Bab 8
NURIN AMIRA baharu sahaja selesai menunaikan solat asar. Lama dia
berada di atas sejadah. Merintih, meratap hiba dan mengadu kepada Ya Rahman
betapa dia sangat letih menghadapi hari-harinya yang penuh mencabar.
Peristiwa-peristiwa yang melukakan hati belayar di ruang fikiran. Datang dan
pergi mengganggu ketenangan. Rasa-rasanya setiap detik jiwa dihambat kepiluan.
Dia diperlakukan bagai
orang gaji oleh ibu mertuanya sendiri sebaik sahaja bapa mertuanya melangkah ke
kebun untuk menoreh. Jika hari-hari bekerjanya dia boleh mengelak, tetapi, apabila
tiba hujung minggu, dia tiada pilihan lain. Terpaksa merelakan diri berada di
rumah itu. Lagipun, dia tidak biasa keluar berhibur di luar meskipun pada hari
cuti. Sedari kecil pergaulannya sentiasa terkawal. Terbatas.
Dia beruntung tinggal di desa. Walaupun sedikit
ketinggalan dari arus kemodenan, adab ketimuran sentiasa terjaga. Dahulu
sebelum terlontar di daerah yang asing ini, hujung minggu begini dia melakukan
kerja-kerja seninya seperti menjahit, mengait krostis mahupun alas-alas meja di
samping serba sedikit membantu emak di dapur dan mengemas rumah.
Adik iparnya, Nurul juga
lelah menegur sikap ibunya yang tidak punya perasaan itu. Mohd Najib tersenyum
bangga kerana gadis yang dinikahinya itu seorang yang menurut kata.
Apa yang boleh Nurin Amira
lakukan semenjak kecil, dia terbiasa menghormati orang yang lebih tua. Belum
pernah dia meninggikan suara terhadap orang tua. Sikap terpuji itulah yang
dididik oleh orang tuanya semenjak kecil.
Air matanya dengan mudah
membasahi pipi. Dia ingin berehat setelah penat melakukan kerja rumah. Bangun
awal pagi, memasak nasi lemak, mengemas dapur, mengemop lantai, kemudian
membasuh baju yang bertimbun di bilik air. Mohd Najib sengaja meletakkan beban
di atas bahunya. Kalau ada mesin basuh, tidak mengapa. Ini tidak.
Pakaian-pakaian itu terpaksa dibasuh dengan tangan. Bayangkanlah dua tiga helai
seluar jeans Mohd Najib yang tebal
itu disental oleh jari-jemari Nurin Amira yang runcing itu.
Denyutan di kepalanya
semakin menjadi-jadi. Digagahkan juga hati supaya tidak pitam pada saat-saat
dia tidak merelakan perkara itu terjadi.
Baharu sahaja hendak
melelapkan mata, dia dikejutkan oleh kehadiran Mohd Najib yang bagaikan
halilintar membelah bumi masuk ke kamar tanpa mengetuk pintu mahu pun memberi
salam. Suami apakah ini?
“Mira. Buatkan air. Kawan
abang ada kat depan.”
Ah, jijik Nurin Amira mendengar perkataan “abang”.
“Saya penat. Nak berehat.”
“Eh, awak ni. Minta tolong
buatkan air pun tak nak. Apa nak jadi dengan awak? Cepatlah!”
“Saya penat. Beri saya
waktu nak berehat.”
Lelaki jenis apakah ini? Tidakkah lelaki itu sedar
seharian dia sibuk mengurus kerja-kerja rumah yang semuanya diletakkan di bahunya.
Jari-jemarinya yang
runcing memicit dahi. Kepalanya sakit berdenyut-denyut Tuhan sahaja yang tahu.
“Tak apa. Nurul boleh
buatkan air.”
“Elok la tu, pompuan. Ada
bini pun tak boleh diharap.”
Kemudian Mohd Najib
berlalu ke deapan. Air mata Nurin Amira menitis lagi. Dia ingin melelapkan mata
seketika. Beberapa minit pun jadilah, asalkan dia dapat merelakskan fikiran
yang berserabut.
Selesai Nurul menghantar
sedulang minuman ke depan, dia datang menjenguk kakak iparnya yang tersandar
lemah di dinding. Hatinya sebak mengenangkan penderitaan kakak iparnya yang
baik itu. Dia tidak mahu mengganggu. Dibukanya suis kipas angin biar Nurin
Amira berasa nyaman dan selesa.
Nurin Amira dikejutkan
dengan bunyi deruman kereta di halaman rumah. Hati tertanya-tanya kereta siapa
pulak di halaman rumah? Siapa pulak yang datang?
