“AKU terima nikahnya, Nurin Amira binti Zainal dengan mas kahwinnya, RM80
tunai.”
Sejurus selepas itu, maka sahlah Nurin Amira dan Mohd Najib menjadi
pasangan suami isteri. Dengan dihadiri saudara-mara terdekat dan beberapa orang
saksi dari pihak Nurin Amira, maka lengkaplah impian Mohd Najib. Mohd Najib tersenyum
sinis setelah selamat diijabkabulkan oleh Imam Masjid Darul Falah dengan wanita
idaman hatinya.
Kebanggaan jelas terserlah di wajahnya kerana berjaya memiliki Nurin Amira
biarpun Nurin Amira tidak pernah menaruh perasaan terhadapnya. Dia percaya
dengan cara itulah boleh melembutkan hati Nurin Amira.
‘Sekeras-keras
hati perempuan tak ubah seperti kerak nasi. Bila dicurah air, lembutlah ia’.
Fikir Mohd Najib dalam hati.
Segala
usaha kerasnya selama ini untuk mendekati Nurin Amira tidak pernah berhasil.
Surat-surat yang dihantar melalui Nurin Anisha tidak pernah berbalas. Kiriman
salam juga melalui Nurin Anisha pun tidak pernah bersambut. Setiap hari dia
disindir oleh teman-teman, kononnya dia tidak cocok bergandingan dengan Nurin
Amira.
Mohd Najib bukan tidak sedar sekolahnya tidak tinggi. Dia bukanlah pemuda
tampan yang menjadi kegilaan gadis. Dia seorang pemuda kampung yang sederhana.
Dia sedar, dia tidaklah sehebat mana. Namun, oleh kerana begitu obses untuk
mendekati gadis yang punya kecantikan tersendiri itu, dia ketepikan perasaan
rendah dirinya.
Tambahan pula gadis manis itu jadi rebutan ramai jejaka di kampung itu yang
cuba dengan cara apa sekali pun untuk mendekatinya. Sebagai seorang lelaki yang
tidak gentar pada cabaran, dia tidak rela gadis itu jatuh ke dalam pelukan
lelaki lain. Malah dia begitu ikhlas untuk menjalinkan hubungan dengan Nurin
Amira. Apa-apa pun yang terjadi, dia rela berubah sikap andainya suatu hari
impian untuk hidup di samping Nurin Amira menjadi kenyataan. Gadis itu sukar
didekati. Apa kurangnya dia. Rupanya ada. Keluarganya juga berketurunan
baik-baik. Namun, dia hampa. Nurin Amira tidak pernah memberi respons positif
kepadanya. Jiwanya tertekan. Cintanya tidak dihargai.
**************
BERSENDIRIAN di kamar bujang Mohd Najib yang lebih senang membahasakan dirinya sebagai
Najib, Nurin Amira terasa seperti terlontar ke sebuah daerah yang terlalu
asing. Sudah kering air matanya menangisi nasib diri. Kalaulah dapat diputar
masa yang lalu dia tidak ingin berada di situ. Ingin sekali dia menjerit
melontarkan kekecewaan kepada Mohd Najib kerana helah lelaki itulah dia berada
di sini. Tergamak memperlakukan dia sedemikian rupa.
Tidakkah dia terfikir cinta tidak perlu dipaksa? Kenapa buat aku macam ni?
Apa dosa aku? Apa salah aku kepada kau! Kau kejam, Najib! Kejam! Sampai hati
buat aku macam ni. Sampai hati kau musnahkan masa depan aku.
Jiwa Nurin Amira menjerit pilu. Tidak terbendung rasa sedihnya kerana
ditipu oleh anak muda kampungnya sendiri. Selama ini dia tidak pernah terfikir
Mohd Najib sanggup bertindak sejauh itu. Selama ini juga dia tidak pernah
terfikir bahawa Umirah sudah lama berhijrah ke Kuala Lumpur. Tulus benar
hatinya kerana mempercayai cakap seorang anak kecil, kononnya Umirah hendak
bertemu dengannya di sebuah rumah buruk di tepi dusun milik bapa Umirah.
