Bab 9
TIGA bulan telah berlalu dan tiga bulan jugalah rumah papan separuh
batu itu sunyi tanpa Nurin Amira. Sepanjang minggu tersebut, Encik Zainal dan
isteri terpaksa melupakan anak yang telah menconteng arang di wajah mereka.
Pantang ada anak-anaknya yang lain menyebut nama itu segera dijerkahnya. Bagi
mereka suami isteri, Nurin Amira sudah lama mati.
“Ini kerja hang pa berdua,
ya?”
Nurin Amira berpaling
melihat kehadiran ayahnya dan beberapa orang kampung yang amat dikenalinya.
Mulutnya terlopong.
“Apa semuanya ni Najib,
ayah?” Air mata mulai menitis di pipinya. Nurin Amira dapat membayangkan apa
yang akan berlaku selepas itu.
Mohd Najib menunduk. Rumah
buruk di tengah kebun getah itu dikerumuni beberapa orang kampung. Encik Zainal
tidak menyedari rancangan gila yang dilakukan oleh anak muda itu.
“Sekarang ikut ayah pi
rumah tok imam. Kamu Najib, kena bertanggungjawab atas anak aku.”
“Ba... baik, pak cik.”
Bagai lembu dicucuk hidung, Najib melompat turun dari
rumah buruk itu. Sebaik sahaja kakinya melangkah ke tanah, satu tumbukan
mengenai bibirnya.
Air mata Nurin Amira
merembes keluar. Tiada siapa yang tahu apa sebenarnya yang berlaku. Terasa
dunianya menjadi gelap. Tiba-tiba sahaja dia jatuh terjelepok. Sedar-sedar
sahaja dia sudah berada di rumah imam kampung. Malah, dia tidak ingat lagi
bebelan emak, ayah, dan abangnya. Tidak dapat tidak, dia membayangkan masa
depannya yang mulai kelam. Sepak terajang yang diterima daripada abang tidak
dihiraukan lagi.
Encik Zainal menyapu
sisa-sisa air mata yang mulai bergenang di pelupuk mata. Sedih hatinya
mengenangkan anak yang telah menconteng arang di mukanya itu.
Sampai hati kamu, nak. Sanggup
buat ayah macam ni. Susah payah ayah hantaq kamu belajaq, ini balasan kamu
terhadap ayah, rintih hati tuanya dalam kepekatan malam itu.
“Bang, ooo bang...”
panggil Puan Asiah yang terjenguk di muka pintu rumah. Matanya yang rabun tanpa
cermin mata itu gagal mengesan kelibat suaminya dalam gelap malam itu.
“Abang ada kat sini hah....
Ada apa?” sahut Encik Zainal.
“Dah lama abang kat situ.
Tak sejuk ka?”
‘Tak! Nanti abang masuk la,”
jawab Encik Zainal.
“Nak saya buatkan kopi?”
tanya Puan Asiah faham benar mood
suaminya yang suka sangat ambil angin di luar pada waktu malam selepas makan
malam.
“Boleh juga!” jawab Encik
Zainal.
Tersenyum. Dia berlenggang
masuk ke dapur. Sekilas dia memandang anak-anaknya seramai tiga orang itu
terlentok di depan TV. Ada kalanya TV terpasang bercakap sendirian. Dia jugalah
yang bangun menutup suis TV apabila tersedar pada tengah malam. Itu pun
biasanya pada hujung minggu. Anak-anak gemar melepak di depan TV. Itu lebih
baik daripada anak-anaknya merayap keluar entah ke mana-mana tanpa mengulang kaji
pelajaran.
“Bang.... Minum air
kopinya ni,” tegur Puan Asiah yang sudah berdiri di depan suaminya.
“Apa yang abang menungkan?
Macam ada sesuatu yang abang rahsiakan daripada Siah aja.”
Encik Zainal mengerling isterinya.
Macam tahu saja aku ada masalah, katanya dalam hati.
“Tak ada apa! Awak
terperasan, kot!”
