Bab 21
NURAIN menghela nafas panjang. Buat pertama kalinya dia duduk
di kerusi pengarah yang dahulunya diduduki abahnya sendiri selaku Ketua Pengarah
Beauty Crystal Network Sdn Bhd. Sekembalinya dari bercuti di kampung rumah ibu
saudaranya, dia membuat keputusan untuk bekerja di syarikat milik orang tuanya.
Dia beranggapan ada baiknya menerima perlawaan abah untuk bekerja di
syarikatnya. Lagipun syarikat itu nanti akan diwarisinya juga. Hendak
diharapkan adik lelakinya, adiknya itu baru sahaja menduduki SPM. Hanya dia
yang kini menjadi harapan keluarga. Dia cuma ada seorang adik lelaki. Sebagai
anak sulung, dia rasa sudah sampai masanya dia membantu keluarga menguruskan
perniagaan.
Hampir sebulan mencari
kerja di tempat lain tidak menampakkan perubahan pun. Penat ke sana ke mari
menjaja segulung ijazah yang bagaikan tiada makna pun pada orang lain. Namun,
begitu bererti buatnya kerana berjaya meraih ilmu yang menjadi dambaan setiap
orang. Bukan semua orang dapat mencapai matlamat hidup. Bukan semua orang berjaya
meraih impian dalam hidup. Bukan semua orang mencapai hasrat memenuhi tuntutan
agama menuntut ilmu selagi terdaya. Ramai orang yang punah impian di
pertengahan perjalanan. Banyak sebab orang gagal dalam kehidupan. Gagal kerana
kemiskinan, tuntutan duniawi, tuntutan masa dan tenaga, malah halangan pihak
keluarga juga.
Dia bersyukur ke hadrat
Ilahi kerana diberi kesempatan meraih impian keluarga. Dia bangga kerana
menjadi kebanggaan orang tua. Malah, didikan ibu dan bapa jugalah berjaya
membawa dia menuntut ilmu di perantauan.
Beauty Crystal Network Sdn
Bhd ialah sebuah syarikat yang mengeluarkan produk kosmetik. Setelah
bertahun-tahun kejayaan orang tuanya membangunkan syarikat ini, kini sudah
mampu meraih keyakinan pelanggan dengan produknya yang berkualiti tinggi
setanding jenama kosmetik terkenal lain.
Merangkap Pembantu
Pengarah Urusan, segala-galanya perlu dilakukan sendiri. Dia perlu belajar dari
bawah. Banyak perkara yang perlu diambil tahu. Sebagai seorang pembantu
pengarah dia perlu tahu soal kewangan dan pengurusan syarikat.
Dia sedar selama
membangunkan syarikat ini, pelbagai rintangan dan dugaan telah ditempuh oleh
orang tuanya dalam usaha untuk memajukan perniagaan. Kini menjadi
tanggungjawabnya untuk mengambil alih tugas berat itu. Tidak hairanlah kenapa
selama ini abah begitu beria-ia mahu dia melengkapi diri dengan ilmu dan
kemahiran untuk berniaga supaya suatu hari nanti dapat memajukan lagi
perniagaan keluarga ini.
Hari pertama bekerja
sungguh memenatkan. Nurain duduk bersandar di kerusinya ketika abahnya datang
mengajaknya pulang.
“Hai.. dear!”
“Hai.... abah.”
“Penat!”
“Mestilah, bah. Sakit
semua jari-jari ini menaip proposal yang abah minta itu. Harap-harap memuaskan
hati abah nanti.”
“Kenapa tak minta Sofia saja
yang menaip proposal tu? Untuk apa ada pembantu jika tidak diberi kerja
kepadanya.”
Tugas yang tidak seberapa itu aku boleh buat sendiri.
Abah ni rasanya sekadar nak menduga aku sejauh mana tumpuan aku pada kerja hari
ini.
