Home Novel Cinta Dia Pemilik Cintaku
Dia Pemilik Cintaku
Andayu
11/10/2024 21:52:41
26,201
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 45

Bab 45 part 1


"Mama baju Fir mana?" Soal Firdaus sambil mencuit tangan ibunya.

"Baju Fir dalam bilik sayang. Mama dah siapkan atas katil. Fir kenapa tak mandi lagi ni?"

"Okey mama. Fir mandi dulu ya."

"Mandi. Jangan main air," pesan Amelia kepada anaknya.

Pintu bilik dibuka. Amelia melihat Haura masih lena dibuai mimpi. Dia menutup kembali pintu bilik dan melangkah turun ke tingkat bawah. Dia melemparkan senyuman kepada pembantu rumahnya. 

"Semua dah siap ke?" Soal Amelia.

"Sudah. Puan nak makan ke?" Soal Kak Salma.

"Belum lagi. Saya nak masak untuk kawan saya sekejap."

"Puan nak masak apa? Nak saya tolong ke?"

"Tak apa? Kak Sal pergi solat subuh dulu. Saya nak buat bubur aje sikit."

"Okey puan," balas Kak Salma lalu meninggalkan ruang dapur. 


KRING! KRING! KRING!

Deringan telefon mengejutkan Fateh daripada lenanya yang panjang. Telefon bimbit diatas meja dicapai. Tanpa melihat nama pemanggil dia terus menjawab panggilan itu. 

"Assalamualaikum."

"Abah," ujar Fateh lalu membuka matanya yang masih berasa mengantuk. "Waalaikumussalam. Ada apa abah call?" Soal Fateh sambil mengeliatkan badannya.

"Abah ada kat hospital. Angah tak masuk kerja ke?"

"Abah buat apa kat hospital?" Soal Fateh lalu bangkit daripada pembaringannya.

"Abah ada temu janji dengan doktor hari ni. Angah lupa ke?"

Fateh menepuk dahinya. "Maaf angah lupa. Abah pergi dengan siapa ni?"

"Along hantarkan."

"Owh. Abah tengah tunggu doktor panggil ke?"

"Ya. Abah baru sampai. Ingatkan angah ada kat hospital nak jumpa. Angah pun jarang-jarang aje pulang ke kampung."

"InsyaAllah ada masa nanti kami pulang tengok abah dan umi. Angah ada kat Mersing sekarang."

"Mersing buat apa?"

"Ada kerja kat Johor. Baru sampai Mersing. Ni angah bersiap nak ke Johor sekejap lagi."

"Dengan Haura ke?"

"Ya."

"Hati-hati memandu," pesan Iman Shafie.

"InsyaAllah. Abah jaga diri baik-baik," balas Fateh perlahan. Jauh di dalam hatinya mula terbit rasa bersalah kerana membohongi bapanya.

"Assalamualaikum."

"Waalaikumussalam," balas Fateh lalu mematikan talian telefon.

Fateh meraup wajahnya. Dia melihat jam pada telefon. "Ya allah dah pukul sembilan," ujarnya terkejut kerana telah terbabas waktu subuh. 

Tanpa melengahkan masa dia segera membersihkan dirinya. Usai menqadha waktu Subuh yang tertinggal dia segera bersiap meninggalkan hotel. Mersing Beach Resort menjadi pilihannya untuk berehat setelah enam jam memandu.

Telefon bimbit diambil lalu mendail nombor Amelia. Namun, panggilan itu tidak dijawab. Tanpa melengahkan masa dia meneruskan pemanduannya ke Johor Bahru. Satu keluhan kecil dilepaskan. 

Ya Allah, semoga isteriku berada dalam keadaan yang sihat. Fateh berdoa di dalam hati. Entah mengapa hatinya berasa tidak sedap.

Part 2 bab 45


PINTU bilik dibuka. Amelia menggelengkan kepalanya apabila melihat Haura masih terbaring diatas katil. Selimut ditarik perlahan. Dia duduk dibirai katil. Wajah Haura kelihatan pucat. 

"Haura."

"Hmm..."

"Bangunlah. Sudah pukul sepuluh pagi ni."

"Tak nak," balas Haura lalu menarik kembali selimut.

"Bangun makan. Kau tak lapar ke?" Ujar Amelia lalu menarik selimut. 

"Tak ada selera."

Amelia terus menyentuh dahi Haura. "Panasnya. Kau demam ni."

"Aku okey ajelah."

"Panas badan kau ni. Jom ke klinik."

