BAB 24
SENYUMAN manis terukir di bibir Nurain. Perasaan girang yang
mewarnai hatinya saat ini, membuatkan dia lupa seketika pada kertas kerja yang
dibawa pulang hari Jumaat lalu. Pada mulanya dia ingin menyelesaikan sendiri
beberapa kertas cadangan daripada pekerja-pekerjanya berkenaan penambahan produk
baharu di syarikatnya. Dia perlu meneliti pelbagai aspek sebelum membuat
keputusan.
Semuanya bagaikan
terbantut dek kerana bertemu dengan Zakuan hampir senja tadi. Lelaki itu entah
mimpi apa berkunjung ke salon uminya. Dia seolah-olah mengetahui Nurain berada
di situ ketika itu. Nurain tidak dapat membayangkan wajah terkejutnya ketika
itu. Terkejut kerana menerima kunjungan Zakuan yang entah bila segak berdiri di
hadapannya.
“Assalamualaikum.”
Rasa macam kenal suara
itu.
“Waalaikumusalam.” Nurain
menjawab setelah mengenal pasti milik suara yang memberi salam itu. Rasa
terkejut masih menguasai diri. Lama mereka bertatapan mesra.
“Err...”
“Apa khabar?” tanya
Zakuan.
“Er...bb... baik. Wan dari
mana ni?”
“Dari mana? Dari
rumahlah.”
“Emm... buat apa kat
sini?”
Perbualan mereka terhenti
apabila Puan Aina datang menghampiri mereka.
“Eh, Ain! Dah siap? Umi
nak tutup awal sikit ni. Kita balik awal kemudian singgah di Billion beli
barang dapur sikit.” Puan Aina menoleh apabila menyedari kata-katanya tadi
tiada sahutan daripada Nurain.
“Patutlah umi rasa macam
bercakap dengan patung tadi. Ada tamu rupanya. Siapa ni? Tak nak kenalkan dekat
umi ke?” kata Puan Aina.
“Oh ya, umi. Tak perasan
pula umi kat belakang Ain tadi. Ingat umi masih kat office,” jawab Nurain malu-malu.
Kening Puan Aina sedikit
terangkat apabila pertanyaannya tadi tidak dijawab.
“Umi... Ain kenalkan, ini
Zakuan. Kawan sekolah Ain masa bersekolah di Sungai Petani dulu. Umi ingat lagi
tak?” jawab Nurain, mengerti bahasa isyarat uminya itu.
“Rasa macam pernah jumpa. Tapi,
umi tak pasti bila. Maafkan untie. Maklumlah
dah meningkat usia ni, banyak perkara ingat-ingat lupa,” jawab Puan Aina sambil
tertawa kecil.
“Biasalah, untie. Eh, untie dah nak tutup kedai ke?
Awalnya!”
“Hari minggu sekejap aje.
Itu pun kalau ada temu janji dengan pelanggan. Kalau ada pelanggan nak buat facial ke, kenalah untie buka sekejap.”
Zakuan mengangguk faham. Dia mengerling Nurain yang sibuk
mencatatkan sesuatu ke dalam sebuah buku.
“Zakuan dari mana
sebenarnya ni? Kalau tak keberatan, singgahlah rumah untie,” sapa Puan Aina, ramah.
“Kebetulan dari Taiping
dalam perjalanan nak balik Sungai Petani. Dah dua hari saya bermalam di rumah
ayah. Biasanya pada cuti sekolah, saya berkunjung ke sana.”
“Orang Taipinglah ni!”
Entah mengapa Zakuan merasakan ada kemesraan di antara
dia dengan ibu Nurain. Seolah-olah mereka sudah lama saling mengenali.
“Begitulah nampaknya.”
Menyedari anak mata Zakuan
ralit memerhatikanya, Nurain mengangkat wajahnya. Dia menghadiahkan sebaris
senyuman buat anak muda itu.
“Maaf, ya... Wan. Ain
sibuk sikit.”
“I’ts okay,” jawab Zakuan.
