Bab 20
SUDAH tiga hari Nurin Amira tinggal bersama keluarga Safiah.
Dia terhutang budi pada Safiah kerana telah menerima kehadirannya dengan baik. Malah,
orang tua Safiah sudah menganggap dia sebahagian daripada ahli keluarga mereka.
Dia masih ingat beberapa tahun yang lalu orang tua Safiah
pernah berhajat menjalinkan silaturahim dengan keluarganya. Namun, niat suci
mereka itu terhalang kerana Safiah memberitahu bahawa Nurin Amira sudah ada insan
istimewa.
Mereka sebenarnya berkenan pada Nurin Amira yang memiliki
banyak keistimewaan. Nurin Amira seorang gadis yang tabah menghadapi dugaan
hidup. Nurin Amira bukan sahaja cantik. Dia juga memiliki akhlak yang mulia
sesuai dengan fitrah sebagai seorang perempuan Muslimah. Hatinya suci bersih.
Puan Salmi menggeleng-geleng hairan. Fikirnya, seorang
perempuan yang baik untuk lelaki baik juga dan sebaliknya pula. Hatinya menjadi
pilu mengenangkan dugaan yang perlu dihadapi gadis itu. Angkara seorang lelaki
yang tidak bertanggungjawab, Nurin Amira menjanda pada usia muda. Namun, dia
yakin setiap kejadian yang berlaku itu ada hikmah-Nya.
“Assalamualaikum, umi. Umi masak apa ni? Sedapnya bau!”
Safiah datang memeluk ibunya dari belakang.
“Waalaikumusalam. Peluk-peluk umi. Umi rimas la. Awak tu
baru balik kerja. Kot ya pun pi... la mandi dulu. Ini tak,” kata Puan Salmi,
pura-pura marah. Safiah terkekek ketawa.
“Ala umi ni. Nak bermanja sikit pun tak boleh.”
Awal pulak Ya balik hari ni? Mana Mira? Umi tak nampak
pulak?”
“Ya kerja separuh hari, hari ni. Ya nak temankan Mira pi
pejabat agama petang ni. Bercakap tentang Mira ni kan umi, kesian dia, kan? Dah
la difitnah, orang tuanya pulak tak terima dia.”
“Itulah. Umi pun hairan. Apasal la orang tuanya tu tak
selidik dulu duduk perkara yang sebenar. Main terjah aja. Yang sengsaranya anak
depa jugak. Takkan tak faham perangai anak perempuannya macam mana.”
“Umi ni sayang benar dekat Mira tu. Ya jealous, tau.”
Puan Salmi ketawa senang.
“Ya! Ya! Dengan kawan sendiri pun nak jealous. Tu nasib baik tak jadi kakak
ipar Ya,” usik Puan Salmi.
“Ala... Ya gurau ajelah. Jadi kakak ipar Ya pun apa
salahnya. Ya tengok padan benar dia dengan Abang Saiful. Tapi, dia nak ke jadi
menantu umi? Tak merana ke si pengarang jantung hatinya tu?”
“Sekarang ni pun tak menjadi jugak dengan buah hatinya
tu. Apa nama dia... lupa pulak umi. Ya la punca umi tak jadi nak merisik dia.”
“Eh... Ya pulak yang salah. Eh! Berborak dengan umi
sampai tak ingat apa. Ya dah lewat ni, umi. Ya nak sembahyang dulu.”
Puan Salmi menggeleng-geleng melihat anak gadisnya berlari-lari
anak di dalam rumah menuju ke anak tangga. Sempat dia menjerit menyuruh Safiah
berhati-hati apabila memanjat anak tangga.
Selesai mengerjakan sembahyang zuhur, sekali lagi Safiah
datang ke arah ibunya dan memeluk dari belakang sambil mencium pipi ibunya.
Terjerit kecil Puan Salmi dibuatnya.
“Tergesa-gesa nak keluaq ni dah mandi ke belum?”
“Tak sempat, umi. Assalamualaikum, umi. Ya pergi dulu,”
ujar Safiah dari muka pintu utama. Namun, masih boleh didengari Puan Salmi yang
masih berada di dapur.
