BAB 2
NURIN AMIRA BINTI ZAINAL… ataupun Mira dahulu sebahagian daripada hidupnya.
Akhir-akhir ini, nama itu tiba-tiba sahaja ingin diusirnya pergi. Tetapi!
Bagaimana? Zakuan tidak tahu!
Nama itu jugalah yang dahulu
dipuja dan disayangi. Sering meniti di bibir. Dan kini sebaliknya mendera jiwa
kelelakiannya pula. Zakuan hilang konsentrasinya pada kerja dan diri sendiri.
Jiwanya tidak tenteram. Terusik hanya kerana seorang wanita. Api amarahnya
terasa menggelegak di jiwa. Hatinya remuk-redam. Sakit sungguh apabila hati
dilukai.
Zakuan ingin menjerit
melepaskan amarah yang kian menggigit hati terasa suara tersekat di kerongkong.
Apatah lagi rumah sewa yang didudukinya itu dikelilingi jiran tertangga. Sekali
terkentut, jiran sebelah rumah boleh terdengar bunyinya. Inikan pula melepaskan
jeritan hati yang tertekan. Menjerit mungkin mengganggu orang lain. Dalam
keadaan kusut begitu, Zakuan masih lagi boleh berfikir secara rasional.
************
TUK! TUK! TUK!
Ketukan di pintu
bertalu-talu. Diselang-seli suara memanggil. Aziz dan Jeffri saling berpandangan
apabila tiada reaksi daripada Zakuan. Andai tiada sebarang tindak balas sekejap
lagi, mereka bersepakat mahu memecahkan pintu kamar Zakuan. Mereka bertiga
rakan baik semenjak di sekolah menengah lagi. Apabila ada sesuatu yang
mengganggu fikiran salah seorang rakan mereka, mereka segera cuba membantu apa
yang terdaya. Lagipun, kebimbangan ketara terlukis pada wajah kedua-dua orang
anak muda itu apabila melihat Zakuan seperti tidak terurus lagaknya.
Zakuan sebenarnya tidak
mahu diganggu. Dia ingin bersendirian melayan hati yang terluka. Namun, apakan
daya. Teman-temannya itu tidak mahu memahami perasaannya.
“Astaga! Apa dah jadi ni,
Wan? Macam sarang tikus bilik hang ni!” Terpacul pertanyaan itu dari bibir
Jeffri. Selamba.
Spontan Zakuan memandang
tajam ke arah Jeffri. Saat itu Jeffri gugup.
“Er.... Maaflah, Wan. Aku tak bermaksud nak menyinggung
perasaan hang. Tapi, kot ya pun hang sedih la ni, tak salah kan kalau hang sudi
berkongsi masalah hang dengan kami? Kita bukan kenai sehari dua. Hang kena
sedaq tu. Kita pulak duduk serumah. Tak guna jugak masing-masing buat hal
sendiri,” nasihat Jeffri panjang lebar tanpa mempedulikan isyarat mata yang
ditunjukkan oleh Aziz itu. Dia tidak tahu masalah sebenar yang bermain di
fikiran Zakuan. Lain dengan Aziz yang terlebih dahulu mengetahui masalah yang
dihadapi Zakuan.
Tidak tahan menahan
telinga mendengar bebelan Jeffri itu, Zakuan berdiri menuju ke tingkap
menghadap panorama malam yang sunyi sepi.
“Wan! Aku minta maaf bagi
pihak Jeff. Dia tak tau apa-apa. Kami minta diri dulu,” ujar Aziz sambil
menolak tubuh Jeffri keluar dari bilik Zakuan. Aziz menolak Jeffri menuju ke
dapur.
“Hei... Apa sebenaqnya
yang hang pa berdua rahsiakan dari aku ni? Aku tak pahamlah!”
Pekat loghat Kedah Jeffri itu menikam masuk ke benak
Aziz.
“Perlahankan suara hang tu
sikit, boleh tak?” katanya, separuh berbisik.
“Hang ni pasai apa pulak?”
“Mulut hang tu celupaq
sangat. Aku tau la hang ambik berat kes Wan tu.”
“Betul la apa yang aku cakap
tadi tu. Kes apa pulak ni? Isy! Aku tak paham betui la,” rengus Jeffri yang
mulai berang.
“Hang ni pun satu. Nama
saja kawan. Gelojoh tak bertempat. Perangai Wan luaq dan dalam pun hang tak paham.
