Home Novel Cinta Takdir Cinta Kita
Bab 4

Aril tersenyum sendirian. Entah kenapa dia terasa lucu apabila mengingatkan telatah sahabat Ain. Gadis comel dan kelihatan sopan. Sejuk bila mata memandang tapi mulut bising.

Fikirannya mula mengimbau kembali memori semalam sewaktu dia menghantar barang keperluan yang diminta oleh sepupunya Ain. Oleh kerana dia perlu menghadiri mesyuarat tergempar dia meminta sahabat Ain mengambil barang dengannya.

Dari jauh dia sudah nampak seorang gadis yang memakai sehelai tshirt lengan panjang berseluar slack berwarna hitam. Gadis itu kelihatan mencari sesuatu. Aril berdiri tegak lalu melambaikan tangannya kepada gadis itu. Dia yakin itu adalah Arra sahabat Ain.

Arra melihat seorang lelaki berkaca mata hitam melambaikan tangan ke arahnya. Dia terus melangkah kaki menghampiri lelaki itu. 

"Abang Aril," sapa Arra perlahan. Dia agak kekok bila harus memanggil seseorang dengan panggilan abang. Dia tidak pernah memanggil orang lain dengan panggilan itu selain abang kandungnya.

Aril sedang bersandar pada keretanya. Dia melihat jam pada pergelangan tangannya. "Kenapa lambat sangat?" soal Aril lalu membuka pintu keretanya.

Amboi, lima minit aje pun. Takkan itu pun dah dikira lambat. Dia ingat dekat ke nak datang sini cepat-cepat. Letih aku lari tadi, bisik hati kecil Arra.

Aril menanggalkan cermin matanya lalu disangkut pada leher baju kemejanya. Dia mengambil satu plastik bag yang penuh dengan pelbagai makanan ringan dan minuman lalu dihulurkan kepada Arra.

Arra tidak berkelip memandang wajah Aril. Dia terkejut dengan ketampanan lelaki itu seperti artis korea yang bernama Kim Soo Hyun. 

Fuhhh lamakk... Handsome gila mamat ni. Ain tak pernah pulak cakap dia ada abang kat sini, omel Arra di dalam hati. Setahunya Ain berasal dari Kuala Lumpur. Semua ahli keluarga dia berada di sana. 

"Ambillah yang duduk berdiri tegak macam tiang bendera dah kenapa," ujar Aril apabila Arra tidak mengambil bag plastik yang dihulurkannya.

Teguran Aril menyedarkan Arra. Dia segera mengalihkan pandangan matanya ke arah lain dan mengambil barang yang dihulurkan oleh Aril. "Amboi banyaknya," ujar Arra apabila melihat begitu banyak barang yang dibeli oleh Aril. 

"Kenapa tak borong satu kedai bawak sini," usik Arra sambil tersenyum.

"Saya nak bawak dah tadi. Tapi tak muat pulak nak sumbat barang banyak sangat dalam kereta," ujar Aril lalu mengenyitkan mata kepada Arra.

Arra hanya diam tersipu malu diusik begitu oleh Aril. Kali pertama ada seorang lelaki mengusiknya begitu. "Owh. Betul jugak tu. Tapi kalau bawak banyak-banyak saya nak letak mana kan? Mesti kena buka kedai runcit menjual kat depan hostel ni," balas Arra. Ada saja idenya nak menjawab.

Aril tersenyum kecil. Dia suka dengan sikap Arra yang pandai membuat lawak. Dia meletakkan satu beg kertas di atas jalan tar. "Kirim salam dekat Ain. Saya minta diri dulu," ujar Aril lalu melangkah ke arah tempat duduk pemandu.

"Ermm cakap tadi nak kirim duit dekat Ain," ujar Arra cuba mengingatkan kembali tujuan Aril memintanya datang ke sini. Jika sekadar ingin menghantar barang sahaja. Dia boleh menyerahkan kepada pengawal keselamatan hostel.

Aril menepuk dahinya. "Ala lupalah," balasnya lalu menutup pintu keretanya dan menghampiri Arra semula.

Arra tersenyum. "Kesiannya, muda lagi dah nyanyuk. Bila dah tua nanti bini pun boleh lupa?" Omel Arra perlahan.

"Apa awak cakap?"

"Tak ada apalah," nafi Arra.

Aril mendekati Arra. Hanya seinci sahaja jarak di antara mereka ketika itu. "Saya dengar tau. Saya tak pekak lagi," balas Aril sambil merenung tajam ke arah Arra.

