Duduk di atas
kerusi empuk dan beroda, tubuhnya sedikit membongkok. Muka memandang lantai
yang berkarpet biru. Kedua-dua tangan ditemukan.
Menggenggam. Jari telunjuk kiri dan kanan dilaga-lagakan. Adif Haikal merenung
jauh.
“Hai… awal kau masuk office hari ni
Adif. Mimpi apa kau?” Tegur Abang Razak. “Berangan apa?” soalnya lagi.
Perbuatan Adif Haikal terhenti. Dikalihkan
muka dan merenung Abang Razak yang leka dengan komputernya. Teman sepejabat
yang sudah lama menjadi kawan karib. Teman yang mengetahui segala rahsia
hatinya. Sesaat dua, dia kembali menunduk merenung karpet biru yang menutup
lantai pejabat tempat mereka mencari rezeki.
“Kau kenapa Adif…?” Soal Abang
Razak.
Datang menghampiri tempat duduk Adif
Haikal. Menarik kerusi di sebelah kiri Adif Haikal, lantas menghenyak
punggungnya di situ. Bahu Adif Haikal ditepuk-tepuk berulang-kali. Sambil jari
tangan kirinya mengetuk-ngetuk meja komputer Adif Haikal.
Dalam-dalam nafas dihela. Dia yang
menunduk kembali mengangkat muka. Sekali lagi wajah temannya ditatap. Pandangan
mata berlaga. Seperti meminta sebuah cerita.
“Abang Razak… semalam hari jadi
Qaseh yang ke tigapuluh.”
Muram. Kedua-dua tangannya meraup
muka.
“Adif… . Abang tau perasaan kau. Dah
tu, kau tak ucapkan melalui telefon bimbit kau. Haihhhh… telefon punyalah
canggih. Segala macam bentuk abang tengok. Wechat… WhatAspp semua ada,” sindir
temannya. “Eh… tu dah sampai,” tunding jari telunjuk kanan Abang Razak.
Dari jauh Adif Haikal mencuri
pandang. Memandang wajah yang pernah bertahta di hatinya, yang sering menghiasi
mimpinya di malam hari. Menyinari indah apabila terbit mentari pagi.
Sepasang mata yang sedari tadi
menjadi penonton mula mereka agenda. Sebaik kaki kanan Qaseh melangkah ke dalam
Bilik Komputer.
“Selamat ulang tahun Qaseh!” Laung
Abang Razak. “Qaseh… tengahari nanti ada orang nak belanja. Katanya, Abang
Razak harus ikut serta,” sekali lagi Abang Razak menutur kata.
“Ya ALLAH… ye ke Abang Razak. Siapa
orang tu… . Bertuahnya saya…” Sahut Qaseh. Laci meja ditarik, beg sandangnya
disimpan di dalam laci itu.
Ungkapan yang didengari itu bagaikan
cepu emas buat diri Adif Haikal. Dia yang duduk mulai bangun dan melangkah
menghampiri Qaseh yang sedang membetulkan duduknya menghadap komputer. Adif
Haikal memandang Abang Razak. Satu kenyitan daripada mata kiri Abang Razak
umpama memberi semangat untuknya meluahkan rasa yang terpendam sebentar tadi.
“Qaseh… selamat ulang tahun. Moga
panjang umur dan sentiasa berada di bawah lindungan-NYA. Tengahari nanti abang
belanja makan ye. Qaseh boleh ajak Zita sekali. Abang pula ajak Abang Razak.
Boleh kan?” Pinta Adif Haikal.
Dada dinding yang berkaca separuh dipandang. Dia menarik nafas. Serentak itu dia
membuang pandangannya ke arah Abang
Razak yang begitu setia duduk memerhati dirinya. Mata liar memerhati
sekeliling. Jam di pergelangan tangan kiri dilirik. Ruang pejabat yang tadinya
sepi kini mulai riuh dengan teman-teman sepejabatnya. Dia masih lagi menanti
jawapan. Berdebar. Pantas berdegup jantungnya menunggu jawapan yang bakal lahir dari bibir nipis mekar
kemerahan itu.
“Qaseh, boleh kan…” sekali lagi dia
mengulangi pertanyaannya.
Qaseh bungkam. Keliru. Tidak tahu
apa yang hendak dikatakan. Separuh hatinya begitu menginginkan tetapi separuh
lagi bagaikan memalang impiannya. Sambil memusing-musingkan telefon bimbit di
atas meja. Namun tidak di akal dan hatinya. Bagaikan berantakan antara
keinginan dan penolakan. Sedang asyik memikirkan dan dia berasa serba salah
untuk memberi jawapan. Apatah lagi Adif Haikal masih lagi di sisi, berdiri. Tiba-tiba
telefon bimbitnya berbunyi menandakan ada pesanan ringkas buat dirinya.
Sistem Pesanan Ringkas yang
tiba-tiba menyinggah di telefon bimbitnya seperti membawa khabar berita. Segera
dia melihat nama pengirimnya. Bola matanya tidak berkelip, membaca isi pesanan
yang dikirim. Sebentar Qaseh menutup mulutnya dengan tangan kiri. Sesaat dua, dia
melemparkan pandangan ke arah Adif Haikal dan sepantas kilat juga dia memaling
merenung dada skrin telefon bimbitnya.
Adif Haikal bingung dengan keletah
ibu tunggal yang senantiasa menawan di pandangan matanya. Melihat Qaseh yang
masih lagi menatap skrin telefon bimbitnya, Adif Haikal segera berpaling.