Melihat Puan Aina sibuk
mengangkat barang-barang yang bersusun di luar, Zakuan menawarkan diri untuk
membantu. Tambahan pula timbul rasa kurang enak di sanubarinya apabila
menyaksikan dua beranak tersebut sibuk berkemas untuk menutup kedai.
Berkali-kali Puan Aina menolak. Namun, dia tidak menghiraukan arahan itu. Sudahnya,
Puan Aina memberi kebenaran kepada Zakuan untuk menghantar Nurain pulang.
Hari itu buat pertama
kalinya setelah lebih lima tahun tidak bersua, mereka berdua menikmati hidangan
tengah hari di sebuah restoran yang tidak kurang glamor di daerah Bukit Mertajam. Nurain berasa bagaikan bermimpi
dapat berdua-duaan dengan Zakuan ketika itu. Ingin rasanya dia memeluk lelaki
itu bagi melepaskan rindu yang bersarang di hatinya sejak sekian lama.
Mengenangkan mereka berdua bukan saudara muhrim, disabarkan hatinya. Direnung
wajah tampan itu sepuas hati.
Nurain dan Zakuan terus berbual mesra menghimbau saat
indah bersama sebelum terpisah. Nurain dapat merasakan Zakuan juga mempunyai
perasaan yang sama dengannya. Namun, dia tidak pasti sejauh mana perasaan itu.
Sendirian di dalam bilik
memberi peluang kepadanya mengingati kembali detik-detik indah sebelum
berangkat ke London. Sayu hatinya mengenang perpisahan itu.
Mereka bertemu untuk kali keberapa. Bibit-bibit kemesraan
yang baharu berputik semakin segar. Biarpun ramai rakan-rakan mengusik sama ada
persahabatan yang terjalin itu sekadar cinta monyet atau apa, Nurain tidak
kisah. Dia lebih mengerti akan perasaannya sendiri.
Saat mula bertemu, mata
lebih banyak memainkan peranan. Sementara Nurain tersenyum, Zakuan tersengih
manja sebelum masing-masing mengambil keputusan untuk berbual kosong. Sesekali
mereka memandang pengunjung yang tidak putus-putus keluar masuk restoran Burger
King itu. Itulah kali pertama mereka keluar bersama di tempat terbuka seperti
itu.
Setelah lama berbual
kosong, Nurain membuka cerita familynya
akan berangkat ke Kuala Lumpur. Sementara pelajarannya pula sudah pun diatur oleh
orang tuanya. Mungkin juga dia akan menyambung pelajaran di luar negara.
“Abah Nurain bertukar ke
sana. Mungkin lima atau enam tahun Nurain di rantau orang,” ujar Nurain, sedih.
“Lamanya! Tapi, kenapa
cepat benar nak bertolak?” Zakuan seperti terkejut.
“Apa nak buat. Tugas orang
tua. Kita terpaksa akur. Lagipun, hubungan kita tak putus di sini saja. Kita
masih boleh terus berhubung. “ Nurain memujuk Zakuan.
Seketika kemudian waiter
membawa makanan dan air yang dipesan.
“Berjanjilah, Ain. Kau
takkan lupakan aku di sini.”
“Ain tak suka berjanji.
Takut nanti janji dimungkiri. Insya-Allah. Selagi nafas Ain berdenyut, takkan
ada lelaki lain di hati ini. Ain dapat merasakan sesuatu yang teristimewa dalam
hubungan kita ini. Cuma masa yang akan memisahkan kita. Bukan hati kita,” ujar
Nurain, penuh yakin.
“Wan pun tak lama di
sekolah tu. Wan dah dapat tawaran masuk MRSM Taiping. Ibu Wan setuju Wan terima
tawaran tu.”
“Oraitlah tu! Tercapai
juga hasrat Wan nak masuk asrama. Good
luck for you,” ucap Nurain sambil tersenyum. Matanya menatap gelagat Zakuan
yang leka mengunyah burger.
Zakuan mendongak.
“Tapi, keadaan takkan sama seperti hari ini tanpa Ain di
sisi. Entah macam manalah nanti, kalau Ain tak ada?” kata Zakuan menunduk pula sambil
menghabiskan baki burger.
