KALAU ikutkan hati, di tidak mahu ke Maniera
lagi. Tetapi kehilangan gaun Pasio harus dipertanggungjawabkan. Apapun yang
bakal terjadi, dia kena bertahan sehingga isu itu benar-benar selesai. Tidak
pun sehingga kontraknya tamat hujung bulan depan.
Ila menarik nafas dalam-dalam. Motosikal
disorong keluar pagar. Baru sahaja selesai pintu pagar dikunci, Harrier yang
dipandu Hakimi berhenti bersebelahan motosikalnya. Mulai hari itu, dia malas
hendak menumpang Hakimi lagi. Buat sakit hati sahaja. Ila menunjukkan muka
tidak peduli. Topi kaledar dipakai.
Hakimi turun dari Harrier. Dia mempercepatkan
langkah, mendapatkan Ila yang sudah bersedia mahu menghidupkan enjin motosikal.
“Awak nak pergi mana?” tanya Hakimi pura-pura
tidak faham.
Ila menjeling ke tempat lain, buat-buat tidak
dengar apa yang dicakapkan Hakimi. Boleh pula Hakimi menayang muka tidak malu
di depannya pagi itu? Ingat apa, dia terhegeh-hegeh sangat ke hendak menumpang
ke pejabat?
“Ila...” panggil Hakimi dengan nada bersalah.
“Saya tahu semalam saya tak patut marah awak macam tu.”
Belum habis Hakimi bersuara Ila sudah
menghidupkan enjin motosikalnya. Dia peduli apa dengan rasa terkilan Hakimi.
Apa yang berlaku semalam tidak boleh dibetulkan lagi. Dia memandang Hakimi
dengan muka menyampah. “Saya tahulah, saya ni orang bawahan awak Encik Hakimi.
Tapi... bukan bermaksud encik boleh marah saya sesuka hati,” kata Ila geram.
Dari semalam menahan perasaan yang terbuku dalam hati, elok rasanya dilepaskan
sebagai sarapan pagi buat Hakimi hari itu.
Hakimi memandang Ila dengan muka kecewa. Kalau
Ila sudah tidak mahu memahami dirinya, siapalah yang hendak diharapkan?
Biasalah kalau dimarahi bos. Gadis arnab ini hendak emo berlebih-lebih kenapa?
Ila menolak tangan Hakimi yang memegang pemegang
motosikalnya. “Sudahlah, Encik Hakimi. Saya nak pergi kerja. Kalau lambat
sampai Maniera karang... encik cakap saya makan gaji buta pulak,” sindir Ila
sebelum memecut motosikalnya.
“Ila!” Pekik Hakimi sebelum mengeluh geram. Memang
susah mahu memujuk gadis arnab itu. Tak kira, dia mesti cari jalan juga.
DI MANIERA, Ila buat-buat tiada apa yang
berlaku semalam. Tugasnya dijalankan seperti biasa. Lagipun kawan-kawannya di
situ mengetahui situasi sebenar. Buat apa hendak difikirkan sangat.
Vinda menghampiri Ila. “Nasib tempat kita ni tak
teruk sangat nak buat kerja, kan?” ujar Vinda. Dia melirik pakaian yang
berbungkus plastik dan tersangkut di penyangkut khas bahagian tengah bilik itu.
Sudah terlalu banyak dan sebahagiannya akan dipindah keluar. Kenapa tidak
sehelai gaun daripada situ sahaja yang hilang? Banyak juga yang cantik-cantik.
Masih baru lagi.
Ila tersenyum hambar. “Hmm, memang tak banyak
kerja. Tapi bila puting beliung nak datang, tak terduga,” jawabnya merujuk apa
yang terjadi semalam. Tempat yang bagaikan Syurga itu sebenarnya tidak seindah
rupa. Bekerja di situ penuh risiko. Sukar untuk bertanggungjawab jika berlaku
kehilangan. Apalagi andai yang hilang itu sesuatu yang semahal gaun Pasio.
Vinda mengagguk setuju.
