BAB
25
DUA jam sudah berlalu. Kini melewati jam 7.00 malam. Nurain
masih sibuk meneliti kertas-kertas cadangan daripada beberapa pengedar tetapnya
selama ini. Dia juga perlu memastikan formula yang akan digunakan nanti
benar-benar menepati kehendak pelanggan. Tambahan pula kepakaran yang dimiliki
uminya dalam bidang sains dan teknologi khusus dalam bioteknologi selain
pengalaman yang diperoleh ketika bekerja di institusi kewangan tidak lama dahulu
akan memudahkannya untuk membuat formulasi sendiri setelah menjalankan
penyelidikan yang mendalam terhadap produk kecantikan tersebut. Penyelidikan
serta pemerhatian yang terperinci perlu dibuat bagi menjamin produk yang
dihasilkan berkualiti sebelum dipasarkan.
Susulan daripada keutamaan
penggunaan herba dalam bidang perubatan, kini syarikatnya sedang giat berusaha
untuk menjadi pakar herba dalam bidang kecantikan dan kesihatan menerusi salon syarikat
milik uminya, Noraina Cosmetics. Perancangan yang dipersetujui ahli lembaga
pengarah yang terdiri daripada orang tuanya sendiri serta kakitangan di ibu
pejabatnya telah sebulat suara bersetuju untuk menambah produk herba pada tahun
ini selain lebih 20 jenis produk kesihatan yang telah sedia ada.
Dia telah berusaha untuk
menjadi pakar pengeluar produk berasaskan herba. Untuk menuju ke arah itu, dia
ingin bekerjasama bukan sahaja dengan pihak akademi, tetapi juga dengan
organisasi-organisasi farmaseutikal bagi memantapkan lagi rangkaian produk yang
sedia ada.
Pihak syarikat dari
bahagian pengurusan pengiklanan telah pun menghubungi pihak perladangan herba yang
diusahakan oleh anak jati Melayu yang artikelnya kerap tersiar dalam akhbar
untuk menjalinkan usaha sama dalam menghasilkan produk kesihatan dan kecantikan.
Pihak media juga pernah membuat liputan. Tujuan menambah produk ialah kerana
produk yang sedia ada belum mencukupi untuk melengkapkan kehidupan setiap
insan. Tambahan pula produk yang berunsur herba bukan sahaja baik untuk
kesihatan, malah untuk kecantikan dalaman juga.
Dia bangga kerana dapat
berkongsi minat dengan orang tuanya dalam perniagaan. Lebih-lebih lagi mereka
ada kepakaran masing-masing dalam bidang kecantikan dan kesihatan. Dengan usaha
gigih demi menghasilkan produk sendirilah, akhirnya Encik Ghazali berjaya
menubuhkan syarikatnya yang kini diterajui satu-satunya anak perempuannya.
Pokok-pokok herba yang
ditanam di ladang kenalan Encik Ghazali itu wajar dikormesialkan menjadi minuman
kesihatan dan amalan setiap hari supaya awet muda dan sihat tubuh badan baik
kepada kanak-kanak, remaja mahupun orang dewasa.
**************
MINAT berniaga semenjak bergelar anak dara membuatkan Puan
Aina sentiasa bekerja kuat untuk menjayakan salon yang diusahakan hasil
dorongan suaminya itu. Ramai kenalannya dari kalangan isteri tentera mengagumi
produk keluaran Beauty Crystal Network Sdn Bhd. Promosi yang dijalankan saban
hari menambah bilangan pelanggan datang mengunjungi salon miliknya itu.
Mujurlah dia ada empat orang pekerja yang membantunya di kedai. Jika tidak, dia
tidak menang tangan melayani kerenah pelanggan.
Melihat sambutan pelanggannya
yang setia, dia berazam menambah bilangan salon pada masa akan datang. Layanan
mesra yang diberikan kepada pelanggan benar-benar menarik mereka sentiasa
datang. Dia juga sering mengingatkan diri bahawa pelanggan itu umpama
rakan-rakannya. Dia menjadi pendengar yang baik kepada pelanggan. Biarpun,
salon itu baru sahaja bertapak dalam arena perniagaan herba dan kosmetik, ia
tetap mendapat sambutan hangat daripada pelanggan, terutamanya rakan sekolah
anak-anaknya, bekas teman sekerjanya, dan saudara-mara terdekatnya.