Eeiii... geram aku. Rasa nak bagi penampaq sebijik.”
Aziz melepaskan perasaan geramnya.
“Amboi, berani hang nak
bagi penampaq kat pipi aku yang handsome
ni.” Jeffri berseloroh.
“Yalah. Dah gelojoh
semacam, memang aku sanggup. Ni aku nak bagitau pasai...”
“Pasai apa kawan kita jadi
lagu tu? Aku tak boleh tengok la.”
“La... Aku bagi penampaq
betui-betui, kan baru hang tau langit tu tinggi ke rendah. Hang sabaq sikit,
boleh tak?”
Jeffri tersengeh. Aziz menjenguk ke dalam bimbang pula
Zakuan mendengar perbualan mereka berdua.
“Hang nak tau tak?”
“Mestilah aku nak tau.”
“Hang ni suka sangat menyampuk. Aku tak habis cakap lagi
la,” kata Aziz sambil menggaru kepalanya yang tidak gatal.
“Yelah! Yelah! Dah
hang tanya, tentulah aku jawab nak tau,” jawab Jeffri, masih dengan sikap
kelakarnya. Berlucu dengan teman rumah sendiri sudah menjadi kebiasaannya.
Sedikit sebanyak mengubati rindunya kepada keluarga di kampung Tikam batu,
Kedah.
“Kawan kita tu tengah frust. Makwe dia dah ikut
mamat lain. Itu pasai dia naik hangin satu badan. Hang tau ajelah Si Wan tu. Setia
bagai nak gila dengan Nurin Amira tu. Tak pasai-pasai blah gitu aja. Kalau aku,
aku pun marah.”
Terlopong seketika mulut Jeffri mendengar penjelasan itu.
Dia langsung tidak menyangka selama ini Zakuan menghadapi masalah berat dalam
hidupnya. Dia menggeleng-geleng. Hairan. ‘Orang sekacak Zakuan tu aweknya boleh
lari ikut orang lain,’ kata hatinya.
“Ooo... patut la monyok semacam aja sehari dua ni. Yang
aku hairan, apa kena dengan Mira tu? Angin tak dak, ribut tak dak, tup tup ikut
jantan lain. Apa ceghita?” jawab Jeffri dengan mulut terlopong.
“Zakuan tu punyalah handsome
mengalahkan Aamir Khan. Mau jugak awek dia ikut jantan lain. Sadis! Sadis!” sambung
Jeffri sambil menggeleng-geleng.
“Isy.... Biul otak hang ni, tau tak.”
Jeffri menggaru kepalanya yang tidak gatal. Dia semakin
tidak faham.
“Dah menikah pun dengan jantan tu.”
“Apa? Menikah? Salah dengaq, kut. Mira tu yang aku tau
bukan macam tu. Setia gila sama Zakuan tu.”
“Ah.... Pantai lagi kan berubah, ini kan pulak hati
manusia,” jawab Aziz berperibahasa pula.
“Yalah. Yang buat aku tak paham sangat-sangat, kalau betuilah
Mira tu dah menikah dengan jantan lain, apa sebenaqnya yang dia nak agaknya?
Kawan kita tu punyalah setia gila kat dia. Heran! Heran!” kata Jeffri sambil
menggeleng-geleng lagi.
“Biasalah, pompuan. Cun
macam mana pun kalau dah tak setia, macam tulah jadinya,” komen Aziz pula.
“Hei... Dari mana hang tau
semua ceghita ni. Boleh percaya ka?” soal Jeffri masih waswas dengan kenyataan
yang baharu didengarinya itu.
“Terpulanglah pada hang
nak percaya atau tak. Malas aku nak layan hang lagi. Lebih baik aku berborak dengan
Zakuan,” jawab Aziz lalu menuju ke dalam kamar Zakuan yang bertutup.
************
INI bukan kali pertama dia rasa terluka. Kali pertama
terluka kerana cinta yang mulai bersemi di hatinya tidak kesampaian. Gadis itu
sangat menarik personalitinya. Dia tidak sedar sejak bila dia menyukai gadis
itu. Walaupun tidak pernah menyatakan rasa yang mulai bertunas dalam hati, dia
dapat merasakan cintanya tidak bertepuk sebelah tangan. Cuma, keadaan yang
bakal menentukan hala tuju perhubungan mereka. Telahannya benar. Si dia
akhirnya melanjutkan pelajaran ke London.
