Home Novel Cinta Takdir Cinta Kita
Bab 25

Melysa menarik nafas lega setelah keluar daripada balai polis. Tangan Rafiq dipegang dengan kemas. Dia tersenyum memandang wajah Rafiq. Hatinya berasa lega kerana tidak ditahan oleh pihak polis setelah membuat laporan tentang Ryan.

"Abang nak pergi kerja ke?" soal Melysa setelah menghampiri kereta.

"Tak," balas Rafiq lalu memegang bahu Melysa. Dia turut rasa bahagia melihat isterinya ceria. "Jom pergi bercuti?"

Melysa menyandarkan badannya pada kereta. "Bercuti ke mana?"

"Sayang nak pergi mana?"

"Tak pernah terfikir pun nak bercuti."

"Abang nak sayang lupakan semua masalah. Lupakan tentang Ryan. Everything yang mengganggu fikiran sayang sekarang."

"Mel tak tahu nak pergi mana. Mel ikut aje ke mana abang nak pergi?"

"Okey sayang," balas Rafiq lalu mencium dahi isterinya. "Jom fly ke Sabah. Destinasi honeymoon kedua kita," bisik Rafiq.

Melysa menolak tubuh Rafiq perlahan. Wajahnya  mula kemerahan apabila mendengar Rafiq berkata begitu. Dia membuka pintu kereta. "Bila?" soal Melysa lalu melangkah masuk ke dalam kereta.

Rafiq turut masuk ke dalam perut kereta. "Minggu depan sayang free tak?"

"InsyaAllah. Nanti Mel tanya Tania dulu jadual kerja sayang macam mana?"

"Good. Nanti abang cakap dengan daddy nak bawa sayang bercuti lagi," kata Rafiq lalu menghidupkan enjin kereta.

"Okey ke kerja dengan daddy?"

Rafiq mengundurkan kereta. Dia hanya menganggukkan kepalanya. "Alhamdulillah. Okey. Kenapa sayang tanya?"

"Saja nak tahu. Abang kat ofis tu kerja tau. Jangan nak mengatal dengan orang lain pulak," ujar Melysa berbau cemburu. 

Rafiq memegang tangan Melysa. "Dalam hati abang ni hanya ada sayang seorang sahaja," kata Rafiq lalu mencium tangan Melysa. "I love you, sayang," ucap Rafiq lalu tersenyum ke arah Melysa.

"Bahayalah abang. Tengok depan tu," ujar Melysa lalu menolak pipi Rafiq agar memandang kehadapan semula. 

"Okey," balas Rafiq lalu kembali fokus dengan pemanduannya.

Hati Melysa berasa bahagia apabila bersama dengan Rafiq. Kini dia menerima Rafiq sebagai suaminya dengan hati yang terbuka. Biarlah peristiwa pahit berlalu pergi. Dia juga insan biasa yang ingin merasai apa itu bahagia dalam melayari bahtera rumah tangga. 


ARRA menghirup udara segar di luar biliknya. Suasana malam ini terasa begitu indah. Baju tebal yang menyelimuti tubuhnya digosok perlahan. Tubuhnya masih terasa dingin, walaupun telah memakai baju sejuk. Cuaca di Cameron Highlands begitu sejuk. Arra membetulkan tudungnya yang senget apabila ditiup angin. 

"Sayang," panggil Aril manja lalu memeluk tubuh Arra dari belakang. 

Arra menarik tangan Aril agar memeluknya dengan lebih erat. Dia menoleh ke arah wajah Aril. Oleh kerana tubuh lelaki itu lebih tinggi daripadanya. Dia perlu mendonggakkan sedikit kepalanya. Senyuman mula terukir di wajahnya. Kini kasih dan cintanya hanya untuk lelaki yang bernama Aril Zakuan. Walaupun perkahwinan ini terbina tanpa dirancang, kini dia mula mengenal erti bahagia di samping suami tersayang.

Cup!

Arra mengerling ke arah Aril. "Janganlah nanti ada orang tengok," ujar Arra apabila Aril mencium pipinya. 

Cup!

Satu ciuman hinggap di dahi Arra. Tubuh Arra dirangkul erat dari arah belakang. "Mana ada orang nampak. Hari pun dah malam. Gelaplah sayang."

"Manalah tahu ada orang tengok. Seganlah sayang."

"Kalau orang tengok pun apa masalahnya. You are my wife okay? Bukan orang luar."

Kata-kata Aril ada benarnya juga. Namun, Arra masih belum bersedia menayangkan kemesraannya sebagai suami isteri dihadapan orang lain. Walaupun mereka telah sah bergelar suami isteri, namun Arra masih segan apabila Aril menciumnya begitu jika dihadapan orang lain.