Perlahan-lahan menyusun langkah, kembali ke tempat duduknya. Nafas
perlahan-lahan dihela. Gambaran wajah tertera betapa dia kecewa. Hampa. Harapan
untuk menyambut hari kelahiran insan yang pernah dia sayangi semakin pudar.
“Abang…”
Panggilan itu bagaikan petir yang
melintas ke cuping telinganya. Sepantas kilat Adif Haikal menoleh.
“Qaseh… panggil abang?” Tanya Adif
Haikal.
“Ya.”
“A B A N G?” Adif Haikal mengeja satu
persatu perkata itu. Agak lama dia tidak mendengar panggilan itu.
Qaseh
menggangguk. Terasa bahang kepanasan pada wajahnya apabila dia sendiri tersedar
dengan panggilan itu.
“Qaseh
nak cakap… yang Qaseh setuju nak keluar makan dengan abang. Gitu?”
Adif
Haikal melangkah. Mendekati Qaseh yang sudah berdiri. Adif Haikal memberi muka,
cuba memberi tumpuan.
“Tadi… Zita yang hantar mesej. Dia
cakap… dia cakap… dia…”
“Dia apa?” Adif Haikal memotong
kata-katanya.
“Dia cakap…”
“Dia cakap apa!” Tengking Adif
Haikal tepat ke cuping telinga Qaseh yang berselindung dibalik kain tudung.
Menyinga Qaseh dengan sikap Adif
Haikal.
“Tadi
Linda lalu… Linda nampak abang tengah bual dengan Qaseh. Zita cakap, Linda marah. Rona mukanya merah. Fail yang dibawanya juga dihempas di
atas meja Zita,” Qaseh meluahkan seperti mana yang ditulis oleh Zita di dalam
telefon bimbitnya.
“Arghhh… pedulikan dia. Abang nak
tengahari nanti Qaseh dengan Zita tunggu kat bawah. Kalau boleh terus ke kereta
abang. Taukan kereta yang mana satu. Saja nak kena penampar mautlah kalau tak
kenal,” ugut Adif Haikal sambil meninggalkan Qaseh yang terkulat-kulat
mendengar ugutan Adif Haikal.
‘Penampar
maut? Heh! Ada hati nak tampar aku…’ monoloq Qaseh. Kening kanan digaru, kerusi
ditarik lantas dia duduk. Komputer yang masih belum sempat dihidupkan segera
dihidupkan.
Jantungnya
nyeri bagaikan ditikam jarum. Kiriman Zita tadi betul-betul menyesak dada.
Begitu menghantui fikiran. Telefon bimbit yang masih lagi ditangan dipandang.
Jari mula menari-nari di atas angka yang tertera di telefon bimbitnya. Namun
perbuatan itu terhenti. Dia merasakan seperti membuang masa dan membuang
kredit, sedangkan dia… orang yang hendak disampaikan berita itu begitu hampir
dengan dirinya sendiri. Qaseh mengulum senyum. Dia bangun dan meninggalkan
tempat duduknya.
Adif
Haikal, dari ekor matanya yang sepet, dia menjeling. Pendingin hawa yang mengenai
dirinya sedikitpun tidak dapat meredakan kepanasan yang sedang menghimpit
dirinya. Khabar yang disampaikan oleh Zita kepada Qaseh membuatkan hatinya
terluka. Tangan kanan mula memicit-micit tengkok. Kelibat Abang Razak
ditenung. Lalu dia memanggil.
“Abang
Razak… Abang Razak.”
Panggilannya
tidak diendahkan. Adif Haikal memanggil lagi. Kali ini dengan nada yang sedikit
kuat.
“Abang
Razak!” Laung Adif Haikal sekali lagi. `Mak aiii… pekak ke orang tua ni,’
ngomelnya. Dia tiada cara lain kecuali terpaksa menapak ke tempat duduk Abang
Razak.
Bahu
kanan Abang Razak dicuit. Mendongak Abang Razak memandang Adif Haikal.
“Kau
nak apa lagi Adif… . Kau nak apa?”
“Saya
nak Abang Razak pujuk juga Qaseh,” paksa Adif Haikal.
“Pujuk!”
Adif
Haikal mengangguk. Senyum tergaris di bibir. Mata berkaca. Mengharap impiannya
agar terlaksana.
Abang
Razak, mengulum senyum. Dia mengerti perasaan anak muda di hadapannya. Dengan
senyum yang masih lagi bersisa, Abang Razak mengangguk, tanda setuju. Senyum
yang tadi segaris kini kian melebar.
“Tapi,
Abang Razak…”
Adif
Haikal resah. Tangan kanan menyisir rambut yang terjuntai di dahi ke tepi.
Kedua lapis nipis yang kusam dibega-bega. Wajah Abang Razak ditatap. Senyap.
Cuma helaan nafas turun-naik yang kedengaran.
“Tapi,
apa lagi hang ni… Adif oii!”
Teguran
Abang Razak mengejutkan Adif Haikal yang sedang merenung dinding separa kaca di hadapannya. Seakan retak seribu
dinding kaca itu diperhatikan. Begitulah dia mengibaratkan dirinya sekarang. Retak
kian melebar kala nama Linda disebut Qaseh.
“Linda.”
“Linda!” Tempik Abang Razak. Terjungkit keningnya bila nama itu disebut Adif Haikal.