“Dah lama aku kerja kat sini, tapi tak pernah
lagi timbul masalah barang yang belum di photoshoot hilang,” beritahu
Vinda.
Ila memandang Vinda. Kalau sebelum ni barang di
situ belum lagi pernah hilang, bermakna dialah pencipta rekod pertama. Dan
bakal menerima hukuman buat pertama kali juga nanti? Memang sejarahlah. Nanti
bolehlah namanya dikenang-kenang setiap kali ada pekerja lain yang melakukan
kesalahan sama di masa depan.
“Kalau bukan orang yang ambil, takkan tikus?”
teka Vinda pelik.
Ila memandang Vinda.
“Kalau tikus dah lama aku tangkap binatang tu
dan hempas ke dinding,” beritahu Ila geram. Dia pun boleh meneka gaun itu sudah
diambil orang. Tetapi siapa? Memang teruklah orang yang membuat dia teraniaya
tu. Ila mengeluh.
Vinda buat muka ngeri. Berani sungguh Ila mahu
menghempas tikus ke dinding?
“Kenapa buat muka macam tu?” sergah Ila.
Vinda menggeleng.
Ila tersengih. Tahu Vinda tidak percaya dia
berani menghempas tikus ke dinding kerana rata-rata perempuan di dunia takutkan
tikus.
“Kau rasa siapa ambil, hah?” tanya Vinda lagi.
Kalau Ila berasa tidak puas hati dia juga begitu.
Ila ketuk-ketuk pen ke kepalanya. Dia memikirkan
muka-muka suspek. Gayanya sudah seperti Detektif Conan menyelesaikan kes
jenayah.
“Aku tak boleh tekalah. Aku tak ada musuh kat sini,”
beritahu Ila.
Vinda mengangguk. Masalah itu memang sukar
diselesaikan. Pencuri langsung tidak meninggalkan jejak.
“Eh, dahlah jangan fikir lagi. Buat serabut aje.
Elok fikir gaji yang nak keluar minggu depan. Kau nak buat apa?” Vinda mengubah
tajuk perbualan.
Ila tersengih. “Nak simpan,” jawab Ila. Dia
belum ada cadangan mahu menggunakan duit itu lagi.
Vinda angkat kening. Kedekut betul budak ni.
Paling tak gaji pertama belanjalah kawan sikit, gumamnya.
SAKIT hati dengan tindakan Ila, Hakimi
mengubah haluan pagi itu ke hospital. Lama dia duduk di sisi mamanya. Melihat
Puan Alia yang semakin pulih dan bertenaga hatinya terhibur. Menurut doktor,
esok atau lusa Puan Alia mungkin dibenarkan pulang.
“Kim kenapa?” tanya Puan Alia apabila melihat
muka Hakim yang serabut dengan masalah. Mungkinkah apa yang ditengkarkan
bersama Encik Harun tempoh hari masih bersarang di fikiran Hakimi? Puan Alia
diburu rasa bersalah.
Hakimi mengukir senyuman. “Penat,” dalih Hakimi.
Puan Alia tersenyum. Mujurlah Hakimi tidak mengungkit
apa yang berada dalam fikirannya. Tangan Hakimi disentuh. “Mula-mula memanglah penat, sebab Kim baru
nak belajar. Nanti lama-lama, semua tu jadi mudah,” pujuk Puan Alia. Dia tidak
mahu Hakimi berputus asa.
Hakimi mengangguk walau sebenarnya dalam hati
bukan soal Maniera sahaja yang difikirkan. Ila. Gadis arnab itu menjadi
penambah tekanan di dadanya. Kenapa gadis arnab itu bukan perempuan yang
fleksibel. Tidak boleh ke semua kata-katanya yang menyakitkan hati semalam Ila
simpan di telinga kiri dan mengetuknya ke luar ke dalam bakul sampah sebaik
sampai di rumah? Tengoklah apa yang terjadi dengan hubungan mereka bila Ila
menyimpan hal itu dalam hati. Jadi keruh dan dia tahu hati mereka sama-sama
tidak gembira.
