Home Novel Cinta Takdir Cinta Kita
Takdir Cinta Kita
Andayu
5/12/2021 16:48:33
27,358
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 10

"InsyaAllah hujung minggu depan Arra akan balik," ujar Arra sambil tersenyum. Dia berdiri di hadapan kolam mandi.

Puan Anisah gembira mendengarnya. "Arra balik nanti nak naik apa?"

"Arra balik dengan bas lah ibu." kata Arra perlahan. Dia tidak mahu menyusahkan bapanya mengambilnya di sini.

"Tak payahlah. Arra ada kat bandar ganu aje. Nanti ibu beritahu abah pergi amik Arra," ujar Puan Anisah dengan rasa teruja. 

"Abah kan busy kerja."

"Ala bukan jauh pun bandar ganu dengan kampung ni. Abah pun bukannya kerja hari Jumaat."

Arra tersenyum mendengarnya. Dia tahu ibunya sangat merindui dirinya ketika ini. Begitu juga dengan dirinya. "Okey ibu. Nanti free Arra call lagi."

"Jaga diri tau. Assalamualaiikum."

"Baik ibu. Waalaikumussalam," jawab Arra lalu menamatkan panggilan. 

Arra memusingkan badannya ke belakang. Dia terkejut melihat Aril di hadapannya. "Aril?" katanya sambil menyentuh dadanya.

"Manja betul Arra dengan ibu," kata Aril sambil tersenyum.

Janganlah senyum. Kalau tadi kau buat aku terkejut. Tapi senyumanmu membuat jantungku berdegup kencang, desis hati kecil Arra. Ketampanan lelaki itu mengugat hatinya.

"Setiap anak pasti manja dengan ibunya," ujar Arra lalu membuka langkah ingin meninggalkan tempat itu.

Aril dengan spontan menarik tangan Arra sehingga menyebabkan Arra hilang pertimbangan dan hampir jatuh ke dalam kolam. "Aril!"

"Jom keluar?" 

"What?"

"Arra nak ikut Aril keluar atau nak mandi kolam?"

Hisy Aril ni ada saja nak usik aku. Dia ingat aku takut kalau jatuh dalam kolam ni, hati Arra berkata-kata. 

Perkara yang sama berulang lagi. Arra masih ingat sewaktu dia ingin mengambil bajunya yang tertinggal di depan kolam. Suasana yang sama berulang untuk kali kedua. Aril mengusiknya lagi dengan cara yang sama.

"Lepaslah. Air aje pun. Lain lah kalau racun," kata Arra dengan angkuh. Dia tidak mahu terus dibuli oleh Aril. Kekadang sikap lelaki itu yang sering mengusiknya menyakitkan hati.

Aril mengukirkan senyuman. Tangan Arra yang dipegangnya dilepaskan perlahan-lahan. "Arra jangan cuba cabar saya tau?" ugutnya.

"Lepaslah!" tengking Arra lalu menarik tangan Aril dengan kuat dan mengimbangi badannya semula. Tangannya diraih. Tubuh Aril ditolaknya jatuh ke dalam kolam.

Kedebuss!!!

"Ha ha ha..." Arra ketawa dengan sekuat hati melihat Aril basah kuyup di dalam kolam.

"Arra!"

Arra berhenti ketawa tapi senyuman masih tidak lekang terukir diwajahnya. "Padam muka. Lain kali sarang tebuang jangan dijolok," ujarnya perlahan lalu meninggalkan Aril sendiran di dalam kolam.

"Arra!" panggil Aril. "Tolong ambilkan tuala!" jerit Aril meminta tolong.

"Ambil lah sendiri!" kedengaran suara Arra menjawab dari jauh.

Aril menepuk air di dalam kolam. Air itu terpercik ke wajahnya sendiri. 

Aku yang nak kenakan dia. Alih-alih aku yang terkena balik, omel Aril di dalam hati.

Aril hanya mampu melihat Arra berlalu meninggalkannya sendirian di dalam kolam. Kehadiran Arra membuat hatinya berasa gembira. Dia sendiri tidak mengerti mengapa kehadiran Arra mampu membuatnya tersenyum sejak kali pertama dia berjumpa dengannya. 