Entah-entah kereta aku?
Serentak dengan itu dia
bergegas menuju ke halaman rumah. Tergesa-gesa dia meluru menuruni anak tangga.
Alangkah terperanjatnya dia menyaksikan aksi Mohd Najib itu.
Mohd Najib memandu kereta
Waja tanpa kebenarannya. Hatinya bertambah sakit. Tahukah lelaki itu memandu
kereta? Selama ini belum pernah sekali pun aku melihat dia memandu!
“Najib! Kereta Mira tu!”
laung Nurin Amira dari anak tangga.
Mohd Najib yang menyedari
kehadiran Nurin Amira di situ mengerling sekilas. Dia memandu dengan hati yang
puas kerana akhirnya dapat memandu kereta Nurin Amira itu. Sudah lama dia
berangan-angan hendak memandu kereta. Dia teruja sebenarnya kerana baharu
belajar memandu. Padahal ujian memandu belum lagi lulus.
“Berhenti, Najib! Kereta
Mira tu. Apa Najib nak buat dengan kereta Mira tu? Berhenti!” Jeritan Nurin
Amira bergema.
“Tengah memandu la. Kalau
tidak, apa lagi?” Sinis suara nakal menerjah ke cuping telinganya. Mahu sahaja
dia menempeleng anak-anak muda itu seorang demi seorang. Tahu hendak menyakitkan
hatinya sahaja.
Hati
mana yang tidak risau apabila barang kesayangan dinaiki orang lain tanpa
kebenarannya. Lagipun dia tertanya-tanya juga apakah Najib boleh memandu. Cemas
berada di mana-mana apabila melihat pemanduan Najib itu seperti ada yang tidak
kena. Beberapa orang rakan Najib yang tidak dikenalinya itu ketawa
terbahak-bahak melihat aksi Najib yang seperti tidak dapat mengawal kereta itu.
Mohd Najib tercabar saban
hari diejek oleh rakan-rakannya kerana tidak tahu memandu. Lantaran itulah dia
nekad untuk belajar memandu. Walaupun belum mendapat lesen, dia cuba-cuba
memandu kereta Nurin Amira. Sudahnya dia tersilap langkah. Dia ingin
memberhentikan kereta. Entah macam mana, dia gagal mengawal stereng, lalu
kereta Waja itu terbabas ke dalam parit berdekatan ampaian sebelum melanggar
pokok nangka yang ditanam di situ.
Melihat kejadian yang
tidak disangka-sangka itu, Nurin Amira jatuh terjelepuk di halaman rumah. Dia
tidak ingat apa-apa lagi. Dunianya gelap-gelita. Sedar-sedar sahaja dia sudah
berada di ruang tengah rumah. Percikan air membasahi wajahnya yang pucat lesi.
Perlahan-lahan matanya dibuka. Orang pertama yang dilihatnya ialah Mohd Najib
yang duduk menikus di sudut dinding.
“Kenapa dengan Mira?”
tanya Nurin Amira sambil memicit kepalanya yang masih sakit. Nurul membantunya
memicit kepala.
“Kak Mira pengsan di
halaman rumah.” Rasa belas hadir di hatinya melihat raut wajah kakak iparnya
yang ayu itu layu dan tidak bermaya. Sudahlah belum hilang penatnya seharian
membuat kerja rumah, kini hati disakiti abangnya pula. Kalau dirinya sendiri
berada di tempat Nurin Amira, dia tidak tahu sejauh mana kesabarannya bertahan.
Mujurlah Pak Mail sampai tepat pada masanya. Geli hati pula melihat rakan-rakan
abangnya itu mencicit lari sebaik sahaja melihat kelibat Pak Mail turun dari
motosikal. Mak Senah tahu membebel sahaja dari pagi sehinggalah petang.
“Kereta akak.” Baharu dia
teringat angkara Mohd Najib, keretanya terbabas melanggar pokok nangka.
Apalah nasib kereta aku
tu? Baru setahun aku beli, begini pulak jadinya!
“Ayah dah suruh Najib
hantaq ke bengkel. Kereta Mira rosak di bahagian depan. Baru tadi Ah Lai datang
ambik dengan jentolak,” sampuk Pak Mail yang sedang duduk di sofa.
Nurin Amira seakan-akan
hendak menangis. Akan tetapi air matanya bagai sudah kering untuk mengalir
lagi. Hatinya menjerit pilu. Pandangan sinis ibu mertuanya menyakitkan mata.
Lantaran itulah dia segera berlalu ke dalam bilik. Sementelahan tidak lama lagi
azan Maghrib akan berkumandang. Dia ingin segera membersihkan diri dan
berwuduk.
