Bab 8
Hari minggu, Azmir tiada latihan
pagi itu. Latihan hanya diadakan pada sebelah malamnya nanti. Azmir
menghabiskan masa membaca buku pemberian Amran. Buku Misteri Dunia itu telah
lama dipinjam tetapi tidak sempat dibaca olehnya kerana kesibukan belajar dan
berlatih teater. Jika ada masapun Azmir lebih suka beribadat. Dia memohon agar
dapat dibuka hijab antara dia dan juga Aisyah. Dia ingin benar meihat bagaimana
rupa makhluk bunian.
“ Ada manusia yang
pernah berjumpa dengan makhluk bunian. Malah ada yang berkahwin. Tetapi
kebenarannya masih boleh diragui. Ada pemuda yang hilang secara tiba-tiba
tetapi apabila balik membawa isteri dan anak,” Manusia boleh berkawin dengan
bunian ker? Azmir membuka laptopnya dan mencari maklumat bunian dari pandangan
Islam. Akhirnya dia tertarik pada satu artikel yang dikeluarkan oleh Darul
Syiffa.
“Hadis
Nabi s.a.w menyebut bahawa ada makhluk halus ini yang suka tinggal bersama
manusia dalam rumah manusia, malah mereka suka mencari tempat yang tidak
berjauhan dari perkampungan manusia. Golongan bunian ini disebut Rasulullah
sebagai 'aamir atau ummar' yang tinggal berhampiran dengan manusia. Dalam suatu
kisah yang diriwayatkan, kejadian berlaku di zaman Rasulullah s.a.w, ada
seorang sahabat yang bernama Khurafah tiba-tiba hilang daripada masyarakat.
Lalu keluarganya bertemu dengan Nabi s.a.w menceritakan kehilangan Khurafah. Tidak
berapa lama kemudian Khurafah muncul semula dan menceritakan pengalamannya. Dia
telah membunuh seekor ular hitam, tiba-tiba beliau tidak sedar diri dan apabila
sedar dia berada dalam masyarakat seperti manusia, tetapi penuh dengan
keganjilan.Ringkasnya dia dituduh membunuh salah seorang daripada orang penting
dalam masyarakat itu. Mereka menuntut supaya dia dibunuh balas. Dibicarakan
dalam mahkamah yang telus, mempunyai sistem keadilan yang hampir sama dengan
manusia, dengan menggunakan peguambela dan sebagainya. Khurafah dibela oleh
seorang peguam dan mengemukakan hujah dengan berkata, "Khurafah tidak
boleh dipersalahkan kerana dia membunuh satu anggota daripada masyarakat kita
(bunian) yang menyerupai ular, sedangkan ular adalah musuh utama kepada
manusia. Maka Khurafah membunuh ular, bukan berniat membunuh orang kita, tetapi
membunuh musuh di alamnya. Maka dengan itu Khurafah dibebaskan dan dihantar
balik ke alamnya. Apabila dikisahkan hal ini kepada Nabi s.a.w, maka ramai
sahabat mempertikaikannya. Maka Nabi s.a.w menyebut (maksudnya),
"Dengarlah cerita Khurafah, ianya ganjil tapi betul," rupanya pada
zaman Nabi lagi kisah jin sudah ada.