Bab
1
HAKIMI masih belum mahu melepaskan pemandangan
wajib yang terpampang di depan matanya. Dari hari pertama berpindah, entah
kenapa rumah itu terus mencuri perhatian. Memaksa benaknya begitu teruja mahu
mengetahui siapa bakal menghuninya. Bagaikan rumah itu akan dihuni oleh
pari-pari dari langit ketujuh. Hmm... berharaplah sangat.
Dia mengeluh. Pari-pari yang dimurka kayangan
sahaja yang akan tercampak dan tinggal di kawasan perumahan mewah Grand Impiana
Vila, Bukit Tinggi itu. Padanya tempat itu tidak ubah bagaikan tempat tinggal
makhluk asing. Manakan tidak jika kiri, kanan, depan, belakang hanya
wajah-wajah asing sahaja yang terlihat.
‘Nasib kaulah badan... silap-silap ber-girlfriend-kan
amoilah kali ni,’ gumam Hakimi. Matanya beralih ke rumah bersebelahan. Kelibat
seorang pemuda Cina melintas pintu kaca di balkoni rumah itu membuat dia
menggeleng dan tersenyum sendiri.
“Memang sah kali ni aku bakal dapat awek Cina
pulak,” ujarnya sendiri dan terus berpaling masuk ke bilik. Langsir warna biru
gelap ditarik menutupi pintu kaca yang memisahkan biliknya dan balkoni. Tubuh
yang terasa malas dihempas ke sofa. Perasaan terasing dan kebosanan beradun
mengasak fikiran.
Kenapalah ibunya beria-ia mahu berpindah ke
situ? Rumah lama mereka di Seksyen 9, Shah Alam dahulu tidak cukup baik ke?
Besar juga, siap diubahsuai pun. Jiran-jiran juga sudah seperti keluarga
sendiri. Baik, ramah dan saling mengambil berat. Bagi melampiaskan perasaan
yang memberontak, bantal kecil yang terhimpit di bawah badan dibaling ke lantai.
Sibuk Hakimi melayan amukan jiwa, pintu bilik
tidurnya yang tidak berkunci ditolak perlahan. Muncul ibunya di sebalik daun
pintu itu.
Puan Alia berjalan masuk sambil memandang Hakimi
yang berwajah muram. Langkahnya terhenti seketika, bantal kecil yang terdampar
atas lantai dikutip.
Sedar dirinya direnung dengan pandangan tidak
puas hati, Hakimi memalingkan muka ke tingkap kaca. Yang perlu dibuat tika itu
hanya menadah telinga.
“Kenapa asyik berkurung aje ni? Tak bosan ke?
Turunlah, kita minum petang. Mama ada buat lepat ubi kesukaan Kim,” ujar Puan
Alia dengan suara perlahan. Bantal di tangan dihulurkan.
Hakimi buat tidak peduli. Dibiarkan sahaja
bantal itu mendarat ke atas pehanya. Dia membisu seolah-olah Puan Alia sedang
berbicara dengan dinding sahaja.
Melihat muka Hakimi monyok bagaikan pau tidak
sudah, Puan Alia sedar anak bongsunya itu memang tidak suka berpindah ke situ.
Tetapi kalau diturutkan rasa hati Hakimi, dia pula yang tidak bahagia. Makan
hati, berulam jantung setiap masa. Sudahlah suami harus dikongsi, kena pula
berhadapan dengan madunya yang suka mengada-adakan masalah yang tiada.
“Kalau Kim bosan, ajaklah kawan-kawan datang,”
pujuk Puan Alia. Perangai Hakimi yang suka memberontak dan membuat hal sendiri
membuatkan kepalanya pening. Dulu Hakimi tidak begitu, semenjak tamat belajar
dan pulang dari luar negara perangai anak itu berubah. Tidak seperti
abang-abangnya yang lebih menurut kata. Makan hati betul melayan perangai anak
bongsunya ini.
Hakimi buat muka tidak berperasaan.
Puan Alia melepaskan keluhan. “Mama keluar dulu.
Nanti jangan lupa turun.”
LEMAS
duduk bertapa dalam bilik, Hakimi bersiap mahu
keluar. Dia ada janji dengan kawan-kawannya. Rambutnya dirapi sebelum turun ke
tingkat bawah.