"Sayang Happy tak sepanjang kita di sini?" soal Aril memandangkan malam ini adalah malam terakhir mereka menginap di Garden Hills Resort Cameron Highlands.

Arra senyum. Dia menganggukkan kepalanya. Tangan Aril diraih perlahan. "Terima kasih sebab bawa sayang jalan-jalan di sini. Pengalaman ini amat indah bagi sayang dan tak mampu sayang lupakan," jawab Arra. 

Aril tersenyum mendengarnya. "Jom masuk. Dah lewat ni," ujar Aril sambil melihat jam pada pergelangan tangannya. "Lagipun tak elok ambil angin pada waktu malam ni."

"Okey, suamiku sayang," usik Arra lalu mencuit hidung mancung milik Aril. Dia melangkah masuk ke dalam bilik meninggalkan Aril dibelakangnya. Tudung ditanggalkan lalu disangkut pada dinding.

Aril tersenyum nakal. Ada saja idea ingin mengenakan isteri tercinta. Pintu balkoni ditutup. Bunga perhiasan yang berada di dinding dicabut daunnya. Arra yang sedang sibuk membetulkan rambut dihampirinya. 

"Cicak!!!" ujar Aril sambil melemparkan daun bunga plastik ke arah Arra.

"Arrrgghhh!!!!" jerit Arra lalu menepis daun bunga plastik yang melekat pada rambutnya yang disangkakan adalah seekor cicak.

Arra melompat naik ke atas katil apabila merasakan sesuatu telah jatuh ke. Wajahnya kelihatan begitu takut. Nafasnya turun naik akibat terkejut yang teramat sangat. Wajah Aril dilihatnya. Rasa geram dan marah mula timbul di dalam hatinya apabila melihat Aril sedang mentertawakannya. Tanpa berfikir panjang bantal terus dicapai dan dibaling kepada Aril.

Aril hanya mampu tersenyum sumbing apabila dibaling dengan bantal. Dia dapat melihat kemarahan pada wajah isterinya ketika itu. Dia mengambil bantal yang berada diatas lantai. Kepala yang tidak gatal digaru perlahan. Perasaan bersalah mula timbul di dalam hatinya apabila melihat mutiara jernih Arra menitis. Aril mematikan lampu.

"Sayang!" panggil Aril perlahan lalu merapati tubuh Arra di atas katil.

Arra baring. Dia memejamkan matanya. Hatinya masih terasa panas dengan usikan Aril. Selimut tebal ditarik menutupi badannya sehingga paras leher. Panggilan Aril tidak dihiraukan. Dia hanya mendiamkan diri.

Aril mula berasa kesal dengan usikannya sebentar tadi. Dia tidak menduga Arra akan merajuk dengannya. Tubuh Arra dirangkulnya dari belakang. "Sayang. Maafkan abang."

Arra mengesat air matanya. Permintaan maaf Aril tidak dihiraukan. 'Tahu dah aku ni takut cicak. Dia usik lagi. Elok tengah happy tetiba nak suruh orang marah pulak', desis hati kecil Arra.

Aril mengelus lembut pipi isterinya. Walaupun dalam keadaan gelap, dia masih dapat melihat kecantikan yang dimiliki oleh Arra. Dia mencium pipi Arra. Perlahan-lahan ciuman itu meliar ke bawah leher. Tangannya masih erat memeluk tubuh isteri yang dikasihinya.

Arra menggeliat kegelian apabila Aril mula mencium lehernya. Perasaan marah yang mula bersarang di dalam hati mulai reda. Dalam diam dia mula mengukirkan senyuman kecil apabila dilayan begitu oleh Aril. Entah mengapa dia tidak mampu merajuk terlalu lama dengan suaminya. Hatinya mudah lembut. Mudah cair apabila Aril menggodanya.

"I love you, sayang," ujar Aril lalu menggigit manja telinga Arra.

Arra mendengus geram. Dia masih dengan egonya tidak mahu berbicara dengan Aril ketika ini. "Tidurlah abang. Esok kan kita nak balik terengganu dah," ujar Arra dengan nada kasar. 

Aril mengetatkan lagi rangkulannya. "Abang nak tidurlah ni. Tapi mata ni tak boleh nak pejam kalau sayang tak tengok abang."

"Hurmmm.... yelah tu."

"Pusinglah sayang. Seorang isteri tidak boleh tidur membelakangi suami tau."

