Home Novel Cinta Takdir Cinta Kita
Takdir Cinta Kita
Andayu
5/12/2021 16:48:33
27,341
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 21

Arra memandang bintang-bintang yang berkerlipan di kaki langit. Begitu cepat masa berlalu kini sudah dua bulan dia bekerja di dalam rumah ini. Sepatutnya kini dia berada di kampung halaman bersama keluarganya. Namun, siapa sangka dia akan bergelar menantu di dalam rumah majikannya sendiri.

Kini sudah seminggu Arra bergelar sebagai seorang isteri. Cincin yang tersarung pada jari manisnya dilihat. Dia tidak menyangka Aril membelikan cincin ini untuknya. Kini dia sudah kembali sihat seperti selalu. Dia telah menerima Aril sebagai suaminya dengan hati yang terbuka.

"Sayang buat apa kat luar ni?" soal Aril lalu berdiri disebelah Arra.

Arra menoleh ke arah Aril lalu mengukirkan senyuman. "Saja ambil angin," jawabnya perlahan. Terasa malu pula bila Aril memanggilnya sayang. "Abang nak tidur dah ke?" soal Arra agak kekok ingin memanggil Aril dengan panggilan abang.

Aril menganggukkan kepalanya. "Jom masuk. Sejuk dekat luar ni. Arra baru aje baik deman," kata Aril lalu menarik tangan Arra masuk ke dalam bilik. Pintu balkoni ditutup. 

Arra melipat selimut. Bantal di atas sofa diambil lalu diletakkan diatas katil. Dia melabuhkan punggungnya diatas tilam. Wajah Aril dipandang. Dia menarik nafas perlahan lalu menghembuskannya kembali. Dia yakin mampu mendidiknya menjadi seorang isteri yang solehan.

"Kenapa abang berdiri kat situ?" soal Arra apabila melihat Aril masih kaku di hadapannya. "Kata tadi nak tidur," ujar Arra sambil menepuk bantal.

"Abang nak tutup lampu kejap," kata Aril lalu menutup suis lampu. Wajahnya mula mengukirkan senyuman kecil. Dia turut melabuhkan punggung diatas katil.

Debaran dihati Arra kian terasa. Tangan Aril diraihnya perlahan. "Arra nak minta maaf sebab tak jalankan tanggungjawab sebagai seorang isteri," ujar Arra perlahan sambil menundukkan wajahnya. 

Aril mengusap kepala Arra perlahan. Tangan Arra digenggam erat. "Abang faham. Arra mesti masih terkejut lagi dengan apa yang berlaku," ujar Aril lalu menyentuh dagu Arra lalu mengangkat sedikit wajah Arra agar memandang wajahnya.

Mereka saling memandang wajah satu sama lain. Arra membetulkan kedudukannya. Dia mula berasa tidak selesa pula berduaan dengan Aril. Walaupun sudah halal tetapi masih terasa janggal bila berduaan begitu.

"Arra ada nak cakap apa-apa lagi?" soal Aril memecah kesunyian malam yang hanya ditemani bunyi cengkerik.

"Ibu ada cakap apa-apa tak?"

"Ermmm... pasal kenduri kahwin kita ke?"

Arra menganggukkan kepalanya. "Arra nak cakap sesuatu. Tapi abang jangan ketawa tau."

Aril menyelak rambut yang menutupi wajah Arra ke belakang telinga. "Apa?"

Arra serba salah ingin memberitahu Aril. Dia bimbang Aril akan ketawakan dirinya. "Arra pun teringin nak naik pelamin," katanya sambil tersenyum sumbing.

Aril tersenyum mendengarnya. Tangan Arra diciumnya perlahan. "Soal tu sayang janganlah risau. Mama dah uruskan. Esok kita pergi fitting baju dekat butik."

Arra tersengih. "Abang setuju ke?"

Kepala Arra diusap oleh Aril. "Abang tahu mesti sayang pun teringin nak meraikan perkahwinan kita."