“Wan! Wan! Tak sangka
nakal juga Wan ni. Kecil-kecil cili padi. Tapi, ingat kita masih muda. Banyak
lagi yang perlu kita pelajari sebelum melangkah ke alam kedewasaan.”
Sebagai anak sulung, kematangan terserlah daripada
percakapan Nurain. Zakuan mengagumi segala apa yang diucapkan oleh gadis itu.
“Ingatlah, Ain. Perpisahan
kita bakal menguji sejauh mana persahabatan kita dapat bertahan. Seandainya
diketemukan lagi, saat itu sudah jauh berubah. Wan mungkin hadir dalam hidupmu
bukan sebagai sahabat lagi. Tapi..., ah malulah nak cakap. Masih terlalu awal
lagi.”
Nurain tergelak manja.
“Benar ke cakap Wan tu?”
“Yalah! Kalau tak percaya,
nak buat macam mana. Bukan senang nak cari lelaki setia macam Wan ni, tau.”
Nurain ketawa lagi. Zakuan juga turut ketawa. Geli hati pula
sejauh itu mereka boleh membicarakan tentang masa depan yang tidak pasti. Tidak
semena-mena Nurain tersenyum sendiri.
“Ain! Ain!”
Ketukan bertalu-talu di
pintu berselang-seli suara umi memanggilnya menyedarkan Nurain daripada lamunannya
yang panjang. Langkahnya diatur menuju ke pintu.
“Tak tidur lagi sayang?”
“Belum, umi. Tak mengantuk
lagi.” Ketika itu barulah dia teringat fail yang dibawa balik dari pejabat
siang tadi belum lagi dibukanya.
“Ila telefon tadi nak
cakap dengan Ain katanya,” kata Puan Aina.
Nurain mengerutkan
dahinya. Mindanya diserbu tanda tanya. Selama ini anak saudara abahnya itu
jarang menelefonnya melalui telefon rumah. Gadis kecil molek itu gemar
menelefonnya melalui telefon bimbitnya sahaja. Tetapi, malam itu, gadis tersebut
mengubah tabiatnya pula. Lama Nurain termenung mengingati sikap pelik temannya
itu.
“Apa yang dimenungkan tu?
Cepatlah sikit. Orang tengah tunggu tu.” Lontaran kata-kata Puan Aina
mengejutkan Nurain.
“Yalah, umi,” jawab Nurain sebelum membuntuti Puan Aina.
************
“MIMPI apa pulak Ila malam-malam
gini call aku. Selalunya kau SMS aje.
Tiba-tiba pulak call aku pakai
telefon rumah.” Nurain terus melontarkan pertanyaan sebaik sahaja mendengar
suara Ila di hujung talian.
“Kau jangan tak tau. Berpuluh
kali aku dial handset kau. Jawapan
yang aku dapat, nombor yang anda dial tidak dapat dihubungi. Sila cuba sebentar
lagi.”
“Ye ke? Aku tak perasan
pulak. Bateri kong agaknya,” jawab Nurain sambil tertawa kecil, sedar akan
kecuaian dirinya.
“Emm.... ada apa call aku ni?”
“Aku minta maaf kalau apa
yang bakal aku cakap ni buat kau marah.”
“Kau belum cakap lagi dah
takut aku marah. Apa benda yang buat kau risau sangat tu?” soal Nurain lagi.
“Siang tadi lain macam aje
aku tengok kau dengan Zahim. Kau orang berdua bergaduh, eh?”
“Dari mana kau tahu?”
Nurain melontarkan pertanyaan tanpa menjawab persoalan yang bermain di benak
Ila semenjak siang tadi.
“Aku nampak dari jauh.”
“Apa yang kau nampak?”
“Aku nampak Zahim naik
angin. Kenapa, eh?”
Terdengar di pendengaran
Ila, Nurain mendengus seperti menyesali sesuatu.
“Ain...”
“Aku tak sangka Zahim
sanggup merosakkan hubungan persahabatan yang terjalin. Dia mengecewakan aku,
Ila.”
Nurain tidak berniat mahu merahsiakan persengketaan di antara
dia dengan Zahim siang tadi. Ila patut tahu apa yang berlaku.
“Maksud kau?”