Melihat dua buah beg pakaian besar yang memuatkan segala pakaiannya itu,
hati Nurin Amira menjadi bertambah sebak. Entah kali keberapa air matanya
tumpah dibiarkannya. Berat mata memandang berat lagi bahu memikul. Terlintas di
fikirannya untuk lari dari kampung halamannya itu. Tetapi, dia mahu ke mana? Tidak
mungkin menyusahkan saudara-mara. Tambahan pula jika dia membuat keputusan itu,
lambat-laun orang tuanya ketahuan juga. Lebih-lebih lagi keluarga mentuanya itu
pasti mencemuhnya lagi.
Dia tidak tahu sampai bila dia harus menghadapi suasana sebegitu. Sesekali
terlintas di fikiran untuk mengakhiri segala-galanya. Namun, dia kembali
berpijak di bumi nyata. Mengambil jalan mudah itu tidak mungkin menamatkan
segala masalah yang melanda. Walaupun air mata membanjiri kamar itu, tidak mungkin dia dapat mengubah takdir
yang menimpa.
Pasrah
dia kepada Allah. Kembali kepada qada dan qadar Tuhan, sesungguhnya ada hikmah
di sebalik kejadian dia diuji dengan begitu hebatnya dugaan di atas muka bumi
ini. Dia percaya doa orang teraniaya akan sentiasa dilindungi-Nya.
Dia
melangkah longlai menuju ke jendela, melihat kegelapan malam. Melihat bulan
bagai tersenyum mengejek ke arahnya. Terdengar cengkerik berlagu riang,
bersahut-sahutan dengan katak memanggil hujan. Namun, semua itu tidak mampu
mendamaikan hati yang dilanda kesedihan. Andai dia seekor burung, sudah lama
dia terbang bebas di angkasa. Bebas dari sangkar yang merantai jiwa ini.
Akhirnya,
Nurin Amira mengambil keputusan untuk pergi bercuti. Peluang bercuti
dipergunakan sebaik-baik mungkin. Dia belum cukup bersedia menghadapi Mohd
Najib sekeluarga. Dia belum kuat menghadapi segala perubahan yang berlaku
secara mendadak dalam hidupnya itu.
‘Ya
Tuhan! Hebatnya dugaan-Mu ini. Apakah aku mampu melaluinya? Hanya pada-Mu aku
berserah.’
Bersendirian
di pulau yang indah dan aman damai ini mendekatkan Nurin Amira kepada Allah.
Setiap kali sahaja selesai solat maghrib, dia akan terus membaca al-Quran. Ketenangan
lebih dirasai selesai membaca al-Quran.
Selesai
solat isyak pula, dia duduk di atas katil sambil berzikir dan bertahmid kepada
Allah. Masanya dihabiskan dengan mendekatkan diri kepada Allah. Kemudian
selesai berzikir, dia merenung diri. Dahulu dia punya segala-galanya. Mempunyai
kasih sayang dari keluarga yang tidak berbelah bahagi. Dihargai ibu dan ayah
dengan setiap perhatian yang bukan sedikit. Dihormati dan disayangi adik-beradik
serta saudara-mara yang lain. Kini dalam masa yang singkat sahaja segala-galanya
berubah. Entah kali keberapa dia melepaskan keluhan berat. Sudah kering air
matanya menangisi nasib diri.
Seminggu
Nurin Amira bercuti di pulau legenda, Langkawi. Namun, ternyata pulau itu tetap
tidak dapat memberi ketenangan kepadanya. Dia menangis lagi mengenang nasib
diri.
“Ya Allah. Besar sungguh cubaan-Mu ini. Ke mana lagi harus kumengadu? Hanya
Kau jua yang mengerti, yang memahami akan perasaanku. Biar apa pun tanggapan
orang terhadapku, Kau bukakanlah pintu hati orang tuaku untuk menerimaku
seperti dulu. Terangilah hatinya supaya dia sedar anaknya ini tidak bersalah.
Sungguh, Ya Tuhanku. Aku rindu belaian kasih emak, juga perhatian ayah yang
selama ini begitu menyayangiku. Dulu akulah anak kebanggaan keluarga. Tetapi,
kini tidak lagi. Ya Allah. Kasihanilah hamba-Mu ini. Andai ini suratan hidupku,
aku terima dengan reda. Ya Allah. Engkau ampunkanlah dosa-dosaku selama ini.
Amin.”
Berkali-kali doa dipanjatkan kepada Ilahi setiap kali selesai mengerjakan
solat lima waktu. Hanya dengan cara itu sahajalah yang dapat menenangkan
gejolak perasaannya.