"Demam aku sekejap aje. InsyaAllah nanti baiklah."

"Aku risaulah. Kau kan mengandung."

"Kau bagi aku rehat aje."

"Tapi kau perlu makan walaupun sedikit. Fikirkan baby dalam perut tu," ujar Amelia lalu melihat kaki Haura. Dia tahu tentang kecederaan pada kaki sahabatnya. "Kaki kau ni dah bengkak. Jomlah kita ke klinik."

"Kaki aku okey ajelah. Nanti sapu ubat baik lah."

"Eh kau ingat kaki kau ni akan baik tanpa dirawat ke?"

Haura mendengus marah. "Doktor yang tinggal serumah tak nak rawat? Kau nak suruh aku buat apa?" 

Amelia mengelengkan kepalanya. "Merajuk sampai tak pedulikan kesihatan itu salah, Haura."

Aku sakit sebab rindukan suami aku, Mel. Desis hati kecil Haura.

Amelia meraih tangan Haura. Terasa panas suhu badan Haura ketika ini. "Jomlah aku temankan kau ke klinik. Jauhnya kau merajuk dengan Fateh. Sampai ke Johor kau datang."

"Kau tak suka aku datang sini ke?" Soal Haura lalu bangkit daripada pembaringannya.

"Bukan macam tu. Kau datang sini Fateh tahu tak?"

Haura gelengkan kepalanya. "Dia dah tak sayangkan aku, Mel."

"Suami mana yang tak sayangkan isterinya. Dia ada call aku tadi."

Haura terkejut mendengarnya. "Bila dia call?"

"Sejam yang lalu."

"Sekarang baru nak call. Kenapa masa aku duduk rumah ibu tak call pun?" Keluh Haura. Dia sedih dengan sikap Fateh. Dia menanti panggilan daripada Fateh setelah keluar dari rumah. Namun, Fateh tidak pernah menghubunginya sehinggalah dia nekad ke Johor.

"Hati dia baru sejuk kot?"

"Hati dia ajelah yang perlu difikirkan. Hati aku?"

"Aish susahnya cakap dengan kau ni," keluh Amelia. Dia juga buntu bagaimana harus memujuk Haura agar ke klinik.

"Mama."

Amelia menoleh ke arah belakang. "Ya Fir?"

"Papa panggil."

"Okey. Sekejap lagi mama turun."

Firdaus menutup kembali pintu bilik tetamu. Amelia memandang wajah Haura. "Kau rehatlah dulu. Nanti aku bawakan bubur," ujar Amelia lalu bangkit dari tempat duduknya.

Amelia melangkah meninggalkan Haura di dalam bilik. Dia meniti anak tangga untuk turun ke tingkat bawah. Dia melemparkan senyuman kepada Firman. Faliq yang berada atas dukungan Firman diambilnya.

"Abang nak pergi kerja dah."

"Ya. Haura macam mana?"

"Dia demam."

"Dah ajak dia ke klinik?" Soal Firman sambil memakai kasut.

"Dia tak nak. Puas sayang pujuk," keluh Amelia. Dia risau akan kesihatan Haura.

"Abang call doktor Zira lah. Biar dia rawat Haura."

"Boleh ke?"

"Haura kan tetamu kita. Kesihatan dia penting bagi kita. Abang pun tak nak sayang susah hati fikirkan Haura."

"Terima kasih abang," balas Amelia. Dia bersyukur dikurniakan suami yang memahami.

"Sama-sama. Sayang papa jom," ujar Firman lalu mengambil Faliq daripada Amelia.

"Bye sayang," ucap Amelia lalu mencium pipi anaknya.

"Sayang free nanti tolong ambilkan Fir dengan Faliq. Abang ada meeting petang nanti."

"Okey abang. Fateh sampai nanti sayang pergilah ambil anak-anak."

"Fateh nak datang ke?"

Amelia angguk. "Dia ada call tadi. Sayang bagi tau ajelah Haura memang ada kat sini?"

"Eloklah tu. Dia kan doktor."

"Ya. Hati-hati memandu," ujar Amelia setelah bersalaman dengan suaminya.

"Bye mama," ujar Firdaus sebelum meninggalkan rumah.

Amelia melambaikan tangan kepada anaknya. Dia tersenyum melihat anak-anaknya yang semakin membesar. Firdaus akan memasuki tahun satu pada tahun hadapan. Faliq pula akan berusia dua tahun. Tidak terasa masa begitu cepat berlalu. Alhamdulilah usia perkahwinannya sudah berusia tujuh tahun. 