Arra menggaru kepalanya yang tidak gatal. "Terima kasih sebab faham," kata Arra lalu tersenyum sumbing. "Arra kan perempuan. Kahwin ni sekali aje. Arra harap abang akan jadi suami pertama dan selamanya buat Arra."

Bahagianya hati Aril saat mendengarnya. Tubuh Arra dibawa ke dalam pelukannya. "Sama-sama sayang. Abang janji akan jadi suami yang terbaik buat sayang."

Wajah Arra mula kemerahan apabila dipeluk oleh Aril. "Jangan panggil Arra macam tu boleh tak?" ujar Arra lalu meleraikan pelukan. 

Aril mengangkat keningnya. "Sayang?"

Arra angguk. "Malulah."

Cup! 

Satu ciuman singgah dipipi Arra. "Aril!" kata Arra dengan nada marah. Dia menolak tubuh Aril menjauhinya. "Bencilah. Arra nak tidur dululah," ujar Arra lalu merebahkan badannya.

Aril tersenyum nakal. Arra kelihatan sangat comel bila marah. Dia turut merebahkan badannya diatas tilam. Tubuh Arra dirangkul dari belakang. "Arra adalah isteri abang. So mulai hari ni, abang akan panggil Arra dengan panggilan sayang," bisik Aril pada telinga Arra.

Arra mengeluh perlahan. Dia memejamkan matanya. Pelukan Aril begitu mendamaikan hatinya. Dia berasa selamat berada dalam pelukan lelaki itu. Kata-kata ustazah Aina, guru di sekolahnya dahulu mula terngiang-ngiang ditelinganya.

"Seorang isteri tidak boleh bermasam muka dengan suami. Tidak boleh tidur membelakangi suami. Patuh pada perintah suami."

Arra memusingkan badannya menghadap Aril. Dia mengukirkan senyuman. Tangan Aril diraih lalu menciumnya. "Maafkan Arra kerana terlalu ikutkan perasaan tadi," katanya perlahan.

Aril hanya tersenyum. Hatinya berbunga-bunga apabila layanan Arra kembali mesra. Kepala Arra diusapnya. "Abang ikhlas sayangkan Arra," kata Aril lalu mencium dahi Arra. "Abang akan sentiasa maafkan kesalahan isteri abang."

"Terima kasih," kata Arra lalu membetulkan pembaringannya. Dia memandang syiling. Tiba-tiba dia ketawa kecil. 

Aril hairan melihatnya. "Apa yang lucu?"

Arra menoleh ke arah Aril. "Arra teringat masa jumpa Melysa kat Mesra Mall hari tu."

"Sayang teringat pasal apa?"

Arra menggulung rambutnya dengan jari. "Arra ni isteri abang," ujar Arra sambil tersenyum. "Tak sangka kata-kata Arra jadi satu doa pulak."

Aril turut mengukirkan senyuman. "Itulah namanya jodoh," kata Aril lalu merangkul pinggang Arra.

Arra segera menepis tangan Aril. Dia bingkas bangun daripada pembaringan. Dia berasa geli apabila Aril memeluknya begitu. "Arra ke tandas kejap."

Aril memeluk tubuh Arra dari arah belakang. "Take your time sayang. Abang takkan paksa Arra jalankan tanggungjawab sebagai seorang isteri sepenuhnya. Jika sayang masih belum bersedia," bisik Aril pada telinga Arra.

Arra hanya menelan air liur mendengarnya. Pelukan Aril dileraikan. Dia berdiri lalu melangkah masuk ke dalam kamar mandi. Dia menyandarkan badannya pada pintu. Tangannya menyentuh dadanya. Terasa jantungnya berdegup dengan kencang. 


HULURAN salam Aril disambut oleh Arra lalu diciumnya. Kepala Arra diusap perlahan oleh Aril. Hatinya begitu tenang dapat menunaikan solat secara berjemaah dengan isterinya. Senyuman terukir diwajahnya. Kini dia akan melayari kehidupan baru bersama Arra.