Bertahun-tahun dia
sendirian menongkah arus kehidupan sehinggalah tamat belajar di universiti.
Kehadiran Nurin Amira sedikit sebanyak mengubat luka di hatinya sejak menyepi
daripada terus menghubungi si dia yang jauh di kota London melalui e-mel dan
laman blog peribadi. Dia tidak menyangka cintanya kali ini juga menemui titik
noktah. Hanya kenangan menemani hari-hari sepinya.
Cuaca di luar sungguh
dingin sekali. Apatah lagi hari masih pagi. Sekejap tadi hujan renyai-renyai
turun membasahi bumi. Namun, kesejukan penghawa dingin tidak mampu menyejukkan
hati Zakuan yang gementar menghadiri temu duga yang baharu pertama kali dilaluinya
itu. Hatinya bimbang. Takut gagal mendapatkan pekerjaan yang dirasakannya
sesuai dengan jiwanya. Juruteknik servis peralatan pejabat di Syarikat Berkat
Perwira Enterprice yang agak terkemuka di bandar KB. Biarpun pada mulanya dia
begitu yakin akan berjaya dalam temu duga itu.
Ketika melewati kawasan di
dalam pejabat, Zakuan sedikit terpegun melihat suasana yang mendamaikan. Susun
atur di dalam pejabat itu memukau pandangan matanya. Ada sedikit kebebasan.
Mungkin juga majikannya seorang yang menitikberatkan suasana kerja yang harmoni
dan juga mementingkan kualiti kerja. Ruang pejabat pula lengkap dengan hiasan
dalaman yang menyenangkan hati. Sedap pula mata yang memandang.
Selepas mendapatkan borang
permohonan, Zakuan terus mengambil tempat duduk yang berhampiran dengan bilik
penemu duga. Di situ ada beberapa orang sedang mengisi borang permohonan. Dia
mengambil tempat duduk bersebelahan dengan seorang gadis yang menawan. Berbaju
kurung warna biru lembut dan bertudung sedondon dengan warna baju tersebut.
Sebelum duduk, dia melemparkan senyuman mesra.
Zakuan semakin gelisah
apabila mendapati pen tidak ada di dalam begnya. Dia merungut-rungut sambil
menyeluk beg sandangnya.
“Emm.... Saudara cari ini,
kan? Ambillah dulu. Saya ada yang lain,” ujar gadis di sebelahnya sambil
tersenyum mesra.
Tanpa banyak soal, Zakuan
menyambut pen yang dihulurkan oleh gadis itu. Dikerlingnya sekilas orang yang
berada di situ. Ada lebih kurang lapan orang, termasuk dirinya menanti giliran
untuk ditemu duga.
“Terima kasih,” kata
Zakuan setelah selesai mengisi borang permohonan.
“Sama-sama.”
“Ramai juga yang datang
temu duga hari ini, ya,” ujar Zakuan, cuba meredakan perasaan gelisah yang
menghuni hatinya sejak tadi.
“Boleh tahan jugaklah. First time temu duga kerja ke?” tanya
gadis itu pula.
“Ha agh! Baru habis belajaq.
Boring. Dah seminggu menganggur kat
rumah. Kebetulan kawan beritau syarikat ni nak pakai pekerja. Itu yang datang
temu duga. Harap-harap dapat la,” kata Zakuan.
Awatlah gelabah semacam
ni? Apa la yang difikirkan budak perempuan tu kat aku, tak taulah. Mintak
simpanglah. Manalah tau, dia nampak pelik tengok sikap aku ni.
“Ya ka? Saya pulak masih
kerja di syarikat komputer Saujana. Saja nak beralih angin,” ujar gadis itu
pula.
“Asyik berborak, lupa nak
tanya nama saudari.”
“Nama saya, Nurin Amira
binti Zainal. Panggil Mira aje.”
Alamak! Cun pulak awek di
sebelah aku ni. Amboi senyumnya tu boleh tahan. Namanya pun sedap. Zakuan
menelan air liur.
“Sedap nama tu. Saya
Zakuan Haniff. Panggil saj,a Wan.”
Mereka berbalas senyuman.
Kemudian nama Nurin Amira dipanggil.
Zakuan memerhati lenggok
gadis itu hingga hilang daripada pandangan matanya. Hatinya tergoda melihat
kelembutannya. Senyumannya juga begitu memikat. Menyedari diri yang sedang
kelihatan asyik, dia menunduk apabila ada seorang dua perempuan sedang memerhatikan
telatahnya itu.
