Bab 26
DENGANmuka sedikit ceria, Hakimi
masuk ke pejabatnya. Masalahnya semakin selesai.
Kot hitam yang dipakai diletak ke penyandar kerusi. Dia duduk. Meja kerjanya
yang kemas dipandang seketika. Laptop dihidupkan. Kemudian butang interkom
ditekan.
“Carmen, dapatkan tarikh terdekat dengan
bahagian studio untuk photoshoot Pasio,” arah Hakimi.
“Tapi Encik Hakimi... model tu masih belum
pulih,” balas Carmen kurang faham dengan arahan bosnya itu. Siapa yang akan
mengayakan gaun itu nanti? Patung?
“Hal tu dah selesai. Saya dah dapatkan model
lain,” beritahu Hakimi.
“Puan Mira benarkan ke?” Sebagai setiausaha,
Carmen perlu menjaga kepentingan bosnya itu. Manalah tahu Hakimi buat keputusan
terburu-buru dan akan menjejaskan kredibiliti sendiri.
“Belum.” Hakimi garu kepala. Mesti ke dia
beritahu Mira terlebih dahulu? Kalau rakam sahaja gambar itu dan tunjukkan
kepada Mira kemudian, tak boleh ke?
“Rasanya kena rujuk Puan Mira dululah Encik
Hakimi. Lepas tu, baru kita dapatkan tarikh untuk studio,” cadang Carmen
separuh nasihat. Dia sudah lama bekerja di Maniera. Dia tahu bagaimana
cerewetnya Mira dalam memberi persetujuan.
“Hmm... okeylah. Saya naik atas jumpa dia
sekarang,” kata Hakimi.
HAKIMI memandang ke atas. Membilang angka
yang terpampang sebelum lif mendarat ke tingkat yang mahu ditujui.
Dia melangkah keluar. Sambil berjalan jam
dipergelangan tangan dipandang seketika. Hampir waktu minum petang.
Dia berhenti di hadapan meja penyambut tetamu.
Matanya memandang Shasha. Ini lagi sorang. Selalu makan gaji buta. Ingat ni company
ayah dia ke? Papa aku yang punya company ni pun, aku kena kerja macam
nak mati, cemuh Hakimi dalam hati. Meja penyambut tetamu diketuk beberapa kali.
Entah Shasha mendengar ke tidak? Asyik sangat
kepala gadis itu tergoyang-goyang mendengar lagu dengan telinga yang tersumbat
dengan alat pendengar suara. Siap berpusing-pusing menari lagi. Dia ni ingat
diri dia kat stage agaknya. Tengah buat persembahan tarian, gumam Hakimi.
Mendidih hatinya melihat gelagat gila-gila Shasha. Meja itu diketuk lagi. Kali
ini lebih kuat sedikit.
Shasha yang baru berpusing ke belakang
terpandang Hakimi. Dia tersengih. Alat pendengar ditelinganya ditanggalkan.
Shasha berdiri tegak. Dia sedar dengan renungan kurang senang yang dilemparkan
Hakimi itu tetapi tidak dipedulikan. Di situ Mira yang berkuasa. Sekiranya dia
tidak melakukan tugas dengan sebaiknya, Mira sahaja yang layak memecatnya.
Shasha buat muka selamba badak.
“Ada apa Encik Hakimi?” tanya Shasha. Dalam hati
masih tidak selesa direnung begitu walaupun mukanya sudah diselambakan.
“Awak nak kerja ke, nak balik rumah jaga adik?”
tegur Hakimi.
Shasha tersengih. “Saya anak tunggal, tak ada
adik,” jawab Shasha sengal.
Hakimi menggeleng. “Tak tahulah skrew
dalam kepala awak yang mana dah tercabut ni,” sindir Hakimi.
Shasha tersengih sambil melihat Hakimi berlalu
pergi. Dia duduk dan memasang alat pendengar ke telinga semula. Masih ada
beratus lagi lagu dalam MP3-nya yang mahu didengar.
“Zalikha, Puan Mira ada?” tanya Hakimi sebaik
tiba depan bilik Mira.
“Ada.” Zalikha tersenyum. Kenapalah Hakimi ni
tampan sangat? Buat hatinya tergugat aje, bisik Zalikha dalam hati. Matanya
tidak mahu berkedip memandang Hakimi.
