BAB 28
AWAL-AWAL pagi lagi Nurin Amira sudah bangun keluar ke pejabat.
Sengaja dia keluar awal dan solat subuh di masjid ketika dalam perjalanan ke
pejabat. Rutin tidak rasmi itu dilaluinya kira-kira dua bulan yang lalu. Dia
tidak betah bertembung dengan lelaki
penyebab kemusnahan masa depannya setiap pagi. Geram, marah dan sakit hati
begitu mencengkam hati setiap kali menatap wajah lelaki yang mengheretnya pergi
jauh dari keluarganya. Bertambah sayu hatinya apabila menjadi kebiasaan setiap
pagi emak bangun menyediakan sarapan. Jika tidak sempat menjamah sarapan, emak
akan menyediakan bekal untuknya begitu juga dengan adik-adik ke sekolah. Emak
tidak pernah lupa rutinnya setiap pagi itu. Kata emak, makanan di sekolah
kurang bersih. Selain itu, dapat juga menabung lebihan wang jika membawa bekal
ke sekolah.
Bersama Safiah, dia
terkenangkan Nurain, sepupunya yang paling rapat. Pelbagai aktiviti dilakukan
bersama mengisi masa senggang. Namun, tanggungjawab dan kewajipan sebagai
seorang pelajar dan anak telah memisahkan mereka.
Dia juga tidak pernah
melupakan persahabatan yang akrab dengan Syeila dan Azizah. Dengar khabar daripada
adiknya, mereka sudah berkahwin. Syeila mengikut suaminya menetap di Kuantan,
Pahang. Sesekali sahaja Syeila pulang ke kampung. Manakala Azizah pula menetap
di Sungai Petani. Seandainya dia tahu alamat sahabat baiknya itu, sudah lama
dia menjejakinya.
Kenangan-kenangan indah
itu kini menjadi sejarah dalam hidupnya. Datang dan pergi mengisi kesunyian
saat diri dihimpit rindu yang berpanjangan. Lebih-lebih lagi pada emak dan ayah
sekeluarga. Rasa ingin menjenguk begitu menghimpit diri. Namun, apabila
mengingatkan ugutan ayah dia sudah tidak diterima lagi, rasa ingin bertemu itu
dibiarkan sepi.
Tersenyum sendiri tatkala
teringat peristiwa-peristiwa manis bersama teman tersayang. Sungguh
menyeronokkan berada dalam lingkungan usia remaja di alam persekolahan. Dia
yakin Nurin Anisha juga tidak terlepas menghayati saat-saat yang meriangkan
itu.
“Senyum sendiri nampaknya
Mira ni, mak!”
“Ha argh! Minuman itu pun
dah sejuk. Nasi goreng itu pun masih tak luak. Apalah yang dimenungkannya?
Mira! Mira!”
Nurin Amira malu-malu
sendiri. Dia baharu tersedar dari menungan yang panjang.
“Terkenang kawan lama mak
cik. Lama sangat tak jumpa mereka,” jawabnya sambil tersenyum.
“Emmm.... jawatan yang
Mira pohon tu, dapat?” soal Puan Salmi pula.
“Dapat tu memang dapat. Tapi,
Mira rasa tak sesuai dengan Mira sebab kerja tu tak semestinya 24 jam di dalam
pejabat. Masa Mira banyak kat luar jumpa client.
Lagipun, kena rajin cari client.
Cabaran besar tu, mak cik. Mira tak yakin Mira boleh buat,” jelas Nurin Amira meluahkan
rasa hatinya.
“Kalau macam tu, mak cik
nak kenalkan Mira dengan kawan mak cik. Dia buka sebuah rumah kebajikan untuk
anak yatim. Dia kekurangan tenaga pengajar. Mak cik rasa masih ada kekosongan
jawatan itu.”
“Ye
ke, mak cik? Rasa macam tak percaya pulak.”
“Betul la tu. Apa lagi?
Mira siapkan resume cepat-cepat.
Nanti disambar orang lain, merana badan pulak,” usik Safiah pula.