‘Balik makan malam kat rumah. Jangan nak buang duit makan
kat luaq. Umi dah penat-penat masak ni,” ujar Puan Salmi yang berjalan menuju
ke arah anaknya.
Safiah mengangguk faham. Demi seorang sahabat baik, dia
rela cuti separuh hari. Tidak sanggup untuk dia melihat kesengsaraan yang
terpaksa ditanggung oleh seorang teman yang dahulu sering bersusah kerananya.
Mereka pasangan sahabat yang serasi. Susah menemui sahabat yang sanggup ketawa
dan menangis bersama. Kalau ada pun boleh dikira dengan jari.
************
NURIN AMIRA menarik nafas lega kerana tekadnya telah membawa dia
mengadu masalah ke pejabat agama di daerah Sungai Petani. Satu persatu
peristiwa sedih yang dilaluinya dalam perkahwinan yang tidak diredainya itu
diceritakan kepada pegawai kaunseling.
Ternyata keputusan yang diambil
tepat pada masanya. Setelah berbincang dengan pakar kaunseling, tahulah dia
wanita juga mempunyai kuasa untuk memutuskan ikatan sesebuah perkahwinan. Malah,
kuasa wanita atau isteri lebih besar berbanding kuasa suami.
“Lelaki hanya arif
mengenai talak. Tetapi, isteri berkuasa menggunakan khuluk, fasakh, dan taklik.
Malah, isteri juga boleh memanipulasikan kuasa talak suami,” jelas pegawai
kaunseling kepada Nurin Amira.
Biarpun pada mulanya Nurin
Amira keliru dengan penerangan yang diberikan, akhirnya setelah diberitahu akan
haknya sebagai isteri, dia mula memahami apa yang dia tidak tahu selama ini.
Seksyen 47 Akta Undang-undang Kekeluargaan Islam Wilayah
Persekutuan (peruntukan yang sama bagi
negeri-negeri lain di Malaysia, hanya berbeza seksyen sahaja) memperuntukkan
bahawa sesebauh perkahwinan hanya boleh dipisahkan apabila ada persetujuan
kedua-dua pihak, iaitu suami atau isteri. Bererti apabila seeorang individu itu,
sama ada suami atau isteri inginkan perceraian, maka mahkamah menetapkan
perceraian tersebut perlu dipersetujui kedua-dua pihak. Sekiranya salah satu
pihak tidak bersetuju, perceraian tidak dibenarkan dan kes akan dibawa ke
jawatankuasa pendamai.
Melalui jawatankuasa
pendamai ini pula, sekiranya masih wujud pergolakan, maka diwujudkan satu pihak
yang dinamakan hakam. Di sinilah kuasa talak suami boleh dimanipulasikan.
Sekiranya pihak yang memohon perceraian adalah pihak isteri dan suami berkeras
enggan menceraikan, sedangkan pihak jawatankuasa pendamai dan hakam berpendapat
perceraian kedua-dua mereka wajar, maka hakam akan mengambil alih kuasa cerai
daripada suami menepati bahawa isteri juga mempunyai kuasa cerai atau talak.
Begitu juga dengan fasakh, khuluk, dan taklik. Ketiga-tiganya
memberikan kuasa kepada isteri untuk mendapatkan jalan keluar daripada
perkahwinan yang tidak lagi memberikan kedamaian dan kebahagiaan kepada mereka.
Lantaran itu, wahai Mohd
Najib, kamu jangan fikir kamu merasakan hanya kamu mempunyai kuasa menceraikan
aku. Siapa sangka wanita lebih besar kuasa talaknya, bisik Nurin Amira pada
diri sendiri.
Setelah urusan di pejabat
agama selesai, Nurin Amira bergegas pula menuju ke sebuah restoran untuk
menjemput Safiah. Dalam diam dia berdoa mudah-mudahan temannya itu tidak
memarahinya kerana bersendirian pergi ke pejabat agama. Padahal mereka sudah
berjanji malam tadi untuk pergi berdua ke pejabat agama.
Apa yang mampu dia lakukan andai ustazah dari pejabat
agama itu sendiri yang menelefonnya dan memaklumkan perjumpaan mereka dipercepatkan
kerana beliau mempunyai urusan di luar. Tidak sepatutnya dia menelefon Safiah
di pejabat.