Mungkin suami aku ni
teringat Mira agaknya. Bukan aku tidak tahu anak gadis aku tu sangat rapat
dengan ayahnya, bisik hati kecil Puan Asiah.
“Abang teringat Mira ke?”
Walaupun Puan Asiah sedar kemarahan suaminya, hati kecilnya kuat mengatakan
suaminya itu merindui anak gadis mereka.
“Jangan diingat anak tak
guna tu!” Keras nada suara Encik Zainal.
“Apa-apa pun kesilapan
yang dia buat, dia tetap anak kita. Dan saya yakin dia tak salah dalam hal ini.”
Encik Zainal mengerling isterinya di sisi.
“Tak payah nak pujuk
abang. Anak yang tak mengenang budi, anak derhaka tu tak patut diingat lagi.
Dia dah jatuhkan air muka aku ni. Ke mana aku pergi, orang kampung pandang
serong kononnya aku tak pandai jaga anak,” luahnya, geram. Hancur luluh
hatinya. Anak yang ditatang dengan penuh kasih sayang telah melukai hatinya.
Apabila Encik Zainal
membahasakan diri kau-aku, Puan Asiah sedar mood
suaminya itu dalam keadaan tidak stabil.
“Abang. Tak baik cakap
macam tu. Seburuk-buruk perangai dia... dia tetap darah daging kita dunia dan
akhirat...” pujuknya. Ibu mana yang tidak sayangkan anaknya. Malah, dia lebih
kenal anak gadisnya itu melebihi orang lain. Namun, dia tidak dapat menafikan
rasa marah yang menyelubungi hati saat kejadian anaknya ditangkap basah tempoh
hari.
“Jangan awak nak bela dia.
Ini pengajaran terhadap anak-anak yang lain agar tak menderhaka terhadap orang
tua. Orang muda kat kampung ni patut ambil iktibar terhadap peristiwa memalukan
ini. Itulah hukuman paling adil!” tegas suara Encik Zainal. Dia berlalu ke
dalam membiarkan si isteri terkulat-kulat mengesat air mata yang berlinangan.
Hati ibu mana yang tidak
merintih sedih. Bagai dicarik-carik dengan sembilu tajam. Begitu pun sangkaan
buruk suami terhadap anak gadisnya sendiri, Puan Asiah percaya tentu ada hikmah
tersembunyi Tuhan menurunkan dugaan terhadap anaknya itu.
*************
“BERTUAH kau, Senah, bermenantukan anak Zainal tu. Kereta ada,
bekerja tetap pulak, rajin budaknya,” puji Mak Nab, jiran sebelah rumah ketika
menjemur pinang di halaman rumah pada pagi itu.
“Kak Nab
tak duduk serumah dengan dia, macam mana Kak Nab tau pulak perangainya macam
mana?” jawab Mak Senah, kurang senang dengan pujian itu.
“Tak baik
kamu cakap macam tu. Mira tu terpelajaq orangnya. Dulu pun Kak Isah ada hati nak
masuk meminang untuk Azril. Tapi, Zainal menolak sebab Mira masih belajaq
lagi,” kata Mak Nab, mengingat kembali hasrat sepupunya melamar Nurin Amira.
Dia kenal benar perangai Nurin Amira dan sedar tidak sepadan hidup sebumbung
dengan Mohd Najib.
“Azril
yang jadi pilot tu?”
Mengangguk.
“Saya ni hairanlah, Kak Nab. Kenapalah bebudak kampung ni
tergila-gila sangat pada Si Mira tu? Apalah yang istimewa sangat?” kata Mak
Senah.
“Budaknya
kan lawa, sopan, lemah lembut? Aku tengok tak dak yang kurang pada budak tu.”
“Sudahlah, Kak Nab. Cukuplah tu. Banyak sangat memuji
budak Mira tu. Sakit telinga saya mendengarnya,” jawab Mak Senah beredar ke
bawah rumahnya. Mak Nab hanya menggeleng-geleng kepala.
