Bab 19
ZAKUAN kembali semula ke rumah sewanya setelah dua hari bercuti
di rumah keluarga baharu ayahnya. Sesekali dia akan balik bercuti bersama
adik-adiknya dua orang itu. Biarpun berlainan ibu, kasih sayangnya terhadap
adik-adik tetap tidak berbelah bahagi. Ibu tirinya juga tidak memilih kasih.
Tetap memberinya perhatian.
Bukan keluarga yang bermain
di fikirannya saat ini. Wajah seseorang yang dahulu begitu bermakna dalam
hidupnya kembali menjengah mengundang rindu. Memori silam yang sudah berkubur
dalam lipatan sejarah kembali menjengah. Dia termenung lagi.
“Hei, Wan. Hang nak makan
apa?”
Zakuan terkejut apabila disergah begitu.
“Tak boleh panggil
elok-elok ke? Terkejut dibuatnya aku,” jawabnya sambil mengurut dada.
“Dari tadi aku tengok hang
ni mengelamun aja. Apa ke hal?” tanya Aziz.
“Tak ada apa-apalah. Hang
terperasan kut,” jawab Zakuan.
“Ya la tu. Macam aku tak
tau. Hei... kawan. Cepatlah order.
Bila lagi nak ordermakanan ni? Aku
laparlah,” celah Safrizal.
Zakuan menggamit seorang
pelayan Restoran Melati. Mereka bertiga selalu juga makan di situ. Sesekali
ubah selera pula. Kebetulan sahaja malam itu ada perlawanan bola sepak. Jadi,
mereka bertiga membuat keputusan untuk makan di luar.
Pengunjung mulai memenuhi ruang di dalam restoran itu.
Ada juga yang menduduki beberapa buah meja yang diletakkan di luar restoran
itu. Makanan di restoran itu bukan sahaja enak, malah masakan tradisional
kampung yang menyelerakan mampu menggamit pengunjung kembali menikmatinya buat
kali kedua. Maka tidak hairanlah restoran itu cepat menjadi terkenal.
“Dari tadi aku tengok hang
ni macam ada masalah besaq aje. Beritaulah kami ni. Apa ke bendanya sampai hang
monyok semacam aja?” soal Aziz.
Zakuan yang sedang asyik menikmati nasi campur berlaukkan
rendang ayam kampung dan ulam-ulaman kampung berserta sambal belacan, tersedak
beberapa kali. Safrizal menyuakan air kepadanya.
“Tak adalah. Cuma perkara kecik aja,” ujar Zakuan sambil
tersenyum.
Aziz dan Jeffri tercengang.
“Aku tak percaya. Tak percaya,” balas Aziz.
Zakuan menggaru kepala yang tidak gatal. Ada sesuatu yang
perlu kawan-kawanku tahu. Ya! Ada sesuatu. Pasti mereka terperanjat nanti.
Zakuan tersenyum kemudiannya.
“Ada sesuatu yang perlu hang pa tau.”
Aziz dan Safrizal berpandangan.
“Aku pernah ceritakan pasal Nurain, gadis yang pertama
hadir dalam hidup aku, kan? Dan beberapa minggu yang lalu aku jumpa dia di
depan Hotel Vistana. Hang pa pun tengok jugak, kan?”
“Siang tadi aku jumpa dia di restoran McDonald.
Rupa-rupanya, dia sepupu Mira. Kami berborak panjang.”
“Sepupu Mira? Tentu dia cantik menarik macam Mira jugak,”
sampuk Jeffri.
“Ya. Itu betul. Yang aku rasa bersalah sangat sebab aku
dah menuduh Mira yang bukan-bukan. Dia mangsa fitnah budak kampung dia sendiri.
Sampai bila-bila pun aku takkan maafkan diriku sendiri.”
“Nanti kau jumpalah dia. Minta maaf. Hang bukan sengaja
nak menyalahkan dia,” kata Aziz pula.
Zakuan tidak tahu dengan cara bagaimana mahu meminta maaf
daripada Nurin Amira. Sudah banyak perkara yang dilakukannya untuk menyakitkan
hati gadis itu. Sudah tentulah bertambah-tambah penderitaan yang ditanggung oleh
gadis itu. Seandainya dapat diputar kembali masa yang berlalu, dia tidak
sanggup melihat gadis yang dahulunya amat disayangi menanggung penderitaan yang
bukan sedikit. Dia akan selalu berada di samping Nurin Amira. Tetapi, menyesal
dahulu pendapatan, menyesal kemudian tidak berguna lagi. Dia menggaru lagi
kepalanya yang tidak gatal sambil merenung jauh ke langit tanpa bintang-bintang
yang indah bergemerlapan. Bulan pun tidak sudi menampakkan wajahnya.
Seolah-olah mengerti akan kekesalannya saat ini. Keluhan berat dilepaskan.
************
ZAKUAN baharu sahaja selesai mengerjakan solat isyak. Buat
seketika, dia duduk di atas sejadah sambil bibirnya terkumat-kamit berzikir dan
berwirid bagi mengukuhkan lagi kekuatan hatinya kepada-Nya. Sebagai hamba-Nya,
dia sentiasa dahagakan kasih sayang Allah. Menjadi pencinta Allah sebelum
diserahkan cintanya kepada seorang gadis.
Pertemuannya dengan Nurain
siang tadi kembali membawa dia ke alam persekolahan yang ditinggalkan hampir
lapan tahun yang lalu. Secara tidak langsung dia teringat sahabat baiknya yang
pergi menghadap-Nya hampir dua tahun yang lalu akibat kemalangan jalan raya.