“Yalah. Mira tahu.”
“Nanti mak cik SMSkan
alamat tu. Lagi cepat, lagi bagus.”
Puan Salmi bahagia dapat membantu Nurin Amira. Sudah dianggapnya
gadis itu seperti anaknya sendiri. Sikap Nurin Amira yang lemah lembut dan
pandai mengambil hati orang tua itu sudah lama mencuri hati keibuannya.
“Mira bersyukur kepada
Allah semenjak dua menjak ni ada-ada saja rezeki datang buat Mira. Dalam minggu
ni Mira akan dapat kunci rumah baru yang Mira beli tu,” ujar Nurin Amira sambil
tersenyum lebar. Dia tidak dapat menyembunyikan kegembiraannya. Kalaulah rasa
bahagia itu dapat dikongsi bersama orang tuanya, alangkah indahnya.....
“Betul ke, Mira?
Alhamdulillah. Yaya kena ikut cara Mira yang pandai menabung. Belum apa-apa,
sudah dapat beli rumah,” puji Puan Salmi atas kebijaksanaan Nurin Amira
menabung pada usia muda.
“Yaya pun pandai menyimpan
jugak, ibu. Tunggu masa saja. Just sit
and wait,” ujar Safiah sambil ketawa mesra.
Hampir jam 8.30 pagi
mereka berdua berangkat ke pejabat. Semenjak Nurin Amira menetap bersama
keluarga Safiah, Safiah jarang memandu sendirian ke pejabat. Sesekali mereka
bergilir memandu. Cuma, seminggu yang lalu Safiah sendirian ke pejabat. Nurin
Amira mengambil cuti seminggu.
Nurin Amira terhutang budi
pada kebaikan yang ditunjukkan oleh ibu bapa Safiah itu. Hanya kepada Tuhan dia
panjatkan rasa kesyukuran kerana dikurniai keluarga angkat yang sangat
mengambil berat.
**********
NURIN AMIRA leka di tempat kerjanya dengan kerja yang menimbun. Dia
perlu membereskan laporan-laporan penting dahulu. Sepanjang seminggu dia
bercuti, begitu banyak perkara yang perlu dibereskannya. Safiah sudah
menawarkan diri untuk membantu. Namun, dia berbesar hati. Lagi pun Safiah
sendiri sibuk sepertinya tidak sampai hati pula menyusahkan sahabatnya itu.
Tanpa disedari, Zakuan
memerhati dari tempat duduknya. Setiap pergerakan Nurin Amira diperhatikannya.
Terubat sedikit rindu yang mencengkam. Sudah lama dia tidak melihat senyuman
manis itu tersenyum kepadanya. Seminggu yang lalu dia menahan diri. Kini dia
tidak dapat menyembunyikan rasa itu lagi. Perasaan bersalahnya terhadap gadis
itu juga begitu menggigit sanubari.
“Hai, hang kerja ke,
melamun ni?” kata Jeffri yang datang mampir sambil menepuk bahunya.
Zakuan menjeling. Rasa
geram pun ada kerana konsentrasinya terganggu. Namun, dia sebenarnya berterima
kasih kepada Jeffri kerana banyak mendedahkan penderitaan yang ditanggung oleh Nurin
Amira.
“Dua-dua sekali!”
“Ye? Aku tak percayalah. Ha...
apa ditunggu lagi? Pi la jumpa dia. Ajak lunch
sama-sama ka,” kata Jeffri, memberi cadangan.
“Are you sure?”
“Tepuk dada, tanya hati,”
jawab Jeffri sambil berlalu ke tempat duduknya.
Lama Zakuan termangu di
tempat duduknya. Memikirkan cadangan rakannya itu. Serba salah pulak dia
setelah sekian lama dia tidak bertegur sapa dengan gadis yang suatu waktu dahulu
pernah hadir dalam hidupnya. Dalam kekalutan fikirannya itu, dia lihat Encik Idris,
majikan mereka datang ke meja Nurin Amira mengarahkan gadis itu masuk ke
biliknya. Dalam fikiran dia saat itu tidak lain tidak bukan sudah tentulah
membincangkan tentang peletakkan jawatan yang dipohon oleh Nurin Amira. Dia
berdoa yang baik-baik sahaja.