Memanglah
anak-anak Encik Zainal dan Puan Asiah terpelajar. Jika hendak dibandingkan dengan
anak-anaknya, pendidikan anak-anak kawan sekolahnya itu jauh lebih baik. Dia tidak
menafikan semua itu.
Kalau tidak
kerana kemampuannya itu, sudah lama Nazim, Najib, Naemah, dan Nurul ke menara
gading. Entah di mana silap, dia pun tidak pasti. Anak-anaknya hilang minat
belajar setelah berada di sekolah menengah. Mereka lebih banyak membantu
suaminya menoreh getah dan membantunya membelah pinang untuk dijual.
Mungkin
juga salah aku yang tidak menekankan betapa pentingnya ilmu pelajaran. Akui Mak
Senah dalam hati.
“Alah. Orang
perempuan belajaq tinggi-tinggi pun ke dapur jugak akhirnya.”
Terngiang-ngiang di telinga kata-kata arwah kakaknya yang
telah pergi menghadap Ilahi kerana penyakit diabetis.
“Budak-budak kalau tak pandai belajaq pun tak apa, asalkan
jadi orang baik-baik,” pesan Puan Zubaidah, saudara sebelah suaminya.
Kata-kata
azimat orang yang rapat dengan Mak Senah terngiang-ngiang di telinga. Sesukar
mana pun kita mendidik anak-anak, kita perlu banyak bersabar. Semuanya sudah
Allah tulis di Azali. Anak-anak bagai kain putih. Jika kita mencorakkan warna
putih, putihlah kehidupannya. Pesan arwah bapanya sebelum menghembuskan nafas
yang terakhir kerana sakit tua.
Menyedari
anak-anak membesar dan perbelanjaan meningkat, Mak Senah dan Pak Mail bertungkus
lumus mencari rezeki. Seharian sibuk bekerja sampai lupa mengikuti perkembangan
anak-anak juga punca anak-anak hilang minat belajar. Pernah juga Mak Nab
berfikiran begitu.
“Eh!
Senah. Termenung aje awak. Dah masak ka, belum?” tegur Pak Mail sebaik sahaja
menongkat basikal tuanya di bawah rumah. Dia baharu selesai menoreh di kebun
getah di atas bukit di hujung kampungnya.
“Abang ni.
Lain kali bagilah salam dulu. Terkejut saya, tau.” Mak Senah tersentak dari
lamunan yang panjang.
“Yelah. Awak
tu dari tadi termenung sampai saya balik pun awak tak sedaq. Dah masak ka,
belum? Saya dah lapaq dah ni,” luah Pak Mail lagi.
Mak Senah
bergegas ke dapur, memasak apa yang patut. Sekejap lagi anaknya, Nurul akan
balik dari sekolah. Itulah rutin hariannya semenjak menjadi ibu dan isteri
kepada Pak Mail.
**************
PUAN ASIAH meletakkan sedulang minuman dan sepiring roti telur di
atas pangkin di bawah pokok rambutan. Memang dia selalu menyediakan kuih
menjelang petang. Suami dan anak-anak gemar akan kuih buatannya. Kalau tidak
jemput-jemput pisang, ada roti telur, karipap, kuih keria, donat, lempeng
kelapa, seri muka atau sira ubi kayu. Kuih-kuih itu menjadi kegemaran suaminya.
“Bang, oh bang...!” jerit Puan
Asiah kepada suaminya yang sedang menebas lalang di kawasan kebun pisang di
depan rumah mereka.
“Abang dengaq tak ni saya
panggil!” Puan Asiah menjerit lagi apabila tiada respons daripada suaminya.
Encik Zainal berhenti
menebas apabila merasakan ada orang memanggilnya. Dia memandang ke arah
isterinya.
“Ya. Ada apa?”
“Berhentilah dulu. Mari
minum. Karang sejuk roti telur ni, tak sedap pulak,” ujar Asiah lagi.
Melihat suaminya sudah
turun ke bawah, Puan Asiah mengajak anaknya, Nurin Anisha minum bersama.