“Aku tak boleh terima bila
Zahim menganggap aku ni lebih daripada seorang kawan. Kami kenal pun semenjak
di sekolah menengah lagi. Kita kan selalu belajar sama-sama, buat study group lagi. Kadang-kadang tu kita
keluar ramai-ramai pergi shopping ke,
picnicke, entah apa-apa majlis lagi.
Takkan kau tak ingat semua kenangan tu?” ujar Nurain menghimbau kembali detik
perkenalannya dengan Zahim. Kedengaran Ila melepaskan keluhan berat.
“Kau betul-betul tak ada
sedikit pun perasaan sayang kau dekat Zahim?” soal Ila. Jauh di sudut hatinya
mengharapkan Nurain dengan Zahim bersatu menjadi pasangan yang paling serasi.
Jika tidak, dia tidak tahu apa yang harus diberitahu kepada Zahim mengenai
keputusan Nurain. Terlalu tinggi harapan anak muda itu.
“Sayang sebagai seorang
sahabat, Ila. Zahim kena terima hakikat itu.”
“Tapi... Ain. Zahim ikhlas
mencintai kau.”
“Sudah la, Ila. Untuk
pengetahuan kau, cinta tidak perlu dipaksa dan tak perlu dicari. Ia akan datang
sendiri. Bila... itu aku tak pasti. Lambat atau cepat, itu semua ketentuan
Tuhan. Kadang-kadang cinta itu datang tanpa kita sedari. ” Nurain mengulas panjang
apa yang dia tahu mengenai cinta. Ila kedengaran mengeluh lagi.
“Kau kenapa, Ila? Aku rasa
macam ada sesuatu yang aku tak tahu.”
“Ah... jangan nak merepek,
Ain. Perasaan kau aje tu.”
“Tapi..., Ila. Aku perasan
kau dah lama tau perasaan Zahim terhadap aku. Apasal selama ni kau tak sedarkan
aku?”
Ila menelan liur. Dia langsung tidak menyangka Nurain
mengesyaki sesuatu yang dia sembunyikan.
“Er... kau jangan salah
faham. Aku sayangkan kalian berdua. Lima tahun kau kat overseadah banyak perkara aku belajar tentang Zahim. Lima tahun
dia tunggu kau. Walaupun dia tidak berterus terang, aku tahu dia mencintai
kau.”
Saat itu, Ila berharap sangat Nurain akan berpuas hati
dengan penjelasannya. Dia tidak dapat membayangkan reaksi Nurain seandainya
gadis itu tahu selama ini dia berusaha menyatukan mereka. Itu pun atas
permintaan Zahim sendiri. Sebagai seorang sahabat, dia tidak sampai hati untuk
mengecewakan permintaan seseorang.
Lama Nurain mendiamkan diri. Tidak tahu apa yang harus
diperkatakan lagi.
“Sekali lagi aku nak mintak maaf. Aku tak ada niat
nak...”
“It’s okay. Don’t worry. Aku tak marah pun. Cuma aku harap akan
datang kita tak bincang hal ni lagi. Apa yang penting sekarang, aku yakin Zahim
akan dapat perempuan yang lebih baik,” tegas Nurain menamatkan perbualannya
dengan Ila.
************
SELEPAS itu, Nurain termenung panjang memikirkan setiap patah
kata yang dibicarakan dengan teman baiknya, Ila. Sesekali bayangan Zahim hadir
dengan wajah menaruh simpati mengusik khayalan. Namun, Zakuan lebih mendapat
tempat di ruang hatinya. Perwatakan kedua-dua anak muda itu jauh berbeza. Dia
meneliti satu persatu setiap keistimewaan dan kelemahan yang ada pada kedua-dua
anak muda itu.
Dia yakin benar akan kata
hatinya. Zahim dianggapnya tidak lebih daripada seorang sahabat. Ya! Dia pasti
benar akan hal itu.
Ketukan di pintu mematikan
lamunan Nurain yang panjang.
“Masuklah, umi. Pintu tak
berkunci.”
Seketika kemudian,
terjenguk Puan Aina yang kelihatan cantik walaupun dengan pakaian tidur.