Selimut dibuka. Arra bangkit daripada pembaringan. Dia memandang wajah Aril. Walaupun hatinya sudah cair dengan pujukan Aril, namun dia berusaha ingin meneruskan rajuknya. Dia sengaja mahu melihat sejauh mana Aril berusaha memujuknya kembali.

"Kesalahan seorang isteri selalu dilihat oleh suami. Habis kalau kesilapan dari seorang suami  macam mana?"

Aril meraih tangan Arra lalu menciumnya. "Abang minta maaf, okey?" ujar Aril lalu mengukirnya senyuman manis buat Arra.

Walaupun di dalam gelap. Senyuman yang terukir pada wajah Aril jelas kelihatan. Jantung Arra berdegup kencang ketika ini. Arra memalingkan wajahnya ke arah lain. Satu keluhan kecil dilepaskan. Senyuman Aril terlalu istimewa buatnya. 

"Sayang," panggil Aril lagi dengan manja.

"Apa?" soal Arra masih tidak mahu mengalah.

Aril merapati tubuh isterinya. Tubuh Arra dirangkul. Pipi dicium. "Jom tidur. Abang janji takkan usik sayang lagi lepas ni."

Arra menepis tangan Aril yang mula merayap sana sini. "Sayang takkan termakan dengan janji palsu abang tu," ujar Arra lalu mencubit pinggang Aril.

"Aduh!" Aril mengadu kesakitan.

"Padam muka," ujar Arra lalu merebahkan badannya kembali diatas tilam.

Aril tersenyum nakal. Dia tahu Arra tidak mampu merajuk lama dengannya. Tubuh Arra dirapati. Rambut yang menutupi telinga Arra diselak. "Sejak bila isteri abang ni suka jadi ketam," usiknya lagi.

"Sejak abang suka usik sayang," balas Arra dengan nada marah. "Tidurlah! Nak apa lagi?" omel Arra apabila Aril masih lagi bermain-main dengan rambutnya.

"Tadi baru abang tegur?"

Arra mendengus geram. Dia memusingkan badannya menghadap wajah Aril. "Puas hati? Sekarang dah boleh tidur kan?"

Aril mencium bibir Arra. "I love you, sayang," ujarnya lalu memeluk erat tubuh Arra. "Maafkan abang. Jom tidur, abang dodoikan sayang," ujar Aril dengan perlahan dan penuh dengan makna yang tersirat.

Wajah Arra mula kelihatan merah. Dia sangat memahami apa yang dimaksudkan oleh Aril. Sebagai seorang isteri walaupun dalam keadaan apa sekalipun, dia harus melayani suaminya. Akhirnya dia akur dengan memaafkan Aril. Rajuknya tiada lagi. Kini hanya bahagia yang dirasainya. 


"ASSALAMUALAIKUM, Mak Cik Nisa," sapa Emy dari arah belakang Puan Anisah.

"Waalaikumussalam. Emy rupanya," balas Puan Anisah sambil tersenyum. "Mak cik ingatkan siapalah tadi."

"Takkanlah Mak cik Nisa dah lupakan Emy?"

"Mak Cik tak lupa pun. Biasalah lama tak jumpa Emy. Itu yang tak perasan suara Emy yang beri salam tadi."

"Emy jarang balik kampung. Itu yang jarang nampak. Bila dah bercuti ni kenalah jaga kedai abah ni."

"Emy dah habis belajar ke?"

Emy menggelengkan kepalanya. "Belum lagi. Ada satu semester saje lagi. Sekarang ni Emy tengah praktikal kat bandar. Itu yang sibuk sangat sampai tak sempat nak balik kampung."

"Owh. Ingatkan dah kerja," ujar Puan Anisah sambil memasukkan ikan patin ke dalam plastik.

"Mak cik nak masak apa ni?"

"Hari ni Arra balik rumah. Ingat nak masakkan ikan patin masak tempoyak."

"Wah sedapnya. Oh ya, lama tak jumpa Arra. Dia dah balik kampus ke?"

"Arra pergi bercuti dengan suami dia. Hari ni dia balik," ujar Puan Anisah sambil memikirkan sesuatu. "Kalau tak salah mak cik, minggu depan agaknya dia balik kampus."

Emy sekadar menganggukkan kepalanya. 

"Sekejap je masa berlalu kan? Tak sangka Arra dah kahwin sekarang. Rasa macam baru semalam pergi sekolah sama-sama dengan dia."

Puan Anisah tersenyum mendengarnya. "Itulah Emy. Mak cik pun rasa tak percaya pulak Arra dah kahwin," ujarnya perlahan. Ada nada sedih disebalik ucapannya. "Selalunya dialah anak yang paling manja tak boleh berjauhan dengan mak cik."