Nurin Amira memperlahankan kereta apabila ternampak papan
tanda menunjukkan nama Restoran Selera Utara. Dia telah membuat temu janji dengan
Safiah di situ. Terus dia menghalakan kenderaan ke arah restoran tersebut.
Keadaan restoran itu agak sibuk kerana orang ramai keluar
masuk makan tengah hari. Maklumlah baharu sahaja masuk waktu makan tengah hari.
Dia mencapai telefon untuk menghantar SMS kepada Safiah. Dia menanti dengan
sabar kehadiran Safiah. Mereka menukar haluan menuju ke restoran yang lebih
lengang.
“Tak boleh makan berat-berat, Mira. Umi masak. Kesian kat
dia pulak,” ujar Safiah sebelum memesan makanan.
Lantaran itulah Safiah memesan jus oren dan bubur nasi,
manakala Nurin Amira pula memesan jus epal dan bubur nasi.
Safiah senang hati melihat wajah sahabat yang amat
disayanginya itu diselubungi keceriaan.
“Ada cerita gembira ke?
Tak nak berkongsi dengan kita ni?” tanya Safiah yang sedari tadi asyik memerhatikan
seraut wajah milik Nurin Amira. Sudah lama benar dia merindui wajah manis itu.
“Aku nak mintak maaf banyak-banyak la kat Ya. Tapi, ini
bukan salah aku, tau,” ujar Nurin Amira sambil tersenyum. Berkerut-kerut dahi
Safiah mendengar butir bicara Nurin Amira itu.
“Apa ni, Mira? Straight
to the point la.”
“Aku dah pun pi pejabat agama tu. Tapi, bukan aku tak
sabar-sabar nak ke sana. Ustazah yang mengedalikan kes aku tu telefon minta
dipercepatkan temu janji. Dia ada tugas lain kat luaq. Ya tak marah Mira, kan?”
Lama kemudian baharu Safiah mengukir senyuman. “Tak apa.
Ya faham.”
Perbualan mereka terhenti kerana memberi laluan kepada
pelayan restoran menghantar hidangan yang dipesan tadi.
Mereka berbual-bual mesra sambil menikmati hidangan yang
dipesan. Sesekali Nurin Amira mengerling pengunjung yang masuk ke dalam
restoran. Ke mana-mana pun dia pergi pasti ada yang memerhatikannya. Akan
tetapi dia tidak cepat melatah. Segera dia menghadiahkan senyuman. Begitu juga
dengan Safiah. Murah dengan senyuman.
“Aku terpaksa cancel
temu duga dengan syarikat insurans petang ni. Tak sempat nak pergi ke sana.
Kenalah aku sambung cuti lagi,” kata Nurin Amira memecah kesepian.
“Betul ke hang nak berhenti ni? Dah fikir masak-masak?”
Safiah belum cukup yakin pada keputusan Nurin Amira itu. Dia tidak bermaksud menghalang
hasrat Nurin Amira itu. Cuma, dia merasakan keputusan Nurin Amira berhenti
kerja dalam keadaan tergesa-gesa.
“Aku mungkin tak berhenti. Aku nak tengok dulu gaji yang
ditetapkan oleh syarikat insurans itu. Kalau lumayan, aku berhenti. Kalau tak, kita
jadi agen insurans ajelah. Tambah pendapatan. Boleh kan, Ya?”
Nurin Amira merengek manja. Safiah tertawa. Terhibur
dengan telatah Nurin Amira itu.
“Hai, cukup ke kaki tangan tu nak buat dua kerja? Macam
mana pulak minat hang pada jahitan dan sulaman tu? Umi Ya dah beli kain, tau. Nak
buat baju kurung untuk raya nanti.”