***********
BERHARI-HARI Nurin Amira memikirkan nasib diri. Rasa bersalah pada sang kekasih tidak
tertanggung rasanya. Pelbagai perasaan bercampur baur di benaknya. Tambahan
pula apabila memikirkan si dia akan menjauhkan diri daripadanya. Mungkin juga terdera
jiwa dan perasaan apabila mendapat tahu dia sudah berumah tangga. Musnah segala
impian untuk hidup bersama.
Siapalah dia yang dapat menghalang semua ini terjadi. Tuhan sahaja yang
tahu, bisik hati kecil Nurin Amira.
Suasana
saujana mata memandang laut luas di hadapan mata tidak mampu meredakan perasaan
kecewa yang bersarang di lubuk hatinya. Kicauan burung juga seakan-akan
mengejek dirinya. Nurin Amira mengeluh lagi. Menungannya tidak mengira waktu.
Kalau boleh, dia ingin berlama di sini mencari ketenangan. Namun, apakan daya
tugas di pejabat yang menimbun menggamitnya untuk pulang. Untung sahaja cuti
kecemasan yang dipohon diluluskan oleh majikan tanpa banyak bicara.
Nurin
Amira memandang jauh. Sakit hatinya kian bernanah. Hidup di samping lelaki yang
menjerat dirinya. Hancur musnah impian untuk hidup dengan lelaki yang dicintai.
Sesekali dia tertanya-tanya apa salah silapnya hingga Tuhan menduganya dengan
musibah ini!
Tiada
siapa yang peduli cerita yang ingin disampaikan. Mohd Najib benar-benar licik.
Berlakon baik, berlakon sopan. Rupa-rupanya ada agenda untuk mengenakan
dirinya.
Nurin Amira melepaskan keluhan panjang. Dia percaya sesiapa pun yang berada
di tempatnya pasti kecewa berpanjangan. Tiada siapa pun mahu melewati perkahwinan
yang tidak dirancang. Tidak ada pelamin indah, hantaran kahwin, koleksi gambar
pengantin buat kenangan, majlis nikah yang penuh adat, dan sahabat handai yang
datang bertandang.
“Assalamualaikum.”
“Waalaikumusalam,”
jawab Nurin Amira sambil berpaling memandang empunya diri yang memberi salam.
“Boleh
akak duduk di sini?” ujarnya, meminta izin.
Selepas
Nurin Amira mengangguk, gadis dalam lingkungan usia 30-an itu memperkenalkan
dirinya. Anak jati Perlis. Bekerja sebagai peniaga sejak dua tahun lalu. Nurin
Amira senang sekali berkenalan dengan Sarah yang kematian suami beberapa bulan
lalu. Selepas itu, mereka berbual kosong pula.
“Akak
orang susah, dik. Kerja makan gaji berapa sangat gajinya. Kena sara mak ayah
yang dah uzuq. Anak lagi. Adik-adik pulak masing-masing dah bersekolah.
Kadang-kadang kepala akak naik bingung jadinya,” kata Sarah, sedih dengan kehidupan
yang dilaluinya.
“Berapa
anak akak?” tanya Nurin Amira.
“Sorang.
Adik yang kedua tu ada jugak membantu serba sikit. Lagipun, dia tengah kumpul duit
nak sambung belajaq.”
Nurin
Amira berasa simpati. Hendak menolong, dia sendiri tidak tahu dengan cara yang
bagaimana. Sudahlah kematian suami kini kena menyara keluarga pula. Sungguh
tabah perempuan ini menghadapi cabaran hidup. Kenapa tidak aku juga jadi
sepertinya.
“Akak
bukannya nak meraih simpati adik. Akak tahu hang seorang anak yang baik. Boleh
menjadi pendengaq yang baik.”
“Akak
janganlah terlampau memuji saya. Saya biasa-biasa saja. Sekurang-kurangnya akak
rasa lega dapat berkongsi masalah dengan saya. Akak bersabaqlah, ya,” ujar
Nurin Amira sambil menepuk-nepuk mesra bahu wanita yang baharu dikenalinya itu.
Lupa sejenak kesedihan yang melanda dirinya.