Pertemuan Zakuan dengan
Nurin Amira tidak terhenti di situ sahaja. Apabila diterima bekerja di syarikat
itu, mereka bertemu muka hampir setiap hari. Dari seorang rakan sekerja, mereka
menjalin hubungan kasih. Kemesraan yang terjalin sudah diketahui rakan sekerja.
Malah, menggelarkan mereka berdua pasangan yang serasi.
Sepanjang mengenali Nurin
Amira, Zakuan mendapati gadis itu pandai membawa diri. Penampilannya juga
sederhana. Tidak begitu menonjol. Baginya, Nurin Amira seorang gadis lain daripada
yang lain.
***************
“WAN! Boleh aku masuk?” kata Aziz sambil mengetuk pintu
sebelum meminta izin masuk. Zakuan membenarkan permintaan Aziz itu. Perlahan-lahan
Aziz memulas tombol pintu. Kelihatan Zakuan masih berdiri di tingkap
menyaksikan panorama malam yang indah.
Zakuan berpaling melihat
kelibat Aziz yang sudah pun duduk di birai katilnya. Lenyap kenangan indah
bersama Nurin Amira ketika kali pertama berjumpa hingga terjalin hubungan mesra
di antara mereka.
“Aku bukanlah penasihat
yang baik. Tapi, nasihat sikit-sikit tu adalah yang boleh diterima pakai.
Terpulanglah! Hak hang nak terima atau tak,” kata Aziz sambil melihat reaksi
Zakuan yang berubah tempat duduk. Dia melihat temannya yang kelihatan kusut itu
dari ekor matanya. Zakuan duduk di kerusi bersebelahan katil bujangnya.
“Aku rasa hang nak kena
berehat. Maksud aku, rehatkan minda, rehatkan badan, rehatkan emosi yang
berserabut dengan kerja dan entah apa-apa lagi. Aku tengok hang dah tak macam
dulu lagi. Tak terurus.”
“Jadi! Apa yang patut aku
buat?” tanya Zakuan.
“Berehatlah. Mintak cuti
dari bos. Takkanlah nak cuti sehari dua pun dia tak bagi.”
“Aku ingat nak berhenti
kerja. Aku dah tak sanggup lagi.”
“Hang dah pikiaq panjang ka?
Tak sayang dengan kerja hang la ni? Hang kerja di situ bukan sehari dua, tau.
Dua kali dah kenaikan gaji hang. Buat keputusan terburu-buru, hang menyesal
nanti. Bukan senang nak dapat kerja lain yang sama taraf dengan gaji hang la
ni.,” balas Aziz.
“Habis, nak buat macam
mana lagi? Hari-hari aku tengok muka si minah tu. Sakit hati aku ni, tau tak,”
jawab Zakuan sambil meraup rambutnya ke belakang.
Aziz menarik nafas
panjang. Dia tidak mahu kawannya itu tersungkur hanya kerana seorang perempuan.
Dan dalam masa yang sama juga, dia tidak mahu kawannya itu tersinggung dengan
kata-katanya. Seboleh-bolehnya, dia cuba mengawal perasaan agar tidak terlampau
memberi nasihat.
“Hang kena pro la. Bunga
bukan sekuntum, kumbang bukan seekor, beb! Kerja, kerja jugak! Cinta, cinta
jugak! Tak payahlah nak mencampuqadukkan hal peribadi dengan kerja. Cubalah hang
anggap ini semua sebahagian rencah kehidupan yang patut hang lalui. Jodoh
pertemuan itu kan kerja Tuhan,” kata Aziz dengan perlahan menepuk bahu temannya
itu.
“Arghhh! Cakap memang
senang!” Zakuan mendengus marah. Kemudian menghempaskan dirinya ke atas tilam
pula. Ada benar nasihat temannya itu, kata hatinya. Akan tetapi, mana mungkin
dia dapat bersemuka hampir setiap hari dengan wanita yang pernah mencuri
hatinya itu? Setelah bersama-sama berjanji untuk hidup semati, akhirnya impian
itu musnah begitu saja, kata hatinya lagi.
Bukan Aziz tidak tahu
Zakuan itu anak muda jenis yang bagaimana. Malah, dia tabik hormat rakannya
itu. Tidak suka keluar mencari hiburan di luar. Tidak suka bertukar-tukar kawan
perempuan. Tidak merokok. Kerja pula dilakukannya dengan penuh ikhlas hati dan
rajin pula ke surau bersembahyang jemaah. Dia bersyukur benar ditemukan dengan
seorang rakan yang boleh diajak berunding, bersih, serasi dan baik hati itu.