Arra jadi tidak keharuan saat Aril mula mendekati wajahnya dan membisikkan sesuatu pada telinganya. "Kalau awak jadi bini saya. InsyaAllah sampai mati pun saya akan ingat lagi," usik Aril lagi sambil tersenyum melihat wajah Arra yang mula kemerahan menahan malu.

Arra mengundurkan dirinya ke belakang. Dia mula menahan debaran dihatinya apabila mendengar usikan daripada Aril. Dia meniup rambut yang mula menutup wajahnya.

Nak sangat usik aku. Kan dah kena, kata Aril di dalam hati. Tanpa membuang masa dia mengambil dombetnya lalu mengeluarkan lima keping not RM100.00 dan dihulurkan kepada Arra. "Nah, nanti bagi kat Ain." 

Arra mengambil duit itu lalu dimasukkan ke dalam poket seluarnya. Dia segera mengambil beg kertas di atas jalan lalu melangkah meninggalkan Aril tanpa sepatah ucapan terima kasih. 

Aril hanya mampu memandang Arra berlalu meninggalkannya. "Dia pergi macam tu aje? Terima kasih pun tak?"


KEDEGANG!!!

Bunyi pintu dibuka dengan kuat mengejutnya Aril daripada lamunannya yang panjang. Dia mengeluh apabila melihat kemunculan Melysa dihadapannya. Dia dengan segera membetulkan kedudukannya.

Kacau mood aku betullah minah sengal ni, bisik hati kecil Aril.

"Ermm... maafkan saya Encik Aril. Saya dah cuba halang tapi Cik Melysa tetap berkeras mahu jumpa Encik." jelas Nayla setiausaha Aril.

"It's okay Nayla. Awak boleh pergi,"

Nayla segera melangkah keluar. Dia menggelengkan kepalanya. Sudah banyak kali Melysa membuat kecoh di pejabat semata-mata ingin berjumpa dengan Aril. 

Aril sengaja menyibukkan dirinya dengan kerja. Melysa dihadapannya tidak dihiraukan. Sudah enam bulan dia memutuskan hubungannya dengan gadis itu, namun Melysa masih lagi tidak berhenti mengganggunya.

"I bukannya tunggul tau?" 

"So? You nak I buat apa?" soal Aril. Wajah Melysa sedikit pun tidak dipandangnya. 

Cintanya buat gadis itu sudah tiada lagi di dalam hatinya. Sejak dia mengetahui gadis yang dicintai itu telah menduakannya. Dia telah membuat keputusan itu setelah melihat dengan matanya sendiri gadis yang ingin dia jadikan sebagai isteri telah meniduri lelaki lain.

"Kenapa you putuskan pertunangan kita?" soal Melysa dengan marah. Jika diikutkan majlis perkahwinan mereka akan dilangsungkan tiga bulan sahaja lagi.

Huh? Masih ada hati nak jadi isteri aku selepas apa yang jadi? kata hati kecil Aril.

Melysa panas hati apabila melihat Aril tidak menjawab pertanyaannya. Dia melangkah ke arah meja lalu melemparkan kad undangan majlis perkahwinan mereka di hadapan muka Aril.

"Apa?!" tengking Aril.

"You dengar tak? Apa yang I cakap?"

"Habis tu you nak suruh I buat apa?" soal Aril lalu bangkit dari tempat duduknya. "You nak I ketawa, suka tengok you dengan jantan lain!"

Melysa segera menerpa ke arah Aril. Dia meraih tangan lelaki itu lalu menciumnya. "I minta maaf. Apa yang jadi hanya salah faham aje," ujar Melysa dengan sedih. Air mata mula mengalir di pipinya. Dia berharap Aril dapat memaafkannya. Dia tidak sanggup kehilangan lelaki itu.

Aril menarik tangannya. Dia mengambil kad kahwin lalu dibuang ke dalam tong sampah. Hatinya sakit apabila Melysa masih lagi menafikan kesalahannya. "You masih nak menipu I, Mel?"

Melysa terkejut mendengarnya. "I tak pernah tipu you. I sayangkan you. Please forgive me," rayu Melysa lagi dengan penuh harapan.

Aril mengambil surat khabar lalu dilemparkan ke wajah Melysa. "Habis tu apa yang tertulis dalam akhbar ni bohong!" Aril segera melangkah meninggalkan Melysa. Dia masih boleh bersabar lagi setelah mengetahui tunangnya ditangkap khalwat dengan lelaki lain. 

Namun dia tidak dapat memaafkan lagi gadis itu apabila dia melihat sendiri Melysa masuk ke dalam hotel bersama pembantu peribadinya sendiri.

