hujan turun dengan lebatnya. Alam yang sepi menjadi dingin dan hampir
membeku. Hakimi sedang terhendap-hendap disebalik pintu kaca yang gelap pekat
itu. Terbakar benar hatinya melihat hujan menggagalkan niatnya untuk melepak
sambil menyanyi bersama gitar di balkoni.
Hehehe... itu alasan sahaja. Sebenarnya dia mahu
cuba memanggil Ila, seperti Hang Tuah memanggil Melurnya. Tetapi hujan turun
sewaktu dia membuat perancangan. Dia kena fikir alternatif lain. Sampai bilalah
hendak perang dingin dengan Ila? Hatinya asyik memikirkan Ila.
Otak Hakimi ligat berfikir bagaimana mahu
memujuk Ila. Kalau Ila itu betul-betul arnab, bolehlah diberi makan lobak merah
aje. Tetapi arnab yangmarah pun kadang-kadang menolak lobak.
ILA sudah selesai bersolat. Selepas
mengaminkan doanya, dia termenung seketika sebelum menggaru kepala. Apa pasal
nama Hakimi boleh masuk ke dalam doanya juga, ya? Dia tidak faham. Tetapi tidak
mengapalah, tidak salah mendoakan seorang kawan menuju kebaikan dan berjaya
dalam hidup.
Dia membuka telekung dan meletakkannya di ampai
kayu. Tubuhnya dihempaskan ke atas tilam. Puas tilam itu menemani dia menangis
tadi. Melayan rasa sedih kerana masalah keluarganya. Tetapi lepas air matanya
mencurah, hatinya sudah sedikit lega.
Dia sudah menerima kehilangan papanya dan tidak
sabar menunggu kepulangan mama dan adik-adiknya. Ila teringat apa yang berlaku
di Maniera. Sekarang dia mahu berfikiran positif. Apa yang berlaku itu pasti
ada hikmahnya. Salah satu daripada hikmahnya, dia belajar memotong gaun rumit
itu.
Agaknya perlu ke Hakimi dimaafkan atau biarkan
sahaja semua itu berlalu? Anggap mereka tidak pernah kenal. Ila menggaru
kepala. Tiba-tiba telefon bimbitnya berbunyi. Ada mesej masuk.
Dia mendapatkan telefon bimbit di atas meja
kecil. Nama jejaka idamannya terpampang di skrin. Dia tersenyum. Inilah terapi
masalahnya yang paling mujarab. Andrew. Pantas mesej itu dibaca.
Hai, belum tidur, kan? Esok saya nak ajak awak
keluar. Tapi kalau awak dah tidur, awal pagi esok jangan lupa reply, okey.
Night. Sweet dream.
Setiap malam Andrew akan mengucapkan selamat
malam. Tiap-tiap malam jugalah hidung Ila kempas-kempis menahan sengih. Seronok
betul hatinya.
Hai, night. Hope you sweet dream too. Hmm... esok
nak ajak saya ke mana?
Hehehe... mana boleh tunggu sampai esok untuk
membalas mesej itu. Rugilah. Ila berbaring semula. Menunggu balasan daripada
Andrew. Lambat pula Andrew membalas. Dia meletakkan telefon bimbit dia atas
tilam sambil matanya memandang bilah kipas yang berpusing perlahan. Mesej masuk
lagi. Dia tersenyum.
Sebaik matanya menatap skrin, terus dahinya
berkerut.
Sampai bila awak nak marah saya? Saya minta maaf.
Janganlah marah lagi. Hidup saya tak sempurna tanpa awak.
Ila buat muka menyampah. Hakimi betul-betul
mencantas mood gembiranya. Datang-datang sahaja ke dalam taman hatinya
terus memotong semua bunga segar yang baru Andrew tanam tadi. Eeii... geram!
Baru sahaja Ila hendak membalas mesej daripada
Hakimi. Satu lagi mesej masuk. Ila membaca mesej itu dahulu.
;-) Nak ajak awak teman saya beli buku aje. Kalau
ada novel yang awak suka nanti, saya belanja.