“Alah, bah! This is small matter! I can do it.” Aku mengukir senyuman paling
manis buat abah. Dan aku percaya abah tak mungkin akan meragui segala hasil
kerjaku ini. Aku akan cuba menjadi kebanggaan keluarga buat selama-lamanya.
Senyuman Nurain terus
terukir di bibirnya.
***************
MALAM itu, setelah selesai makan malam bersama keluarga, Nurain
duduk bersantai di ruang keluarga. Bantal kecil yang bersusun di atas sofa
dicapainya. Kemudian melemparkannya ke atas ribaan adik lelaki nan seorang itu.
“Akak ni, saja nak
mengganggu mood orang,” ngomel Nurman
menampakkan kurang senang kerana diganggu oleh kakaknya itu.
Nurain seronok menyakat
adiknya itu. Selama beberapa tahun ini, amalan kesukaannya itu jarang dapat dilakukannya
kerana keadaan tidak mengizinkan dia berbuat demikian. Lima tahun di luar
negara, seingat dia lima, enam kali dia pulang ke tanah air.
“Dari tadi melamun. Apa
diingatnya, tak taulah.”
“Jeolousla tu.... “ Giliran Nurman pula melemparkan bantal kecil itu
kepada Nurain. Nurain menjegilkan matanya kepada Nurman. Kemudian matanya
kembali ke skrin TV yang sedang menayangkan siri Impak Maksima.
“Agaknya adik tengah
berangan naik kereta tu, kan?” Dia berpaling memandang adiknya yang tersengih
malu. “Ala, tak payah nak selindung daripada akak la. Sekilas ikan di air, akak
tau jantan betinanya, tau.” Ada-ada sahaja idea Nurain untuk menyakat adik
lelakinya itu.
Nurman menjeling kakaknya.
Geram. Tetapi, seronok pun ada. Boleh la dia bermanja dengan kakaknya itu.
Tidak lama, sekejap pun jadilah. Dia tersengih lagi.
Gedebuk!
“Akak ni kenapa?”
Nurain sempat mengelak apabila bantal yang dilemparkan ke
arah adiknya kembali dilempar ke arahnya. Dia terkekeh ketawa melihat telatah
adiknya itu. Sedikit terhibur. Sudahlah tersengih sendirian, sesiapa pun akan
tertarik hendak mengusik.
“Kamu tu dari tadi tersenyum-senyum, apasal pulak?”
“Suka hati orang la. Nak senyum pun tak boleh.” Nurman
pura-pura merajuk.
Puan Aina dan suaminya
datang menghampiri anak-anak mereka. Turut serta menonton TV. Biasanya, pada waktu
beginilah mereka berkumpul bertukar-tukar pendapat tentang isu-isu semasa dan
mendengar masalah yang dihadapi anak-anak mereka. Biar sesibuk mana pun mereka,
keluarga tetap menjadi keutamaan. Masa terluang yang ada itulah dipergunakan
sebaik mungkin.
“Ain. Abah tengok kamu
dari tadi macam memikirkan sesuatu aja. Ada problem
kat tempat kerja ka?”
Nurain tersentak. Dia
merenung abahnya dengan dahi berkerut.
“Tak ada, abah. Cuma...
ingatan Ain ni tak sudah teringatkan Mira. Ain kesiankan dia. Dia tak bersalah.
Kenapalah pak ngah tak selidik dulu. Pakai main hentam dengaq apa orang kampung
cakap,” luah Nurain. Simpatinya pada sepupu kesayangan tidak akan berkesudahan
selagi nyawa dikandung badan.
“Abah rasa ada hikmahnya
atas apa yang berlaku. Pak ngah pun agaknya pada waktu tu stress. Terperanjat pun ada. Yelah.... siapa yang tak marah? Abah
pun kalau anak abah buat perkara tak senonoh macam tu pun abah melenting.”
“Tapi, takkanlah sampai
nak mengorbankan masa depan anak sendiri. Mira tu Aina faham sangat
perangainya. Baik budaknya. Najib tu tak sesuai langsung digandingkan dengan
dia.” Ternyata Puan Aina juga bersetuju dengan pendapat anaknya.
