Home Novel Thriller/Aksi PEMBUNUH DALAM DIAM
PEMBUNUH DALAM DIAM
AD Rahman Ahmad
20/6/2015 14:37:17
24,801
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Bab 5


“Ya ALLAH, kat sini rupanya kau. Berangan lagi? Sampai aku terjerit-pekik panggil nama kau, minta kau bukakan pintu. Kau ingat apa lagi tu, cik kak? Aku ajak keluar… kau tak mau. Kalau tak, boleh aku kenalkan kau dengan sepupu aku,” ngomel Zita yang muncul tiba-tiba.

Tersentak Qaseh. Segera menyapu air mata yang membanjiri pipi dengan telapak tangan. Dalam esakan yang masih berbaki, mendengar bebelan Zita, Qaseh masih sempat melemparkan senyuman dan membalas teguran sahabatnya.

“Oii minah! Kalau ya pun… cuba beri salam. Ni masuk-masuk terus sergah aku. Mujurlah tak sakit jantung, kalau tak… mau pitam terus. Kau tak bawa kunci rumah ke?” Soal Qaseh. Meliar matanya meneliti sahabat yang masih tercegat di hadapannya.

“Bukan tak bawa, masalahnya kau tengoklah ni. Terpaksa aku letak dulu atas lantai, kemudian selok sana-sini dalam beg nak dapatkan kunci. Penat,” keluh Zita seraya mengangkat kedua-dua belah tangannya.

Ternganga mulut Qaseh melihat bungkusan yang dijinjing Zita.

“Ohhh, sorrylah. Tak dengar, aku lagi makan.” terang Qaseh sambil menunjukkan roti di dalam gengaman tangannya.

Zita meletakan barangan yang dijinjingnya di atas meja. Bingkas mendekati Qaseh yang masih lagi mengelap-ngelap kedua-dua belah matanya dengan hujung jari.

“Cik kak, kau makan ke kau berangan. Aku masuk rumah dah lama tau, Aku siap letak barang atas meja lagi. Tapi aku tengok kau langsung tak sedar, tu mata kau… merah. Kau menangis lagikan?” tebak Zita.

Kerusi di sebelah kasih segera ditarik. Duduk sambil menongkat kepala dan merenung Qaseh yang mula menunduk. Qaseh serba salah. Dia yang tadi tunduk menekur permukaan meja mula perlahan-lahan mengangkat wajahnya. Qaseh tetap berdiam dan memendam rasa tanpa sebarang jawapan.

QASEH sekadar melemparkan pandangan sayu. Air mata masih bergelayutan. Hanya menunggu waktu untuk memuntahkan kandungan yang sudah tidak dapat dibendung lagi. Zita mengerti perasaan sahabatnya itu. Dibawa tangan kanannya dan melekap di belakang tubuh Qaseh. Perlahan-lahan dia membelai. Kemudian, anak rambut yang terjuntai-juntai di dahi Qaseh disisip Zita ke tepi. Kembali membelai.

Semakin basah hati Qaseh melihat keprihatinan Zita. Diri yang tadi kian sejuk akhirnya kembali berombak sebak. Sambil teresak-esak, dia mula melantunkan bebanan yang ditanggung tika itu.

“Kau tau, aku sayangkan dia. Sayang sangat. Dia cinta pertama aku,” luah Qaseh tiba-tiba tanpa menyembunyikan rasa hati. Bingkas, Qaseh menekup wajahnya dengan kedua-dua belah tangan.

Tangan kanan yang masih membelai belakang Qaseh tadi, kini berubah tempat. Perlahan-lahan Zita menarik kedua-dua tangan Qaseh. Wajah itu ditenung.

“Baiklah, kalau macam gitu… kenapa kau tak kahwin dengan dia? Kenapa kau kahwin dengan dia… dia tu? Dan satu lagi… boleh aku tau, siapa kekasih kau dulu hingga kau langsung tak boleh lupakan dia? Sorrylah Qaseh, aku saja nak jadi penyibuk sikit,” pinta Zita tanpa malu.

Soalan Zita sama sekali tidak diendahkan. Malah Qaseh, tanpa segan silu terus menitis air mata. Hilang prinsipnya. Suasana sepi, hanya esakan Qaseh memenuhi ruang dapur. Qaseh menunduk kala Zita menghulurkan tissue kepadanya. Sesaat kemudian, bibirnya berbega-bega. Dia mula untuk berbicara, tetapi hatinya mula teragak-agak untuk bercerita.

Nafas ditarik sedalam mungkin. Melepaskan keluhan, perlahan-lahan Qaseh bersuara.

“Dua tahun aku bersama dengannya, Zita. Dua tahun,” jelas Qaseh. Bergetar suaranya. “Semuanya baik. Cuma aku tak sempat berjumpa dengan keluarga dia dan dia pun belum sempat bertemu keluarga aku. Mungkin tak ada jodoh, kot. Keluarga aku pulak, memandai-mandai menerima pinangan dari, entah siapa pun aku tak kenal. Apa yang aku tahu, emak saudara aku yang menetap di kampung yang beria-ia nak jodohkan aku dengan mamat tu. Apa lagi yang boleh aku buat, waktu itu. Kau fahamkan?” luah Qaseh panjang lebar sambil mengesat lagi air matanya dengan kertas tisu.

