Deringan jam
bulat di atas meja sisi katilnya berbunyi nyaring. Terpisat-pisat Qaseh bangun dan
menyandar seketika di kepala katil. Sambil memeluk bantal, kaki yang lurus terjulur bersilang digoyang-goyangkan. Penggerak
tidurnya dipandang sekilas. Tangan kanan segera menekup mulut yang menguap dan
perlahan-lahan dia mengesot ke tepi katil. Lantas bangun meninggalkan pembaringan. Langkah
dimajukan ke arah bilik mandi.
Usai
solat Subuh, dia mula berkira-kira dengan keinginannya. Mula mengatur agendanya
di sepanjang hari itu. Begitu rancak dia berdendang sambil melangkah menuju ke
ruang dapur. Tidak dihirau teman serumahnya. Entah masih tidur ataupun sudah
lama bertafakur dengan novel-novelnya.
Dia
menolak daun tingkap dapur. Menyerbu aroma dingin pagi menyapa wajah. Hembusan
bayu yang mendamaikan rasa hatinya ditinggalkan seketika. Pantas pula dia menjerang
air di atas dapur. Hajat tekaknya ingin sekali menjamah jemput-jemput ikan
bilis. Dikahwinkan pula dengan kopi ‘o’ panas. Mahu terangkat kening dibuatnya.
Dia menelan liur, menggeleng dan akhirnya dia ketawa kecil. Dia kembali mengatur
langkah dan berdiri di sisi tingkap.
Dia
mengintai. Cahaya mentari perlahan-lahan menyusup di sela langsir yang
berkibar-kibar di tiup angin pagi. Suara sang unggas mulai menyinggah deria
pendengaran lantas membawa beribu pengertian. Betapa bahagia mereka, Makhluk
ciptaan Tuhan. Dia ralit dan terpegun dengan ciptaan-NYA. `ALLAHUAKBAR…’
Tanpa
sedar cecair panas suam mulai bergenang di kelopak mata. Wajah kedua-dua
permata hati kembali bertamu. Seakan minta untuk bertemu. Cecair yang bergenang itu tidak betah untuk
duduk senang. Malah semakin ditahan semakin deras cecair itu berlinang. Segera
diseka air matanya agar tidak terus mengalir membanjiri pipi gebunya.
Diam
menahan sebak, deringan telefon bimbit tiba-tiba memecah sendunya. Telefon itu
dicapai lantas dilekapkan ke cuping telinga. Kedengaran gemersik suara
menyeberangi gegendang telinganya.
“Qaseh, kau kat mana?” kedengaran suara Zita di hujung
talian.
“Kau tanya aku kat mana. Agak-agak kau aku ada kat Paris
ke atau kat London. Tak pun kat kampung aku?” Seloroh Qaseh.
Mengekek Zita di hujung talian. “Yalah… yalah. Jom
joging? Ajak Zita.
Qaseh
mengiakan sahaja ajakan teman serumahnya. Lebih baik buat sesuatu yang
menyehatkan tubuh badan dari menyakitkan perasaan. Segera dia menyudahkan
kerjanya yang terbantut tadi. Cerek di atas dapur riuh berbunyi segera
dimatikan api. Lantas dia meninggalkan ruang dapur dan berlari anak menuju
ke dalam bilik. Almari baju menjadi pilihan pertamanya. Pintu almari dibuka, sehelai
t-shirt berwarna merah hati berbunga putih dipadankan dengan seluar tracksuit
hitam. Dikenakan pula tudung bawal putih berbunga kecil warna merah hati. Terserlah keayuannya. Dia tersenyum sendirian di hadapan cermin hiasan.
Setengah
jam kemudian Qaseh sudah berada di pintu utama rumah mereka. Kelihatan Zita
sedang mengenakan kasut sukan berjenama Nike warna merah lembut. Dia
memalingkan wajahnya dan menghadiahkan
segaris senyuman buat Qaseh. Qaseh membalasnya dengan kerdipan mata beberapa kali.
Hingga buah senyuman tadi semakin
mengembang mekar.
“Kita
ke Taman Layang-Layang, Kepong ke atau kita ke Frim?” soal Zita sambil menekan
punat kunci keretanya. Engin kereta dihidupkan, cermin tingkap kereta juga diturunkan.
“Kau
tanya aku… . Kau yang pandu, aku ikut aje…” Balas Qaseh.
Menggeleng
Zita sejurus mendengar jawapan yang meletus dari bibir nipis Qaseh.
Ternyata,
dia seorang yang cekal dan tabah. Sedangkan dalam hatinya berbagai masalah yang
timbul. Namun tidak pernah dia merungut atau bercerita kepada sesiapa mahupun
kepada dirinya sendiri akan hal peribadi dia. Zita kagum.