Leteran emak mertuanya
tidak diendahkan. Entah apa butir bicaranya Nurin Amira tidak pasti. Berselang-seli
pula dengan suara percakapan bapa mertuanya pula. Segar tubuhnya terasa sampai
ke tulang sum-sum sebaik sahaja terkena air yang dingin. Petang-petang
bemandikan air bukit memang menyegarkan berbanding waktu pagi di mana dia perlu
menggigil menahan kesejukan.
Selesai solat maghrib,
Nurin Amira membaca al-Quran pula. Suaranya yang merdu bergema. Dengan cara
itulah sahaja boleh menenangkan hatinya yang resah.
Pak Mail dan Mak Senah
yang baharu selesai solat, terdiam apabila sayup-sayup kedengaran suara merdu
Nurin Amira mengaji al-Quran. Kelunakan suara merdu menantu, menusuk ke dalam
jiwa Pak Mail.
“Dengaq tu. Bukan main
merdu suara menantu awak. Dengaq suaranya pun saya boleh agak perangai dia
macam mana. Apa yang awak tak puas hati, saya pun hairan!” kata Pak Mail.
Mak Senah tidak menjawab.
Namun, dia tidak menafikan kelunakan suara Nurin Amira itu. Dalam diam, dia turut
memuji.
“Tu. Dengaq baik-baik
merdunya suara bini hang tu. Semenjak hang khatam Quran, tak pernah lagi ayah
dengaq hang mengaji. Bertuah betui ayah mertua hang punya anak sebaik Mira tu,”
ujar Pak Mail kepada anak lelakinya.
Mohd Najib yang terasa
terpukul berlalu ke dapur. Tengah seronok tengok berita, ayahnya pulak mengganggu.
Sakit kena penampar pada muka siang tadi belum hilang lagi. Ditambah dengan
leteran ayahnya itu.
Melalui pintu di dapur,
Mohd Najib mengambil angin di luar. Jari-jemarinya yang kasar itu mengusap
pipinya yang masih terasa sakit. Penampar yang diberikan oleh ayahnya kerana
suka-suka memandu kereta Nurin Amira. Hatinya tiba-tiba memberontak.
Apa salah aku? Aku ada hak
nak memandu kereta Mira tu. Dia bini aku. Bukan orang lain pun. Ayah memang tak
guna. Ada saja nak menangkan Mira tu. Jaga hang, Mira. Hari ini hari hang.
Tunggulah nasib hang.
**********
MALAM itu, setelah selesai solat isyak, Nurin Amira membatu
diri di dalam kamar. Dia tidak berselera makan. Dari waktu maghrib sehinggalah
masuk waktu isyak, dia masih duduk di atas sejadah.
Tahulah dia kenapa Mohd
Najib berani memandu keretanya. Baru sahaja menduduki kelas memandu sudah
berangan hendak memandu. Kalau tidak kerana adik iparnya yang ingin berbual
dengannya tadi, dia tidak tahu apa-apa. Tiada gunanya lagi sekalipun Mohd Najib
ditampar oleh bapanya. Kereta kesayangan sudah rosak. Berapalah kos membaiki
kereta Wajanya itu?
Dia menelefon Safiah.
“Yaya! Besok pagi boleh
jemput aku, tak?”
“Boleh! Boleh! No hal. Tapi, kenapa dengan kereta
hang?”
“Panjang ceritanya. Esok Mira
cerita.”
“Okey la. Jam 7.00 pagi Yaya
datang. Hang buat apa tu?”
“Dalam bilik la. Melamun.”
“Ooo... melamun. Hang tak
tengok cerita Janji Diana? Best, tau.”
“Aku tak minat. Dah lama
aku tak tercongok depan TV. Kalau aku tercongok depan TV pun aku bukannya
fokus. Minda aku ke lain.”
“Ya la. Paham sangat peel
hang tu. Mengait, menjahit, dan entah apa lagi kerja seni yang hang tau buat.”
“Tau tak apa. Jangan jealous sudah.”
“Ala... kalau aku jealous, dah lama aku pandai macam
hang,” jawab Safiah sambil tertawa kecil.
“Kalau hang minat, aku
boleh ajaq. Tapi, hang minat tak dak, susahlah nak ajaq.”
“Ah! Cukuplah hang sorang
yang pandai. Aku jadi tukang mengkritik sudahlah.” Safiah ketawa lagi.
“Pandailah hang.”
“Okey la, Mira. Aku cau
dulu. Bercakap dengan hang, sampai besok pun tak habis.”