"Sayang bersiaplah dulu. Abang tunggu dekat bawah." ujar Aril lalu melipat sejadah setelah selesai menunaikan solat zuhur.

"Nak ke mana?"

"Semalam kan abang dah cakap kita nak pergi fitting baju kahwin," balas Aril lalu mencubit pipi Arra.

"Sakitlah," kata Arra lalu menyentuh pipinya yang terasa sakit. "Mama ikut sekali ke?" soal Arra lalu menyangkut telekung pada dinding bilik.

Aril menganggukkan kepalanya. "Abang pergi tengok mama siap tak lagi?"

"Okey."

Arra hanya mampu tersenyum melihat Aril berlalu meninggalkannya di dalam bilik. Dia menyentuh dadanya. Walaupun dia disatukan dengan Aril bukanlah atas keinginannya. Namun, dia berasa cukup bahagia menjadi seorang isteri buat masa ini. 

Semoga kebahagiaan ini akan kekal selamanya menjadi milikku, desis hati kecil Arra.

Tanpa membuang masa dia segera bersiap untuk ke butik pakaian pengatin. Dia hanyalah insan biasa yang juga ingin meraikan hari bahagianya bersama orang lain. Tudung bawal yang telah siap digosok diambil. Arra terus menyarungkan diatas kepalanya. Dia telah bernazar ingin memakai hijab setelah bergelar seorang isteri.

"Cantik," ujar Arra perlahan memuji diri sendiri setelah siap memakai tudung.

Tas tangannya diambil lalu disangkut pada bahu. Pintu bilik dibuka. Arra melangkah menuruni anak tangga. Dia berjalan perlahan menghampiri Aril. Dia melemparkan senyuman kepada Datin Sri Aida sambil meletakkan jarinya pada bibir agar diam.

"Abang, Nanti kita jalan-jalan dekat pasar payang boleh?" soal Arra perlahan.

"Boleh, apa salahnya," jawab Aril lalu menoleh ke arah Arra. "Wow! Cantiknya isteri abang," katanya sambil tersenyum melihat perubahan Arra.

Arra tersipu malu mendengarnya. "Biasa aje," balas Arra lalu meraih tangan Datin Sri Aida. "Kan mama?"

"Alhamdulillah, bagusnya anak mama bertudung," kata Datin Sri Aida mengucapkan rasa syukur atas penghijarahan Arra. "Cantik sangat," ujar Datin Sri Aida lalu mengusap lembut pipi menantunya.

Arra menundukkan wajahnya menghadap lantai. "Janganlah puji Arra lebih-lebih. Semua yang cantik itu datang daripada Allah," ujar Arra bersikap merendah diri. Dia tidak suka mendengar dirinya dipuji begitu bimbang akan timbul rasa riak.

"Okey sayang," kata Aril lalu meraih tangan Arra.  "Jom mama kita gerak sekarang."

Datin Sri Aida menganggukkan kepalanya. Mereka bertiga melangkah masuk ke dalam perut kereta. Tanpa berlengah Aril memandu kereta membelah jalan raya bandar Kuala Terengganu. Sesekali Aril menoleh ke arah Arra disebelahnya. 

"Pandu kereta tengok depan. Jangan tengok Arra," ujar Arra perlahan.

Aril tersenyum sumbing mendengarnya. "Abang tengok depanlah ni."

Arra menjeling manja sambil ketawa kecil. "Sempat lagi nak menipu. Arra perasanlah."

"Ya, sayang. Kita dah sampai pun," ujar Aril lalu mematikan enjin kereta setelah parking dihadapan Butik Ema Bridal. 

Aril segera keluar daripada kereta lalu membukakan pintu untuk Arra. "Silakan permaisuri hatiku," ujar Aril mengusik Arra.

"Hisy... abang ni. Tak usik Arra sehari memang tak boleh erk?" kata Arra lalu melangkah keliar dari dalam kereta.

"Aril lepas rindulah tu. Lama dah kan dia tak usik Arra," ujar Datin Sri Aida mencelah. 