Syukur dia panjatkan
kepada Tuhan kerana berkat kesungguhan suaminya juga dan kecekapan pasukan
penyelidikan, akhirnya produk Beauty Crystal Network berada di pasaran sejak
lima tahun lalu. Tidak sia-sia usahanya selama ini menyemai minat di hati
satu-satunya anak perempuannya terlibat dalam perniagaan. Dia tidak takut pada
persaingan kerana yakin rezeki itu datang daripada Allah.
Hari itu Puan Aina
dikunjungi rakan lamanya ketika sama-sama menuntut di kolej dahulu, Puan Zaitun.
Puan Zaitun juga sering mengikuti perkembangan perniagaan Puan Aina daripada
rakan-rakan terdekat. Puan Aina berbesar hati atas kesudian Puan Zaiton mencuba
produk kesihatan keluaran syarikatnya. Dahulu boleh dikatakan mereka berdua
akrab juga. Setelah tamat sekolah, mereka berpisah dan membawa haluan
masing-masing. Kini mereka dipertemukan kembali. Puan Aina gembira sekali. Akan
dikhabarkan kepada suami dan anak-anaknya nanti. Tidak lupa juga dia sempat
menjemput rakannya itu datang ke rumah.
***************
MALAM itu, Nurain membantu uminya memasak di dapur. Sambal
tumis udang sudah siap dimasak. Tunggu hendak menumis sayur campur pula. Tidak
sabar rasanya menunggu malam tiba. Makan bersama-sama dengan kedua-dua ibu
bapanya.
Paling kurang dalam
seminggu, dua tiga kali dia mencuri masa membantu umi memasak untuk santapan
mereka sekeluarga. Sekurang-kurangnya, sedikit sebanyak bakat memasak yang ada
pada umi diwarisinya.
Nurain kagum pada uminya.
Sebagai seorang wanita yang berkerjaya, Puan Aina tetap meluangkan waktu
memasak untuk suami dan anak-anak. Bukan tidak ada pembantu. Puan Aina lebih
selesa memasak sendiri untuk keluarganya. Biarpun sibuk, setiap hari dia tetap
meluangkan waktu bersama keluarganya.
Pada waktu malam, Puan
Aina dan suaminya tidak ke mana-mana dan jarang sekali keluar jika tidak ada
hal penting. Jika ada pun, mereka akan keluar makan bersama. Ada kalanya mereka
pergi bercuti bersama.
“Umi masak apa?”
“Masuk ke dapur tak bagi
salam. Macam pencuri lagaknya!”
“Ala kak. Orang dah bagi
salam. Umi dengan akak aja tak dengaq.”
“Mana ada. Tak dengaq pun
orang bagi salam!”
“Macam mana nak dengaq,
berborak sampai orang kat luaq pun boleh dengaq. Bibik kat tingkat atas pun
boleh dengaq. Tau la orang pompuan, kalau sembang, tak ingat dunia.”
“Hei... cakap baik-baik
sikit, tau. Karang akak tenyeh mulut tu dengan cili, baru tau.”
“Tenyeh la kalau berani.”
Nurman sudah pun melangkah
menuju ke pintu. Dia tahu lama-lama berada di situ silap hari bulan teruk
dikerjakan kakaknya.
“Eh, hang pa berdua ni kalau
berjumpa, macam anjing dengan kucing. Tak baik, tau tak. Dengaq dek jiran
sebelah tak malu ka? Hang pa tu dah besaq panjang. Ha... Man kamu tu dari mana?
Baru sekarang nampak batang hidung.”
“Dari kelas komputer la,
umi. Lepas tu main bola.”
“Itu aje la yang dia
pandai. Tolong umi kat kedai tu kan baguih.”
“Ala... dengki la tu.”