Nurin tertawa mendengar komen temannya itu. Memang tidak
dinafikan apabila hampir menjelang musim perayaan, ramai orang yang
mengenalinya akan menempah baju dengannya sehingga kadang-kadang dia tidak cukup
waktu untuk menyiapkan kesemua baju yang diminta. Belajar daripada pengalaman
lalu, dia cuma menghadkan beberapa pasang baju yang mampu disiapkan sebulan
sebelum raya. Bermakna sepanjang bulan Ramadan, dia boleh berehat daripada menerima
tempahan baju daripada teman-temannya. Ada juga sedikit wang tambahan buatnya
menyimpan untuk hari depan. Tambahan pula buat masa sekarang dia perlu lebihan
wang untuk membayar rumah, kereta. yuran pinjaman pengajian, dan sedikit wang
simpanan untuk renovate rumah baharunya
nanti.
*************
SELESAI makan malam, Nurin Amira dan Safiah bersantai di dalam
bilik. Nurin Amira lebih gemar menyulam, menjahit atau mengait alas meja. Jadi,
sebelum tidur, dia akan pastikan bahan-bahan yang diperlukan tersedia di depan
mata. Selama ini baju-baju kurung dan kebaya akan dijahit sendiri tanpa
menempah dengan orang lain. Semenjak di sekolah menengah lagi dia mempraktikkan
kemahiran yang dia ada itu. Ramai temannya yang tidak tahu dia berkongsi minat
dengan ibunya, Puan Asiah.
Selesai solat isyak, Safiah meneliti hasil kerja tangan
Nurin Amira. Cantik memukau pandangan matanya.
“Dah solat?” soal Safiah.
“Mira uzur,” jawab Nurin Amira sambil tersenyum.
“Aku cemburu tengok hang pandai buat benda ni.”
“Kalau hang nak belajaq, aku boleh ajaq hang. Bukan susah
mana pun. Dulu pun aku tengok mak aku buat aku jadi pandai. Serba-serbi dia tau
buat. Kawan jealous, tau.”
“Hang mewarisi bakat dan kemahiran mak hang. Dalam
keluarga aku tak dak yang berbakat.” Safiah merendah diri.
“Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Nak buat
sesuatu tu bukan sekadar minat dan bakat, kesungguhan serta keinginan jugak
perlu ada. Kalau tak, apa yang kita nak buat tak menjadi. Betui tak pendapat aku
ni?”
“Pendapat hang memang selalu bernas. Sebab tulah aku suka
kawan dengan hang.”
“Alah... nak bodek akulah tu.”
“Eh, mana ada. Ikhlas demi Allah.”
“Aku tak main-main. Aku serius, tau. Kerja-kerja seni ni boleh buat duit. Kita boleh cari customer di internet.”
“Cayalah.”
Dalam pada itu Nurin Amira berasa hairan. Safiah bukan
tidak cantik. Malah, lebih menarik daripada dirinya. Kulitnya putih gebu,
bertubuh sederhana, dan ada budi bahasa. Pendek kata, temannya itu mempunyai
pakej yang menarik. Terbetik di hati Nurin Amira untuk bertanya perihal teman
lelakinya.
“Ya... Kalau aku tanya
sesuatu kau jangan marah, ye?”
“Apa dia? Tanyalah.”
Nurin Amira masih memikir,
menyusun kata-kata yang sesuai.
“Ada apa, Mira? Aku ada
buat salah ke?”
“Mana ada. Ke situ pulak.”
“Habis tu apa?”
“Selama ni aku sangsi
jugak. Kau cantik. Punya pakej menarik. Tak pernah pulak kau cerita tentang steady boyfriend kau. Atau kau sengaja
tak nak beritahu aku?”
“Kau tak pernah tanya,
buat apa aku cerita.”
Nurin Amira menarik muka masam.
“Tak nak cerita tak
apalah. Aku tak memaksa pun.”
Melihat perubahan air muka Nurin Amira itu, Safiah ketawa
geli hati.
“Aku bukan tak nak cerita.
Kalau cerita gembira tak apa jugak. Tapi, ini cerita sedih. Aku tak nak
bebankan kau, Mira.”
“Kita kan kawan. Berkongsi
cerita sedih dan gembira tu kan dah jadi adat kita. Macam la kau tak faham aku
macam mana,” jawab Nurin Amira lembut. Namun, penuh makna.
“Itu la. Kita ni punya same problem. Di pihak aku, tunang aku couple dengan orang lain. Sedangkan masa
tu kami dah sepakat nak langsungkan perkahwinan sebaik saja aku tamat belajar.