“Ain buat apa? Nak umi
bantu?”
“Ain nak periksa kertas
cadangan staf kita. Banyak yang perlu diteliti dulu sebelum memberi
persetujuan. Abah pun dah bersetuju hendak menambah beberapa produk
memandangkan sambutan yang menggalakkan daripada pelanggan.”
“Nak umi bantu? Mana tahu
Ain perlu pendapat umi pulak nanti.”
“Tak apa, umi. Nanti kalau
Ain perlu tahu pendapat umi, Ain tanya umi esok.”
“Kalau macam tu, umi masuk
tidur dulu. Jangan tidur lewat sangat ye, sayang.”
“Baiklah, umi. Selamat
malam.”
“Er....” Puan Aina kembali
menoleh. Tidak jadi meneruskan langkahnya.
“Ada apa, umi?”
Puan Aina melabuhkan
punggungnya di sisi Nurain. Dia mengusap lembut rambut anak gadisnya yang ikal
melepasi bahu itu. Buat seketika hati Nurain terbuai bahagia.
“Ain... Umi rasa macam mimpi.
Dah 25 tahun dah umur anak umi ni. Umi tak dapat bayangkan kehidupan umi nanti
bila Ain dah kahwin. Selama ini kita kan macam kawan. Banyak perkara kita
kongsi bersama.” Luah Puan Aina. Dia tersenyum penuh makna.
“Tak semestinya bila Ain
dah kahwin kita tak boleh berkongsi cerita lagi. Melampaulah tu... sampaikan
nak bermanja dengan ibu sendiri tak boleh. Siaplah kalau suami Ain tu nanti
buat hal.”
“So... bunyi macam Ain dah bersedia aje. Ain dengan Wan macam mana? Umi
berkenan tengok penampilan dia. Kelihatannya dia seorang lelaki yang berwibawa,
penyayang, matang dan bertanggungjawab.”
Glup! Ah sudah! Umi buka
cerita apa pulak ni? Apa aku nak jawab?
Nurain menggigit bibir.
Tidak tahu hendak mula dari mana.
“Ain dengan Wan ada
apa-apa ke?”
Nurain bingkas bangun dari
pembaringannya. Dia berlalu menuju ke meja soleknya.
“Ain tak ada apa-apalah
dengan dia umi. Kami sekadar kawan aje. Tak lebih daripada tu. Kenapa umi
tanya?” Nurain merasakan itulah jawapan yang terbaik buat masa ini. Kedengaran
Puan Aina melepaskan keluhan.
“Umi nak sangat tengok Ain
bahagia dengan seseorang yang umi percaya. Siapa pun dia janji dia dapat
membahagiakan anak perempuan umi satu-satunya ni,” jawab Puan Aina sambil
memeluk bahu anak gadisnya.
“Masanya akan tiba, umi. Insya-Allah,
Allah akan kabulkan doa umi tu.”
Ada cahaya kasih terbentuk dalam anak mata hitam milik
wanita kesayangannya itu.
“Sayang umi.” Nurain
memeluk mesra wanita kesayangannya itu.
Tidak lama kemudian, Puan
Aina memohon diri beredar ke kamarnya. Dia yakin benar anak gadisnya itu sedang
dilamun cinta saat ini. Dia percaya pada kata hatinya. Namun, dia mengalah. Mungkin
ada kebenaran di sebalik kata-kata Nurain sebentar tadi. Mungkin juga Nurain
belum cukup bersedia meluahkan perasaannya itu.
Selepas Umi berlalu dari
kamarnya, Nurain menarik nafas lega. Sekurang-kurangnya dia dapat
menyembunyikan rasa aneh yang bermukim jauh di sudut hatinya buat anak muda itu
daripada pengetahuan orang tuanya. Dia belum cukup bersedia berterus terang
tentang perasaannya kala itu.
Mujurlah umi tidak perasan
apa-apa perubahan dekat aku tadi. Kalau tak, malu jugak. Tak pasal-pasal umi
menyoal yang bukan-bukan pulak nanti. Eh! Aku belum solat lagi. Baik aku solat
dulu, baru meneliti kertas-kertas cadangan itu.