Ila membalas mesej Andrew dahulu.
:-) Okey.
Dia kembali ke mesej Hakimi. Kepala yang tidak
gatal digaru. Hendak balas apa ya? Hmm... pandangannya beralih ke arah bilik
Hakimi. Malas-malas dia bangun menuju ke pintu kaca dan menyelak langsir. Hujan
masih lebat mencurah. Memang tiada peluang hendak bersembang atau bergaduh
dengan Hakimi di situ. Ila kembali ke katil. Telefon bimbit ditangannya
dipandang lagi.
“Balas ajelah. Apa yang susah sangat. Bukan
nampak biji mata dia pun dalam ni,” omel Ila.
Encik Hakimi, tak ada sebab pun saya nak marah
awak. Kalau awak ada salah pun, saya sentiasa memaafkan.
Habis menaip ayat yang baik bunyinya itu, butang
hantar ditekan. Tetapi Ila rasa tidak selesa pula. Kalau betul Hakimi sudah
dimaafkan, apasal hatinya masih berbahang?
Hakimi pantas membalas mesej Ila.
Hmm... ayat tu macam tak ikhlas!
Ila menaikkan kening. Aik, dia boleh rasa pulak
apa yang ada dalam hati aku, gumamnya.
Saya dah maafkanlah.
Hakimi balas lagi.
Kalau betul dah maafkan, saya nak bercakap dengan
awak. Jom keluar kejap.
Ila buat muka begang.
Hujan. Dah lewat. Lain kali aje.
Hakimi tidak mahu beralah.
Mana ada lewat. Belum pukul 10.00 pun. Jomlah.
Ila mencebik. Dia tahu Hakimi takkan berpuas
hati.
Saya tak ada mod nak keluarlah malam ni. Lain
kalilah.
Hakimi belum berputus asa.
Okey. Kalau awak tak nak jumpa saya, saya datang
jumpa awak!
Ila mula rasa bengang. Mahu sahaja dibaling
Hakimi dengan telefon bimbit di tangannya. Entah apa yang Hakimi hendak buat
agaknya. Kata lelaki pujaan. Tak mungkinlah tiada perempuan lain yang hendak
diganggu malam-malam begitu. Juliesa, gadis bermata biru klon itu, kan ada.
Kenapa dia suka ganggu aku?
“Lantak kaulah Hakimi!” rengus Ila sebelum
beralih ke almari baju. Kotak besar yang tersimpan di atas almari itu
diturunkan.
“Tengok
kawan-kawan aku yang dah lama aku tak say hello ni lagi baik.” Kotak itu
dibawa ke katil. Penutup dibuka dan anak-anak patung Barbie di keluarkan satu
per satu. Ila tersenyum melihat anak patung ditangannya yang mengayakan blaus
berlengan sebelah rekaannya.
Sedang asyik-asyik dia membuat pertunjukkan
fesyen di atas katil, pintu biliknya diketuk. Ila mengeluh. Siapa pula yang
mencantas fesyen shownya ini. Dia bangun menuju ke pintu. Tombol
dipulas, kepalanya dijengukkan sedikit daripada bahagian pintu yang terbuka.
Malu hendak membuka daun pintu itu lebih lebar. Nanti ada pula yang ternampak
anak-anak patungnya berderet di atas katil.
Hanim tersenyum penuh misteri. Keningnya
diangkat sedikit. “Turun kejap.”
“Sekarang?” Ila kerut dahi.
Hanim mengangguk.
“Hmm... kejap.” Ila masuk semula dan menutup
pintu.
Hanim pelik melihat perlakuan Ila. Biasanya
pintu itu akan dibuka seluasnya. Pasti ada yang disembunyikan anak saudaranya
itu.
Ila menyimpan anak-anak patungnya semula.
Kemudian dia keluar dan mengikut Hanim turun ke bawah. Hatinya tertanya-tanya,
kenapa Hanim menyuruhnya turun? Biasanya selepas waktu makan malam, mereka akan
buat hal masing-masing.