**********
“MIRA!”
Nurin Amira mendongak.
Ditatapnya wajah Zakuan yang berdiri di depannya itu. Sudah lama Zakuan tidak
menyapanya. Timbul tanda tanya dibenaknya apabila Zakuan berada di depannya
kini.
Apa kena dengan lelaki
ini?
“Maaf... Wan hendak
mencuri sedikit masa Mira.”
“Ada apa, Wan?” Saat itu
Nurin Amira serba salah. Dikerlingnya fail yang menimbun di sudut kiri mejanya.
Semuanya perlu diteliti. Tambahan pula baharu tadi Encik Idris mahu dia
berfikir dengan semasak-masaknya akan keputusan yang dibuatnya. Banyak benar
perkara yang perlu difikirkan. Kini Zakuan pula tercegat di hadapannya. Apa
pula masalah baharu selepas ini?
“Boleh kita lunch sama-sama hari ini? Banyak perkara
Wan nak beritahu Mira,” ujar Zakuan, berhati-hati bimbang tersalah cakap pula.
“Tapi, lunch nanti Mira tak keluaq. Banyak
kerja Mira nak buat. Kalau time balik
nanti, boleh la,” jawab Mira.
“Kalau macam tu, tak apa
la. Wan tunggu di gerai Mak Jah.”
Nurin Amira mengangguk setuju. Dia perasan Lily Zuhaily sedang
memerhatikan adegan sebabak itu. Cepat-cepat dia meminta Zakuan beredar dari
tempat duduknya. Faham benar pandangan sinis yang dilemparkan oleh Lily Zuhaily
itu. Dia tidak mahu lagi cakap-cakap yang kurang menyenangkan sampai ke
telinganya.
************
ZAKUAN sabar menunggu kehadiran Nurin Amira di gerai Mak Jah.
Dia sudah memesan dua pinggan laksa dan dua gelas sirap bandung. Makanan
kesukaannya dan Nurin Amira. Dia masih ingat Nurin Amira pernah membawa laksa
ke pejabat sempena hari lahirnya yang ke-23 dua tahun lalu. Lazatnya tidak
terkata. Masakan Mak Jah pun belum tentu dapat menandingi keenakan laksa buatan
Nurin Amira itu. Jika diberi peluang, dia teringin merasainya lagi.
“Mak Jah, buatkan yang special, tau!” laung Zakuan kepada Mak
Jah yang sibuk mengupas telur. Kebetulan pelanggan tidak begitu ramai. Zakuan
bernasib baik. Untunglah ada pembantu. Jika tidak, kelam-kabut juga Mak Jah
hendak mengurus gerainya itu.
Apa yang Zakuan tahu,
sudah hampir 10 tahun pasangan suami isteri itu berniaga di situ. Itulah sahaja
mata pencarian mereka. Sesekali perniagaan mereka itu dibantu oleh anak-anak
mereka.
“Sudah lama Wan tunggu?”
Tersentak Zakuan dari menungan yang panjang.
“Tak ada la lama. Lebih
kurang 15 minit. Eh, Yaya pun ada.” Zakuan membalas sapaan Nurin Amira itu.
“Kalau Yaya menggangu
kalian, Yaya tunggu Mira dalam kereta ajalah, ya,” jawab Safiah sebelum
beredar.
“Eh, Yaya. Nanti la dulu.
Duduk la. Tak ada mustahaknya pun. Cuma Wan kena tambah satu lagi order sepinggan laksa.”
Kedua-dua gadis itu tersenyum. Safiah kembali duduk
bersebelahan dengan Nurin Amira dan bertentangan dengan Zakuan.
