BAB 18
SEMALAMAN Zakuan tidak dapat melelapkan mata mengenangkan nasibnya
yang agak malang. Insan yang dicintai menjadi milik orang. Satu persatu
nostalgia cintanya mulai singgah di kamar hatinya. Dicapainya album kecil yang
diisi gambar-gambar Nurin Amira yang masih tersimpan rapi dari dalam almari
kecil di sebelah katil bujangnya. Nurin Amira seorang gadis sempurna di
matanya.
Dibelek-belek
gambar-gambar itu. Namun, gambar yang direnung tidak mampu mengusir rindu yang
mula bertamu. Abang rindukanmu, rindukan kemesraan kita yang lalu. Maafkan
abang kerana tidak mahu mendengar penjelasanmu, katanya dalam hati.
Dia mengimbas
kembali setiap detik tatkala bersama wanita itu. Lagaknya yang sentiasa
tersenyum apabila disapa, sikap mudah mesranya yang begitu menyenangkannya mengundang
duka nestapa di hati.
‘Mira. Jikalau
aku memahamimu, alangkah baiknya. Jikalau aku mendengar penjelasanmu dulu,
tidaklah aku jadi seperti ini. Jikalau aku menyegerakan lamaranku, tidaklah aku
lemas menanggung rindu begini. Jikalau….., ah! Buntu fikiranku, Mira. Maafkan
aku kerana berlaku tidak adil kepadamu, bisik hati kecilnya.
Zakuan
tidak sedar sejak bila air matanya begitu murah menitis membasahi pipinya malam
itu. Di luar rumah gerimis hujan yang turun seakan-akan turut merasakan hiba
yang berlagu di hati.
Zakuan tidak dapat melelapkan matanya.
Justeru itu, dia bangun mengerjakan solat sunat dan tahajjud untuk mendamaikan
hatinya. Selepas itu, dia berasa sedikit tenang. Akhirnya, dia terlena juga
dengan harapan yang tidak pasti.
************
DERINGAN telefon pada pagi minggu yang dingin itu mengejutkan
Zakuan dari tidur yang lena. Sengaja dia merebahkan diri sebaik selesai
mengerjakan salat subuh. Dia memandang jam loceng di birai katil. Hampir jam
9.00 pagi. Dia membuat sedikit regangan dan senaman mudah sambil mindanya
menerawang memikirkan hasrat Nurin Anisha yang beria-ia hendak bertemu
dengannya di Bandar Sungai Petani sekitar jam 3.00 petang.
Semenjak dia memutuskan perhubungan
dengan Nurin Amira sebulan lalu, belum pernah sekali pun dia bertemu dengan
Nurin Anisha. Bukan dia tidak mahu berjumpa. Dia seboleh mungkin ingin mengelak
daripada mengingati kenangan masa lalu. Biarpun sukar baginya memulakan
kehidupan baharu, hidup perlu diteruskan. Dalam waktu terdekat, tidak akan ada
pengganti Nurin Amira. Itu janjinya pada diri sendiri.
Panggilan Aziz yang menjemputnya untuk
bersarapan pagi, melenyapkan kerinduan yang bertamu di kamar hatinya.
“Sedapnya bau! Siapa masak ni?” Zakuan
tercium bau nasi beriani dari arah dapur.
“Ye...
sedap. Memang sedap, sebab pagi-pagi lagi aku sudah terjenguk di Beriani
Bestari tu. Tolong masak dan tolong tambah apa yang patut,” jawab Aziz pula.
Jeffri
terkekeh-kekeh ketawa. Faham benar dia akan kegemaran kawannya yang satu itu.
Setiap minggu kalau tidak merasa nasi beriani, tidak sah dibuatnya. Terasa ada
yang kurang dalam hidup sahabatnya itu.
“Aku rasa kalau hang masak tak ada orang yang sudi makan
termasuk hang sekali. Nak memasak konon, piiirah....”
“Eh,
Jeff... cakap jangan sebarang cakap. Satu hari nanti aku bukak warung nasi
beriani, baru hang tau.”