"Dah jodoh mak cik."

"Emy bila pulak nak naik pelamin?"

Emy tersipu malu mendengarnya. "InsyaAllah tak lama lagi. Mak cik doa-doakanlah ya."

"Alhamdulillah. Mak cik akan selalu doakan yang terbaik untuk Emy."

"Terima kasih mak cik," balas Emy sambil tersenyum.

"Nanti jangan lupa ajak mak cik tau bila nak kahwin nanti?"

"InsyaAllah. Okeylah mak cik, Emy masuk dulu ada kerja nak dibuat," pinta Emy.

Puan Anisah menganggukkan kepalanya. Emy kenalan Arra juga. Cuma mereka taklah rapat sangat kerana berbeza usia. Arra masih bersekolah, Emy sudah melanjutkan pelajaran ke universiti. Emy merupakan anak pemilik kedai ini. Usai memilih ikan dan sayur dia melangkah masuk ke dalam kedai mencari barang-barang keperluan yang lain. 


"BETUL ke Dibah?" soal Senah.

"Betullah apa yang aku cakap. Anak dia tu memilih. Berangan nak jadi puteri raja sebab itulah lamaran anak aku ditolaknya."

"Ermm... entahlah Dibah. Dah takde jodohlah tu," balas Senah lagi.

"Dulu masa aku pinangkan anak dia untuk Nazril tak diterima. Kau tau tak dia bagi alasan apa?"

Senah menggelengkan kepalanya. "Manalah aku tahu Dibah. Bukan dah bertahun ke pasal lamaran anak kau ditolak ni?"

"Memanglah dah lama. Tapi alasan dia bagi sebab anak daranya masih belajar lagi."

"Habis tu?"

"Eh, kau tak tahu ke yang Arra kahwin sekarang pun masih tengah belajar! Aku tengok elok aje boleh kahwin, tak tunggu habis belajar pun," omel Dibah.

"Jodoh dia dah sampai lah tu," ujar Senah cuba berfikiran positif. Bukannya dia tidak kenal dengan sikap Dibah yang suka membawang. "Apa yang nak dihairankan sangat. Zaman sekarang ni budak sekolah menengah pun ada dah yang berkahwin."

"A'aalah. Betul apa yang Mak Cik Senah cakap tu," ujar Emy mencelah. 

"Kau jangan nak menyampuk orang tua bercakap!" kata Dibah dengan tegas.

"Kedai abah saya ni tempat berniaga. Tempat orang membeli barang. Bukan tempat untuk Mak cik Dibah membawang kat sini. Kalau rasa Mak cik Dibah nak mengata seseorang tu baik balik rumah aje. Buat tambah dosa aje," ujar Emy lalu melangkah ke belakang. 

"Hisy budak ni. Aku lepuk nanti kan?" ujar Dibah dengan geram.

"Betul apa yang anak aku tu Dibah oi. Mengata orang sana sini bukannya dapat pahala. Dapat dosa adalah," ujar Pak Mad pemilik kedai.

Dibah mencuka. "Saya cakap perkara yang betul. Bukan saja-saja Pak Mad oi."

"Tak kisahlah Dibah. Betul ke tidak. Kita ni semakin tua. Sedar lah diri sikit. Cubalah berfikiran positif. Dah jodoh dia takde dengan anak kau. Apa yang nak dikecohkan sangat. Ramai lagi anak gadis kat kampung kita ni untuk kau pinang buat si Nazril."

"Saya ni Pak Mad memang tak hingin pun nak bermenantukan si Arra tu. Tapi Nazril yang berkenang. Saya ikutkan aje kehendak dia. Manalah tahu tetiba pinangan saya ditolak. Itu yang buat saya geram," ujar Dibah lalu meletakkan bakul diatas kaunter pembayaran. 

"Katanya Arra masih belajar. Tapi tetiba tak ada angin atau ribut. Eh, dapat undangan kahwin."

"Allah menciptakan manusia untuk berpasang-pasangan. Dah jodoh dia lah tu. Nak buat macam mana?"

"Jenis pilih bulu lah tu Pak Mad. Mentang-mentang anak aku kerja kampung aje. Bila dapat menantu anak dato takkan nak tolak. Mata duitan lah tu, Pak Mad oi."

Pak Mad hanya mampu menggelengkan kepala mendengarnya. "Hisy, kau ni Dibah. Tak baik cakap macam tu."

"Betul apa, Pak Mad ehhh... Nak bermenantukan  anak orang kaya katakan."