SUDAH sebulan Melysa berkurung di dalam biliknya sejak dia mencuba membunuh diri. Melysa merenung gambar pertunangannya dengan Aril. Tanpa disedari air mata mula menitis di atas foto itu. Dia segera menyapu air mata dengan hujung jarinya. Dia menggenggam erat tangannya. Telefon bimbit dicapai. Nombor milik Aril segera didailnya. Panggilannya tidak dijawab. 

Melysa mundar mandir di hadapan katil. "Jawablah Aril," ujarnya perlahan dan cuba menghubungi lagi. "Aril, please pick up the phone!!!" 

Telefon bimbitnya dibaling ke dinding. "Arrgghh!!!" Melysa menjerit.

Datin Naziah segera membuka pintu bilik Melysa. "Kenapa Mel?" soalnya cemas apabila mendengar suara anaknya menjerit.

Melysa menolak semua barang yang berada di atas meja soleknya jatuh ke atas lantai. "Aku benci kau!!!" jerit Melysa lagi.

Datin Naziah segera mendapatkan Melysa lalu memeluk anaknya itu. "Istighfar Mel," ujarnya perlahan sambil mengusap belakang Melysa. Dia mengerti akan kesedihan anaknya itu.

"Aril dah tak sayangkan Mel," kata Melysa dengan sedih. Dia melepaskan tangisannya di dalam pelukan ibunya. Sikap Aril membuatkan hatinya benar-benar sakit. 

"Sabarlah sayang. Aril bukan jodoh Mel," ujar Datin Naziah sambil mengusap bahu Melysa.

Melysa menolak tubuh ibunya. "Aril milik Mel!" 

Datin Naziah terkejut dengan tindakan Melysa. Dia mendekati gadis itu kembali dan meraih tangannya. "Mel nak makan?"

Melysa tersenyum mendengarnya. "Aril datang makan sekali ke?"

Datin Naziah hanya mampu menganggukkan kepalanya. "Dia ada kat bawah." bohongnya.

Melysa segera berlari menuju ke tingkat bawah. "Aril!" 

Dato' Yusri kehairanan melihat Melysa memanggil nama Aril. Dia memandang wajah isterinya yang sedang menangis. "Kenapa?"

"Aril!" Melysa masih lagi mencari Aril. Dia menghampiri ayahnya. "Daddy mana Aril?"

Dato' Yusri mengeluh. Dia memegang bahu Melysa. "Aril tak ada di sini."

Melysa menepis tangan ayahnya. "Tipu! Mummy cakap Aril ada kat sini." ujarnya lalu menoleh ke arah Datin Naziah. "Kan mummy?"

Datin Naziah menggelengkan kepalanya. Dia mengesat air mata dipipinya. Di hadapan Melysa dia perlu kuat dan tabah agar anaknya juga sabar menghadapi ujian ini. "Terimalah kenyataan Mel. Aril bukan ditakdirkan untuk Mel."

"Tidak!!!" kata Melysa sambil menutup telinganya. "Aril milik Mel!" ujarnya lalu mencapai kunci kereta milik Datin Naziah di atas meja.

Dato' Yusri segera menghalang Melysa daripada keluar daripada rumah. "Mel nak pergi mana?"

"Tepi daddy," kat Melysa sambil menolak tubuh Dato' Yusri yang menghalang laluannya.

"Daddy tak benarkan Mel keluar."

Melysa melihat wajah ayahnya. "Please daddy. Mel nak jumpa Aril," rayunya lalu menolak tubuh Dato' Yusri.

"Mel!" Dato' Yusri menarik lengan Melysa lalu menampar pipi anaknya.

Pang!

Melysa jatuh terjelepok diatas lantai. Dia menyentuh pipinya yang terasa sakit. Lidahnya kelu untuk bersuara. Hanya air mata yang mengalir membasahi pipinya.

"Abang!" Datin Naziah terkejut dengan tindakan suaminya itu. Dia segera mendapatkan Melysa.

