BAB 17
SETIAP petang kalau tidak ada apa-apa yang hendak dilakukan,
Puan Asiah lebih senang membantu suaminya di kebun. Kalau tidak menebas, dapat
juga melihat tanaman serai, kacang bendi yang ditanam dan dapat juga memetik
pucuk ubi. Kalau ada rezeki, dapatlah makan ubi kayu rebus cicah kelapa parut.
Dia tahu makanan kegemaran suami.
Dahulu ketika Nurin Amira
ada, anak itulah yang menolongnya memasak di dapur. Bergurau senda dengannya.
Menghiburkan hatinya apabila dilanda masalah keluarga. Dia tidak tahu keadaan
anaknya itu ketika ini. Dalam hatinya mendoakan yang baik-baik sahaja agar
anak-anak yang dikasihi sentiasa dalam perlindungan Allah SWT.
“Dah lama Mira tak balik kan, bang,” luah Puan Asiah
kepada suaminya.
“Buat apa diingat anak
yang derhaka tu? Tak balik sini pun tak apa!” kata Encik Zainal, masih marahkan
anak perempuannya itu.
“Dah
takdir Tuhan, bang. Mungkin ada hikmah di sebalik kejadian yang menimpa
keluarga kita ni.”
“Ah! Itu
alasan awak. Yang penting, hati. Guna akal, fikir dulu baik buruk perbuatan.
Itulah silapnya Si Mira tu buat apa pun tak nak fikir dulu,” balas Encik Zainal,
melepaskan perasaan geramnya.
Puan Asiah diam membisu, malas hendak menjawab. Malas
hendak memanjangkan topik perbualan, bimbang lama-kelamaan api kemarahan suaminya
menjadi-jadi, selesai menyemai benih rambutan, dia beredar menuju rumahnya yang
terletak di bawah bukit.
Sebelum
beredar pulang, Puan Asiah meminta kebenaran suaminya. Dibiarkan suaminya
menyiapkan kerja menanam pokok pisang. Jika dibiarkan lama nanti, layu pula
anak pisang itu.
Sampai sahaja
di rumah, Puan Asiah memandang sayu kad jemputan kahwin teman baik Nurin Amira
semenjak di kolej dahulu. Nurin Amira pernah membawa balik teman baiknya itu ke
rumah. Dari situ dia mengenali Mariana. Gadis itu tidak lama lagi bakal
melangsungkan perkahwinan.
Hancur
luluh hati keibuannya kerana hasrat untuk melihat anak gadis kesayangannya
bersanding di atas pelamin indah tidak kesampaian. Sudahlah tidak ada gambar
kenangan mereka sekeluarga. Dia dapat merasakan betapa kecewanya anak gadisnya
itu terpaksa menurut desakan mereka. Sedangkan dia dapat merasakan anaknya
berkahwin tanpa kerelaannya.
Dia juga kecewa perhubungan Nurin Amira dengan Zakuan,
lelaki pilihan anaknya putus di tengah jalan. Memang secocok Zakuan dengan anak
gadisnya. Sama cantik sama padan. Namun, apa yang mampu dilakukannya? Tidak ada
jodoh di antara mereka. Masih jelas di ingatannya saat Nurin Amira membawa anak
muda itu pulang ke rumah.
“Kalau
sudah berkenan dekat anak pak cik, cepat-cepatlah masuk meminang. Tak manis
dipandang orang kalau asyik berdua saja ke hulu ke hilir,” luah Encik Zainal
tanpa berselindung lagi. Zakuan hanya melebarkan senyuman.
“Insya-Allah.
Kalau di pihak pak cik sudah setuju, insya-Allah, saya akan maklumkan hal ini
kepada keluarga saya. Saya serahkan kepada keluarga untuk mengatur segala-galanya,”
ujar Zakuan.
“Baguslah tu. Pak Cik
bukan apa. Anak pak cik tu perempuan. Tak manis dipandang orang ke sana ke mari
berdua. Mana memikirkan keselamatan dia lagi. Pak cik hanya mampu mendoakan
keselamatan dia saja.”
Zakuan hanya mengangguk setuju. Perbualan mereka terhenti
di situ apabila Nurin Amira datang menyampuk.
“Apa yang
dibualkan tu? Rancaknya Mira tengok. Ni mesti bercerita pasal Mira ni,” kata
Amira, meneka topik perbualan dua orang lelaki yang disayanginya itu.
“Mira!.
Tak manis menyampuk orang bercakap,” tegur Puan Asiah dari belakang Nurin
Amira. Muka Nurin Amira kemerah-merahan menahan malu.