Sekali lagi Puan Aina
meninggikan suaranya. Mencicit Nurman lari ke anak tangga menuju ke bilik
tidurnya. Dia menggeleng-geleng. Nurain ketawa geli hati melihat adik lelakinya
itu mencicit lari.
Nurain pun meminta diri mahu mengerjakan solat maghrib, memandangkan
azan maghrib sudah lama berkumandang dari masjid yang berdekatan dengan rumah
mereka. Sebentar lagi, mereka sekeluarga akan berjemaah bersama-sama. Puan Aina
tersenyum sendirian. Terhibur dengan telatah anak-anak yang menceriakan
kehidupannya. Tugas memasak baharu selesai. Biarpun ringkas, bau gulai lemak
rebung campur perut memenuhi ruang makan.
************
NURAIN teringat kepada seorang temannya yang menjadi wartawan
di sebuah syarikat penerbitan terkemuka di Kuala Lumpur. Terlintas di benaknya
untuk mempromosikan produk keluaran syarikatnya. Dari situ dia percaya
produknya akan mendapat sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai. Puan
Aina menyetujui pendapat anak gadisnya itu.
Encik Ghazali juga turut
bersetuju dengan pendapat anaknya itu. Dia terfikir sudah sampai masanya dia
menguar-uarkan produk jenama keluaran syarikatnya sendiri. Baru-baru ini dia
mendapat idea mengadakan bengkel untuk memberi pendedahan kepada wanita
mengenai penjagaan kecantikan kulit wajah dan badan dengan cara yang betul,
selain membuka peluang perniagaan, terutama kepada ibu tunggal dan suri rumah
bagi mendapatkan sumber pendapatan dengan lebih mudah.
Dia sendiri akan
mengendalikan bengkel tersebut. Dalam bengkel itu nanti dia akan mendedahkan
tips dan panduan mengenai peluang perniagaan kepada mereka yang berminat untuk
menjadi ejen bagi produk keluaran syarikatnya.
“Eh... abah. Apasal ni
tersengih-sengih dari tadi? Cerita kat TV tu tak ada yang lucu pun.” Nurman
yang perasan gelagat abahnya itu menegur.
Puan Aina dan Nurain yang
sedang berbincang tentang penyelidikan R&D yang bakal dilakukan tidak lama
lagi itu menoleh ke arah Encik Ghazali. Mereka tidak sabar ingin tahu apa yang
difikirkan oleh Encik Ghazali itu. Sempat lagi Nurain menggiat abahnya itu.
“Begini... Abah dapat idea
nak adakan bengkel keusahawanan kepada sesiapa saja yang berminat untuk menjadi
ejen produk kita. Sesiapa yang berminat hanya perlu membayar RM500 saja dan
kita akan beri produk dan bimbingan profesional serta sokongan iklan. Macam
mana, setuju?” ujar Encik Ghazali, bersemangat.
Puan Aina dan Nurain
saling berpandangan.
“Aina memang setuju, bang.
Tapi, produk baru kita ni baru nak buat penyelidikan. Abang dah berangan sampai
ke situ. Manalah tak terperanjat. Slow-slow
la bang.”
“Eh! Kan kita ada lebih 10
produk? Produk yang baru tu nanti dah keluaq, kita buat promosi yang baru.”
“Ain rasa idea abah tu
akan membantu mereka yang berminat dalam dunia perniagaan selain dapat
memperkembangkan lagi perniagaan produk ini. Kita pun tak rugi apa-apa kalau
bagi mereka free. Kita bagi ikut package. Nanti pengedar kita tak lari,”
sambung Nurain pula.
Puan Aina menggeleng-geleng.
Kerisauan pada wajahnya jelas ketara. Dua beranak ni bercakap pasal bisnes, nak
menang aja.
“Umi jangan risau la.
Selama ini pun produk keluaran kita berkualiti. Dapat sambutan yang baik daripada
pengguna. Kawan-kawan Ain pun ramai guna produk kita,” kata Nurain yang saban
hari tidak jemu-jemu menjawab panggilan telefon rakan-rakan yang meminta
pendapatnya.
