BAB 6
SELESAI kerja pada hari itu, Zakuan memecut laju menuju ke
sebuah destinasi yang agak sepi, jauh dari hiruk-pikuk manusia yang sibuk
dengan urusan masing-masing. Sudah lama tidak datang ke Pantai Merdeka buat dia
rindu untuk datang ke situ. Dia mengambil tempat duduk di sebuah batu
berhampiran dengan pelantar.
Pantai Merdeka ketika
waktu kerja begini tidak ramai orang yang datang. Kelihatan beberapa orang anak
kecil sedang bermandi-manda di situ sambil diawasi ibu bapa masing-masing. Ada
dua buah keluarga sedang bersantai di atas sebidang tikar sambil makan di situ.
Zakuan tertarik memerhati gelagat mereka. Suasana yang dirasainya ketika itu
menghindar dia memikirkan masalah yang sarat di fikirannya.
Tiba-tiba benaknya kembali
mengingati wajah-wajah gadis yang pernah hadir dalam hidupnya. Laut yang
bergelora itu ditenungnya lagi tanpa jemu. Dia tidak tahu sampai bila akan
terus sendiri begini. Hidupnya sepi tanpa perhatian orang tersayang. Ada kalanya
dia serik untuk mengulangi episod cinta dengan gadis yang berminat menjalin
hubungan dengannya.
Angin bayu berpuput lembut
menampar pipinya. Rambutnya yang beralun dibawa angin itu, kelihatan berserabut.
Namun, masih tidak mencacatkan wajahnya yang tampan itu. Dingin tubuhnya ditampar
angin bayu. Seram sejuk dirasakan sehingga ke tulang sum-sum.
“Assalamualaikum.” Suara
garau seseorang memberi salam menghentikan lamunan panjang Zakuan. Ditolehnya
ke sisi. Bulat matanya memandang raut wajah lelaki berumur yang bersih itu.
Kelihatannya warak dan berpakaian bersih.
“Waalaikumusalam,” jawab
Zakuan.
“Pak cik tengok dari tadi
anak termenung panjang di sini. Pak cik rasa anak bukan orang sini.” Lelaki itu
bertanya lembut.
“Ya, saya bukan orang
sini. Kediaman saya di Sungai Petani. Saja nak cari ketenangan di sini.”
Lelaki itu tersenyum mendengar luahan hati Zakuan itu. “Mencari
ketenangan seperti ini sebenarnya tidak memberi apa-apa makna. Sebaliknya, dengan
mendekatkan diri kepada Allah SWT, kita mendapat ketenangan yang besar
nikmatnya,” ujarnya.
Zakuan rasa terpukul
mendengar kata-kata lelaki itu. Ada benarnya di sebalik ungkapan itu walaupun
setiap detik dia tidak pernah melupakan kewajipannya terhadap Ilahi.
“Maafkan pak cik
seandainya kata-kata pak cik tadi menyinggung perasaan anak. Tapi, sebenarnya
pak cik tertarik melihat gelagat anak yang sedari tadi termenung di sini. Pak
cik tak bermaksud apa-apa pun.”
“Saya okey, pak cik. Tak
apa. Lagipun, saya setuju dengan pendapat pak cik itu. Cuma, saya sengaja ke
sini sekadar melarikan diri sebentar daripada belenggu masalah yang hadir dalam
hidup saya kebelakangan ini.”
“Pak cik faham kekecewaan
yang kamu alami. Kamu patut bersyukur kerana tidak semua orang mengalami
kekecewaan dalam hidup. Tidak semestinya kita akan selamanya kecewa. Salah tu.”
Zakuan terpinga-pinga tidak mengerti. “Maksud pak cik?”
“Kadang-kadang Allah
sembunyikan matahari, Dia datangkan hujan petir. Kita bersedih dan tertanya-tanya
ke mana hilangnya matahari? Rupa-rupanya, Allah nak menghadiahkan kita pelangi
yang indah. Allah berikan kita kesusahan dan rintangan sebab dia hendak
memberikan kesenangan sekiranya kita terus tabah dan berusaha.”
Zakuan termangu-mangu mendengar pengakuan lelaki itu.
