Home Novel Thriller/Aksi PEMBUNUH DALAM DIAM
PEMBUNUH DALAM DIAM
AD Rahman Ahmad
20/6/2015 14:37:17
24,802
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Bab 6


Usai solat Maghrib, Qaseh duduk bersimpuh dan berwirid hinggalah masuk waktu Isyak. Seperti hari-hari semalam, setiap kali selepas solat, dia lebih rela memerap diri dalam bilik. Duduk menyandar di kepala katil, bantal kecil yang terletak di bucu kanan sebelahnya dicapai. Dipeluk erat.

Bosan merenung dada dinding, dia bingkas bangun. Berdiri dan memusingkan badannya ke kiri dan kanan. Hilang rasa lenguh di bahagian belakang tubuhnya. Perlahan berjalan menuju ke tingkap. Daun tingkap sengaja dibuka luas. Berdiri di sisi tingkap sambil menghadap jalanraya, dia mendongak mencuri pandang bulan di langit. Angin lembut mula menerpa kulit wajahnya dan membelai tanpa rasa malu.

Dia tersenyum lagi.

Tika itu, hanya yang indah berlegar dalam ingatannya. Satu demi satu melintas di hadapan, menari-nari bagaikan irama dangdut. Namun irama itu terhenti saat dia mendengar ketukan demi ketukan dari pintu biliknya. Qaseh mencebik dan melangkah ke arah pintu. Tombol pintu dipulas, daun pintu ditarik. Tersembol wajah sahabatnya seperti tepung gomak pada pandangan Qaseh. Lantas dia menguntum senyum.

“Qaseh… kau kenapa senyum-senyum kat aku?” tegur Zita sambil meluru masuk ke dalam bilik tanpa meminta izin terlebih dahulu.

“Muka kau tu, dah macam rupa hantu aku tengok. Bedak ke tepung?” Usik Qaseh “Ni… main redah je masuk, apa kes?” soal Qaseh lantas menutup pintu bilik.

“Cuba kau cakap kat aku, siapa dia yang buat kau susah sangat nak lupa?” pinta Zita tanpa segan-silu. Dia yang sudah berdiri di sisi tingkap kembali berpaling menghadap Qaseh sambil mengikat rambutnya yang mengerbang di tiup angin.

“Kau ni… memang suka korek rahsia. Tak baik tau… Zita,” nasihat Qaseh lantas menarik kerusi meja tulisnya dan terus menghenyak pinggulnya di situ.

“Alaa… cepatlah,” pinta Zita dengan nada manja. Terkelip-kelip kelopak matanya menanti butir bicara Qaseh.

Qaseh merenung wajah polos Zita. Meliar anak matanya menjalar di segenap ruang wajah temannya. Wajah yang sentiasa menemani dirinya kala sunyi. Teman yang sering menghilangkan rasa rindunya kepada keluarga. Teman yang acapkali menasihati dirinya dalam keadaan dia alpa dengan keindahan duniawi. Ditatap lagi wajah itu, berkira-kira mahu menceritakan ataupun tidak. Baginya, mengimbau kenangan lama memang indah tetapi dalam indah itu pasti ada hati akan tersiksa. Tersiksa kerana insan yang disayangi masih lagi berada di depan mata. Masih tersenyum dan ada waktunya masih sempat bermain mata. ALLAHUAKBAR…

“Oiii… cik kak! Aku nak dengar cerita kau. Bukan nak tengok muka kau yang macam kerang busuk tu… tersengih sorang-sorang,” bebel Zita sambil menepis peha Qaseh.

Tersentak dirinya dari lamunan.

“Sakitlah minah!” Tempik Qaseh. “Kau nak tahu sangat ni kenapa, Zita?” soal Qaseh sambil membetulkan duduknya. Zita yang tadi berdiri di tepi tingkap kini sudah duduk di atas katil dan menghadap Qaseh.

“Alaaaa… sekurang-kurangnya aku dapat tahu kisah sebenar kau,” balas Zita sambil menarik dan memeluk bantal kecil berbentuk hati berwarna merah milik Qaseh. Qaseh melihat gelagat temannya. Perlahan-lahan garis senyuman mulai melebar. Semakin mekar saat terdengar suara Zita menjerit memanggil namanya.

“Qasehhh!”

Laungan yang menyinggah di cuping telingan Qaseh bagaikan panahan petir. Melantun pandangan Qaseh jatuh ke raut wajah yang terpinga-pinga memandangnya.

“Qaseh! Apa betul nama yang aku lihat ni? Kat bantal ni?” soal Zita bertubi-tubi sambil menunjuk-nunjuk bantal yang dipegangnya. “Cuba kau bagitau kat aku… macam mana nama dia ada kat sini. Sudahlah tu… siap bersulam lagi. Siap ada nama kau sekali?” soal Zita sambil kedua-dua belah keningnya terjungkit-jungkit.

“Emmm… emmm…”

“Apa… emmm, emmm…” potong Zita sambil menjegilkan matanya. “Oooo… jadi selama ini, dialah teman kau, buah hati kau… pengarang jantung kau yang kau sayang selama ini,” terang Zita sambil melontarkan bantal yang dalam genggamannya ke arah Qaseh. Lantas segera kedua-dua tangannya menyambut balingan itu lalu dicempung, didakap dan akhirnya dibawa ke bibir dan mengucupnya perlahan.