Sampai sahaja di ruang tamu. Hanim menahan bahu
Ila daripada melangkah. Matanya menghala ke sofa, memberi isyarat kepada tetamu
malam yang sedang menunggu Ila di situ. “Tu...” Hanim memanjangkan muncung
menghala ke arah yang dipandang matanya tadi. “ Pergilah jumpa dia sekejap.”
Ila menggaru kepala. Dia ni memang sewellah,
gumamnya. Dia rasa antara mereka sudah tiada apa lagi yang hendak diperkatakan.
Cukuplah andai mereka sekadar menjadi jiran yang mengucapkan salam ketika
berselisih di jalanan dan tidak peduli lagi hal masing-masing selepas itu.
Hatinya mahu menjauhi Hakimi.
“Pergilah. Tak baik buat tetamu
tertunggu-tunggu,” pujuk Hanim sambil menolak sedikit tubuh Ila ke hadapan.
Ila mengeluh. Lemah sahaja dia melangkah. Sebaik
tiba, dia duduk di sofa dengan muka masam. “Awak nak apa? Tak tahu ke hari dah
malam?” sapanya dingin. Kalau Hakimi boleh ditelan, pasti sudah lama ditelan
lelaki itu. Biar lenyap daripada pandangan mata. Buat menyakitkan mata sahaja
malam-malam bertandang ke rumah orang.
Hakimi memandang Ila dengan muka sedih. Hatinya
terseksa mendengar kata-kata itu. “Saya tahu dah malam. Tapi awak tu tak ikhlas
maafkan saya. Asyik nak marah-marah aje,” protes Hakimi.
“Alah, awak bukannya tak biasa buat orang macam
tu. Masa mula-mula kita kenal dulu, awak pun suka marah-marah juga. Lupa ke?”
sindir Ila.
Hakimi tersengih. “Saya jadi macam tu bila ada
masalah aje. Bukan hari-hari.” Dia menggigit bibir bawah dan membuat muka tidak
bersalah. Memang dia akan mudah naik angin setiap kali menghadapi tekanan. Jadi
Ila kenalah memahaminya secara perlahan-lahan. Memujuk egonya yang
kadang-kadang memang menghiris perasaan sesiapa sahaja.
“Yang kadang-kadang tulah selalu buat orang
susah,” marah Ila. “Kalau hari-hari, ramai pulak yang mati sebab awak. Lain
kali dah tahu awak tu ada penyakit ‘gila’, rawatlah! Ubah perangai tu, bukan
susahkan orang,” sindir Ila.
Hakimi menahan gelak. Ila kalau bercakap marah
pun bunyinya lucu. Comel. “Awak kenalah tolong saya...” Dia membuat muka
kasihan. “Saya perlukan awak untuk cari penawar penyakit ‘gila’ saya ni.”
Ila merenung Hakimi. Menyampah!
Hakimi tersenyum. “Awak ni kalau merajuk... macam-macam
perkataan unik keluar. Comel aje saya dengar,” pujinya. Agaknya telinga orang
dilamun cinta begitulah kot. Kena marah pun suka. Biasanya kalau Juliesa cakap
bukan-bukan dengannya, pasti ditinggalkan sahaja gadis itu.
“Bila masa saya merajuk?” nafi Ila. Lampu
kristal yang tergantung menghiasi siling dipandang. Hatinya tertanya-tanya
pula, dia merajuk ke? Rasanya dia marah, tetapi kenapa hatinya keliru sangat
dengan dua hal itu? Merajuk ke marah? Hisy! Susah untuk dijawab.
“Laa... tak merajuk ke? Penat saya datang
pujuk,” sakat Hakimi.
Ila merengus. Geram betullah Hakimi
mempermainkan dirinya begitu. Dia menarik nafas. “Siapa yang suruh awak datang?
Saya tak panggil pun!”
“Eh, dah awak desak-desak suruh saya datang
sini. Tak mengaku pulak,” ujar Hakimi.
“Eeii... tolong sikit. Bila saya suruh awak
datang?”
“Dah awak tak nak layan mesej saya tadi tu, apa?