Lama dia menghafal kata-kata lelaki itu. Dia ingin tahu lebih lanjut maksud
kata-kata itu. Namun, keinginan itu segera hilang sebaik sahaja melihat kelibat
lelaki itu sudah tidak ada. Ditolehnya ke kiri dan kanan. Wajah lelaki itu
tetap tidak ada. Dicubitnya lengan yang terdedah. Dia mengaduh sakit. Ternyata
dia tidak bermimpi. Baharulah dia tersedar kewujudan lelaki itu semestinya
bukan manusia biasa. Jika tidak, masakan bulu romanya berdiri.
Pantas sahaja dia mengatur
langkah meninggalkan tempat itu. Misteri lelaki berjubah itu terus menghantui
dirinya.
Azan maghrib dari masjid
berhampiran sayup-sayup kedengaran menerpa cuping telinganya. Cepat-cepat dia
melangkah menuju ke masjid yang berdekatan untuk mengerjakan rukun Islam yang
kedua itu. Selesai solat, dia beredar. Mengenangkan peristiwa yang baharu
dialami buat kesekian kalinya, dia akan berfikir dua tiga kali untuk datang
lagi ke situ.
Sampai sahaja di
keretanya, telefon bimbitnya berbunyi nyaring menandakan ada mesej yang masuk.
Rupa-rupanya, Aziz dan Jeffri
mengajaknya makan malam di Restoran Anando. Mereka sedang menuju ke situ. Segera
dia memecut laju keretanya membelah malam yang sepi. Tidak sampai setengah jam
memandu, dia tiba di restoran yang dijanjikan.
“Ha, itu pun dia,” kata
Aziz sebaik melihat kelibat Zakuan sedang berjalan menghampiri mereka.
“Lama tunggu?” tanya
Zakuan sambil menarik kerusi duduk berhadapan dengan Aziz.
“Lama tak lama. Tapi, dah
panas kerusi aku duduk ni,” jawab Jeffri.
“Hang pi mana? Selalunya
tak menghilang macam ni pun!” Aziz langsung bertanya.
“Aku... aku.... Cuba teka
aku pi mana?”
“Kalau hang tak habaq,
manalah kami tau,” jawab Aziz. Jeffri mendengar sahaja.
“Aku pi Pantai Merdeka
habis waktu kerja tadi. Eh! Hang pa dah order
makan?”
“Weh! Pi Pantai Merdeka
tak habaq pun, noh. Cilok punya kawan,” jawab Jeffri sambil menjeling.
Zakuan ketawa geli hati.
“Dah aku tension sangat. Sorrylah, tak ajak hang pa. Lain kali kita pi lagi. Er... Tapi, ha,
soalan aku tak jawab lagi. Dah ordermakanan
ke belum?”
Zakuan teringat lelaki berjubah yang baharu ditemuinya
tadi. Tiba-tiba sahaja perasaannya tidak enak.
“Dah! Aku belanja hang
makan mi goreng special,” ujar Aziz.
Hatinya terdetik tanda tanya masalah apa pulak yang membelenggu hati temannya
itu. Lain macam sahaja. Macam ada yang tak kena.
“Thank you! Thank you. Memang aku teringin nak makan mi goreng.”
“Ek eleh. Macam orang
mengidamlah pulak,” kata Jeffri.
Zakuan ketawa lucu.
“Hang okey, ka?” tanya
Jeffri pula.
“Aku okey. Kenapa? Nampak
macam tak okey ka?” Wajah kedua-dua temannya direnung lagi.
“Tak daklah,” jawab Aziz lalu
memandang Jeffri. Dia sendiri tidak tahu bagaimana hendak memberitahu akan
kelainan sikap temannya itu.
Seketika kemudian, datang
pelayan membawa pesanan yang diminta. Mi goreng, nasi goreng dan kuetiau
goreng.
“Ada bola la. Untung jugak
malam ni kita keluaq makan kat luaq,” ujar Zakuan sebaik sahaja matanya
terpanah kepada skrin TV besar di sudut tepi Restoran Anando. Aziz menoleh
untuk memastikan perlawanan bola sepak yang disiarkan di TV. Melihat sahaja aksi
pemain-pemain bola sepak yang tangkas menyepak bola, serta-merta dia beralih
tempat duduk supaya lebih selesa menontonnya.