“Apa yang abah tak tau
yang Ain dan umi tau?” ujar Encik Ghazali sambil mengerutkan dahinya.
“Mira tu difitnah. Yang
membawa fitnah tu, Najib anak Abang Mail sendiri. Dah lama dah budak tu tergila-gilakan
Mira tu. Dah tau Mira tu budaknya lurus dan jujur, apa lagi ambil kesempatanlah
dia.”
“Mana umi tahu semua
cerita ni?” Nampaknya Encik Ghazali semakin berminat membicarakan perihal anak
buahnya itu.
“Mira tu kan sepupu Ain.
Kalau tak kerana Nisha yang beritau, sampai hari ini Ain tak tau apa cerita.
Mira tu dah ada teman lelaki. Mak ngah pun pun berkenan dengan budak lelaki tu.
Tapi, siapa sangka nak jadi macam ni,” jelas Nurain.
Serta-merta ingatannya
terhadap Zakuan hadir menyesak fikiran. Kenangannya zaman persekolahan dahulu
kembali berlegar-legar di ruang fikiran. Lapan tahun tidak bertemu. Namun,
dengan kuasa-Nya, mereka dipertemukan lagi dalam keadaan yang cukup berbeza. Di
mana dia masih sendiri, sedangkan Zakuan pernah menjalin kasih dengan Nurin Amira.
Namun, dia tidak tahu apakah masih ada rasa itu di hati Zakuan? Apakah masih
ada cinta Zakuan untuk Nurin Amiira setelah Nurin Amira berkahwin dengan lelaki
lain?
Nurman yang sedari tadi
cuma menjadi pendengar, kini mengambil kesempatan mengusik kakaknya pula. Akal
jahat menerpa fikirannya. Sebiji bola getah lembut yang memang menjadi
perhiasan mama di dalam bekas kaca di dalam almari diambil. Lantas segera dia
melemparkan bola getah lembut itu ke atas ribaan kakaknya.
“Opocot! Mak hang. Cicak
jatuh, umi!”
Nurain terjerit kecil. Nurman ketawa. Giliran dia pula
terhibur melihat kakaknya terperanjat begitu. Orang tua mereka hanya mampu
menggeleng.
“Nurman! Tak habis-habis
mengusik kakak,” tegur Puan Aina.
“Kakak yang mula dulu. Umi
tak boleh salahkan Man.”
Alah! Hang pa dua beradik ni
dua kali lima la. Tak boleh berjumpa. Ada-ada saja,” celah Encik Ghazali pula.
“Itu la, Man. Kacau daun
aje. Padan muka!”
Nurain yang tidak berpuas hati apabila topik perbualan
mereka anak-beranak tergendala dek kerana lawak bodoh adiknya itu, berlalu ke
dalam bilik. Dia tidak ambil peduli butir bicara yang dibualkan oleh orang
tuanya selepas itu.
Bersendirian di dalam
bilik, ingatan terhadap Zakuan kembali menjengah di ruang fikirnya. Setiap kali
wajah itu menerpa, serta-merta rindu hadir mencengkam. Sengsaranya hati cuba
mengusir pergi rasa aneh yang mungkin kembali bermukim di hati. Dia melepaskan
keluhan berat sambil memejamkan matanya rapat-rapat.
Sebagai seorang wanita
yang kini menginjak usia pertengahan 20-an, yang sedang melewati usia
kedewasaan faham akan situasi yang dialami lelaki itu. Mungkin benar telahannya
yang Zakuan masih menyimpan perasaan terhadap Nurin Amira. Zakuan seorang lelaki
yang setia. Tidak mudah beralih cinta kepada perempuan lain.