“Okey....
Aku nak tengok sama ada benar-benar akan berlaku atau hang hanya bermimpi di
siang hari.” Jeffri tidak bermaksud hendak menyakiti hati rakannya itu. Dia
sekadar mahu menyakat sejauh mana cita-cita sahabatnya itu.
“Wait
and see,” kata Aziz,
kemudian berlalu ke ruang tamu. Walaupun dia tahu Jeffri bergurau dengannya,
namun, sedikit sebanyak tersentuh juga hatinya dipersenda begitu.
“Apa la
hang ni, Jeff. Kecik hati kawan kita tu,” celah Zakuan.
“Aku
saja nak menyakat dia. Tak ada niat apa-apa pun. Salah ke?”
Zakuan
menjungkit bahu. Enggan terlibat dengan drama sebabak teman-teman serumahnya
itu. Ada sesuatu yang menjadi tanda tanya yang bermain di fikirannya kini.
**********
SEBAIK sahaja selesai menghadiri kelas tambahan bahasa Inggeris
pada pagi minggu tersebut, Nurin Anisha mempercepatkan langkah bertemu dengan
kakak sepupunya. Semalam Nurain setuju keluar dengannya bertemu seseorang. Dia
ada hajat besar untuk disampaikan kepada bekas teman lelaki kakaknya itu.
Panggilan
Hafiz tidak diendahkan. Teman sekolahnya itu turut sama mengambil kelas
tambahan di Grafik Unggul.
“Nisha!
Lajunya... Kenapa tak menyahut? Bagai nak terkeluaq anak tekak Hafiz ni
memanggil Nisha. Nisha buat-buat tak dengaq pulak,” kata Hafiz sebaik sahaja
dapat mengejar Nurin Anisha.
“Nisha
nak cepat la, Fiz. Nisha ada janji dengan orang.”
“Kalau
ya pun, bagitau la Fiz. Boleh Fiz temankan.”
Langkah Nurin Anisha terhenti. Dia memandang muka Hafiz.
“Tak
boleh, Fiz. Ini woman secret. Fiz balik la dengan kawan-kawan yang lain,
ye. Lain kali kita balik sama-sama, ya,” pujuknya.
“Dating
dengan pak we baru ke?” Hafiz sekadar menduga teman baiknya itu.
“Come
on la, Fiz. Kita masih student lagi. Cintan-cintan tak main la. Tunggu
lepas sekolah, okey! Fiz! Pleasee...” pujuk Nurin Anisha lagi. Hafiz
tidak jadi menarik muka masam.
“Hati-hati.”
Sayup-sayup
sahaja kata-kata terakhir Hafiz di pendengaran Nurin Anisha. Dia mempercepatkan
langkah. Dia tidak mahu kakak sepupunya itu tertunggu-tunggu kehadirannya. Dia
menyumpah-nyumpah dalam hati, melihat telatah beberapa orang remaja lelaki
melepak di kaki lima jalan.
Namun,
Nurin Anisha berasa hampa. Kelibat kakak sepupunya belum kelihatan. Sia-sia sahaja
dia mempercepatkan langkahnya tadi. Lima minit menunggu di kaki lima, sebuah
kereta Proton Wira betul-betul berhenti di hadapannya.
Nurin
Anisha masih lagi menarik muka masam ketika Nurain memandu menuju ke tempat
yang dijanjikan untuk bertemu Zakuan.
“Hei! Senyumlah
sikit. Akak bukan sengaja datang lambat. Akak ada hal tadi.” Nurain mengerling
adik sepupunya itu.
“Nanti
abang kesayangan Nisha tengok Nisha muram macam ni, tak ke malu.”
“Okey...
I know. Buruk kan muncung Nisha macam ni.” Nurin Anisha merapatkan
bibirnya ke sisi kakak sepupunya.
Nurain
ketawa. Perangai tak pernah berubah. Kuat merajuk bebenor, katanya dalam hati.
Nurain
mencari tempat parkir, sementara Nurin Anisha diturunkan dari keretanya
berdekatan cyber cafedi bandar KB.