Kesabaran Dato' Yusri mula hilang sejak Melysa cuba membunuh diri. Dia hairan mengapa anak yang didiknya boleh melakukkan tindakan bodoh seperti itu. Dia cuba bersabar. Namun, kini kesabarannya tidak mampu ditahan lagi kerana sikap Melysa sudah melampaui batas.

"Aril dah tinggalkan Mel!"

"Tipu!" jerit Melysa. "Aril sayangkan Mel. Dia janji nak kahwin dengan Mel," ujarnya dengan sedih. 

"Lupakan Aril!" ujar Dato' Yusri dengan tegas. "Daddy akan kahwinkan Mel dengan Rafiq!"

"No!" Melysa terkejut mendengarnya. "Mel tak nak?"

"Suka atau tak, Mel tetap akan kahwin dengan Rafiq!" ujar Dato' Yusri lalu meninggalkan Melysa bersama isterinya.

Dato' Yusri telah mengetahui punca sebenar Aril memutuskan pertunangan dengan Melysa. Rafiq adalah punca. Walaupun terkejut mengetahui perkara sebenar. Dia tidak mampu mengubah apa-apa lagi. Nasi telah menjadi bubur. Siapa dia ingin menyalahkan takdir. Dia juga tidak menyalahkan Aril atau Rafiq atas apa yang telah berlaku. 

Dato' Yusri telah mengambil keputusan ingin menyatukan Rafiq dan Melysa. Rafiq telah bersetuju untuk bertanggungjawab atas apa yang telah dilakukannya. Dia yakin keputusan ini adalah yang terbaik buat Melysa. Dia tidak mahu melihat Melysa mengejar cinta Aril lagi. 


DERINGAN telefon bimbit mengganggu Arra sedang mengemas di dapur. Dia mencari-cari dari mana arah bunyi telefon itu. Langkah kakinya terhenti dihadapan meja makan. Sebuah telefon bimbit berada diatas meja.

"Telefon siapa?" 

Arra mengambil telefon itu lalu melangkah ke dapur. "Cik Nah!" panggil Arra.

"Ya, Arra," sahut Maznah lalu menoleh ke arah Arra.

"Ni telefon siapa?" soal Arra sambil menunjukkan telefon bimbit pada tangannya.

Maznah hanya tersenyum melihat telefon itu.  Dia amat mengenali pemilik telefon itu apabila melihat stiker kecil tertampal di belakang telefon. "Aril punya."

"Aril."

"Dia tertinggal agaknya. Arra pergilah simpan dalam bilik dia."

Arra hanya menganggukkan kepalanya. Tanpa membuang masa dia segera melangkah ke tingkat dua. Setiba di hadapan bilik Aril dia memulas tombol pintu dan melangkah masuk ke dalamnya.

"Wah..." 

Arra terkejut melihat bilik Aril yang begitu besar. Dia melihat sekeliling ruang di dalam bilik. Warna dinding yang begitu lembut. Ada sofa kecil serta meja kerja. Langkah kaki Arra menuju ke balkoni. Dia membuka pintu lalu keluar dan melihat pemandangan dari tingkat atas. Kolam mandi jelas kelihatan di bawah. Inilah kali pertama dia masuk ke dalam bilik Aril. Selalunya Maznah yang mengemas apabila diminta. 

Kring!!!

Telefon bimbit Aril berbunyi lagi. Arra hampir terlupa tujuannya masuk ke dalam bilik ini. Dia melihat nama pemanggil tetapi yang tertera di skrin telefon hanyalah nombor yang tidak dikenali.

"Siapa call ea?"

Arra meletakkan telefon bimbit milik Aril diatas meja solek. Dia tersenyum kecil apabila melihat wajahnya di dalam cermin. Rambutnya agak kusut ketika itu. Tanpa berfikir panjang dia melepaskan ikatan rambutnya. Sikat rambut milik Aril segera dicapai.

Aril membuka pintu bilik air. "Arra buat apa kat sini?"

Arra menoleh ke arah suara yang menyapanya.  Dia terkejut melihat Aril hanya bertuala ketika itu. Arra segera meletakkan sikat rambut diatas meja. 