“Pikiaqlah yang mana lagi
penting. Cinta, keluarga dan kerjaya yang hang sayang tu. Mana tau, Tuhan nak
jodohkan hang dengan pompuan yang lagi baik ka. Kita mana tau, kan? Pikiaqlah
demi masa depan hang, okey!” ujar Aziz sambil menepuk-nepuk paha temannya itu.
Jeffri yang mencuri dengar
perbualan kedua-dua rakan serumahnya itu tersenyum bangga kerana rakan baik
mereka berjaya menenangkan Zakuan. Sebagai seorang sahabat, dia bersimpati
dengan nasib yang menimpa Zakuan. Dia ingin keadaan Zakuan kembali seperti
dahulu. Cubit paha kiri, paha kanan terasa. Begitulah istilah yang boleh
digambarkan tentang tiga orang sahabat ini.
************
“AKU bersimpati dengan nasib yang menimpa teman kita tu,”
ujar Aziz, memecah keheningan suasana yang hadir di antara mereka berdua.
Jeffri memandang Aziz sekilas, kemudian kembali memfokuskan pandangannya ke hadapan.
Hampir setiap petang sebaik sahaja pulang dari tempat
kerja, mereka berdua akan berjoging di sekeliling taman perumahan Taman
Beringin itu. Kadangkala Zakuan akan turut menyertai mereka. Itu salah satu
riadah yang dilakukan oleh mereka bagi melepaskan ketegangan selepas penat
bekerja. Selain itu, Jeffri juga suka mengunjungi cyber cafe bagi melayari internet dengan rakan-rakan mayanya.
Berlainan pula dengan Aziz yang gemar melayani kucing
kesayangannya di rumah. Zakuan pula memilih untuk membaca apa juga jenis bahan
bacaan yang diminatinya. Ada masanya pula bermain game di rumah. Begitulah aktiviti harian ketiga-tiga sahabat baik
ini. Orang bujanglah katakan.
Zakuan akan terus
mengingati nasihat arwah ayahnya agar mengamalkan kehidupan sihat sehingga
nyawanya terpisah dari badan.
“Itulah. Aku pun simpati jugak dengan nasib
yang menimpa kawan kita tu. Tapi, nak buat macam mana? Kalau ada cadangan lain,
baguih jugak.”
“Aku ada idea!” jawab Jeffri
sambil memetik jarinya.
“Idea apa?” tanya Aziz,
sekilas memandang temannya itu.
“Apa kata kita pujuk Wan pergi
melancong sehari dua? Aku rasa inilah masanya kita tengok tempat orang, beb!
Amacam, setuju?”
Aziz meletakkan jari
telunjuknya di dagu sambil memikirkan sesuatu.
“Hang gila apa. Yang frust bagai nak rak, Zakuan kawan
kita. Yang kita lebih-lebih ni, sapa
suruh? Kerja aku pun banyak di office
tu. Silap-silap, aku dibuang kerja pulak. Naya,” ujar Aziz seperti tidak setuju
dengan cadangan Jeffri itu.
“Apa la lu. Mau boring gila Si Zakuan tu sorang-sorang
pi bercuti. Hang pun satu. Nak minta cuti sehari dua pun susah. Kerja, kerja,
kerja 24 jam,” kata Jeffri sambil menepuk dahinya.
“Lagipun, hang jugak yang
bagi cadangan tu. Aku setuju aje,” sambung Aziz lagi.
Nampaknya cadangan aku untuk
pergi bercuti dengan teman-teman tidak kesampaian. Masih banyak kerja yang
perlu aku selesaikan di pejabat. Terpaksalah aku merelakan mereka bercuti. Apa
nak buat. Ah! Rindunya dengan keindahan pantai yang menyenangkan. Aziz
melepaskan keluhannya.
Jeffri yang menyedari
telatah temannya itu, segera mengusiknya.
“Hang ni, Jeff. Tak boleh
tengok orang senang la.”
Jeffri ketawa kelucuan.
Apa tidaknya. Sedari tadi Aziz jauh mengelamun melayan angan-angannya. Suasana
yang murung tadi kembali ceria dengan gelak tawa kedua-dua orang sahabat baik
itu.