“Zita… kau nak tahu?” soal Qaseh tiba-tiba. Zita yang berdiam dari tadi menggangguk beberapa kali.

“Apa dia?” soal Zita sambil merampas kembali bantal kecil itu. Dia mengikut perbuatan Qaseh sebentar tadi. Namun dia mula mencebik dan memuncungkan bibirnya.

“Kalau kau nak tahu… memang betul dialah orangnya. Dialah yang berjaya menawan hati aku sekaligus membawa aku ke alam cinta,” balas Qaseh.

“Dan dia jugalah yang meremukkan hati kau. Mengecewakan hidup kau. Itu yang kau suka sangat. Itu yang kau puja sangat!” melenting suara Zita memecah keheningan malam.

“Tak? Ada aku cakap macam tu kat kau selama ni. Ada?” pangkah Qaseh.

“Memanglah tak ada… . Tapi dalam hati kau, siapa yang tahu kan,” balas Zita.

“Zita… kau tahu. Orangnya kelakar.”

Tanpa dipinta, hormon bahagia yang sedang menjalar dalam tubuhnya membawa dia ke alam kenangan. Kenangan indah di awal perhubungan mereka. Kenangan yang membuat dirinya termalu dengan kecuaiannya sendiri.

“Oiii minah, tukar tajuk nampak? Apa yang kelakarnya. Aku tengok moodysemacam je mamat tu?” rengus Zita.

Ketawa kecil Qaseh melihat gelagat temannya. Lantas satu penampar lembut singgah di pipi Zita. Bertempiaran debu mengapung di udara.

“Arghhh! Biarlah Zita,” saran Qaseh yang sudah bangun dari tempat duduknya.

Qaseh kembali berdiri di sisi tingkap. Diikuti Zita yang turut sama bangkit dari tempat duduknya dan mengekori Qaseh. Berdiri di sisi Qaseh, sama-sama melangut memandang dada langit. Indah, bersepahan dengan kerlipan cahaya bintang.

“Qaseh,” panggil Zita. “Qaseh, aku tahu. Setiap kenangan itu tetap ada manis dan pahitnya. Cuma kalau boleh… . Kalau bolehlah… kau lupa ajelah. Buat apa asyik ingat kat mamat tu. Banyak lagi benda lain yang kau kena ingat. Tu… anak-anak kau kat kampung. Ingat! anak-anak kau tu,” Nasihat Zita.

Qaseh memalingkan muka, serentak Zita juga turut berpaling. Cahaya jernih mula bergenang di kelopak mata. Pantas lengan Zita memaut bahu Qaseh. Ditarik rapat ke bahunya. Sambil menepuk-nepuk bahu Qaseh.

“Sabar ya… Qaseh. Setiap ujian yang diberikan oleh-NYA, itu tanda DIA menyayangi kau,” Nasihat Zita. “Dahlah… aku balik bilik aku,” pinta Zita tanpa menunggu jawapan daripada Qaseh.

Redup pandangan Qaseh mengiringi langkah Zita, hingga dia hilang dari renunganya.

Qaseh akui. Kiranya dialah orang pertama di sisi yang memperkenalkan Qaseh dengan bahagia. Dialah inspirasi yang membuatkan malamnya tidak pernah goyah untuk bermimpi. Dia bangga adanya lelaki itu dalam kelompok kisahnya. Kalau boleh, mahu saja dikepungkan waktu itu agar yang tertulis dalam jalur hidupnya kekal buat selama-lama.

Sebelum daun tingkap dikatup, Qaseh sekali lagi mendongak ke dada langit yang kelam. Dalam hati, dia menitip bicara memohon ampun pada setiap penjuru hidupnya dan bermohon agar dia yang pernah berada di sisinya suatu ketika dahulu aman bahagia dalam rumahtangga yang dibina.

Qaseh kembali duduk di kerusi meja tulisnya, sambil menongkat dagu dia melayan perasaan. Tangan kirinya menggaru-garu dahi malah tangan kanan pula membelek-belek telefon bimbitnya.

`Isk… tak ada sesiapa ke yang sudi berchit-chat dengan aku ni… boringlah pulak?’ Ngomel Qaseh.

Kembali mengumpul angan. Tiba-tiba, kedengaran nada mesej berbunyi di telefon bimbitnya. Segera dia membaca.

Hoi minah! Tido arrr… . Tak payah nak fikir. Nak ingat kisah lama. Buang masa. Esok pulak kau citer kat aku macam mana kau boleh kahwin? Okay tak? Selamat malam sahabat. – Zita.

Gelihati dirinya menerima mesej daripada Zita. Kawannya yang cukup pandai menebak sarang akalnya. Telefon bimbit digenggaman diletakkan semula di tepi bingkai gambar. Bingkas bangun, memincingkan pandangan, katil di sisinya bagaikan melambai-lambai. Tanpa memikir lagi, rasa ngantuk dan terguap-nguap mulutnya begitu datang serentak. Segera badannya direbahkan dipembaringan.Menggelintang, terkelip-kelip memandang siling sambil terkumat-kamit bibirnya membaca ayat-ayat suci Al-Quran sebelum dia tewas dibawa ke alam buana yang indah.

Previous: Bab 5
Next: Bab 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.