“Abahnya
tunggu apa lagi? Nasi sudah dihidang tu,” sambung Puan Asiah.
“Jangan
malu-malu, Wan. Makan kenyang-kenyang,” pelawa Encik Zainal.
“Sedap
masakan emak ni, Wan. Ulam pucuk ubi pun ada. Kalah masakan Mak Cik Leha jika
nak dibandingkan dengan masakan emak. Betul tak, abah?”
Zakuan menjeling memandang Nurin Amira sambil mengukir
senyuman.
“Siapa Mak
Cik Leha tu, Mira?” tanya Puan Asiah.
“Tauke
katering yang selalu Encik Idris jemput.”
“Oh! Ingat
siapa. Kalau macam tu, tempah dengan mak ajelah.”
Serentak dengan itu, berderai ketawa mereka memecah
kesunyian.
Lamunan
Puan Asiah terganggu oleh bunyi deringan telefon di ruang tamu. Membiarkan
kenangan itu berlalu bersama angin pagi.
“Hang
rupanya, Zim. Mak ingat siapa tadi. Tak balik makan dekat rumah mak ka?” tanya
Puan Asiah sebaik sahaja terdengar suara garau di hujung talian telefon.
“Tak, mak.
Zim ada berita baik ni, mak. Zarina dah selamat melahirkan anak, mak. Baby girl,” jawab Nazim, anak sulung
Puan Asiah dalam nada gembira.
“Eh, ya
ka? Mak dah agak dah. Baby tak sabaq
nak tengok dunia tu. Bila agaknya Ina boleh keluar hospital?” tanya Puan Asiah,
kegirangan. Gembira mendapat berita menantu sulungnya selamat melahirkan anak.
“Kalau tak ada apa-apa, esok
dah boleh keluaq hospital dah. Bila mak dan abah nak datang sini?”
“Insya-Allah, minggu depan
ka mak dan abah ke sana. Kamu hati-hati jaga Ina tu,” pesan Puan Asiah kepada
anak sulungnya itu.
Puan Asiah tidak perlu
risau kerana anaknya itu sudah ada pembantu rumah. Namun, sedikit sebanyak dia
bimbang juga kerana menantunya itu melahirkan anak sulung. Banyak perkara yang
perlu dipelajari.
“Mertua kamu ada kat sana
ka?”
“Mestilah ada. Baru sampai
malam tadi.”
“Baguslah tu.
Sekurang-kurangnya ada juga orang tengok-tengokkan bini kamu. Orang dalam
pantang ni nak kena jaga betul.”
“Ya la mak. Zim faham. Zim
minta diri dulu. Assalamualaikum.” Serentak dengan itu, talian terputus.
“Waalaikumusalam,”
jawab Puan Asiah kemudian, sambil mengukir senyuman. Bermula dari detik itu dia
sudah naik pangkat nenek. Bahagianya dia rasakan tidak dapat dilukis dengan kata-kata.
Segera dia mendapatkan suaminya untuk menyatakan berita gembira itu. Tidak
sabar rasanya hati hendak berkongsi kebahagiaan mendapat cucu pertama dengan
suaminya. Hilang sebentar rindunya kepada anak perempuannya, Nurin Amira.
*************
“AH! Ada menantu pun tak guna. Memerap di bilik saja dari tadi. Pelik aku!”
Pedasnya sindiran Mak Senah. Terpaku sebentar Mohd Najib
di muka pintu dapur. Dia ingatkan Nurin Amira yang sedang memasak.
“Mak! Tak baik cakap macam tu. Kak Mira penat agaknya. Iyelah
dari awal Subuh keluaq pi kerja, dah dekat Maghrib baru balik. Apalah salahnya
bagi dia peluang berehat sekejap. Setakat nak panaskan lauk ni, Nurul boleh
buat mak.”
“Hang jangan nak mengajaq aku, Nurul. Apa yang mak cakap
ni betui la. Di rumah kita begitu sekali perangainya susah nak lekat kat rumah,
di rumah sendiri bagaimana la agaknya? Kalau dah dari keturunan tak baik tu,
tak baik jugak.”
“Mak ni, sesedap rasa mengata orang. Anak-anak mak pun
apa kurangnya.” “Eh... eh! Anak dara ni
melebih-lebih pulak dia.”
“Orang ada perasaanlah,
mak. Hati orang terguris, mak tak peduli. Tak baik tau, mak.”
“Ewah! Ewah! Sejak bila pulak
hang dah pandai dari mak ni? Hah, Nurul?”
“Mak...! Susahlah cakap
dengan mak. Mak ajelah yang panaskan lauk-lauk ni.”