Saja nak buat jiwa saya kacau?” soal Hakimi. “Daripada saya tertunggu-tunggu,
elok datang sini cari awak.” Andai dia tidak terus melangkah ke situ, Ila pasti
hilangdaripada hidupnya. Dia tidak mahu Ila menjadi kekasih rasmi Andrew pula. Oh,
tolonglah!
Ila
menggenggam penumbuk. Dia pejam mata sesaat. Memang makan hati kalau bercakap
dengan mamat sewel ini. “Awak nak apa?” Ila mula rimas.
“Awak...” panggil Hakimi lembut.
“Apa?” jawab Ila kasar.
Hakimi tersengih. “Nak secawan kopi?” pintanya
manja.
Ila menghembus nafas melepaskan rasa berbahang
dalam hati. Agaknya kalau dirinya naga mesti sudah berasap ruang tamu itu
dihembusnya. Ya ALLAH! Kenapalah makhluk pelik ni boleh datang ke sini
malam-malam macam ni? Rungut hati Ila.
“Kedai kopi auntie saya tu dah tutup,”
balas Ila sambil menoleh ke dapur. Malasmahu melayan kerenah Hakimi. Kalau
rasa tekak tu haus sangat, baliklah rumah. Dia bukan isteri Hakimi.
Hakimi mencebik. “Alah, nak mintak air pun
kedekut,” sakatnya.
“Datang rumah orang malam-malam nak mintak
macam-macamlah pulak. Pergilah balik. Minuman kat rumah ni semua dah habis.
Kita orang kalau nak minum, tadah air hujan kat luar tu aje,” ujar Ila.
Hakimi ketawa. Sah Ila sudah berjangkit penyakit
‘gila’nya.
Ila menjeling sebelum merengus dan memeluk
tubuh. Memang dia tidak tahu hendak bercakap bagaimana lagi dengan Hakimi.
“Saya rasa penyaman udara dalam rumah awak ni
tak rosak. Tapi kenapa awak asyik panas aje dari tadi? Saya ni dah sejuk
menggigil. Rasa nak beku ni,” beritahu Hakimi sebaik ketawanya mati. Dia memang
sudah mengigil. Ila sahaja yang buat tidak nampak.
Ila mengetap bibir. Hakimi memang pandai buat
marahnya tidak menjadi. Kempas-kempis hidungnya menahan tawa. “Awak ni
jahatlah!” Pantas bantal kecil dibaling.
Hakimi menangkap bantal itu dan ketawa lagi.
“Mana ada saya jahat. Awak tu yang tak nak senyum dari tadi.” Dia buat muka
manja. Sengaja hendak melihat berapa lama Ila boleh menahan ketawa.
Ila menggeleng. Boleh pula hatinya tersentuh
dengan kata-kata Hakimi. Sekarang dia tahulah, dirinya bukan memarahi Hakimi
tetapi merajuk. “Dahlah... pergi balik. Saya nak tidur,” halaunya.
“Awak ni tak sabar-sabar nak halau saya balik.”
Hakimi tarik muka masam. “Okey, saya balik. Tapi... lepas awak betul-betul
maafkan saya.”
Ila menjongketkan kening. Entah berapa kali
Hakimi hendak minta maaf agaknya.
“Tapi ada syarat,” beritahu Hakimi sambil
tersenyum.
Ila tarik muka masam. Pelik! Orang yang meminta
maaf hendak memberinya syarat. “Awak yang minta maaf, tapi saya pula yang kena
terima syarat?” soal Ila tidak puas hati. “This is really not fair,”
rungut Ila perlahan.
Hakimi tersengih. Adil tidak adil itu cerita
lain. Yang dia tahu, Ila mesti setuju.
“Cakaplah cepat apa syarat awak tu.” Rela dalam
paksa sahaja Ila melayan perangai mamat seorang ni. Kalau ada sepuluh orang
lagi seperti Hakimi, dia bolehke hospital mental.