Sebaik sahaja Safiah duduk,
Mak Jah membawa dua pinggan laksa Kedah. Baunya begitu menyelerakan. Sempat
lagi Zakuan memuji kepakaran Mak Jah memasak laksa. Memang kena dengan selera
mereka.
“Puji lebih-lebih ni, orderla lagi makan biaq kenyang,” ujar
Mak Jah. Dia sudah lama mengenali ketiga-tiga anak muda itu. Kemesraan mereka
tidak boleh dipertikaikan lagi.
“Insya-Allah. Tambah lagi
satu pinggan, Mak Jah. Untuk anak dara ni pulak,” kata Zakuan, masih dalam sisa
tawanya.
“Dah lama sangat kita tak
makan bersama macam ni,” tambahnya.
“Apa nak buat, Wan.
Keadaan dah banyak berubah,” jawab Nurin Amira pula.
“Yelah. Begitu banyak
penderitaan yang perlu Mira tanggung sejak kebelakangan ini. Wan saja yang tak
mahu faham. Mulai hari ini, Wan tak mahu lagi menyakitkan hati Mira. Maafkan
Wan, ya.”
Nurin Amira terkedu. Tidak
menyangka Zakuan sudi meminta maaf daripadanya. Padahal sudah lama dia
melupakan kisah sedihnya itu. Dia mengerling Safiah yang sedang menyuap laksa
ke dalam mulutnya.
“Tak ada apa yang perlu
Mira maafkan. Wan tak ada buat salah apa-apa pun terhadap Mira.”
“Jangan macam tu, Mira.
Wan tahu Mira sedih dengan sikap Wan yang tidak mau memahami situasi Mira
ketika itu. Tapi, apa yang boleh Wan lakukan? Wan tak tau apa-apa. Sesiapa pun
akan melenting marah kalau dapat tahu orang yang kita sayang kahwin dengan
orang lain. Wan nak kalau boleh, hubungan kita kembali macam dulu. Maksud Wan,
kita berbaik-baik semula,” kata Zakuan.
Nurin Amira berhenti
menyuap laksa. Dia cuba mencari kata-kata yang sesuai.
“Kalau pasal tu, dah lama
Mira maafkan. Dah jadi sejarah pun,” ujar Nurin Amira sambil tersenyum.
“Itu la awak. Lain kali
dengaq dulu dari orang yang berkenaan. Jangan tau nak dengaq dari sumber-sumber
yang kita sendiri tak tau kesahihannya,” kata Safiah yang sejak tadi diam
membisu.
“Itulah kesilapan besar
yang pernah Wan buat,” balas Zakuan sambil meraut wajahnya dengan kedua-dua
belah tapak tangannya.
“Nak buat macam mana, Wan?
Dah nasib kita jadi mangsa keadaan,” kata Nurin Amira pula.
Mereka berdua kembali menyuap
laksa. Menghabiskan baki yang tinggal sedikit. Safiah yang sedari tadi menjadi
pendengar setia melepaskan sendawanya.
“Sedapnya. Rasa nak tambah
lagi. Tapi, perut Yaya dah penuh. Terima kasih, Wan kerana belanja Yaya makan
laksa hari ni,” kata Safiah sambil merenung teman sepejabatnya itu.
“Wan dengar Mira nak
berhenti kerja. Betui ke?”
Nurin Amira memandang
Safiah di sebelah. Kemudian menatap seraut wajah tampan di hadapannya itu. Dia
mengangguk.
“Sunyi la nanti pejabat
kita ni, kan Yaya.”
“Mira dah nekad, Wan. Mira
dah pun dapat tawaran kerja kat tempat lain. Tapi, Mira belum buat keputusan
lagi. Encik Idris bagi tempoh seminggu untuk memikirkan perkara ini. Rasanya
seminggu itu lebih dari cukup. Dia macam berat nak melepaskan Mira. Tengoklah
tadi, berjam-jam dia motivated Mira.
Minta Mira jangan lepaskan jawatan Mira,” jelas Nurin Amira.
“Majikan mana yang sanggup
melepaskan stafnya yang banyak berjasa pada company?