Part 3 bab 45


"ASSALAMUALAIKUM," ujar Fateh sebaik sahaja pintu rumah dibuka.

"Waalaikumussalam," jawab Amelia. "Masuklah. Fateh nak makan dulu ke?"

"Saya baru makan sebelum sampai sini."

"Haura ada di dalam bilik," ujar Amelia lalu melangkah meniti anak tangga menuju ke aras dua. Fateh mengekorinya dari arah belakang. "Bincanglah elok-elok."

"Haura sihat tak?" Soal Fateh sebelum membuka pintu bilik.

"Dia demam. Tapi tadi ada doktor dah rawat dia. Fateh cubalah periksa lagi. Haura tak nak ke klinik."

"Okey. Terima kasih Mel," balas Fateh lalu melangkah masuk ke dalam bilik Haura. 

Dahi Haura disentuh perlahan. Suhu badan Haura sudah mula menurun. Hatinya berasa lega melihat isterinya kini berada dihadapan matanya. Fateh merebahkan badannya disebelah Haura. Pinggang Haura dirangkul dari arah belakang. Kini terubat jua perasaan rindunya terhadap isteri yang dikasihi.


HAURA merasakan ada tangan yang memeluknya dari arah belakang. Dia memusingkan badannya ingin melihat siapakah yang memeluknya. Pada awalnya dia gembira melihat Fateh kini berada didalam pelukannya. Namun, hatinya sedih mengingati perbuatan lelaki itu. Dia bangkit daripada pembaringan.

"Sayang!" Panggil Fateh perlahan. Dia terkejut apabila Haura bangun daripada lenanya.

"Abang buat apa kat sini?" 

Tangan Haura diraih perlahan. "Abang minta maaf."

Haura menarik kembali tangannya. "Abang ingat dengan kata maaf tu dapat sembuhkan luka pada hati sayang ke?" Tegasnya.

"Abang minta maaf. Abang tahu abang salah," ujar Fateh mengakui kesalahannya.

"Jangan-jangan abang fikir anak yang sayang kandung ni pun bukan anak abang?" Templak Haura. Hatinya benar-benar terluka dengan kata-kata Fateh tempoh hari.

"Bukan."

"Itu yang abang maksudkan," kata Haura lalu berdiri dihadapan tingkat. "Abang tak percayakan sayang lagi. Abang lebih percayakan orang lain dan abang percayakan mata yang melihat tapi tak pernah bertanya," sambungnya.

Fateh mendekati Haura. Dia mula rasa bersalah terhadap isterinya. "Maafkan abang," katanya lalu memegang tangan Haura.

"Jangan pegang sayang!" Marah Haura lalu menarik tangannya kembali. "Sayang kan kotor. Bagi abang ramai lelaki yang pernah pegang sayang!"

"Abang minta maaf. Abang terlalu ikutkan emosi. Abang betul-betul tak sengaja."

Haura mendengus marah. "Lidah tu jaga sikit. Cakap main lepas aje. Tepilah," marah Haura lalu menolak tubuh Fateh menjauhinya. Kaki yang sakit sukar untuk dia melangkah dengan baik. Haura jatuh.

"Sayang!" 

Fateh segera memeriksa kaki Haura. "Ya Allah teruknya kaki sayang?" Ujarnya terkejut melohat keadaan kaki Haura yang membengkak. Fateh mengurut kaki Haura perlahan.

"Sakitlah," marah Haura lalu menepis tangan Fateh. 

"Jom ke klinik. Kaki sayang dah semakin teruk ni," ujar Fateh lalu mengangkat Haura berdiri semula.

Haura menolak tubuh Fateh menjauhinya. "Baru sekarang nak ambil tahu. Kenapa bukan pada hari pertama kaki sayang sakit?" 

"Abang minta maaf. Abang sibuk."

"Kaki sakit boleh ditahan sehingga hari ni. Tapi hati yang terluka tak tahu bila akan sembuh," ujar Haura sambil menahan tangis.

"Abang minta maaf," ujar Fateh sejak tadi. Dia betul-betul kesal dengan sikapnya. Dia memeluk tubuh Haura. "Please maafkan abang."

Haura menolak tubuh Fateh. Hatinya juga digigit kerinduan. Dia rindu akan belaian suaminya. Entah mengapa pandangannya kabur dan kahirnya tubuhnya lemah tak terdaya. Haura terkulai lemah tidak sedarkan diri.

"Ya Allah, sayang!" 






Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Andayu