"Er... phone?"

Aril melangkah mendekati Arra. "Phone?"

Arra mengambil telefon bimbit lalu diberikan kepada Aril. "Phone berbunyi. Saya ingat awak takda kat dalam bilik."

Aril mengambil telefon bimbitnya dari tangan Arra. Dia melihat beberapa panggilan tak dijawab. "Awak jawab ke?"

Arra menggelengkan kepalanya. "Tak." Jawab Arra sepatah. Dia menjarakkan dirinya daripada Aril. "Saya minta diri dulu," ujar Arra lalu membuka langkah ingin keluar dari bilik Aril.

Aril dengan pantas memegang tangan Arra. "Nak pergi mana?" soal Aril sambil tersengih nakal.

Pleaselah jangan buat perkara yang bukan-bukan, desis hati kecil Arra.

Arra gugup. Senyuman Aril kelihatan menakutkan. Tubuh Aril hanya dibaluti tuala ketika itu. Fikiran negatif mula bermain di fikirannya. Arra menarik tangannya dan tergesa-gesa meninggalkan bilik Aril.

"Arra!" panggil Aril lalu membontoti gadis itu.

Arra berlari dengan pantas. Dia menoleh ke arah Aril di belakangnya. "Dia nak apa sebenarnya?" soal Arra perlahan.

Aril mempercepatkan langkah kakinya. Dia tidak bermaksud mahu menakutkan gadis itu. Panggilannya tidak disahut oleh Arra. Malah gadis itu semakin jauh meninggalkannya.

"Argghh!!!" jerit Arra apabila dia tergelincir ketika menuruni anak tangga.

"Arra." Aril sempat menarik tangan Arra.

Tarikan Aril bagaikan magnet. Arra kini terselamat di dalam pelukan Aril. Kehangatan badan Aril dapat dirasai oleh Arra. Wangian mandian yang dipakai oleh Aril menusuk ke lubang hidungnya. Entah mengapa Arra merasa tenang berada di dalam pelukan lelaki itu. 

Jeritan Arra turut didengari oleh Maznah. 

"Kenapa Arra?" soal Mazah dengan cemas apabila mendengar suara Arra menjerit.

Teguran Maznah menyedarkan Arra. Dia segera menolak tubuh Aril menjauhinya. Wajahnya mula kemerahan menahan malu. Dia melangkah meniti anak tangga dengan berhati-hati. Soalan Maznah dibiarkan berlalu tanpa jawapan. Kini dia semakin malu ingin berhadapan dengan Aril.

"Kenapa Aril?" soal Maznah lagi.

"Arra nak jatuh tadi. Aril cuba selamatkan aje." jelas Aril sambil tersenyum.

"Owh... Aril tak kerja ke hari ni?"

"Kerja. Tapi tiba-tiba perut memulas aje pagi ni," ujar Aril sambil mengusap perutnya yang terasa sakit.

"Kalau Aril nak apa-apa Cik Nah ada kat dapur."

"Okey Cik Nah," kata Aril lalu melangkah ke kamar tidurnya kembali. Senyuman masih terukir diwajahnya.

Telatah Arra mencuit hati Aril. Arra kelihatan cantik apabila melepaskan ikatan rambutnya. Pada awalnya dia turut terkejut melihat Arra berada di dalam biliknya. Idea untuk mengusik Arra tiba-tiba muncul. Dia tidak tahu apalah yang difikirkan oleh Arra. Jika Arra tidak melarikan diri pasti dia sudah mencium pipi gadis itu.

Kring!!!

Kebahagiaan yang dirasai diganggu oleh deringan telefon bimbitnya. Dia melihat nombor yang tertera diskrin telefon lalu menolak panggilan itu. Keluhan kecil dilepaskan. Panggilan itu daripada Melysa. Dia sudah tidak berminat lagi untuk bercakap atau berjumpa dengan gadis itu lagi. Dia berharap Melysa mampu melupakan dirinya.

Previous: Bab 9
Next: Bab 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Andayu