Nurin Anisha yang sedang
membaca novel di atas buaian di bawah rumah, menoleh ke arah emaknya.
“Kejap lagilah, mak. Nisha
nak baca novel ni. Bestpulak jalan ceritanya. Nak tamatkan hari ni
jugak.”
Puan Asiah menggeleng-geleng sambil tersenyum. Perangai
Nurin Anisha tidak jauh berbeza dengan perangai anak keduanya, Nurin Amira.
Minat sangat membaca novel.
“Tak habis-habis baca
novel. Tak ada kerja lain agaknya,” bebel Encik Zainal pula.
Puan Asiah menuang air
kopi ke dalam cawan. Air kopi itu memang kegemaran suaminya tidak kira sewaktu
bersarapan, minum petang mahupun selepas makan malam. Minuman itulah yang
dimahunya.
“Biarlah dia nak membaca. Bukan
luak mana pun!” sampuk Puan Asiah.
“Abang bukan apa. Hujung
tahun ni, PMR. Tak buat persediaan dari sekarang, macam mana nak lulus
periksa?”
Puan Asiah faham benar
kerenah suaminya itu yang amat menitikberatkan pelajaran anak-anak daripada
segala-galanya. Dia berbangga dengan pencapaian anak sulung yang berjaya meraih
ijazah dalam bidang kejuruteraan, anak keduanya pula ijazah dalam pengurusan
perniagaan, anak ketiga juga masuk universiti baharu tahun pertama.
“Pasal kerja sekolah, ayah
jangan risau. Awal-awal lagi Nisha dah prepare.
Bosan jugak asyik menghadap buku pelajaran. Sesekali tu nak juga baca novel.
Novel Kak Mira tu banyak yang belum Nisha baca.”
Sebut sahaja nama Nurin Amira, berubah air muka Encik Zainal.
Nurin Anisha pura-pura tidak menyedari perubahan air muka ayahnya.
“Kalau Kak Mira ada, bestkan, mak? Boleh juga Nisha
bertanyakan Kak Mira mana mata pelajaran yang Nisha tak faham. Sunyi la Kak
Mira tak ada.”
“Nisha...! Daripada duk
merepek macam tu, apa salahnya bantu mak angkat kain kat ampaian tu.”
“Alah mak ni. Pantang
Nisha sebut pasal Kak Mira, ada saja alasan mak.” Nurin Anisha seakan-akan
merajuk.
“Memang pantang tok nenek ayah.
Sejak hari pertama dia buat onar dalam keluarga kita, ayah tak berkenan dia
balik ke sini lagi!” jawab Zainal, tegas.
“Ayah... tak tau apa yang
berlaku. Ayah tak sepatutnya menuduh Kak Mira tanpa usul periksa.”
Biarlah Nurin Anisha dituduh berkurang ajar dengan ayah
sendiri. Tetapi, mengakui kesalahan yang tidak dibuat oleh kakaknya, tidak
sesekali. Lagipun, dia kenal benar peribadi kakaknya.
“Budak ni dah pandai
melawan. Sepatah aku cakap, sepuluh patah dia jawab.” Encik Zainal berdiri dan
ingin menampar anak bongsunya itu.
“Abang, sudahlah. Nampak
dek jiran-jiran, malu kita,” pujuk Puan Asiah sambil dipeluk oleh Nurin Anisha.
Kecut perutnya melihat mood suami
yang mudah berubah sejak akhir-akhir ini.
Nurin Anisha yang terkejut
dengan tindakan ayahnya itu memeluk ibunya dengan erat. Dua beranak itu
berpelukan. Encik Zainal beredar ke kebun menyambung kerjanya yang terbengkalai
sambil berleter menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap anak isterinya.
“Lain kali bila duduk
depan ayah, jangan sebut nama Kak Mira. Kan ayah dah marah?” nasihat Puan Asiah.
“Mak dengan ayah kenapa
tak boleh terima alasan Kak Mira. Dia difitnah, mak. Nisha tahu itu semua
angkara Najib yang memang dah tergila-gilakan kakak sejak dulu lagi. Tapi, Kak
Mira menolak dengan baik,” luah Nurin Anisha, geram.