“Oi…
minah!” Tempik Qaseh. “Berapa lama kau
nak panaskan engin kereta kau tu?” Qaseh menegur Zita yang sedang mengelamun
dengan sebuah tamparan lembut di bahu Zita.
Zita,
rona wajah mulai kemerahan menahan malu terus mengundurkan keretanya
perlahan-lahan sebelum Qaseh menutup pintu pagar kediaman mereka. Qaseh masih
tersenyum simpul kala pinggulnya mencecah tempat duduk di bahagian penumpang.
Tanpa melihat lagak temannya, Zita terus memecut ke arah tempat yang dituju.
“Kita
ke Taman Layang-layang, Kepong… boleh?” Zita menyoal tanpa menoleh ke arah
Qaseh.
“Kan
aku cakap tadi… aku ikut aje mana kau nak pergi.” Sahut Qaseh.
Setengah
jam kemudian mereka berdua sudah berada di taman itu. Kelihatan ramai
pengunjung yang datang bersama keluarga masing-masing. Tanpa berlengah, mereka
berdua berjalan beriringan menuju ke dalam taman itu. Terpegun Qaseh melihat
seawal jam tujuh setengah pagi sudah terhidang di hadapan mata pelbagai juadah untuk
dijual kepada para pengunjung. Melingas matanya memandang.
“Hai,
dah lapar?” soal Zita.
“Mana
tak lapar, kau tengok kiri dan kanan ni… semuanya ada. Dari keropok lekor
sampailah ke nasi lemak. Huihhhh… dasyhat,” kagum Oaseh dengan usaha rakyat
Malaysia.
“Dahlah…
aku jalan dulu. Kau nak tenung, tenunglah. Kau nak makan pun aku tak kisah. Nu…
sana tu, ada kerusi dan meja kayu, kau boleh lepak?”
Qaseh
membalas usikan temannya dengan ketawa kecil.
Meraba
embun pagi, menanti sinaran mentari menyinggah ke pipi. Dia yang berada di
bawah awan nan memutih begitu leka menyaksikan sang unggas berterbangan
berpasangan merata alam. Dia membuang pandangan ke arah tasik di hadapannya. Air
yang tenang berkocakan apabila diserang angin pagi. Sayup-sayup kedengaran suara
lantang Zita menyeberangi halwa pendengarannya. Dia memaling, sekilas tubuh
genit Zita begitu kecil kelihatan sedang melambai-lambai ke arahnya.
“Oiii…
minah! Cukuplah mengelamun. Datang sini nak joging. Kalau nak berangan, kat
atas katil kau pun boleh,” laung Zita. Sinis.
Senyum.
Hanya itu yang mampu Qaseh zahirkan di mata dunia.
Mendekati
sebuah taman kecil yang dipenuhi dengan buaian dan permainan kanak-kanak, dia
sekali lagi ketawa riang. Sambil mendepangkan kedua-dua tangan, dia melakukan
senaman ringan. Ketawa kecilnya tidak berhenti di situ sahaja, saat dia melihat
Zita yang duduk di atas buaian, dia kembali menyambung ketawanya. Retinanya
mengitari sekeliling. Bahagia melihat kemesraan beberapa pasangan yang asyik
mengawal anak-anak kecil mereka yang sedang bermain. Mendekatkan diri ke sisi
buaian, Qaseh mula bersuara.
“Zita,
agak-agaklah… buaian tu dah tak sesuai dengan kau,” tegur Qaseh. Diangkat
keningnya beberapa kali. Zita yang masih lagi terbuai-buai mencebik.
“Alaaa…
kalau ada peluang, kau pun nak kan. Kan…” usik Zita.
Qaseh
tersengih dengan usikan Zita.
“Zita,
jomlah balik. Dah jam berapa ni… boleh sarapan sekali,” ajak Qaseh yang sudah
duduk di bangku kayu menghadap temannya.
Zita
menghampiri Qaseh dan duduk disebelah kirinya.
“Qaseh,
apakata kita beli makanan yang dijual kat depan tu… kita makan sini aje,” saran
Zita.
“Sini!”
Tekan Qaseh. Melilau anak matanya melihat sekitar kawasan itu.Sesaat dua, dia
kembali menatap wajah Zita. Kedua-dua belah keningnya dia angkat-angkat.
“Ha
ah…” zita mengangguk. “Masih awallah Qaseh. Kalau balikpun tak buat apa juga.
Dari duduk menghadap Tv yang tah apa-apa ceritanya, baik kita lepak kat sini.
Udarapun nyaman,” pujuk Zita.
Qaseh
membelek jam yang terikat kemas di pergelangan tangannya. Wajah Zita ditatap
lagi. Zita turut membalas renungan Qaseh. Renungan yang penuh pengertian. Sinar
yang berkaca dari sepasang matanya, Zita faham sangat-sangat.
“Okay
tak?” Soal Zita.