Setelah puas berbincang,
mereka menemui kata sepakat. Nurman yang hanya menjadi pendengar, membantah tidak,
mengiakan pun tidak. Dia langsung tidak berminat untuk melibatkan diri dalam
bidang perniagaan. Dia lebih suka melibatkan diri dalam bidang IT.
***********
PUAN AINA mahu melihat anak gadisnya tampil cantik dan menawan
ketika ditemu ramah nanti. Oleh kerana itu, dia tidak keberatan menemani anaknya
memilih pakaian di butik pakaian kegemaran mereka. Butik Cantik yang terkenal
berdekatan kediaman mereka itu sememangnya menyediakan segala keperluan untuk
muslimah. Segala yang dikehendaki Puan Aina dan Nurain ada dijual di situ.
Mereka dua beranak tidak perlu lagi singgah dari kedai ke kedai untuk mencari
barangan keperluan mereka.
Begitulah kebiasaannya pada
setiap hujung minggu. Kedua-dua pekerjanya ditugaskan untuk menjaga salonnya.
Sesekali dia akan singgah untuk meninjau perkembangan salonnya itu. Kedua-dua
pekerjanya itu sudah dianggap seperti anak-anaknya sendiri. Dia tidak pernah
berkira soal duit. Yang penting layanan mesra terhadap pelanggan mesti menjadi
keutamaan.
Sedang leka memilih baju,
mereka dua beranak ditegur oleh seseorang. Mereka menoleh.
“Eh... Zai. Ingat siapa
tadi. Seorang aje ke?” tanya Puan Aina sambil menghulurkan tangan untuk
bersalaman dengan temannya itu.
“Dengan anak bujang Zai.
Kalau jalan-jalan cari baju perempuan, tak nak dia temankan Zai. Entah ke mana
menghilangnya dia.”
“Oh... ya ka? Eh, terlupa
pulak nak perkenalkan anak saya, Nurain.”
Nurain yang sedari tadi
menjadi pemerhati hanya tersenyum sambil menghulurkan tangannya. Puan Zaitun
meneliti wajah manis Nurain, hinggakan Nurain malu sendiri diteliti begitu. Dia
menunduk sahaja sambil mengerling baju-baju cantik yang tergantung di dalam
butik itu.
“Tak lama lagi Zai nak
buat majlis kesyukuran sempena menyambut cucu baru. Datanglah, ya. Aina ingat
lagi kan rumah Zai.”
“Bila tu? Kena tengok
tarikh jugak. Takut bertindih dengan temu janji saya dengan pelanggan.”
“Hari Jumaat hujung bulan
ni.”
“Insya-Allah, kalau tak
ada aral melintang nanti. Saya tak janji. Tapi, anak Zai yang mana satu baru
bersalin?” tanya Puan Aina, sekadar mahu mengambil hati temannya itu.
“Anak Zunaida yang jadi
pensyarah di USM tu!”
“Oh... anak Zu. Dah
bercucu Zai ni, ye.”
“Baru nak masuk dua, Aina.
Dok berborak-borak pasal Zai, Aina pulak berapa orang cucu?”
Ah! Sudah! Jangan umi
kaitkan aku sudah!
“Nak bercucu macam mana kalau
anak-anak masih belum lepas rumah lagi? Nurain ni pun baru saja balik dari
London. Belajaq kat sana.”
Melebar senyuman di bibir
Puan Zaitun apabila mengetahui anak perempuan Puan Aina itu masih belum
bersuami.
“Dah bertunang ka?”
“Belum,” jawab Puan Aina sambil
menjeling anak gadisnya.
Kalau macam tu, ada
peluang la aku nak masuk merisik.
“Eh, Zai. Saya minta diri
dululah, ya. Datang-datanglah ke rumah,” pelawa Puan Aina pula sambil meminta
diri untuk beredar.
“Zai berharap sangat Aina
sekeluarga dapat ke rumah Zai nanti. Dah lama sangat kita tak berbual mesra
macam dulu. Sesekali dapat berjumpa tu, meriah sikit.”