Nurul ingin berlalu ke dalam bilik. Sedih hatinya apabila
kakak iparnya diperlakukan sedemikian rupa oleh emaknya. Ketika balik dari
sekolah tadi dia ada menjenguk bilik kakak iparnya itu. Tujuannya ingin
bertanya khabar dan soalan-soalan matematik yang tidak difahaminya. Melihat sahaja
kakak iparnya itu yang keletihan, dimatikan hasratnya. Tidak sampai hati pula
hendak mengejutkan kakaknya itu.
Apabila memastikan abahnya
tidak ada di dapur ketika itu, baharulah Mohd Najib masuk. Dia menegur emaknya
yang sedang sibuk menyediakan makan malam. Diambil air dari dalam peti sejuk.
Orang tua itu apabila melihat sahaja kelibatnya itu di dapur, segera ditegur
perangai isterinya yang tidak disukai itu. Bebelan emaknya itu berjaya merasuk
fikirannya yang tidak tenteram kebelakangan ini. Apa lagi ada-ada sahaja
sindiran pedas daripada rakan-rakan kampungnya di kedai Pak Mahat tadi. Siapa
boleh tahan andai kata diserbu soalan-soalan dan bebelan-bebelan yang entah
apa-apa itu. Dan sekarang Nurin Amira pula buat perangai.
Terlintas di fikirannya tadi, isterinya itu tidak pernah
pulang awal ke rumah, tiba-tiba sahaja hari ini dia pulang awal ke rumah. Mimpi
apakah dia? Mahu ditanya? Serba salah. Baharu sahaja idea jahatnya hendak
membuat kejutan, emak dan adiknya pula bertelingkah di dapur. Dia tidak jadi
hendak menyergah emak dan adiknya di dapur. Perasaan lain pula yang menular ke sanubarinya.
Dia melangkah laju menuju ke biliknya.
************
HARI Selasa itu, Nurin Amira balik awal daripada biasa. Dia
rasa tidak sedap badan. Sejak semalam sakit di kepalanya masih tidak surut.
Malah, lebih sakit daripada sebelumnya. Dia tidak tahu mengapa. Ubat yang
dibekalkan oleh doktor yang merawatnya, dimakan mengikut peraturan yang
ditetapkan. Dia ingin berehat malam itu. Keesokan hari baharulah dia membuat
keputusan menemui doktor muda itu untuk mendapatkan kepastian sudah sejauh mana
penyakitnya itu.
Seperti biasa, dia tidak
dapat menahan perasaan sepanjang berada di rumah mentuanya. Ada sahaja
kata-kata yang menyakitkan hati menghiris perasaannya. Sindiran pedas yang
dilemparkan kepadanya menambahkan lagi rasa kurang enak berada di rumah itu.
Dia tidak berniat pun untuk bersenang-lenang di dalam bilik. Andai dapat diucap
penderitaan yang dialaminya ketika itu, alangkah baiknya. Namun, hanya hati
yang berbicara. Sudah puas dia menangisi nasib diri.
Dan tatkala itu tidak
semena-mena pintu biliknya ditolak keras. Terjenguk wajah Mohd Najib seperti
harimau kelaparan mahu menerkam mangsanya.
“Oh... di sini pun awak.
Emak bersusah payah di dapur memasak, awak goyang kaki di sini. Menantu jenis
apa awak ni?” Lantangnya suara Mohd Najib ketika bertutur. Tidak ada insurans
langsung.
Nurin Amira hanya mampu
membungkam diri. Menenangkan diri buat seketika. Menunduk.
“Awak dengaq ke tak dengaq?
Macam bercakap dengan dinding saja!” Mohd Najib menghamburkan kata-kata
kasarnya sekali lagi. Jika tidak ada abahnya di rumah, dia berani berkata selantang
itu terhadap isterinya.
Bercakap macam tidak ada
perasaan. Beginikah sikap suamiku? Tidak ada tanda-tanda boleh menjadi suami
mithali. Mungkin inilah masanya aku keluar dari rumah ini.
‘Hei! Awak ni pekak ke apa?”
Mohd Najib sudah mengangkat tangannya.
“Awak nak lempang saya?
Silakanlah. Itu ajelah senjata awak.” Nurin Amira sudah tidak mampu menahan
rasa lagi.
“Hang jangan cuba nak
cabaq aku. Isteri tak sedaq diri, tak guna.”
Mohd Najib mendekat. Nurin Amira berundur.
“Okey! Fine. Baru
sekarang awak tau saya tak berguna. Kenapa tidak dari dulu lagi? Kenapa awak
tipu saya jugak? Dan sekarang saya rela keluaq dari rumah ini.” Nurin Amira
melangkah ke pintu almari untuk mendapatkan beg besarnya.