Lebih-lebih lagi orang macam Mira ni.” Memang tidak dinafikan ketangkasan Nurin
Amira bekerja. Dia tahu itu.
“Sudah la tu, Wan. Dah
kerja Mira. Puji banyak sangat kan, riak pulak,” kata Nurin Amira sambil
tersenyum.
Dalam diam, Nurin Amira
bersyukur Zakuan sudi meneruskan persahabatan dengannya walaupun dia yakin
seratus peratus untuk kembali seperti dahulu tidak sama sekali. Keadaan sudah banyak berubah. Cukuplah mereka
berbaik-baik semula. Itu sudah memadai baginya.
Safiah memerhatikan jam
tangannya. Jam hampir menunjukkan pukul 6.00. Selepas ini mereka perlu ke rumah
kebajikan Munawara di Taman Selasih. Dia tidak mahu terlambat sampai di sana.
Baginya, perkara baik tidak elok dilambat-lambatkan.
“Dah hampir pukul 6.00
petang. Yaya rasa kita patut pulang sekarang,” celah Safiah setelah lama
mendiamkan diri.
Zakuan ingin menghalang.
Banyak perkara yang ingin dia bualkan dengan Nurin Amira. Tentang keadaan Nurin
Amira sekarang. Dia ingin tahu status Nurin Amira sekarang. Dia baharu perasan
seminggu dua ini Safiah sering menumpang keretanya. Kenapa Safiah menumpang
kereta Nurin Amira? Di mana keretanya? Dia juga ingin tahu siapa pemuda yang
begitu mesra melayannya ketika di Lake Town semalam. Timbul tanda tanya di
benaknya. Keadaan pula tidak mengizinkan.
Ah! Sarat benar fikiranku
saat ini. Tapi, apa hakku nak tahu segalanya tentang dia? Dia bukan siapa-siapa
lagi dalam hidupku. Aku cuma ingin lihat dia bahagia dan ceria seperti dulu.
Selepas mengucapkan terima
kasih kerana membelanja mereka makan, kedua-dua orang gadis itu beredar ke
tempat parkir kereta. Zakuan menghantar mereka pulang dengan ekor matanya. Dia
juga ingin beredar. Dia membayar harga makanan. Namun, entah mengapa sebaik sahaja
hendak melangkah, dia terlanggar seseorang. Bulat matanya memandang orang yang
melanggarnya.
Alamak!
***********
“WAN! Sampai hati you buat Imacam ni!”
Hati Zakuan digeletek rasa lucu kerana entah mengapa
tiba-tiba sahaja Lily Zuhaily datang marah-marah kepadanya.
“Apa kena dengan awak ni,
Lily? Aku tak fahamlah.”
“I dah lama sukakan you.
Tapi bila tengok you mesra balik
dengan Mira tu, hati I sakit.”
Zakuan ingin ketawa. Apabila memikirkan mereka berada di
tempat awam, dimatikan rasa ingin ketawa itu.
“Entah apa-apa la awak ni,
Lily. Merepek yang bukan-bukan petang-petang macam ni,” jawab Zakuan bersahaja.
Dia segera ingin beredar. Tetapi, dihalang oleh Lily.
“Wan! I tak merepek. I... I sebenarnya...” Namun, Lily Zuhaily tidak
jadi meneruskan kata-katanya. Dia tersedar dia sudah hampir memalukan dirinya
sendiri.
“Tak apa la, Wan. Dah
senja. Lain kali la kita berbincang, ya. I nak balik,” ujarnya kemudian, lalu memohon
diri beredar dari situ.
Zakuan menggeleng-geleng.
Rasa macam tidak percaya selama ini hubungannya dengan Lily Zuhaily setakat
kawan biasa. Tidak pernah dia membayangkan Lily Zuhaily akan datang meluahkan
perasaan kepadanya.
Macam-macam hal. Ada jugak
perempuan macam tu. Kalau aku kisahkan story
ni dekat member rumah aku, gerenti depa gelak sakan. Lily! Lily!