutnya.

"Baru aje sampai. Sedap suara Arra nanyi," kata Aril sambil mengenyitkan matanya.

Arra terkejut mendengarnya. Dia menjeling marah. Telefon bimbitnya di atas tanah diambil. "Curi-curi dengar ke?"

"Eh, taklah. Suara Arra satu rumah boleh dengar?"

Kuat sangat ke aku menyanyi tadi. Rasa macam perlahan aje, detik hati kecil Arra.

"Sampai kat atas pun boleh dengar," kata Aril sambil menunding jari ke arah balkoni pada tingkat atas rumah itu. 

"Tipu!"

"Saya ada rakam tau masa awak nyanyi tadi," bohong Aril sekadar ingin mengusik Arra.

"Nanti jangan lupa send video tu dekat Arra tau," katanya lalu menjuihkan bibir. 

Aril mengepit bibir Aril dengan jarinya. Namun segera ditepi oleh Arra. 

"Apa ni?" soal Arra sambil menyapu bibirnya.

Aril mendekati wajah Arra. "Nak saya cium ke? Kan saya dah cakap jangan buat macam tu lagi."

Arra mendengus geram. Bahu Aril ditolak agar menjauhinya. Badan Aril yang lebih jauh berisi daripadanya tidak bergerak walaupun didorong dengan kuat. 

"Cubalah tolak lagi," ujar Aril semakin mendekati Arra sambil tersenyum nakal. "Ermm... saya nak tanya Hairi tu siapa?"

"Kenapa awak nak tahu?"

"Buah hati ke?" teka Aril ingin tahu. Hatinya tertanya-tanya siapakah Hairi yang menghubungi Arra.

Kenapa dia nak tahu? Hairi kekasih aku? Memang taklah. Aku suka dia, detik hati kecilnya.

"Siapa?" desak Aril.

Kring! Kring! Kring!

Aril memberhentikan langkahnya daripada terus mendekati Arra. Dia duduk diatas buaian. "Siapa pulak call kali ni," katanya perlahan.

Arra menarik lega apabila telefon bimbitnya berbunyi. Dia segera menjawab panggilan itu. Dia tersenyum nakal ingin mengusik Aril. Panggilan itu daripada Ain.

"Hello, Assalamualaikum," ujar Ain dihujung talian. "Busy ke?" soal Ain dengan ceria.

"Waalaikumussalam, Hairi," kata Arra dengan sengaja menyebut nama Hairi dengan kuat. 

"Hairi?" soal Ain pelik. "Ainlah. Kau mimpi apa semalam? Sampai aku, kau kata Hairi?"

Arra tergelak kecil mendengar Ain membebel dihujung talian. "Lusa Arra dah habis kerja. Nanti Hairi tolong ambil Arra kat sini boleh?" kata Arra dengan manja.

Wajah Aril mula masam mencuka mendengarnya. "Amboi bukan main mesra lagi," kata Aril perlahan. Entah kenapa hatinya terasa sakit apabila melihat Arra berbual mesra dengan lelaki lain.

"Aku tak fahamlah, Arra. Kau merepek apa ni?" kata Ain hairan mendengarnya. "Sejak bila Hairi tahu kau kerja kat situ?"

Arra tersenyum sambil menggulung rambut dengan jarinya. "Tengok wayang? Boleh. Arra suka tengok wayang."

Sorry Ain. Nanti free aku call lagi, detik hati kecilnya. Arra sendiri tidak mengerti mengapa dia harus berkata begitu. 

"Tengok wayang kat mana pulak ni?" soal Ain stress. "Aku tak tau kau sedar atau tak sekarang. Tapi call aku balik lah nanti. Bye," kata Ain lalu memutuskan panggilan telefon.

Aril sakit hati. Dia bingkas bangun lalu mengambil ulat yang ditemui diatas daun. Arra yang masih berbual dengan telefon didekatinya. Dia berdiri di belakang Arra apabila gadis itu menghadap ke arah kolam.

"Okey, Hairi. Nanti free jangan lupa call Arra lagi tau," kata Arra lalu memusingkan badannya.

"Ulat," ujar Aril lalu melemparkan bunga mawar ke wajah Arra. 

Tindakan Aril memeranjatkan Arra. "Aril!" katanya sambil menepis bunga mawar yang disangkakan ulat. Kakinya melangkah ke belakang lalu terjatuh ke dalam kolam.

"Arrgghh!!!"

Kedebuss!!!

"Arra!"

Aril terkejut melihat Arra terjatuh ke dalam kolam. Tanpa berlengah dia segera terjun ke dalam kolam bagi menyelamatkan Arra.

"Arra okey?" soal Aril cemas. Dia tidak berniat ingin menyakiti gadis itu.

Arra terbatuk kecil. Air masuk ke dalam mulutnya. Walaupun sebagai seorang perenang. Dia tetap akan lemas jika terjatuh dalam kolam atau sungai secara mengejut.

Aril menepuk-nepuk belakang Arra dengan perlahan. Wajah Arra mula kemerahan ketika itu. Rasa bersalah mula terbit dari dalam hatinya.

"Saya minta maaf."

Pang!

Satu tamparan singgah dipipi Aril. Arra berenang ke tepi kolam. Dia melangkah meninggalkan Aril di dalam kolam. Tanpa disedari air mata mula mengalir membasahi pipinya. 

Previous: Bab 16
Next: Bab 18

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Andayu