Mohd Najib berang.
Tercabar dengan sikap Nurin Amira itu. Panas hatinya sudah naik ke muka.
Sudahlah beberapa hari ini angin tidak baiknya sering datang menyerang,
ditambah pula dengan sikap Nurin Amira yang keras kepala. Abahnya berleter
tidak kira siang dan malam, dia pekakkan telinga. Emaknya pun tidak kurang juga
marahnya. Semuanya gara-gara kerana dia berhenti kerja secara mengejut. Hendak
buat macam mana lagi, khidmatnya sudah tidak diperlukan lagi di kilang itu. Dia
ingat boleh menumpang kesenangan isteri, rupa-rupanya tidak. Indah khabar dari
rupa. Sikap Nurin Amira semakin menjadi-jadi.
Bagai halilintar membelah
bumi. Pipi Nurin Amira berbekas lima jari kesan tamparan Mohd Najib.
Melayang-layang tubuh Nurin Amira terjatuh ke lantai. Perit dirasakan. Terasa
cecair panas meleleh keluar dari lubang hidungnya.
“Abang! Tergamak abang
pukul Kak Mira. Apa salah Kak Mira?” Terjenguk Nurul dari muka pintu. Dari tadi
dia mendengar pertengkaran kakak iparnya dengan abangnya gara-gara emak berleter
yang bukan-bukan di dapur. Dia merasakan dia perlu masuk campur meleraikan
pertelingkahan itu.
“Hei... perempuan! Dengaq
sini. Hang tak ada hak nak campur urusan aku. Ini antara aku dengan dia ni. Dia
isteri kurang ajaq. Patut diajaq macam ni. Biaq dia
tahu rasa!”
Keras
nada suara Mohd Najib memarahi adiknya itu. Nurin Amira menyumpah dalam hati
kerana tidak mengunci pintu bilik.
“Abang tak nampak ka, Kak Mira tu
tak sihat? Dah buta mata agaknya. Tengok pucat aje mukanya tu.” Nurul tidak
peduli amaran keras abangnya itu.
“Menjawab! Menjawab!” Mohd Najib
sudah mengangkat tangannya ingin menampar adiknya yang dengan berani berlalu
mendapatkan Nurin Amira.
“Sudah! Sudah! Rumah ni tak pernah
aman semenjak perempuan tu masuk ke dalam rumah ni. Kamu pun dah semakin lain
perangainya,” bebel Mak Senah di muka pintu. Tidak senang duduknya apabila
bunyi kecoh dari dalam bilik anak menantunya.
Mohd Najib berlalu keluar. Nurul
menyapu bibir Nurin Amira yang berdarah. Kedua-dua ipar-duai itu tidak dapat
menahan perasaan.
“Sampai hati Abang Najib buat akak
macam ni. Eeii.. rasa macam nak cekik saja dia tu,” marah Nurul dalam sedu
sedannya.
“Tak apalah, dik. Nak buat macam mana?
Dah perangainya macam tu,” jawab Nurin Amira cuba mempamerkan senyuman. Dia
bangun mendekati almari. Malam itu juga dia bercadang keluar dari rumah itu.
Jiwanya semakin tidak tenteram berlama-lama di rumah mentuanya. Tekanan yang
dihadapi buat fikirannya bercelaru.
“Akak nak pi mana?” tanya Nurul
sebaik sahaja melihat kakak iparnya itu mengambil sebuah beg besar dari dalam
almari.
“Malam ni akak nak tiduq di rumah
kawan akak. Dekat dengan tempat kerja akak. Lagipun akak ada janji dengan orang
awal pagi esok. Takut tak sempat pulak masuk office.” Nurin Amira memberi
alasan. Dalam hatinya berdoa mudah-mudahan adik iparnya itu memahami keadaannya
saat ini.
“Dah malam sangat dah. Akak boleh ke
memandu malam-malam buta macam ni?” Nurul meluahkan kegusarannya.
“Akak okey dik. Jangan risau.
Doakanlah keselamatan untuk akak ya!” jawab Nurin Amira.
“Nanti bila akak dah sampai di rumah
kawan akak tu, hantaq SMS dekat Nurul, tau!” jawab Nurul sambil membantu Nurin
Amira mengemas baju-bajunya. Terlintas di fikirannya saat itu andai dia sendiri
berada di tempat kakak iparnya itu sudah tentu perkara yang sama akan
dilakukannya. Dia sudah lama tidak sebulu dengan abangnya itu. Acap kali
kawan-kawan rapatnya memberi komen tentang abangnya yang sering mengusik mereka
ketika balik dari sekolah. Sakit hatinya menahan rasa marah.