Pasukan Argentina beraksi
dengan pasukan England. Peminat-peminat bola sepak mulai memenuhi ruang tempat
duduk yang kosong. Sekejap sahaja tidak ada satu pun tempat duduk yang kosong.
Baik di dalam mahupun di luar restoran.
Menonton perlawanan bola
sepak sambil makan mi goreng yang enak. Aziz yang memesan kuetiau goreng juga begitu
berselera sekali menikmati makanan itu. Manakala Jeffri sudah lama selesai
menikmati nasi gorengnya.
Sedang leka menonton
perlawanan bola sepak, mata Zakuan terpaku pada sesusuk tubuh yang amat
dikenalinya sedang berjalan beriringan dengan beberapa orang wanita dan lelaki
separuh umur, lebih kurang sebaya bapanya. Ditenyeh matanya berkali-kali. Tenyata
dia tidak bermimpi.
Pandangan Zakuan terpaku
pada gadis yang sedang berbual-bual dengan beberapa orang wanita dan lelaki di
situ. Mereka baharu keluar dari Hotel Vistana. Perlawanan bola sepak di TV
tidak menarik perhatiannya lagi.
Ya Tuhan! Aku tak
bermimpi. Gadis itu memang Nurain. Gadis yang kurindui selama ini. Tapi, buat
apa dia di sini? Bila dia pulang ke sini? Bukankah dia masih belajaq di London?
Ya, Allah. Pantasnya, masa berlalu. Patutkah aku menyapanya? Ah, lantaklah!
“Eh, hang pa duduk di sini
sekejap. Aku nak ke sana. Jangan ke mana-mana!”
Aziz dan Jeffri
terpinga-pinga melihat gelagat Zakuan itu. Mereka mengekori langkah Zakuan
menuju ke arah sekumpulan lelaki dan wanita di hadapan Hotel Vistana dengan
ekor mata. Di hati mereka terdetik pertanyaan. Buat apa Zakuan ke situ?
“Apa kena dengan Wan tu?
Dia kenai ka perempuan tu?” tanya Jeffri, memecah keheningan yang hadir di
antara mereka.
“Cuba hang teliti
betui-betui. Aku rasa aku kenai perempuan cantik tu,” jawab Aziz pula.
“Yang mana satu? Aku
tengok lebih kurang sebaya mak aku, kakak aku je. Hang biaq betui!”
“Hang tengok sebelah mata
ka apa? Yang muda-muda la. Isy, hang ni bikin suspenssaja. Ada ka Wan nak ngorat perempuan sebaya mak dia.”
Jeffri mengekek ketawa. “Mata aku tersilap pandangkah?”
Jeffri bertanya lagi.
“Ah! Dahlah.”
Kalau betullah matanya
tidak menipu, musnahlah harapannya. Dia punya agenda mengajak rakan-rakan
serumahnya itu makan di luar. Dia ingin merekomenkan Zakuan dengan adik
sepupunya yang baharu keluar dari Universiti Sains Malaysia. Sementelah dia
berkenan dengan perilaku Zakuan yang setia dan berpenampilan menarik itu. Oleh
sebab itulah dia merahsiakan dahulu rancangannya itu. Kononnya hendak surprisekan rakan-rakannya. Kini sebaik
melihat kelibat gadis cantik di hadapannya itu, terbang entah ke mana idea gila
yang diciptanya itu.
**********
PULANG dari Restoran Anando, lebih kurang jam 11 malam, Zakuan terus
membersihkan diri. Dia mahu segera menunaikan solat isyak. Selepas itu, dia
duduk berlunjur di atas katil. Matanya masih belum mengantuk. Terkebil-kebil
matanya memandang siling bilik. Peristiwa di hadapan Hotel Vistana kembali
berlegar-legar di ruang benaknya.
Setelah mengamati gadis tersebut
bergerak agak jauh dari sekumpulan lelaki dan wanita itu, Zakuan menyapa. Ternyata
sapaan itu menyebabkan gadis tersebut terperanjat. Lama mata mereka bertatapan.