Gambar dan surat-surat
kiriman lelaki itu masih ada dalam simpanannya. Perasaan aneh itu masih ada
untuk lelaki itu. Buktinya sebaik sahaja bertatapan mata buat kali pertama
bertemu setelah lapan tahun tidak bersua muka, dadanya berdebar-debar secara
tiba-tiba. Namun, dia tidak tahu apakah dia hanya bertepuk sebelah tangan? Tidakkah
ada sekelumit pun perasaan cinta di hati lelaki itu untuknya? Jikalau ada,
mungkin juga cinta kepada sahabat. Dia masih ingat ungkapan seorang teman
ketika di London dulu. Di mana ada cinta, di situ adanya persahabatan. Dan di
mana ada persahabatan, di situ ada cinta.
Wan! Cepatnya masa
berlalu. Kau dah banyak berubah. Semakin segak dan kacak. Tapi, bukan itu yang
kupandang. Masih ingat lagikah akan hubungan persahabatan yang terjalin di
antara kita? Aku tak salahkan kau. Keadaan telah memisahkan kita. Waktu itu aku
lebih kepada memenuhi kehendak abah yang mahu aku melanjutkan pelajaran di perantauan.
Walaupun aku di kejauhan tidak pernah sekali pun aku lupa pada kenangan kita
yang sebentar cuma itu. Masih lagi segar di ingatan. Aku tidak tahu mengapa dan
kenapa mudah benar tertarik padamu. Padahal itulah kali pertama bertemu semasa
di pasar raya Parkson itu.
Telefon bimbitnya itu
tiba-tiba berdering. Terus berlalu segala kenangan yang datang bertandang.
Segera diangkatnya telefon itu.
“Hello! Assalamualaikum.”
“Waalaikumsalam. Boleh
saya bercakap dengan Ain?”
“Ain di sini. Maaf. Dengan
siapa saya bercakap ni?’
“Wan di sini. Teman Ain
masa di tingkatan empat dulu. Masih ingat lagi?” Berdebar-debar hati Nurain
tiba-tiba. Langsung dia tidak menyangka Zakuan sudi menelefonnya.
Ya Allah! Ingat siapa la
tadi. Macam tau saja orang ingat dekat dia. Senyuman terus terpamer di
bibirnya.
“Sorry mengganggu.”
“Tak ada la. Wan tengah
buat apa tu?”
“Tengah bercakap dengan
Ain. Tak ada kerja, kan. Nak menonton dah puas dah. Tak ada cerita best.”
“Oh, iye ke?” Sempat lagi
hendak bergurau denganku. Ah, sudah! Aku pulak mati kata berbicara denganmu.
“Ain sibuk ke? Kalau sibuk,
Wan letak telefon ni.”
“Tak ada la sibuk. Saja dok
belek majalah yang baru dibeli siang tadi. Sebelum tidur, itu la yang Ain
buat.”
Tanpa sedar, mereka berkongsi pengalaman selama lapan
tahun tidak bersua muka. Banyak perkara yang dibualkan. Sesekali mereka ketawa
bersama. Itulah yang selama ini dirindui Nurain. Jadi, tidak hairanlah selama
lapan tahun dia masih bersendirian tanpa teman istimewa di sisi. Bukan tidak
ada yang sudi. Dia sahaja yang belum bersedia. Namun, sebagai seorang perempuan
tidak mungkin dia memecah tradisi. Bertanya sesuatu yang tidak pasti kepada
lelaki yang selama ini membisu hampir lima tahun lalu.
Entah jam berapa terlelap,
Nurain tidak sedar. Sedar-sedar sahaja jam sudah berdenting tujuh kali. Azan subuh
sudah lama berkumandang. Tergesa-gesa dia bersiap untuk pergi ke tempat kerja.
Baharu dua hari bekerja, dia tidak mahu dikomen yang bukan-bukan oleh
pekerjanya. Maklumlah sebagai anak bos, kreadibiliti harus dijaga jika mahu dihormati
pekerja.
Dan senyuman pun terus
mekar terukir di bibir. Berseri sekali bak puteri yang baharu disunting oleh putera
raja.