Nurin Amira keluar beriringan dengan
Nurul dari bilik. Di ruang tamu dia terserempak dengan emak mentuanya. Ingin disalam
tangan emak mentuanya itu. Namun, sepantas kilat tangan tua itu disembunyikan.
Dia bersyukur waktu itu ayah mentuanya tidak ada kerana ke surau. Kalau tidak
pemergiannya nanti pasti akan dihalang.
Dia sedar kehadirannya di sini tidak
diperlukan. Malah, dia sendiri tidak pernah mengimpikan begini kesudahan
hidupnya. Walau apa pun dia sudah nekad
dengan keputusannya untuk tidak kembali tinggal di sini lagi. Tiada tempat
untuknya. Bagaimana reaksi Mohd Najib? Terlintas di benaknya akan tindakan
lelaki itu nanti.
**************
MALAM itu Safiah menerima kehadiran Nurin Amira dengan senang
hati. Begitu juga dengan orang tuanya tidak keberatan mengizinkan Nurin Amira
bermalam di rumah mereka. Sudah lama mereka berkenan dengan sikap sopan santun
dan baik budi bahasanya itu. Setelah mengetahui Nurin Amira menjadi mangsa
fitnah, bertambah rasa sayang mereka terhadap Nurin Amira.
“Jangan malu-malu, Mira.
Buatlah macam rumah sendiri,” ujar Puan Salmi.
“Terima kasih, mak cik.
Maafkan Mira, mak cik seandainya kehadiran Mira ke sini sudah menyusahkan mak
cik,” kata Nurin Amira.
“Tak ada susahnya, nak.
Anggap ajalah mak cik ni macam mak Mira sendiri.”
Nurin Amira dipeluk oleh
Puan Salmi. Susah senang gadis itu dapat dirasainya. Sinar mata yang jernih itu
memberitahu segalanya.
“Rumah mak cik ada lima
bilik aja. Mira pilihlah nak tidoq bilik mana. Hang temankan Mira ni. Mak nak
ke bilik,” ujar Puan Salmi sambil mengukirkan senyuman.
“Rumah aku ada lima bilik.
Satu bilik ibu dan ayah, satu bilik tamu, satu lagi bilik adik lelaki aku dan
satu lagi bilik bacaan. Jadi, Mira tidoq dengan aku ajalah. Bilik aku luas
jugak. Boleh la kita berborak panjang nanti.”
“Hei... cik adik! Tengok
jam dah pukul berapa. Esok-esok ajalah. Kalau cuti esok tak apa jugak, kan?” kata
Nurin Amira kemudiannya sambil merebahkan dirinya di atas tilam empuk.
Mata Safiah membuntang.
“Kat rumah Najib pukul
12.00, hang dah tidoq ka?”
“Mira dah baring dah.
Kawasan sekeliling pun dah senyap sunyi. Tunggu apa lagi? Tidoq la!”
“Tak takut?”
“Takut apa?” Nurin Amira
pura-pura tidak mengerti.
“Hai... kucing kepala hitam
tu la. Lagi mau tanya,” Safiah menjeling geram.
“Alhamdulillah. Selama ni
dia tak berani lagi nak dekat-dekat dengan Mira. Tapi, sesekali kecut jugak
perut ni. Takut diapa-apakan,” luah Nurin Amira.
Nurin Amira mengerutkan
dahinya seperti memikirkan sesuatu.
“Kenapa?” tanya Safiah.
“Mira buat macam tu kat
Najib, tak berdosa ke?” tanya Nurin Amira seakan-akan kesal.
“Alah... Najib tu tak
patut diberi muka. Dia memang patut terima balasannya.”
“Mudah-mudahan Mira di
pihak yang benar.”
“Aku yakin 100 peratus.
Hang jangan bimbang la. Eeiii... best
la hang tidoq kat rumah aku lagi.”
“Ya... hang la teman Mira
dunia dan akhirat,” ujar Nurin Amira sambil memeluk pinggang Safiah.
“Hei! Cover-cover la sikit! Lemas nih!” Safiah terjerit kegelian.
Nurin Amira ketawa dan
ketawanya memecah keheningan malam. Suasana sekeliling rumah taman itu walaupun
sunyi sepi, terang-benderang dengan lampu jalan yang menerangi seluruh pelosok
taman perumahan itu. Ada yang sudah dibuai mimpi, ada yang masih menonton
televisyen bersama keluarga, ada yang masih berborak dengan jiran sebelah di
luar rumah dan ada juga yang masih bermain badminton. Yang pasti, suasana di
rumah taman itu tidak pernah sunyi, siang dan malam.