Hakimi tersenyum lebar. Tahu Ila semakin tidak
sabar mahu melihat dia balik. Tetapi dia belum puas membuli lagi. Mana boleh
balik. Sudah beberapa malam dia tidak dapat membuli Ila. Kebetulan hari itu
gilanya datang, tidak segan-seganlan loceng rumah itu ditekannya tadi.
Alang-alang mangsa sudah berada di depan mata bolehlah dikorbankan.
“Syarat pertama, kalau awak nak saya balik, awak
kena maafkan saya seikhlas hati. Kalau tak saya tidur sini,” ugut Hakimi.
Ila menggaru kepala. “Mana boleh main
paksa-paksa?” protesnya.
“Mana ada saya paksa? Saya cakap aje.” Hakimi
membela diri sebelum menaikkan kening. Dinding yang memisahkan ruang itu dengan
dapur dikerling. Sebelum Hanim muncul dan duduk berbual di situ, elok
dipercepatkan apa yang mahu disampaikan. “Tapi awak pilihlah, nak saya tidur
sini atau balik?” tambah Hakimi dengan muka serius.
“Kalau saya tidur sini, saya nak tidur kat bilik
awak. Tak kisahlah kalau terpaksa nikah dengan awak dulu malam ni.”
Terbeliak mata Ila. “Saya rasa awak ni tak
sihatlah. Tak pun salah makan.”
Hakimi tersengih.
“Baiklah Encik Hakimi, saya maafkan awak. Semua
syarat awak pun saya terima supaya saya ni nampak ikhlas memaafkan awak,”
setuju Ila. Sudah malas hendak berfikir. Biarlah dia melayan kerenah Hakimi
yang satu itu. Lagi cepat Hakimi balik lebih bagus.
Hakimi tersenyum menang. “Bolehlah saya balik
sekarang,” ujarnya senang hati. Itu sahaja yang dia mahu dengar. Yang lain
boleh dibincangkan esok.
“Sebelum awak balik, beritahulah syarat yang
lain jugak,” pinta Ila.
Hakimi tersenyum. “To be continue,”
jawabnya.
“Hah? Kalau yang bukan-bukan saya tak nak buat.”
Ila menjeling Hakimi.
“Jangan risaulah, saya takkan menyusahkan awak.”
Hakimi memberi jaminan. Sebenarnya syarat yang lain tiada lagi di dalam
fikirannya. Dia mengarut sahaja.
“Otak awak tu bukan betul sangat. Fius dah
terbakar,” sindir Ila tidak puas hati.
Hakimi tersenyum. “Jadi... We behold later,”
balasnya.
Ila mengerut dahi.
“Saya nak baliklah. Dari tadi minta air tak
dapat,” rungut Hakimi. Dia bangun daripada duduk dan mengeliat seketika.
Urat-uratnya seperti membeku kerana kedinginan.
Ila sudah membuka daun pintu selebarnya.
“Awak nak tahu tak?” tanya Hakimi sambil
memandang tepat ke muka Ila. Dia tersenyum lagi. Dalam hati dia berdoa semoga
tidur Ila lena malam itu. Mimpikan dirinya sambil dihantui syarat-syarat yang
belum diberitahu itu.
“Apa?” tanya Ila, bengang.
Hakimidiam. Dia menyarung seliparnya. Payung yang
dibawa dicapai. Hujan masih lebat. Hakimi melangkah selangkah ke hadapan.
“Awak...” panggilnya sambil menoleh sedikit ke belakang memandang Ila yang
sudah memeluk tubuh.
Ila menjeling geram. “Apalagi?” rengus Ila.
“Bukaklah pagar tu, saya nak balik ni,” beritahu
Hakimi manja. Dia tersenyum
Ila menggigit bibir bawahnya. Geram betul
perasaannya memandang Hakimi. Alat kawalan jauh diambil dan ditekan. Pintu
pagar mengelongsor perlahan dan terbuka.
“Terima kasih,” Hakimi cepat-cepat keluar.
Tersenyum mengenangkan kenaifan Ila. Malam itu dia merampas gelaran raja buli
daripada Ila dan Siera.