“Saya masuk dulu,” beritahu Hakimi. Dia sedar
dengan maksud renungan Zalikha tu. Dia sudah terbiasa dipandang oleh perempuan
sampai tidak boleh hendak berkelip. Mata Ila itu aje yang degil suka berkelip
banyak-banyak kali setiap memandangnya.
Zalikha mengangguk sambil memerhati tombol pintu
dipulas. Dia tersenyum malu sendiri sebaik Hakimi hilang ke dalam bilik Mira.
Hakimi menghampiri meja Mira. Kerusi ditarik dan
dia duduk.
Mira sekadar memandang.
“Ada apa?” tanya Mira sebelum menyambung
mencatat sesuatu.
“Pasal model Pasio tu,” beritahu Hakimi
memulakan mukadimah.
“Hmm, Kak Mira ada juga fikirkan masalah tu,
tapi tak ada masa nak tolong. Banyak sangat urusan lain Kak Mira nak fikir,”
beritahu Mira sedikit kesal kerana tidak dapat meluang masa untuk membantu
Hakimi menyelesaikan tugasan pertamanya.
Hakimi tersenyum nipis. “Kak Mira...”
Mira mengangkat muka dan terus duduk bersandar
memandang Hakimi.
“Kim, dah cuba selesaikan masalah model tu...”
beritahu Hakimi.
Mira duduk tegak. Berminat mahu mendengar.
Tangannya diletakkan atas meja. Hakimi semakin berusaha dalam tugas. Dia suka.
“Model tu dah pulih ke?” tanya Mira.
Hakimi menggeleng. Agaknya kalau model itu pulih
masih sama ke keadaannya?
“Kim dah cari pengganti model tu,” beritahu
Hakimi.
Mira angkat kening. Hatinya sedikit tidak
bersetuju tetapi memang itu jalan terbaik. “Boleh bagi Kak Mira tengok gambar
pengganti tu?” pinta Mira. Susah mahu bersetuju sesuka hati. Hal ini
membabitkan nama baik Maniera. Gambar model yang dipilih harus dihantar untuk
dipersetujui Pasio terlebih dahulu. Mereka ada kurang dua minggu untuk
menyelesaikan masalah itu.
Hakimi mengeluarkan telefon bimbitnya. Melalui
gajet itu gambar seorang gadis ditunjuk kepada Mira.
“Model agensi mana?” tanya Mira.
Hakimi menggeleng.
Mira merenungnya.
“Kim, syarikat kita mengutamakan kualiti. Takkan
gadis tepi jalan kau nak ambil untuk gayakan baju Pasio yang mahal tu?” tegur
Mira.
Hakimi memandang Mira. Dahinya berkerut. Tidak
suka betul mendengar ungkapan itu. Suka sangat membezakan taraf sesama manusia.
Orang biasa tidak layak ke memakai pakaian mahal? “Kak Mira, model yang ada tu
Kak Mira tahu ke dari mana dia orang datang?”
Mira terdiam.
“Tak, kan?” sindir Hakimi.
Mira mengeluh. Begang dipersoalkan begitu.
Paling tidak model yang bekerja untuk Maniera mempunyai agensi untuk
dipertanggungjawabkan. Kenapalah Hakimi tidak faham?
“Kita ni manusia... ada hati, ada perasaan. Rasa
sakit bila dihina tapi kadang-kadang tak ada peluang nak majukan diri dan
buktikan kelebihan diri. Jadi sebelum Kak Mira nilai gadis ni, berilah dia
peluang. Kalau dia tak ada agensi untuk uruskan diri, kita letaklah dia kat
Agensi Maniera, Dello Model tu. Kalau nanti Pasio berminat dengan kerja dia,
kita pun tak susah nak cari dia.” Hakimi memberi cadangan.
Mira menarik muka masam. Hakimi mahu mengajarnya
pula. Hakimi ingat senang ke mahu menyelitkan seorang gadis biasa membarisi
model terbaik Dello. Apa lagi Pasio belum tentu mahukan gadis itu sebagai
modelnya.
“Tak bolehlah, Kim. Gadis ni bukan ada basic
modelling pun. Masalah nanti,” tolak Mira.
“Apa yang susah? Kita nak suruh dia beraksi
depan kamera aje. Rakam beberapa keping gambar. Bukan nak suruh berjalan atas
pentas. Lagipun apa guna tenaga pengajar di Dello tu, kalau tak dapat membantu
dalam keadaan macam ni?” kata Hakimi.