“Okey. Mira tunggu hang
pukul 7.00 ye. Bye, Yaya.”
“Okey, bye.”
Terubat sedikit hati yang
tercalar dek perbuatan Mohd Najib. Safiah memang pandai menghibur hatinya.
Nurin Amira terbaring di
bawah beralaskan narita yang sengaja dibelinya. Tidak sekali-kali dia berkongsi
katil dengan Mohd Najib. Lelaki itu entah ke mana-mana setelah siang tadi teruk
dileteri dan ditampar oleh ayahnya. Semuanya kerana di bahagian depan kereta
kepunyaan Nurin Amira rosak teruk dikerjakan oleh Mohd Najib.
Dia memerhati sekeliling
bilik yang kemas dan teratur. Sewaktu pertama kali melangkah ke bilik itu,
nafasnya jadi sesak dengan bau yang kurang menyenangkan. Sana sini baju
bergantungan, yang bersih dan kotor bercampur baur. Adik iparnya sendiri tidak
sanggup masuk mengemas bilik abangnya yang berbau itu. Kini bilik itu bukan sahaja
lapang, malah sedap mata memandang.
Setiap kali hendak
melelapkan mata mahupun seusai solat, dia memohon ke hadrat Ilahi mudah-mudahan
dia tidak diapa-apakan oleh lelaki itu. Walaupun sesaat sebaik sahaja melangkah
masuk ke dalam rumah itu dia menyegerakan doanya itu. Buktinya sehingga kini
dia selamat dari nafsu serakah Mohd Najib itu.
Matanya terkebil-kebil
menghitung hari esok yang entah apa lagi masalah yang akan menimpanya. Namun,
yang pasti tidak sekali-kali dia menyerah begitu sahaja terhadap lelaki yang
telah menghadiahkan sebuah dunia yang terlalu asing buatnya.
**********
“TERUKNYA lelaki tu. Apa dia
ingat Waja tu dia yang bayaq? Suka-suka hati nak bawak!” kata Safiah, marah
ketika keluar makan tengah hari bersama Nurin Amira.
“Aku dah lali dengan
perangai dia.”
“Habis tu, hang diam
ajalah?”
“Aku nak buat macam mana
lagi? Nak menangis, dah kering air mata ni. Nak marah, siapalah aku ni. Untung
saja dibantu bapak dia malam tadi. Kalau tak, aku tak taulah apa yang akan
berlaku selepas itu.”
“Susah payah Mira beli
dengan duit hasil titik peluh Mira sendiri. Akhirnya jadi macam tu. Sakitnya
hati ni Tuhan aja yang tau,” ujar Nurin Amira perlahan. Namun, mampu didengari Safiah.
“Emm.... berapalah agaknya
kos nak baiki kereta tu?”
“Itu yang aku tengah pening
ni. Harap-harap kos nak baiki taklah banyak sangat. Kalau tak, teruklah aku.”
“Harap-harapnya begitulah.
Eh! Malam ni tidoq rumah Yayalah. Risau pulak diapa-apakan oleh Najib. Yalah. Kalau
dah sakit hati, macam-macam perkara boleh berlaku. Marahkan bapak, hang yang
jadi mangsa,” usul Safiah pula.
Nurin Amira mengangguk.
Awal pagi tadi lagi dia mengambil keputusan untuk tidak balik ke rumah dalam
beberapa hari ini. Tidak sanggup rasanya menjejakkan kaki ke rumah itu. Apabila
beroleh ketenangan sedikit, baharulah dia pulang.
“Bersabaqlah, Mira. Tuhan
tu adil. Tidak selama-lamanya membiarkan hang menderita macam ni,” sambung
Safiah.
Nurin Amira tidak jadi
membalas kata-kata Safiah apabila matanya terperasan kelibat Zakuan yang
sengaja melintas di hadapannya. Dia sudah tidak ambil peduli lagi terhadap
kewujudan lelaki itu. Zakuan sendiri yang sengaja mencipta sempadan. Apabila
dia hendak mendekat, lelaki itu menjauh. Apabila dia menjauh, lelaki itu pula
seakan-akan hendak mendekat. Ada dengan tidak ada sama sahaja.
Persoalan
demi persoalan bermain di benak Zakuan kenapa dengan tiba-tiba Nurin Amira
menumpang kereta Safiah pula. Selalunya Nurin Amira akan memandu sendiri kereta
Waja putihnya.
Kenapa dengan kereta Nurin
Amira? Rosakkah? Atau digunakan oleh suaminya? Ah, sulit benar hendak memahami
situasi sekarang.