“Mak tau. Mak paham sangat
perangai anak-anak mak. Insya-Allah, suatu hari nanti mak percaya Tuhan akan
bantu kita. Berdoalah yang baik-baik demi Kak Mira,” nasihat Puan Asiah, hiba.
Anisha mulai teresak-esak
di pangkuan ibunya. Dia masih tidak berpuas hati selagi tiada pembelaan
terhadap kakaknya. Baginya, kakaknya terlalu baik. Dia ingin melihat lelaki
yang menjadi suami kakaknya itu menerima pembalasan kerana menganiayai
kakaknya.
*************
HARI itu Nurin Anisha pulang awal ke rumah. Kebiasaannya
habis sahaja waktu sekolah, dia dan kawan-kawan menuju ke pusat tuisyen. Entah
silap di mana, kelas tuisyen hari itu dibatalkan pada saat-saat akhir.
Sepanjang hari itu baik masuk hingga tamat persekolahan, dia asyik terkenangkan
kakaknya. Disebabkan itulah dia tidak dapat memberi tumpuan dalam kelas selagi
kakak kesayangannya dipandang serong oleh jiran sekampung.
Sebaik sahaja sampai di
rumah, dia terdengar perbualan ibu dan ayahnya.
“Dengaq cerita, Ain anak
adik abang tu dah balik. Betul ke, bang?”
“Siapa bagitau awak?”
“Ala! Masa rewang di rumah
Kak Jah dua hari lepas, Kak Nab bagitau Siah. Itulah yang tanya abang ni, kut
abang dengaq cerita ni. Ain tu dah macam anak kita, bang. Masa kecik-kecik dulu
sayalah yang jaga dia masa Yam kerja kilang dulu,” ujar Puan Asiah sambil menghimbau
saat di mana adik iparnya, Talib dahulu, tinggal berjiran dengan mereka
sekeluarga. Kini rumah peninggalan Talib disewakan kepada orang. Talib pulak
semenjak ditukarkan kerja di Pulau Pinang, menetap terus di sana.
Kak Ain dah balik dari
London? Bestnya, bisik hati Nurin Anisha
sambil menjerit kesukaan. Puan Asiah dan Encik Zainal terpinga-pinga.
“Apasal kamu ni
terkinja-kinja macam budak-budak? Emm! Awal pulak kamu balik hari ni?” tanya Encik
Zainal, hairan dengan keletah anak gadisnya itu.
“Hari ni tuition batal. Ala ayah ni. Balik awal,
salah; balik lambat, salah.”
“Eh, anak bertuah!
Menjawab pulak dia. Ha! Cepat pi tukaq baju. Kita makan sama-sama,” jawab Puan
Asiah.
“Bercakap pasal Ain tu,
baru abang ingat. Tadi masa awak kutip pucuk ubi, dia ada telefon. Dia kirim
salam kat awak.”
“Ye ke bang. Emm... Waalaikumusalam.
Dah lama saya tak tengok dia. Makin lawa gamaknya,” jawab Puan Asiah.
“Ain nak datang hujung
minggu ni. Katanya, rindu sangat dengan mak ngah dia.”
“Rindu dengan mak aje? Habis
dengan adik dia ni, tak rindu?” sampuk Nurin Anisha di hujung tangga.
“Isy... budak ni. Suka
sangat menyampuk orang tua bercakap! Dah... cepat turun. Karang nasi terdedah
ni jadi habuan lalat pulak.”
Nurin Anisha mengambil
tempat duduk bersebelahan ayahnya. Gembira dia apabila mengetahui kakak
sepupunya akan datang ke rumah. Begitu berselera dia menikmati makanan tengah
hari itu. Masakan ibunya sering sahaja membuka selera. Namun, bagi Nurin Anisha,
dia lebih seronok seandainya ada Nurin Amira untuk turut menyertai mereka
menikmati hidangan ibunya yang tiada tandingan itu.