Mungkin dah bukan jodoh aku agaknya. Suatu hari tu aku terserempak Ikmal dengan
perempuan lain. Bukan main mesra lagi mereka. Bila aku tanya dia, dia berdalih.
Sakitnya hati tak usah cakaplah. Tuhan saja yang tahu.” akhirnya Safiah sudi
bercerita tentang impiannya yang tidak kesampaian.
“Lepas tu apa jadi?”
“Aku beritahu umi, nak
putuskan pertunangan. Umi dengan abah terkejut la. Bila aku ceritakan semuanya,
orang tua aku buat keputusan jumpa Ikmal sekeluarga. Lepas tu barulah aku tahu,
Ikmal sayangkan aku. Dalam masa yang sama, jatuh hati pada perempuan lain.”
Bicara Safiah terhenti di situ. Dia cuba mengawal
perasaan. Tidak mahu menitiskan ia mata lagi. Nurin Amira menepuk belakangnya
perlahan.
“Family dia suruh dia buat keputusan segera. Sama ada pilih aku atau
perempuan tu. Tapi, awal-awal lagi aku tolak. Aku yakin dengan keputusan aku.
Ikmal hanya secocok bergandingan dengan Norlaila. Sekarang aku rasa bebas. Lebih
baik sendiri. Aku tak bersedia lagi nak berkerluarga. Walaupun peristiwa tu dah
lima tahun berlalu, masih lagi segar di ingatan.”
“Maafkan aku ,Ya kerana
bangkitkan masalah ni.”
“Tak apa, Mira. Peristiwa
tu dah jadi sejarah pun.”
Buat seketika sepi hadir di antara mereka. Nurin Amira kembali
asyik dengan kerjanya. Safiah pula sedang menyusun kata supaya tidak mengguris
temannya itu.
“Mira... dalam beberapa hari ni, aku perasan Wan asyik
memandang ke arah tempat duduk hang. Ada sekali tu dia tanya khabar hang.
Apasal tak datang kerja. Aku cakaplah hang bercuti.”
Nurin Amira berhenti menyulam. Dia memandang wajah
Safiah. Ada garis pilu di wajahnya.
“Zakuan cerita lama aku. Dengan status aku ini, tak
mungkin aku boleh bersama dengannya lagi. Aku harap Wan dapat membina hidup
bahagia dengan gadis yang baik suatu hari nanti.” Ada air yang bergenang di
kelopak matanya.
“Betapa pun hang menyembunyikan perasaan, hang tak boleh
menipu diri sendiri. Aku tau, Mira.” Nurin Amira meraih tubuh Safiah. Dia
memeluk erat temannya itu.
“Memang benar aku masih sayangkan dia, Ya. Tapi, aku tak
mau dia mengharap aku lagi. Hidup aku tak akan lama lagi. Percayalah. Akan ada
insan yang lebih baik untuk dia nanti.”
“Mira! Tolong la jangan diungkitkan lagi perkara yang
tidak pasti. Hang kena tabah hadapi dugaan ini. Aku tak nak kehilangan hang.”
Safiah melepaskan pelukan Nurin Amira. Sendu berada di
mana-mana.
“Tapi, kematian itu pasti.”
“Aku tau, Mira.”
“Berjanjilah
denganku hang akan merahsiakan kisah pahitku ini.”
Giliran Safiah pula meraih tubuh Nurin Amira ke dalam
pelukannya.
“Aku janji, Mira.”
Ah, Safiah. Hang
seorang pendengar yang baik. Seorang sahabat yang paling memahami. Tak akan ada
lagi sahabat sebaik hang di dunia ini.
Hanya Safiah sahaja yang tahu tentang penyakit yang
dideritai Nurin Amira itu. Atas permintaan Nurin Amira sendiri, penyakitnya itu
dirahsiakan. Mereka berkongsi kesedihan di dalam bilik yang sederhana besar
itu. Pilu hati Safiah mengenangkan penderitaan yang bukan sedikit yang terpaksa
ditanggung oleh Nurin Amira. Bukan sedikit penderitaan yang dilalui sahabatnya
itu.