Nurin
Anisha terpandang Zakuan sudah menunggu di dalam restoran McDonald. Dia sedang
membaca Mingguan Malaysia.
“Assalamualaikum.
Maaf, bang. Saya lambat sikit,” sapa Nurin Anisha.
“Waalaikumusalam.
Never mind,” jawab Zakuan. Dia
memandang gadis manis yang duduk bertentangan dengannya itu. Sekilas terbayang
Nurin Amira. Masing-masing mempunyai kecantikan yang tersendiri. Dia tersenyum.
“Kenapa
pandang Nisha macam tu? Ada yang tak kena ke muka Nisha ni atau ada apa-apa
yang lucu ke di mata abang?” tanya Nurin Anisha, hairan melihat lelaki itu
tiba-tiba sahaja mengukir senyuman.
“Tak ada
apa. Saja pandang sebab lama tak jumpa. Emm... ada apa nak jumpa abang ni?”
Tanpa berlengah-lengah lagi Zakuan bertanya.
“Apa kata Nisha order makanan dulu? Kemudian baru
Nisha cerita. Boleh?”
“Boleh,
boleh. Abang belanja, ya.”
“Okey. Kalau
macam tu, bagi Nisha dua biji burger daging, kentang goreng, dan Milo ais dua
gelas.”
Berkerut
dahi Zakuan apabila Nurin Anisha memesan makanan untuk dua orang. Padahal dia
baru sahaja menghabiskan sebiji Burger King. Dia terpaksa beratur menunggu
giliran memandangkan ramai pelanggan sedang menanti giliran masing-masing.
Nurin
Anisha menggamit Nurain apabila menyedari kakak sepupunya itu tercari-cari
kelibatnya di dalam restoran McDonald itu. Mereka berbual mesra tanpa menyedari
gelagat mereka sedang diperhatikan.
“Hai....”
Nurain terpaku memandang wajah
Zakuan. Buat seketika fikirannya terbayangkan wajah kacak keanak-anakan yang
dikenalinya di alam persekolahan dahulu. Wajah di depannya itu saling tidak
tumpah wajah yang pernah dikenalinya dahulu. Dia terleka memandang wajah itu. Zakuan
tersenyum. Satu perasaan aneh menjalar ke ruang hatinya saat itu.
“Excuse
me!Akak dengan abang pernah berjumpa ke sebelum ni?” tanya Nurin Anisha
kurang senang dengan gelagat yang menjengkelkan di matanya itu.
“Ya...
10 tahun yang lalu. Masa tu akak tercicir dompet di pasar raya Parkson. Abang
Zakuan nilah yang menjumpai dompet akak tu. Kalau tak, tak taulah apa jadi.
MyKad, kad bank, dan kak kredit semua ada dalam dompet tu,” terang Nurain.
“Akak
cuai sangat,” ujar Nurin Anisha sambil memerhatikan mereka berjabat salam.
“Pertemuan
kami tidak terhenti di situ saja. Akak berpindah sekolah selepas itu. Waktu tu kami
duduk dalam satu kelas,” sambung Nurain.
“Wan ingat
lagi. You ni Nurain, kan? Ala, ion
lady cun yang mudah tersenyum tu. Rizal pun minat kat you.”
“Ye ke?
Kecik dunia ni, kan. Selepas lapan tahun tak jumpa, akhirnya Tuhan ketemukan
kita jugak. Wan pun dah banyak berubah sekarang. Ain patut berterima kasih pada
adik sepupu Ain ni. Kerana dialah Ain dapat jumpa member lama Ain kat sini.
Lagipun Ain sebenarnya dah nak balik Seberang Perai. Dialah nak sangat jumpa
dengan Wan nak menerangkan sesuatu yang selama ini Wan tak pasti,” ujar Nurain
lagi sambil mengerling sekilas wajah Nurin Anisha yang menunduk.
“Nisha! Come
on!”
Nurin
Anisha tidak tahu hendak memulakan dari mana. Justeru itu dia rela mendiamkan
diri. Apatah lagi menyaksikan drama di antara kakak sepupunya itu dengan bekas
kekasih kakaknya. Rasa tidak manis pula kalau asyik menyampuk perbualan mereka.