Sukar ditafsirkan dengan kata-kata.
“Er, kalau tak salah Ain,
ini Zakuan, kan?” tanya Nurain apabila menyedari keadaan mereka itu.
Zakuan tersenyum. Ternyata
telahannya benar. Rasa bangga menyelinap masuk jauh ke ruang nubarinya kerana
gadis itu masih mengingati dirinya.
“Memang tak salah lagi.
Bila balik dari London? Rasanya dah lebih lima tahun kita tak jumpa,” jawab
Zakuan.
“Dah hampir tiga minggu
dah. Tak sangka ya, kita berjumpa lagi.”
“Ain buat apa kat sini?”
“Ikut abah. Ada seminar
perniagaan. Umi tak dapat ikut. Jadi, Ain kenalah ganti tempat umi. Lagipun
untuk persediaan Ain jugak dalam urusan pekerjaan Ain nanti,” terang gadis itu
panjang lebar. Dia masih ramah seperti dahulu. Malah, penampilannya juga turut
berubah. Dari kaca mata Zakuan, Nurain lebih anggun dan bergaya sesuai mengikut
peredaran masa.
Zakuan menunduk seperti
memikirkan sesuatu. Dia ingin berbicara lagi dengan Nurain. Namun, dia tidak tahu
apa yang ingin dibicarakan dengan gadis itu.
“Ain rasa abah dah nak
balik. Bila kita boleh berjumpa lagi ya? Banyak perkara yang nak Ain bualkan
dengan Wan,” ujar Nurain sambil mengerling wajah bapanya sekilas.
Zakuan kembali ke alam
nyata. “Berapa nombor telefon Ain? Nanti Wan call.”
“012-4433012.”
Segera Zakuan menyimpan nombor itu di dalam telefon
bimbitnya.
“Ain!” tegur seseorang
tidak jauh dari mereka.
“Abah! Kenalkan kawan
sekolah Ain masa di Tingkatan Empat dulu. Zakuan namanya.”
Zakuan berjabat tangan
dengan bapa Nurain, Encik Ghazali yang masih nampak handsome dari kaca matanya.
“Asal mana?” tanya Encik
Ghazali sekadar berbasa-basi.
“Saya orang Taiping. Dah
habis belajaq, berhijrah ke Sungai Petani. Kerja di Berkat Perwira Enterprise
sebagai Juruteknik Komputer,” jawab Zakuan lagi.
“Emm... I see.”
“Tak silap Ain, Wan minat
bidang IT. Tak cuba mohon jawatan sebagai arkitek dalam bidang multimedia?”
Sudah lama dia akui minat dalam diri anak muda itu menjurus ke arah membaik
pulih komputer. Bukan itu sahaja. Dia juga berkebolehan melukis pelan. Baik
dalam bidang perkomputeran mahupun pembinaan.
“Alah, Ain. Macam tak tahu
zaman sekarang susah nak cari kerja. Kalau terlampau memilih kerja, sampai
bila-bila pun tak maju,” kata Encik Ghazali.
“Yalah. Cakap pak cik tu
betui. Saya ingat nak kumpul modal, kemudian cuba-cuba berniaga sesuai dengan
kos yang saya ambil masa belajaq dulu.”
“Baguih idea kamu tu. Pak
cik kagum dengan kamu yang berpandangan jauh. Jarang anak muda sekarang
memikirkan masa depan. Harap berjaya hendaknya.”
“Terima kasih, pak cik.”
“Okeylah, Wan. Kita jumpa
lagi. Senang-senang, datanglah ke rumah pak cik di Bukit Mertajam. Tak jauh. Lebih
kurang 45 minit dari sini ikut highway,” sambung Encik Ghazali.
“Insya-Allah, pak cik.
Hati-hati di jalan raya.”
Dalam kesempatan bertemu
Nurain pada malam itu, Zakuan sebenarnya tidak menyangka dapat berkenalan
dengan bapanya yang peramah. Dia menyenangi lelaki itu. Setahu Zakuan, bapa Nurain
seorang ahli perniagaan dalam bidang kesihatan. Syarikatnya menghasilkan produk
kesihatan berasaskan herba. Wajah Encik Ghazali pernah terpampang di dada
akhbar dalam ruangan wawancara bersama ahli perniagaan berjaya. Jadi, tidak
hairanlah Nurain memilih subjek pentadbiran perniagaan sebagai melengkapkan
diri dengan ilmu perniagaan.