Usai melawat Puan Alia, Hakimi ke Dello melihat Kirana menjalani
latihan. Selepas itu baru dia ke Maniera. Semakin dekat waktu pelancaran Classes,
semakin dia tertekan. Rasanya semua contoh iklan yang mahu dimasukan ke dalam Classes
sudah diberikan kepada editor terbabit. Hanya tinggal Pasio. Iklan yang satu
ini harus melepasi Mira sendiri. Hakimi melihat gambar gaun yang digayakan
Kirana itu. Sekali pandang gaun itu nampak sama dengan yang asal. Fikirnya
tidak ada masalah untuk sementara waktu.
Minggu depan dia akan menghantar gambar itu
kepada Mira. Selepas itu dia akan mempertemukan Mira dengan Kirana. Dari
pemerhatiannya tadi, Kirana semakin hebat. Hakimi tersandar di kerusi,
mengharap masalah itu betul-betul selesai. Penat rasanya mengurus masalah
sekecil itu.
Jam atas mejanya dikerling. Sudah masuk waktu
makan tengah hari. Kalau diajak Ila keluar makan, pasti gadis arnab itu
menolak. Dia mengeluh.
Telefon bimbitnya berbunyi. Ada mesej masuk.
Kim, sejak kerja you langsung tak ada masa dengan
I. Jom keluar kejap.
Hakimi merenung mesej itu.
I nak keluar makan. Kalau you dekat-dekat sini
jomlah join I.
Balas Hakimi. Sesekali melayan Juliesa di saat
jiwanya sesak tidak salah rasanya. Lagipun mereka masih berkawan.
I kat hospital lawat mama you. Sekejap lagi I
sampai.
Balas Juliesa.
Hakimi menaikkan kening. Patut Juliesa tahu dia
sudah mula bekerja. Mamanya yang membuka mulut rupanya. Mungkin juga Juliesa
mencarinya di rumah dan Sarah memberitahu mamanya di hospital. Jika tidak
masakan Juliesa tahu mamanya dimasukkan ke hospital.
VINDA
menunding jari ke arah Hakimi yang baru masuk ke
dalam kereta yang dipandu Juliesa. Gadis bersama Hakimi itu sangat cantik
orangnya. Siapa tu? Model ke? Belum
pernah pula dia melihat gadis itu di Maniera.
Ila turut menoleh. Hampeh punya Hakimi.
Konon aje tak nak layan Juliesa lagi. Tapi keluar juga dengan perempuan tu.
Lain kali jangan harap aku nak tolong kau! Marah Ila dalam hati. Selepas
memarahinya seenak rasa, ada hati lagi Hakimi hendak keluar berseronok dengan
Juliesa. Ila tidak puas hati. Hakimi tidak mungkin dimaafkan!
Vinda menyiku bahu Ila.
“Hei, Encik Hakimi tu bukan boyfriend kau
ke?” tanya Vinda. Jika jawapannya ya, bererti Ila sedang berhadapan dengan
pesaing yang hebat. Dan mungkin sebab itu jugalah Hakimi tidak mempedulikan
perasaan Ila semalam. Dia marah Ila depan pekerja lain seperti hubungan mereka
sekadar bos dan orang bawahan sahaja.
Ila mencebikkan muka. “Tak ada maknanya...”
“Kenapa?” tanya Vinda tidak puas hati.
“Perempuan yang dengan dia tulah girlfriend
dia. Cik Juliesa. Kami jiran aje,” beritahu Ila, malas dikaitkan dengan Hakimi
setiap masa.
Vinda sedikit terpinga. Jiran? Tetapi Ila selalu
dilayan baik oleh Hakimi sebelum hal semalam terjadi. Ini mesti kes gaduh pasal
perempuan cantik tu. Biasalah tu lelaki. Dapat yang lebih cantik, yang biasa-biasa
dia campak tepi.
“Jomlah, aku malas jadi mak guard kat
sini pulak,” ujar Ila. Terus sahaja Vinda diseret. Hari itu Bella mengikut Lufi
mengambil barang di luar. Cdans memang terang-terang takkan sertai mereka.