Azlan, sahabatku. Kawan
kita, Nurain kembali lagi dalam hidupku. Dia kian jelita dan manis seperti
Mira. Tetapi, sungguh aku tidak pernah menyangka dua orang wanita ini saudara
sepupu. Dalam masa yang sama, aku sudah jauh tersasar kerana menuduh Amira
tanpa usul periksa. Andai hang ada ketika ini mendengar keluh-kesah hatiku, alangkah
baiknya.
Lan, aku rindu pada
persahabatan kita. Kau sahabat yang paling baik pernah aku jumpa. Maafkan aku,
Lan. Kerana menangisi pemergianmu.
Lantaran rindu yang
teramat pada sahabat kesayangannya, dia kembali menghimbau kenangan di alam
persekolahan. Masih segar di ruang ingatannya saat kali pertama perkenalan
dengan Nurain bermula.
Zakuan berdegil juga untuk
pergi ke sekolah. Sepanjang dua minggu cuti persekolahan dia bosan tinggal di
rumah. Memandangkan hujung tahun
tersebut dia bakal menduduki peperiksaan PMR, dia dan beberapa orang rakan
sekelasnya bersetuju untuk datang ke sekolah bagi mengulang kaji pelajaran.
Petang hari tersebut hujan turun dengan lebatnya. Akibat
ditimpa hujan, Zakuan dan Fadli tidak dapat ke sekolah keesokan paginya. Namun,
mereka berdua berjaya memujuk ibu masing-masing untuk keluar mengambil angin di
sekitar bandar raya Ipoh. Salah satu hobi Zakuan dan Fadli ketika ada waktu
kelapangan.
“Mahalnya barang-barang kat Parkson ni. Tak kuasa aku nak
membelinya,” kata Zakuan sejurus selepas membelek kemeja lelaki.
“Sekarang mana ada barang murah. Kat reject shop pun mahal harganya. Kalau nak murah, gi aje pasar malam
kat rumah kita tu.” Fadli memberi cadangan.
“Wow! Cunnya awek-awek tu,” katanya kemudian menyakat
gadis-gadis comel yang lalu- lalang di depannya.
“Hang ni takde lain. Awek aje hang ingat 24 jam,” bebel
Zakuan, geram.
“Sibuk pasal study
tak apa jugak. Padan la abah hang selalu marahkan hang. Tak habis-habis dengan
awek. Habiskan study tu dulu,” sambung
Zakuan.
“Hang ni kalau membebel mengalahkan mak nenek,” balas
Fadli.
Selepas mencuci mata melihat barangan kulit di dalam
pasar raya itu, Fadli mengajak Zakuan melepak di tepi koridor bagi melepaskan
penat berjalan.
“Eh, Li. Dompet siapa pulak tu?” kata Zakuan, berlari
mendapatkan dompet kulit berwarna coklat berdekatan anak patung yang dipamerkan
di sebuah kedai menjual aksesori wanita. Fadli mengekorinya.
“Eh, eeh..., gambar budak perempuan la,” ujar Zakuan
sambil membelek dompet cantik itu.
“Awek cun mana pulak tercicir dompet ni? Malang sungguh nasib
dia,” kata Fadli pula sambil menggeleng-gelengkan kepalanya.
“Aku nak cari awek ni,” ujar Zakuan sambil melangkah ke
bahagian pakaian perempuan.
Fadli mengerutkan dahinya. Parkson ni besar. Bukan senang
nak cari empunya dompet ni. Biar betul kawan aku ni.
Biarpun tidak berpuas hati dengan keputusan kawannya itu,
Fadli tetap mengekori Zakuan.
Mereka berdua melilau-lilau di tingkat dua bahagian
pakaian perempuan. Kemudian dari satu bahagian ke satu bahagian. Hampa. Tiba-tiba
mata terpandang dua orang gadis di kaunter bayaran. Salah seorang teramat
gelisah sambil mencari-cari sesuatu. Zakuan tersenyum.
“Excuse me.
Saudari tengah cari dompet ni ke?” tegur Zakuan. Gadis itu memandangnya, kehairanan.
“Emm, saya jumpa dompet saudari di blok sana,” sambung
Zakuan. Matanya tidak lepas daripada memandang wajah manis gadis itu.
“Terima kasih. Awak terlalu baik. Dalam dompet ni ada
macam-macam yang berharga. Saya tak tau macam mana nak balas budi awak,” ujar
gadis bertudung itu. Dia kemudiannya membayar harga pakaian yang dibeli.
“Cukuplah awak menganggap saya dan kawan saya ni sebagai
sahabat awak. Oh, ya. Nama saya, Zakuan. Kenalkan ini kawan saya, Fadli.”
Pantas Zakuan memperkenalkan dirinya.
“Saya Nurain dan ini kawan sekolah saya, Laila. Panggil
saja saya Ain dan Ila.” Nurain melemparkan senyuman.
“Salam perkenalan,” ujar Fadli yang sedari tadi hanya
memandang gelagat mereka.
“Saudara dah tolong saya. Ambil la duit ni buat belanja,”
kata Nurain lalu menghulurkan not RM20.00.
“Tak payah la. Saya ikhlas menolong awak. Betul. Saya
ikhlas...,” balas Zakuan.
Setelah saling mengenali, mereka berpisah mengikut haluan
masing-masing. Kedua-dua sahabat itu masih lagi berlegar-legar di persekitaran
Parkson. Kemudian singgah di restoran untuk mengisi perut yang lapar. Entah jam
berapa mereka pulang, Zakuan tidak ingat.
Lantaran mengingati detik perkenalan itulah Zakuan mendial
nombor telefon Nurain. Namun, hampa.
Nombor yang didial didapati sibuk. Dia pasti Nurain sedang menjawab
panggilan orang lain. Dia juga dihujani rasa ingin tahu apa yang dilakukan oleh
gadis itu saat ini. Sudahnya dalam pekat malam itu dia sendirian melayan
lamunannya.