Nurain dan Nurin Amira,
dua orang wanita yang tidak jauh beza yang berjaya menggetarkan debaran di
dadanya. Kedua-duanya lemah lembut, sopan santun, berbudi bahasa dan pandai
mengambil hati. Cuma Nurain lebih bergaya berbanding Nurin Amira yang ayu
dengan penampilannya yang tersendiri. Nurain juga agak agresif orangnya
berbanding Nurin Amira. Mungkin juga tinggal berjauhan di perantauan mengajar
dirinya hidup berdikari dan segala-galanya dilakukannya sendiri.
Dalam masa yang sama juga,
wajah lelaki misteri berjubah putih yang baharu ditemui di Pantai Merdeka
petang tadi juga sekali lagi berlegar di ruang fikirannya.
“Kadang-kadang Allah sembunyikan matahari, Dia datangkan hujan petir.
Kita bersedih dan tertanya-tanya ke mana hilangnya matahari? Rupa-rupanya,
Allah nak menghadiahkan kita pelangi yang indah. Allah berikan kita kesusahan
dan rintangan sebab dia hendak memberikan kesenangan sekiranya kita terus tabah
dan berusaha.” Terngiang-ngiang di telinganya kata-kata azimat yang diucapkan
oleh lelaki berjubah itu. Terfikir dibenaknya kenapa dia dipertemukan dengan
lelaki itu.
Ya Allah. Hikmah apakah
ini? Siapa lelaki itu? Ghaib begitu saja sebaik saja aku nak tahu lebih lanjut
maksud kata-katanya tadi.
Zakuan kebingungan. Akhirnya,
dia membaringkan tubuhnya di kepala katil sambil menatap siling kamarnya.
**********
AZIZ teragak-agak hendak mengetuk pintu bilik Zakuan. Dia
ingin berbicara dengan temannya itu. Sejak pulang dari Restoran Anando tadi,
Zakuan langsung tidak keluar dari bilik sebaik selesai solat. Hati lelakinya
berdetik hairan. Hendak juga tahu kehadiran Nurain di hadapan Hotel Vistana
itu. Namun, Zakuan langsung tidak memberinya peluang bertanya dengan lebih
lanjut. Apa sebenarnya yang mengganggu fikiran temanku itu?
“Apa hal?” tegur Jeffri.
“Tak! Aku pelik tengok
kawan kita tu.”
“Pelik macam mana?”
“Hang ni... tak prihatin
langsung. Hang tak perasan ka sejak balik dari restoran tadi, lain macam aku
tengok Si Wan tu,” jawab Aziz sambil melangkah menuju ke sofa.
Jeffri menggaru dagunya
yang tidak gatal. Rasanya tidak ada yang pelik berkaitan Zakuan di matanya.
“Hang tersalah pandang
agaknya. Atau hang nak tau gerangan perempuan cantik yang Wan jumpa tadi, kan?”
teka Jeffri.
“Ada pulak.”
“Nak pi mana tu!”
“Nak masuk tidoq la. Esok
kerja. Tu tak nampak jam di dinding dah pukul berapa?”
Jeffri mengerling jam di
dinding. Dah 12.30 malam. Meskipun sudah lewat malam, dia sukar melelapkan mata.
Mungkin juga penangan kopi O tadi buat dia sukar untuk melelapkan mata. Dia
tidak perlu bangun awal kerana esok waktu kerjanya sebagai tukang masak di
salah sebuah restoran tidak jauh dari kawasan rumah sewanya, pada pukul 1.00
petang. Jadi, dia punya banyak masa pada waktu pagi sebelum pergi kerja. Entah
jam berapa dia terlelap di sofa, dia sendiri tidak sedar. Sedar-sedar sahaja suis
TV yang dibukanya tadi sudah dimatikan. Berasa selesa tidur di sofa mematikan
niatnya untuk bangun masuk ke bilik. Sudahnya, dia tidur meringkuk di atas
sofa.