Mcam Jejak Kasih pulak, desis hati
kecil Nurin Anisha.
Kalau
aku tahu begini jadinya, tak ingin aku bawa Kak Ain temankan aku jumpa dengan Abang
Wan. Pulak tu, macam aku tak wujud di sini.
“Kenapa
ni? Diam pulak dia,” tegur Zakuan sambil meneliti wajah manis Nurin Anisha
sekali lagi.
“Sebenaqnya...
sebenaqnya...” Entah mengapa Nurin Anisha hilang punca untuk memulakan bicara.
Nurain mencuit paha adik sepupunya itu. Kalau diikutkan
rasa tidak sabarnya, mahu sahaja dia membuka mulut menerangkan apa yang telah
terjadi. Apabila memikirkan hubungan baik mereka selama ini, dia tidak mahu
mencampuri urusan Nurin Amira dengan Zakuan.
“Sebenarnya,
tentang Kak Mira. Kak Mira sebenaqnya terperangkap. Dia tidak pernah ada hati
terhadap Najib. Saja Najib yang terlebih-lebih. Selama ini akak menahan derita
seorang diri.”
“Mira!
Sepupu yang baik. Ain sangat sayangkan dia. Tak sangka pulak begini kesudahan
hidup dia. Kami bagaikan adik-beradik. Kalau tak kerana Nisha yang beritahu,
sampai bila-bila pun Mira takkan beritau Ain cerita memalukan ini. Emm... tak
sangka pulak dulu Wan coupledengan
sepupu Ain tu,” sampuk Nurain pula. Kesal datang bertimpa-timpa melihat Nurin
Anisha teragak-agak menceritakan perihal kakaknya.
Zakuan
tersenyum. Nurain masih tidak berubah. Biarpun lapan terpisah, sikap mudah
mesranya masih seperti dahulu. Cuma, dia terpegun melihat kejelitaan Nurain
yang kian terserlah.
“Wan pun
dah sedaq selama ini Mira tak bersalah. Tapi, Wan rasa dia boleh buat laporan polis ataupun ke pejabat
agama. Kes dia ni kes kahwin paksa. Wan tak pasti pulak sama ada sah atau tidak
perkahwinan dia dari segi undang-undang.”
Terkedu
Nurin Anisha mendengar hujah yang disampaikan oleh Zakuan itu. Tak menyangka sama
sekali rupa-rupanya Zakuan sudah tahu perihal kakaknya itu.
Kalau benarlah apa yang dikatakan oleh Abang Wan ni,
kesiannya Kak Mira.
Zakuan
pula berasa bersalah kepada Nurin Amira kerana selama ini telah memulaukan
gadis itu. Sikapnya yang berlaku tidak adil terhadap gadis itu, telah
menyulitkan keadaan lagi. Kalau tidak, dia boleh membantu gadis yang
dicintainya itu menyelesaikan masalah berat itu. Simpatinya kini kian
menggunung. Apatah lagi insiden di restoran tempoh hari buat dia bertambah
bersalah terhadap gadis yang pernah menjadi wanita istimewanya. Bukan dia
sengaja berlaga bahu dengan gadis itu. Dia tidak tahu dengan cara yang bagaimana
untuk dia meminta maaf daripada Nurin Amira.
Kasihan Mira.
Aku tak mampu menjadi teman yang baik.
Nurain menarik nafas panjang.
Mengamati wajah Zakuan. Kacak. Lapan tahun tidak berjumpa, lelaki itu sudah
jauh berubah. Daripada seorang budak lelaki yang pemalu, kini menjadi seorang
anak muda yang peramah. Kematangan fikirannya kian terserlah. Sayangnya hatinya
kini dimiliki seseorang yang sangat rapat dengannya. Terbayang wajah bujur
sirih milik Nurin Amira di ruang matanya. Pilu hatinya tiba-tiba mengenangkan
nasib yang menimpa gadis itu.