Mira mengeluh dan tersandar semula. Hakimi ini
memang suka melakukan kerja pandai sendiri. Dari dulu setiap bicaranya sukar
dibantah. Kalau itu yang dimahukan itu jugalah yang harus dituruti. Mira pening
kepala. Bukan tidak boleh mencuba, tetapi dia tidak suka membuang masa dan
menangung risiko.
“Betul kita nak rakam gambar aje. Tapi pada hari
pelancaran Classes nanti, gadis tu kena pakai rekaan Pasio dan beraksi
dipentas catwalk. Kim nak memalukan Maniera ke kalau gadis tu jatuh
tersungkur atas pentas?” persoal Mira.
“Kak Mira, cubalah sesekali jangan pandang
rendah dengan gadis ni. Beri dia peluang. Kim yakin dia mampu. Dia boleh buat
semua tu kalau pekerja kat Dello berusaha melatih dia.” Hakimi masih berdegil.
Baginya tidak ada yang mustahil andai gadis itu mahu berusaha.
Mira terdiam dan berfikir sejenak. Seminit
kemudian Hakimi dipandang. “Kalau dia tak mampu, apa kita nak buat?”
“Mampu... semua gadis kat luar sana
berebut-rebut nak masuk dunia glamor ni. Bodohlah dia kalau tak buat
bersungguh-sungguh,” jawab Hakimi mudah.
“Kim, memang semua orang boleh cuba jadi model.
Tapi bukan semua orang layak dan mampu,” tekan Mira kurang bersetuju dengan
pendapat Hakimi.
“Senang cerita macam nilah Kak Mira. Biar dia
cuba dulu, apa-apa jadi Kim akan tanggung,” desak Hakimi. Dia tidak peduli, dia
mahu mencuba juga.
Mira mengeluh lagi. Kenapa degil benar adiknya
ini.
“Ini bukan soal Kim tanggung atau tidak, ini
soal nama dan kepercayaan,” tegas Mira.
“Kak Mira, boleh tak percaya kat Kim kali ini?”
Hakimi tetap dengan kemahuannya.
Mira menggeleng dengan kedegilan Hakimi. “Okey,
Kak Mira bagi Kim lima hari untuk tunjukan keupayaan gadis tu. Lepas lima hari,
kalau dia tak boleh tunjukan apa yang seorang model patut buat Kak Mira sendiri
yang akan cari model lain,” setuju Mira bersyarat.
Hakimi tersenyum. Lima hari sudah cukup buatnya.
Dia pasti boleh melakukan yang terbaik.
“Satu lagi, untuk lima hari ni dia hanya model
pelatih di Dello. Semua kos dia kat situ Kim yang kena tanggung. Tolong isi
borang dan ikut prosedur pihak pengurusan di sana. Kak Mira tak nak sebarang
masalah dipertanggungjawabkan atas Dello,” ujar Mira tegas.
“Ya, Kim akan ikut peraturan syarikat.”
Mira cuba mengukir senyuman walaupun dalam hati
terasa berat.
Hakimi kembali ke pejabatnya dengan bersiul
kecil. Tiba di meja Carmen dia tersenyum.
“Awak dapatkan tarikh untuk photoshoot.
Saya nak semua peralatan lengkap dan tak ada masalah,” arah Hakimi senang hati.
Carmen mengangguk.
“Puan Mira dah setuju ke Encik Hakimi?” tanya
Carmen.
Hakimi menjawab dengan senyuman misteri sebelum
berlalu ke biliknya.
“Kak Mira nak bakat gadis tu aje. Lepas photo
shoot pun boleh latih dia. Yang penting gambar dah ready masa Kak
Mira tengok gadis tu beraksi,” omel Hakimi. Dia yang sudah tersandar keletihan
di kerusi mengukir senyuman senang hati.
“KAK BELLA...Vinda... macam mana ni?” rengek Ila yang sudah penat mencari gaun
Pasio di seluruh bilik itu. Dia duduk tersandar memandang Bella dan Vinda.
Mereka hanya mampu mempamerkan muka simpati. Ila mengeluh.
‘Tahan dululah air mata ni,’ gumam Ila sambil
memintal hujung rambut sendiri.
Bella menarik kerusi dan duduk. Dia menyengetkan
bibir ke kiri dan kanan beberapa ketika.
Vinda memicit lembut bahu Ila. Memberinya
semangat untuk terus bersabar.
“Kau tahu menjahit?” tanya Bella tiba-tiba. Ada
sesuatu yang bermain dalam fikirannya. Namun, dia tidak pasti dengan
keberhasilan ideanya itu.
Ila mengangguk.