Sebelum
beredar ke hotel penginapan, Sarah menjemput Nurin Amira datang bertandang ke
rumahnya yang tidak jauh dari hotel tempat Nurin Amira menginap. Ada sesuatu
pada wanita itu yang baharu dipelajarinya.
**************
“MAK. Tolong maafkan Mira, mak. Dalam hal ini, Mira tak salah. Percayalah, mak.
Mira difitnah. Mira masih suci. Ikhlas Mira katakan, Najib bukan pilihan Mira,
mak!” jerit Nurin Amira melutut di kaki ibunya demi mempertahankan kebenaran.
Satu lagi penampar hinggap di pipinya. Dia terduduk lemah, sedang ibunya, Puan
Asiah menangis tersedu-sedu menahan malu. Sungguh dia terkasima melihat seluruh
ahli keluarganya tidak mempercayai kata-katanya lagi.
Entah
kali keberapa Nurin Amira ditampar oleh ayah dan abangnya. Sakitnya tidak
terperi.
Pilu rasa hati. Sekelip mata suasana menjadi hingar-bingar. Rumahnya di
penuhi jiran-jiran. Begitu cepat berita tersebar. Ibunya sekejap sedar, sekejap
pengsan. Puas sudah disepak terajang oleh abang yang bagaikan dirasuk syaitan,
Nurin Amira sedar sikap abangnya berubah mungkin terlalu kecewa dengan
peristiwa yang tidak disangka-sangka itu.
Terhimbau
lagi peristiwa pahit yang menimpanya. Sampai bila-bila pun tidak mungkin
terpadam dari kotak ingatan. Dia pasti itu.
Nurin
Amira mengesat air mata yang entah kali keberapa membasahi pipinya. Pada pagi
yang dingin itu setelah puas menikmati pemandangan pulau legenda, dia segera
bertolak pulang ke pejabatnya, Berkat Perwira Enterprise, syarikat konsultan yang
memberi khidmat nasihat kepada orang perseorangan mahupun berkumpulan untuk
melibatkan diri dalam perniagaan dan membekalkan peralatan canggih kepada para
usahawan yang ingin memulakan bidang keusahawanan.
Andai
ada kesempatan lagi pada lain waktu, dia ingin kembali menghirup udara segar di
pulau legenda tersebut. Hatinya bagai sudah serasi mengagumi keindahan alam
ciptaan Tuhan itu tanpa dicemari arus kemodenan.
Dalam
kekalutan fikiran itu, sempat dia menelefon adiknya meninggalkan pesan, mengatakan
dia berada dalam keadaan selamat.
**************
NURIN ANISHA menangis lagi. Sedih melihat
kakak kesayangannya dipukul oleh ayahnya. Tidak cukup dengan itu, disepak
terajang oleh abang sulungnya pula. Dia terkilan dengan sikap ayahnya yang
tidak mahu mendengar sebarang alasan. Kemarahannya pada Mohd Najib tidak
bertepi. Angkara Mohd Najib, dia terpisah dari kakaknya. Selama ini kakaknya
itulah yang sering membantunya dalam pelajaran. Sanggup bersengkang mata
menemaninya mengulang kaji pelajaran pada waktu malam.
Dipandangnya
hasil kerja tangan kakak yang menghiasi ruang kamar. Halus karya seni hasil
kerja tangan kakaknya. Cantik dipandang. Menarik sekali. Kakaknya memang
kreatif dalam menghasilkan kerja seni itu. Pelbagai corak alas meja yang dibuat
oleh kakaknya menghiasi ruang di dalam rumahnya. Itu sahajalah sebahagian
kenangan yang ditinggalkan oleh kakak untuk tatapan semua orang di dalam rumah
itu.
Seperti
juga kakaknya, dia tidak menyangka akan berlaku peristiwa yang memalukan dalam
hidupnya itu. Masih jelas di ruang ingatannya peristiwa yang tidak diingini
itu. Seperti biasa, cuti hari Sabtu dia dengan Nurin Amira akan ke pekan
membeli barang keperluan dapur, sementara ibu di rumah akan membantu ayahnya di
kebun. Cuma silapnya pada hari itu dia meminta kakaknya itu berhenti sekejap di
kedai Wak Deraman ketika dalam perjalanan pulang dari pekan. Dia hendak melihat
kalau-kalau suratnya ada di situ. Posmen selalu tersilap. Emak saudaranya
memberitahunya ada suratnya di kedai itu. Untuk pergi ke kedai Wak Deraman,
Nurin Amira perlu membelok ke sebelah kiri jalan. Manakala untuk ke rumahnya
pula, dia perlu membelok ke sebelah kanan di simpang tiga tidak jauh dari
simpang tiga Kampung Selasih Tengah. Terpinga-pinga dia apabila mendapati kereta
kakaknya tiada di situ. Dia pulang ke rumah dengan hati yang sebal kerana
ditinggalkan sendirian.