Soalan
Zita tidak dijawab. Dibiarkan angin yang berhembus membawa segalanya tanpa
meninggalkan kesan.
Cuaca
seakan bersekongkol dengan mereka. Udara dingin pagi yang melintas meresap ke
sejenap ruang diri. Sinaran yang menyusup di celahan dedaun yang menghijau
menambah lagi seri pagi. Seketika, kedua-dua sahabat baik itu seakan terbawa
menikmati keindahan ciptaan Tuhan. Masing-masing dibawa angan, berangan.
“Qaseh…
apa yang kau angankan?” soal Zita tiba-tiba memecah kesunyian antara mereka
berdua.
Tanpa
memandang Zita, Qaseh menjawab.
“Aku
angankan sebuah kehidupan yang bahagia.”
“Owh…
kalau begitu, jom kita membahagiakan dulu perut kita. Aku lapar ni,” Ajak Zita.
Qaseh
kalih memandang Zita. Temannya yang
sudah berdiri sambil meraba-raba perut. Sesekali dia menggeleng dan tersenyum
suka melihat keletah sahabatnya.
“Ala…
jomlah,” Ajak Zita. Lantas menarik tangan Qaseh. Kelam kabut Qaseh bangun.
Terhoyong-hayang dia mengikut langkah Zita.
“Oiii…
oiii… cik adik! Kakak kau ni masih boleh jalanlah. Tak payahlah nak pimpin
sangat,” Jerit Qaseh. Rimas dia diperlakukan begitu.
Namun
kata suaranya tidak diendahkan. Malah semakin laju Zita menghayunkan langkah.
“Qaseh…
hari ni berapa haribulan?” Tanya Zita. Tangannya tidak lagi memimpin tangan
Qaseh. Malah mereka berdua seiring jalan melangkah ke tapak jualan.
“Hah!
Kau tanya aku berapa haribulan. Kau buta ke apa… ni Zita. Tu yang terpampang kat
telefon bimbit kau tu apa… bukan tarikh hari bulan? Cuba kau tengok,” arah
Qaseh.
Zita
ketawa kecil. Sekilas, dia melemparkan pandangan ke arah teman serumahnya.
Teman yang sering bersendirian jika tiada hal mustahak yang hendak dilakukan di
luar. Yang jarang mahu pulang ke kampung halamannya, sedangkan di bibir dia
sering mengungkapkan kata rindu. Rindu kepada anak-anaknya. Malah rindukan
orang tuanya.
“Qaseh…
selamat ulang tahun kau yang ke…” ucap Zita.
“Arghhhh!
Tak usah sebutlah Zita,” potong Qaseh tiba-tiba.
Diam.
Sepi menerkam tiba-tiba. Tiada sebarang jawapan dari teman serumahnya. Zita
menoleh sekilas, pandangannya terbatas dek gangguan pengunjung yang memotong
perjalanan mereka.
Qaseh
leka menatap fanorama dunia, indah dan berseri dan dia lebih rela membisu dari
terus meluahkan kata. Baginya, tiada ucapan istimewa setelah yang berlaku dalam
hidupnya selama ini, begitu dia makan hati.
“Qaseh…”
panggil Zita. “Kenapa kau diam? Kau tak suka ke?” Tebak Zita. “Qaseh…”
Lembut suara Zita memanggil nama temannya. Seminit dua, pandangan bertemu.
“Zita… aku okay aje. Cuma aku tak suka dengan
ucapan kau tu. Aku benci Zita…”
“Okay… sorry. Kau nak makan apa. Aku belanja? Dan
sambil makan nanti, aku nak kau cerita pula bagaimana kau boleh kawen. Pilihan
siapa suami kau tu?”
“Kawen?” Soal Qaseh sambil memicingkan matanya
ka arah Zita
“Ya… kawen.”
Mengangguk. Nasi lemak, Keropok lekor dan
Milo ais dijinjit Qaseh setelah dia membuat bayaran . Dia terus membisu dan
meninggalkan Zita yang terkulat-kulat memandang Qaseh. Seakan tersentak dari
lamunan, terkejar-kejar Zita mengekori Qaseh yang sudah duduk di kerusi kayu
yang telah disediakan oleh pihak pentadbir.
Zita mengambil tempat duduk menghadap Qasih.
Makanan yang dijinjit tadi diletakkan di atas meja, tangan kirinya pula
meraba-raba permukaan skrin telefon
bimbitnya. Mengapung seluruh ruang diri mereka berdua dengan lagu nyanyian
Fauziah Latif. Terangguk-angguk Zita mengikut rentak lagu yang didendangkan
oleh penyanyi kesayangan mereka berdua.
Tersengih-sengih
Qaseh memandang Zita dalam masa yang sama bungkusan nasi lemak dibuka. Bertebaran
aroma sambal bergabungan dalam senyuman.