Puan Anisah mengeluh berat. Panas telinganya mendengar orang kampung mengata anaknya. "Aku bukan tunggul Dibah. Kau nak mengata anak aku," katanya lalu meletakkan bakul di atas kaunter.

"Eh, Kak Nisa ada. Tak perasan pulak," ujar Dibah berpura-pura tidak perasan kehadiran Anisah di situ.

"Tolong kira Mad," pinta Puan Anisah. "Tak payah berlakonlah Dibah. Aku kenal sangat dengan perangai engkau. Bab mengata orang nombor satu," sindirnya.

"Kak Nisa terasa ke?"

"Aku ni tak pekak lagi tau. Aku dengar nama siapa yang kau duk sebut-sebut dari tadi."

"Apa yang aku cakap tak salahkan?"

"Aku hairanlah dengan kau, Dibah? Perkara yang dah bertahun berlalu masih lagi kau nak ungkit."

Dibah mengangkat bahunya. "Salah ke apa yang aku cakap?"

"Kau sendiri tahu kenapa dan mengapa aku menolak lamaran Nazril dulu. Aku tak hebohkan satu kampung. Kau meminang anak aku," ujar Puan Anisah dengan lembut. Sebolehnya dia tidak mahu bermusuh dengan orang sekampungnya. "Tapi kau sendiri yang bawa mulut mengata sana sini. Cerita bukan-bukan pasal anak aku."

"Alasan kau bagi tak munasabah langsung. Hanya kerana masih belajar? Sekarang ni Arra tu tak habis belajar lagi kan? Boleh pulak kau kahwinkan dia?"

Puan Anisah mengeluh berat. "Anak kau tu kerja apa nak menanggung anak aku? Boleh ke dia tampung kos pembelajaran Arra?"

"Kalau dah kahwin mestilah kena jaga suami. Kalau suami tak mampu, isteri duduk rumah ajelah jaga makan minum suami lagi bagus daripada belajar tinggi-tinggi tetapi akhirnya ke dapur jugak."

"Zaman dulu bolehlah Dibah oi. Sekarang tak lagi."

"Aku Hairan aje sebab Arra kahwin mengejut. Tak ada angin atau ribut tetiba kahwin. Setahu aku kau buat majlis kenduri perkahwinan aje. Akad nikahnya bila? Aku tak tahu pun?"

"Majlis akad nikah aku buat sederhana aja. Tak perlulah nak dihebohlan satu kampung."

"Alah... cakap ajelah Arra tu bukannya belajar dekat universiti, tapi kerja jual body."

Pang!

Kesabaran Puan Anisah akhirnya hilang apabila Dibah berkata begitu. "Mulut tu jaga sikit. Bercakap tu fikirlah perasaan orang lain. Jangan ikut sedap mulut aje nak mengata. Jangan ingat anak kau tu baik sangat!" ujar Puan Anisah sambil menahan amarah.

"Lebih baik kau kahwinkan Nazril tu cepat-cepat sebelum perkara yang memalukan berlaku."

"Kau jangan nak mengata anak aku!" marah Dibah sambil menunding jari ke wajah Anisah.

"Kau mengata anak aku boleh?" balas Puan Anisah sambil mencerlung ke arah Dibah. "Aku dengar kecoh satu kampung bercakap pasal Nazril. Ke hulu, ke hilir dengan anak dara orang silih berganti. Lelaki macam tu nak dijadikan menantu aku?!"

"Sabar Nisa," tegur Pak Mad mencelah.

"Kesabaran saya ada batas Mad," ujar Puan Anisah perlahan menahan sebak di dada. "Ingat Dibah. Jangan kerana mulut, badan binasa. Jangan sampai satu hari nanti kau merangkak datang nak minta maaf dekat aku," ujar Puan Anisah lalu mengambil barang-barang yang dibelinya. Tanpa berlengah dia meninggalkan kedai Pak Mad dengan hati yang sedih.

Dibah menyentuh pipinya. Terasa pedih pula dek tamparan Anisah. Dia tidak menduga akan menerima penampar percuma hari ini. 

"Kan dah makan penampar free hari ni. Itulah suka lagi mengata anak orang," ujar Pak Mad sambil mengira barang-barang yang dibeli oleh Dibah.

"Kiralah cepat!" gesa Dibah. Terasa malu pula apabila ramai mata memandang ke arahnya ketika itu. Semasa bertengkar dengan Anisah tidak pula dia perasan ramai orang di kedai Pak Mad.




Previous: Bab 24
Next: Bab 26

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Andayu