"Betul cakap mama tu?"

Arra mencebik. "Sayang, abang tolong bukakan pintu. Mama?" kata Arra tanda protes.

Aril menoleh ke arah Datin Sri Aida lalu tersengih. "Sorry mama."

"It's okay. Mama masuk dulu," kata Datin Sri Aida berlalu melangkah masuk ke dalam butik. Dia hanya tersenyum melihat kemesraan Aril dan Arra. Dia tumpang gembira dengan melihat mereka bahagia. 

"Mama tak marah pun."

"Sepatutnya abang dahulukan mama," kata Arra lalu memeluk tubuhnya. "Dia ibu abangkan. Syurga abang bawa tapak kaki mama."

Aril memegang pinggang Arra. Dahi isterinya dicium. "Syurga sayang kat mana?" soal Aril sambil mengukirkan senyuman mengoda.

Hisy kenapalah dia senyum macam tu. Jelingan maut ni. Lebih baik aku cabut cepat-cepat, hati Arra berbicara. 

"Abang adalah syurga Arra," balas Arra lalu menolak tubuh Aril. Diamelangkah masuk ke dalam butik.

Hati Aril berbunga-bunga mendengarnya. Terasa dunia ini hanya miliknya seorang. Indahnya saat cinta mula bersemi. Hadirnya Arra mengubah segalanya. Kini dia mula mengenal erti cinta yang sebenarnya. Tidak pernah dirasakan hatinya begitu bahagia ketika bersama Melysa dahulu.


MELYSA melabuhkan punggung diatas kerusi. Dia mengambil tisu lalu mengelap peluh pada wajahnya. Telefon bimbit dicapai. Sudah pukul 3.00 petang. Dia mengeluh perlahan apabila teringat akan Rafiq berjanji akan mengambilnya setelah selesai bekerja.

"Tania!" 

"Ya, Mel?" soal Tania pengurus barunya.

"Ada banyak slot lagi ke?"

"Ada dua aje lagi. Lepas ni you dah boleh balik."

"Lagi dua slot kita sambung esok boleh tak? I ada hal petang ni," kata Melysa perlahan sambil tersenyum.

Tania melihat jam pada pergelangan tangannya. "Baru pukul 3.00 petang Mel," balas Tania berat hati ingin menangguhkan pekerjaannya.

"Bolehlah. Please," rayu Melysa lagi. Tubuhnya terasa sangat penat setelah seharian tidak berhenti rehat sejak dari pagi lagi.

Tania memandang kru yang lain. Mereka juga kelihatan sangat letih. Wajah Melysa dipandang. "Okeylah."

Melysa tersenyum. "Thanks Tania," ujar Melysa dengan ceria lalu meninggalkan studio pengambaran. 

"Tapi esok pukul 10.00 pagi tau. Jangan lambat," kata Tania dari jauh.

"Okey," balas Melysa. 

Baju ditanggalkan. Melysa menyalin pakaian lain ulk lobby nn. ntuk pulang. Dia mengenakan solekan tipis pada wajahnya. Setelah selesai bersiap dia melihat dirinya di dalam cermin. Dia memakai sehelai blouse warna merah jambu dan digayakan dengan skirt labuh berwarna hitam. Kecantikannya terserlah dengan mengayakan pakaian itu.

"Harap hubby suka," ujar Melysa perlahan.

Kring! Kring! Kring!

Senyuman terukir pada wajahnya apabila mendengar telefon bimbitnya berbunyi. Tanpa melihat nama pemanggil dia terus menjawabnya. "I baru siap. You dah sampai ke?" soal Melysa lalu menggalas beg sandangnya.

"Amboi happynya kau sekarang!"

Langkah kaki Melysa berhenti apabila mendengar suara Ryan dihujung talian. "Ryan?"

"Takkan kau dah lupa suara aku kot?" sindir Ryan.

"Straight to the point ajelah Ryan! You nak apa lagi?" soal Melysa dengan nada marah.