“Insya-Allah. Aina akan
cuba penuhi permintaan Zai tu.”
Setelah selesai beramah
mesra dengan kenalan lamanya itu, mereka dua beranak meminta diri untuk beredar
dari butik tersebut. Nurain pula sudah dapat pakaian yang diingininya.
Selepas memilih pakaian di
butik kegemaran mereka, Nurain dan Puan Aina pergi ke kedai kasut pula. Dari
satu kedai ke satu kedai. Namun, tidak ada satu pun kasut yang Nurain berkenan.
Uminya mencadangkan dia memilih kasut pada hari lain sahaja memandangkan
kakinya sudah tidak larat hendak meneruskan aktiviti mereka.
Puan Aina mengajak Nurain
memanjakan diri di spa pula. Sesekali membelai diri bukan sahaja baik untuk kecantikan
luaran, malah kesihatan tubuh badan juga. Nurain tidak membantah. Dia menurut
sahaja. Sebaik sahaja hendak mendaftarkan diri di sebuah spa, telefon bimbit
Nurain berbunyi.
“Hello!”
“Assalamualaikum, Ain.”
“Waalaikumusalam, Norlly.
Ain ingat siapalah tadi. Tukaq nombor ye?”
“Tak adalah. Zahim punya handphone la.”
“Oh ya ka? Hang pa kat
mana ni?”
“Kami dalam kereta. On the way nak pi rumah hang la.”
Bulat mata Nurain
memandang Puan Aina. Dia benar-benar terlupa tempoh hari dia ada menjemput rakan-rakan
sekolahnya datang ke rumahnya.
“I’m sorry, Norly. Ain benar-benar tak ingat hari ini hang pa nak
datang rumah Ain. Lewat sikit boleh tak? Ain kat luaq ni.”
“Never mind. But, hang kat mana ni? Boleh la join kami. Kami tak dak apa-apa acara pun hari ini.”
“Tapi, Ain dengan umi ni.
Tak apalah. Tak yah la cancelkan plan hang pa nak datang rumah Ain hari
ni. Tapi, lewat sikit la. Ain nak kena masak dulu. Kalau dak, bila lagi?”
“Ala... tak susahkan Ain
ke?”
“Tak dak
susah-susahnyalah. Okeylah, ye. Datang, tau.”
Belum pun sempat Norly
menjawab, Nurain sudah pun mematikan telefon bimbitnya.
“Alamak, umi. Kawan Ain
nak datang rumah.”
Puan Aina memeluk tubuh.
Matanya tidak lepas memandang wajah anak gadisnya yang keresahan itu.
“Pulak! Yang Ain memandai-mandai
suruh datang jugak tu, kenapa?”
“Sebab Ain dah janji
dengan depa, Ain nak masak. Macam mana ni, umi? Umi kena tolong Ain.”
“Tolong? Tolong apa lagi?”
“Tolong masak.”
“Umi dah agak dah. Kalau
macam tu, lain kalilah kita datang ke spa.”
“I’m sorry, ya umi.”
“Umi tak kisah pun.”
Lebih kurang setengah jam
kemudian, Nurain dan Puan Aina tiba di rumah mereka. Mujurlah barang-barang
dapur sudah pun dibeli oleh Encik Ghazali sebelum dia keluar beriadah dengan
anak lelakinya. Biasanya pada hujung minggu lelaki itu akan berjoging dengan
anak lelakinya.
Awal-awal lagi Mak Leha
menawarkan diri untuk memasak. Kedegilan Nurain untuk memasak hasil air
tangannya sendiri menghalang niat ikhlas Mak Leha untuk membantu. Dia cuma
membantu apa yang patut sahaja. Puan Aina menggeleng-geleng melihat telatah
anak gadisnya itu. Oleh kerana kesuntukan masa, mereka bertiga bergotong-royong
di dapur.
Nurain terdengar deruman
kereta berhenti di pekarangan rumah. Serentak dengan itu, membutang matanya
memandang wajah Puan Aina.
Biaq betui!