“Mana
kakak? Kenapa tak balik sekali?” Bertalu-talu pertanyaan ibunya. Dia hanya
mendiamkan diri. Hati masih sakit kerana ditinggalkan.
“Bukan
kakak dah balik?” soalnya kembali. Ibunya mengerutkan dahi.
“Eh!
Apa kena dengan hang pa ni? Pi sekali, balik asing-asing. Sudahnya pukul berapa
nak siap masak hari ni?” leter Puan Asiah lagi dalam pekat loghat Kedahnya.
“Tak
apalah, mak. Kita tungu aja. Susah-susah sangat, masak mi segera ajalah. mak.
Dah lama tak merasa mi segera,” jawab Nurin Anisha sambil tersenyum.
“Banyak
songeh anak dara ni. Tengah hari buta macam ni disuruhnya masak mi segera
pulak. Habis, nasi yang mak masak tu nak buat apa?”
“Ala
mak, bolehlah. Nasi tu nanti Nisha buat nasi goring,” kata Nurin Anisha, terus
memujuk ibunya.
“Kot
ya pun nak makan mi segera, Nishalah masak. Takkanlah ayah nak menjamu selera
tengah hari dengan mi segera pulak. Nak ke dia?” jawab Puan Asiah pula sambil
menggeleng-geleng.
“Okeylah,
mak,” jawab Nurin Aisha sambil berlalu ke dapur.
“Banyak
sangat songehnya.” Sayup-sayup kedengaran leteran emaknya.
Nurin
Anisha tidak sanggup menunggu kakaknya lagi. Mahu tidak mahu terpaksalah dia
menjamu selera tengah hari itu dengan mi segera.
Ke
manalah kakak ni? Mati-mati aku ingat dia dah balik. Untung saja aku adik yang
baik. Sempat mendoakan keselamatan kakaknya. Kalau orang lain, entah apalah
sumpah-seranah dilemparkan apabila dibiarkan pulang bersendirian dari kedai.
Jauh tu. Jalan kaki lagi balik ke rumah. Bertuah emak dan abah mempunyai anak
sebaik aku. Ha! Ha! Ha!
“Nisha!
Nisha! Nisha! Ke mana pulak Nisha ni? Tingkap tak ditutup, nasi tak dipanaskan
lagi. Apa nak jadi dengan budak ni?” Puan Asiah memanggil anak gadisnya sebaik
pulang dari rumah Pak Mail. Sungguhpun masih terkejut dengan situasi yang baharu
dihadapi, dia cuba berlagak setabah mungkin. Dia perlukan kekuatan untuk
meredakan kemarahan suaminya.
“Ya,
mak. Nisha kat bilik.”
Terburu-buru Nurin Anisha keluar
dari kamar kakaknya. Dia perasan perubahan air muka abahnya yang tidak setenang
selalu. Setenang air di kali, dia boleh membaca bila air berkocak lalu berubah
riak. Begitu juga wajah ibu. Keruh. Seolah-olah ada masalah besar yang baru
ditangani.
‘Aku
mesti mencari tahu punca sebenar masalah yang menimpa kakak. Aku yakin kakak
tak salah. Najib yang salah. Kurang asam punya jantan. Eee… sampai bila-bila
pun aku tak sudi anggap dia abang ipaq aku. Tak sesuai langsung dengan kakak.’
Tekad Nurin Anisha dalam hati. Dia juga terkejut apabila menerima panggilan
telefon daripada imam kampung sebaik sampai di rumah tadi. Terkejut kerana
kakak ada di rumah imam tersebut. Nama Mohd Najib juga turut terbabit. Waktu
itu dia mengesyaki sesuatu perkara buruk berlaku. Dan kini, perkara buruk itu
benar-benar berlaku.
Marahnya
tidak bertepi lagi terhadap lelaki yang telah merampas kebahagiaan kakak
kesayangannya.