Melysa melihat wajahnya dimuka surat pertama akhbar Sinar Harian memaparkan tajuk 'Model Terkena Ditangkap Khalwat'. Dia merenyukkan akhbat itu. Dia segera melangkah keluar daripada pejabat Aril. Niatnya ingin mengejar lelaki itu, namun bayangan Aril sudah tidak kelihatan lagi. 

Dia menyapu air mata yang masih tersisa diwajahnya. Langkah kakinya longlai menuju ke arah keretanya diparkir. Fikirannya buntu. Kini mahligai yang diimpikannya sudah musnah. Aril tak mungkin lagi sudi memperisterikannya.

"Arrrghhhh!!!!" Melysa menjerit sekuat hati.

Kerana tindakan bodohnya mengikut Rafiq ke hotel bagi menenangkan fikirannya setelah kes dia ditangkap khalwat dengan Dato' Zakri. Apa yang berlaku pada malam itu bukan atas kerelaannya. 

Rafiq yang telah lama menaruh hati padanya. Namun, dia hanya menganggap Rafiq sebagai pembantu peribadi sahaja tidak lebih daripada itu. Di dalam hatinya hanya ada Aril yang disayangi dan dicintainya.

Kini tiada guna lagi dia mempertahankan cinta buat Aril kerna lelaki itu tidak dapat memaafkannya lagi. Setelah dirinya sudah disentuh oleh lelaki lain. Hanya air mata yang mampu menemaninya saat ini. 


AIN menghampiri Arra yang sedang ralit mencatat sesuatu diatas kertas. Dia tersenyum melihat sahabatnya itu gigih berusaha mencari kerja sampingan bagi menampung perbelanjaan di Universiti. Ain meletakkan makanan yang baru dibelinya diatas meja. 

"Arra jom makan. Dari tadi tak berhenti lagi," kata Ain lalu mengeluarkan bungkusan nasi daripada plastik.

 "Kejap, aku nak try call nombor ni kejap," ujar Arra lalu menghubungi nombor telefon yang diambilnya daripada facebook.

Ain hanya menggelengkan kepalanya. Nasi goreng yang dibelinya diberikan kepada Arra. Tanpa menunggu Arra menamatkan panggilannya dia menikmati menu petang itu terlebih dahulu. Perutnya sudah terlalu lapar ketika itu. Sejak peperiksaan berjalan sepanjang dua hari ini, dia tiada selera untuk makan kerana bimbang gagal dalam peperiksaan. 

"Macam mana? Ada tak?"

Arra menggelengkan kepalanya. "Terlambat sikit aje. Semalam dah ada orang masuk," ujar Arra dengan nada sedih. 

"Makan lah dulu. Nanti try lagi yang lain, InsyaAllah nanti adalah rezeki kau," balas Ain cuba menenangkan hati sahabatnya itu.

Arra melupakan soal kerja buat seketika. Dia menikmati makanan yang dibeli oleh Ain. Dia terlalu fikiran tentang kerja sehingga terlupa perut yang berbunyi minta diisi sejak tengah hari tadi lagi dia belum menjamah makanan. 

"Ermm... Ain, baik betul sepupu kau bagi duit belanja sampai lima ratus ringgit," Arra sudah lama ingin menyoal tentang itu. Sangkaan awalnya Aril adalah abang kandung Ain. Ternyata dia silap. Aril adalah sepupu Ain.

Ain mengunyah makanan perlahan-lahan sebelum menjawab pertanyaan Arra. "Abang Aril memang baik. Dia tak pernah berkira pun dengan aku. Kenapa?"

Arra menganggkat bahunya. "Saja tanya, takkan itupun tak boleh?"

"Boleh, tak salah pun. Jangan-jangan kau dah jatuh hati kat Abang Aril erk?" ujar Ain sengaja mengusik Arra.

Arra tersedak. Dia batuk terbahak-bahak apabila Ain berkata begitu. "Mana ada? Kau ni serkap jaranglah," Arra menafikannya. 

Ain tersenyum penuh makna. "Kalau dah suka tu  cakap ajelah. Aku boleh tolong. Lagipun Abang Aril baru aje putus tunang," ujar Ain lagi.

"Hugh... Tak kuasa aku. Eh cepatlah makan. Aku nak balik hostel dah," ujar Arra lalu menghabiskan sisa makanan yang masih tinggal. 

"Okey," balas Ain sambil tersenyum. Dia terfikirkan sesuatu. 

Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Andayu