“Kau ingat lagi corak dan potongan gaun tu?”
tanya Bella lagi. Dia berharap Ila benar-benar tidak lupa dengan rekaan gaun
itu. Maklumlah kali terakhir Ila melihat gaun itu sebelum gadis itu dimasukkan
ke hospital kerana demam. Mungkin gadis itu sudah terlupa dengan rekaan gaun
itu. Andai begitu dia mungkin boleh membantu dengan membawa fail gambar gaun
itu untuk Ila rujuk warna dan sedikit rekaannya semula.
Ila mengangguk dengan muka tidak faham.
Bella petik jari. Senang hati kerana ingatan Ila
sangat baik. Jadisatu masalah mungkin berkurangan.
Vinda dan Ila memandangnya.
“Kita pergi cari kain yang seakan baju tu... dan
tiru,” cadang Bella. Itu sahaja cara yang dapat membantu Ila.
Ila mengukir senyuman. Mungkin cadangan Bella
boleh dilakukan. Tempoh hari gaun itu sempat diteliti. Kalau tidak silap,
fabrik yang digunakan untuk gaun tu, satin sutera. Gaun itu sangat menarik
perhatian dan dia menyukai rekaan gaun itu yang sangat kreatif. Selepas gaun
itu dilancarkan nanti, Ila yakin gaun itu akan turut diklon oleh mereka yang
tidak bertanggungjawab dan dijual sebagai pakaian tiruan.
“Terima kasih, Kak Bella,” ucap Ila walau
sebenarnya rasa tidak sedap hati menipu Maniera begitu. Tetapi apa boleh
buat... terpaksa.
Bella tersenyum. Sementara Vinda angkat kening
tidak percaya mendengar perancangan itu.
Telefon atas meja berbunyi. Pantas Bella
menjawab. Seketika kemudian dia meletak gagang dan menunjukan muka bermasalah.
Ila dan Vinda memandangnya penuh tanda tanya.
“Hmm... baru nak happy. Bala dah datang,”
keluh Bella.
“Sebab tu orang kata jangan buat jahat, Tuhan tak suka,” tambah Bella lagi
mengingatkan mereka semua.
Ila dan Vinda kerut dahi. Apa yang dimengarutkan
Bella agaknya?
“Ila... Cik Carmen telefon tadi. Lusa dia nak
gaun Pasio tu. Macam mana ni?” beritahu Bella resah.
“Hah?” Terperanjat Ila mendengarnya. Dia rasa
mahu meraung. ‘Ya ALLAH, kenapa macam ni?’ keluhnya dalam hati.
“Kak Bella rasa, sebelum hal ni Puan Mira pulak
dapat tahu... kau tak ada pilihan lain. Kena beritahu Encik Hakimi juga.
Mungkin dia boleh tolong,” cadang Bella. Sebagai penyelia dia memang patut
melaporkan kehilangan barang-barang berharga di situ lebih awal supaya tindakan
segera dapat dilakukan untuk mengesan gaun itu. Tetapi sekarang... dia pun
mencipta masalah.
Ila pandang Bella. Hmm... itu lagi bala,
keluhnya. Dia termenung seketika.
Bella dan Vinda hanya mampu bersimpati.
Tiba-tiba Ila berdiri.
Bella dan Vinda memandangnya dengan perasaan
pelik.
“Kak Bella, saya nak cuba cadangan Kak Bella
tu,” beritahu Ila.
“Yang mana?” Bella keliru. Mungkinkah Ila mahu
memberitahu Hakimi? Dia sedikit cuak. Namun, itulah jalan terbaik untuk
menyelesaikan masalah gadis itu.
“Jom ikut saya,” ajak Ila. Tanpa lengah, tangan
Bella diseret.
“Vinda tolong buat kerja aku kejap,” pesan Ila
sebelum keluar.
“Eh, Ila nak pergi mana ni? Takkan nak beritahu
Encik Hakimi ajak akak sekali?” kata Bella resah.
“Kak Bella ikut aje. Yang lain biar saya
uruskan,” pantas jari Ila menekan butang lif.
Bella mengukir senyuman terpaksa. Suka atau
tidak, dia terpaksa terjun sama dalam masalah gadis seorang ini. Inilah gunanya
kawan masa susah. Kalau kejap lagi ditengking oleh Hakimi, dia rela menadahkan
telinga kerana dia penyelia di situ. Tetapi kesian juga kalau Ila menangis
seorang diri. Bella menelan air liur.