“Handsome betul aku ni,” puji Hakimi depan
cermin dan tersengih. Memang betul dia tampan, kalau tidak mana mungkin ada
gadis-gadis yang gila bayang setiap kali dilayan. Pergh... taubat. Dia
tidak mahu melayan gadis untuk bersuka-suka lagi. Serik dengan kes Rabeca yang
begitu fanatik terhadapnya dulu. Tidak fasal-fasal menjadi kes polis kerana
gadis itu hendak mengelar leher sendiri. Nasib baik juga kes itu berlaku jauh
di Amerika sana. Maka, tiadalah kaum keluarga yang tahu.
Sampai sahaja di ruang makan, dia melihat Puan
Alia sedang sibuk menghidang makan malam sambil dibantu Sarah, kakak iparnya.
Hakimi mencebik. ‘Tuan besar dah balik rumah,’
gumamnya kurang senang. Terus sahaja dia berlalu ke pintu utama.
Puan Alia yang terpandang Hakimi tergesa-gesa
mahu keluar menyapa. “Kim, makan dulu. Papa pun ada kat atas. Kita makan sama,
ya?” ajaknya.
Hakimi mengeluh.
Sempat dia menjeling ke atas. “Tak apa, ma. Kim dah lewat. Ada janji dengan
kawan.” Dia terus keluar. Sebenarnya dia masih punya banyak masa, tetapi
sengaja mencari helah dari makan semeja dengan papanya yang sebulan hanya
sekali dua sahaja muncul di rumah itu. Buat sakit hatinya sahaja mengenangkan
sikap kurang bertanggungjawab papanya itu. Andai sahaja dia mempunyai jodoh
nanti, akan dipastikan agar tidak mengulangi kesilapan itu.
Hakimi tahu sesetengah orang mengagumi kehebatan
papanya yang berjaya dalam perniagaan dan juga hebat menguruskan empat orang
isteri. Dia peduli apa berapa ramai isteri yang papanya ada. Lahir-lahir sahaja
dia memang sudah punya tiga orang ibu tiri. Tetapi apapun, mamanya yang satu
itu jugalah yang menjadi ratu di hati.
Sifat tidak adil papanya yang membuatkan dia
menjauhi lelaki itu. Bertahun-tahun papanya seperti dirantai ibu tirinya yang
keempat dan membuat mamanya menjadi penderita tegar. Mujur dua lagi ibu tirinya
tidak banyak kerenah. Jika tidak, pasti keluarga besar mereka selalu menjadi
medan perang. Enjin kereta dihidupkan, pedal minyak ditekan dan setereng kereta
dipusing. Keretanya terus dipandu laju.
Puan Alia mengeluh. Faham benar dia dengan perangai Hakimi. Jika katanya
tidak, memang tidaklah jawapnya.
Encik Harun yang baru turun untuk makan malam
menggeleng. Daripada bunyi enjin kereta tadi, dia tahu Hakimi sudah keluar.
“Kim pergi mana?” tanya Encik Harun
menyembunyikan wajah kecewa. Melihat anak-anak lain sudah berkumpul di meja
makan, hatinya menjadi terkilan? Setiap kali berusaha meluangkan masa di rumah
itu, Hakimi pasti mengelak. Sudah lama muka Hakimi tidak ditatap. Hanya wajah
remaja anak itu yang kekal terakam dalam ingatannya. Semenjak Hakimi menyambung
pelajaran ke luar negara, mereka tidak pernah duduk berbual bersama lagi. Sama
ada dirinya benar-benar sibuk atau Hakimi yang melarikan diri.
Encik Harun mengeluh sendiri mengenangkan dosa
silam yang sudah dilakukan. Mungkin ini hukuman. Hakimi bukan anak
kesayangannya tetapi ada sesuatu yang membuatkan anak itu cukup istimewa.
Wajah hampa Encik Harun membuatkan Firdaus
kurang senang berada di meja makan. Dia tahu Hakimi puncanya. “Kim tu suka
memendam rasa. Entah apalagi yang tak cukup agaknya?”
“Biarlah... dia muda lagi,” bela Encik Harun
tidak mahu memanjangkan soal Hakimi dan membuatkan hubungan adik-beradik itu
rosak kerana rasa tidak puas hati antara mereka.
Firdaus hanya mengeluh. Dia terasa hati tetapi
tidak wajar pula mahu menunjukan protes.
“Hashim tak balik?” tanya Encik Harun. Anak
sulungnya itu tidak banyak ragam seperti Hakimi. Hanya masalah rumah tangga
yang dihadapi Hashim kebelakangan ini membuatkan anak itu murung.
“Abang balik lambat. Ada urusan pejabat yang dia
nak siapkan,” beritahu Firdaus.
Encik Harun mengangguk.