"As usually. Buat-buat tak faham pulak?" ujar Ryan lalu ketawa.

"I dah bagi tiga hari lepas takkan dah habis?"

"Alah setakat RM2000 mana cukup!" balas Ryan dengan marah. "Bagi aku RM10000."

"What?" ujar Melysa terkejut mendengarnya. "I tak ada duit sebanyak tu sekarang! I dah bagi RM7000. Cukuplah tu!"

"Aku akan bongkarkan rahsia kau pada Aril. Apa yang kau dah lakukan pada isteri dia jika kau tak nak bagi aku duit."

"Apa kau cakap? Isteri?"

"Alah jangan buat-buat terkejutlah. Dulu Arra memang bukan isteri Aril. Tapi setahu aku sekarang dia orang dah kahwin. Selepas rancangan kita tak berjaya Arra dah dikahwinkan dengan Aril."

Walaupun agak terkejut mendengarnya. Melysa cuba bersikap tenang. "I dah tak kisah pasal Aril atau Arra lagi," ujar Melysa dengan nada yang ceria. "I pun dah kahwin Ryan. So tiada apa lagi yang I harapkan daripada Aril."

"Aku tak peduli dengan kehidupan kau. Apa yang aku nak hanyalah duit. Pastikan kau bagi apa yang aku minta. Itu saja."

"I takkan bagi walau satu sen pun dekat you lagi.  Mulai hari ni jangan ganggu hidup I lagi."

Kedengaran suara Ryan ketawa dihujung talian. "Kau akan menyesal. Aku takkan berhenti ganggu hidup kau, Aril dan Arra."

Talian telefon dimatikan. Melysa mengeluh. Dia tidak menyangka Ryan akan memeras ugutnya sebegini rupa. Dia mula memikirkan Aril dan Arra. Berita yang baru diketahuinya. Walaupun dia sudah bergelar isteri kepada Rafiq. Namun, jauh di dalam hatinya masih tersimpan rasa sayang buat Aril.

Pon!!!

"Mel!" jerit Rafiq lalu menarik tubuh Melysa daripada dilanggar oleh kereta.

"Sayang okey?" soal Rafiq cemas.

Melysa hanya menganggukkan kepalanya. Dia masih terkejut dengan apa yang berlaku. Tubuh Rafiq dipeluk Melysa. Dia merasakan nyawanya berada dihujung tanduk seketika. Kini dia selamat. Melysa mengucapkan rasa syukur di dalam hatinya.

Rafiq meleraikan pelukan. "Betul sayang okey?" 

Wajah Melysa kelihatan pucat. "Jom balik. I pening," kata Melysa dengan lemah.

"Jom pergi klinik. Sayang nampak pucat."

"It's okay. I fine."

"Okey. Jom balik," kata Rafiq lalu memimpin tangan Melysa ke arah kereta. Dia membukakan pintu kereta buat Melysa.

Melysa melangkah masuk ke dalam kereta tanpa banyak soal. Rafiq memandu keretanya membelah jalan raya. Dia melihat Melysa hanya mendiamkan diri ditempat duduknya. Penampilan Melysa kelihatan sangat sopan dengan pakaian yang dibelinya. Dia gembira Melysa sudi memakai pakaian yang tidak lagi mendedahkan auratnya. 

Melysa mengelamun jauh memikirkan Ryan. Dia memicit kepalanya yang mula terasa sakit. Rafiq disebelah dikerling. Rasa kasihan pula terhadap suaminya. Dia merancang ingin bersiar-siar di dalam bandar Terengganu. Kini semuanya hancur disebabkan Ryan.

Ya, Allah berilah aku peluang untuk meminta maaf daripada Aril dan Arra. Ya, Allah kau peliharalah keselamatan mereka dan juga diriku daripada insan yang berniat jahat. Berilah aku peluang untuk merasai kebahagiaan seperti insan lain, doa Melysa di dalam hati.

Previous: Bab 20
Next: Bab 23

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Andayu