“Kau tak tanya dia? Tak minta dia jumpa dengan orang tua kau, jelaskan segalanya? Atau orang tua kau tak tahu yang kau sudah punya cinta hati?” pujuk Zita sambil menghulurkan lagi kotak tissue kepada Qaseh yang mukanya masih basah dengan air mata.

Qaseh mengangguk. “Aku ada tanya dia… tapi kau tahu apa jawab dia?” terang Qaseh sambil tangannya menarik lagi sehelai tissue dari kotak tissue yang dihulurkan Zita.

Serta-merta ingatan Qaseh tentang pertemuannya dengan Adif Haikal bermain di awangan. Dia yang baru sahaja sampai di pagi itu tanpa berlengah segera menghubungi Adif Haikal untuk bertemu di tempat biasa. Taman yang sering mereka kunjungi bersama untuk beriadah. Berjanji untuk bertemu di sebelah petang.

Taman Tasik Titiwangsa menerima kunjungannya. Angin bertiup lembut. Seakan mengerti perasaan Qaseh tika itu. Dia duduk diam di kerusi kayu sambil merenung air tasik yang beriak-riak ditiup sang bayu. Sesekali dia melihat jam di pergelangan tangan kiri yang terlekat kemas sambil menoleh kiri dan kanan. Retinanya masih sempat meyaksikan beberapa pasangan kekasih begitu rancak berbual mesra. Sayu hatinya. Bertambah nyeri tatkala pandangannya mula tertumpah pada susuk tubuh seorang lelaki yang amat dia sayangi. Dari kejauhan, dia melihat dua lapis nipis melebarkan garis kebahagiaan.

“Assalamualaikum, dah lama tunggu? Sayang, kerja tadi…” dia berteus-terang tanpa dipinta.

“Maaf, sebab terpaksa menyusahkan sayang,” bergetar suara Qaseh mengucapkan maaf.

“Hey… kenapa ni. Sudahlah pucat muka tu… mata pula bengkak. Kenapa ni, manja?”

“Sayang, Qaseh dah dijodohkan dengan pilihan keluarga. Tapi, Qaseh terpaksa bantah sebab Qaseh dah punya sayang,” jelas Qaseh sambil bola matanya mencuri pandang wajah Adif Haikal.

Terdiam seketika, hanya suara sang unggas menemani mereka saat itu. Air tasik tetap tampak tenang dan sesekali beriak-riak ditiup sang bayu. Ternyata berseberangan sama sekali dengan dirinya. Hatinya berombak kencang bagai diredah samudera. Gelora resah kian merusuh dalam dada. Dia masih lagi menanti jawapan daripada jejaka itu. Menanti tindakan dan kata indah daripada dirinya. Dia mencuba untuk tidak menangis, mencari kekuatan diri sambil tidak lepas merenung kekasih yang berdiri tidak jauh dari tempat duduknya.

Adif Haikal, berseluar jeans warna hitam dan berbaju kemeja warna kelabu berlengan panjang berjenama Polo, berdiri menghadap kekasih hati. Tangan kanan menyelok poket seluarnya. Mengeluarkan kotak rokok `Marlboro Merah’. Lalu menarik keluar sepuntung dari celahan puntung-puntung di dalam kotak itu dan diletakan diantara celahan dua lapis nipis. Pemetik api diacukan dihujung puntung rokok itu, dinyalakan api. Pantas rokok yang mula menyebarkan asap disedut dalam-dalam. Dihembus perlahan di hadapan kekasih hati. Mengapung asap mengaburi pandangannya sendiri. Dia mula mendekat, wajah idaman hatinya direnung. Tenang.

“Qaseh, cuba awak lihat di sekeliling awak.” Dia berhenti berkata-kata. Wajah Qaseh ditatap lagi. “Tak payah nangislah,” tegur Adif Haikal. “Mungkin ada sebab mereka buat macam tu. Fahamlah Qaseh, dunia penuh dengan dugaan. Kita tidak tahu apa yang bakal berlaku di masa hadapan kita nanti. Ikutlah, turutlah kata mereka. Mereka keluarga awak,” nasihat Adif Haikal. Perlahan-lahan dia menutur kata.

Berderau darahnya. Berbahang kepanasan cuping telinganya. Qaseh pandang wajah kekasih hati dengan renungan yang tajam. Berlaga pandangan bagaikan sedang berlawan pedang. Menghunus antara satu sama lain. Ahkirnya dia membuang pandang ke arah tasik. Tidak menyangka sama sekali oleh Qaseh, jawapan itu yang diterima daripada kekasihnya.

Menarik nafas seketika, lalu dia mula bersuara.

“Arghhh, biarlah dengan orang sekeliling. Mata saya, suka hati sayalah nak nangis ke apa? Ni… awak? Langsung tak mempertahankan cinta suci awak, kenapa? Awak tau tak? awak dah buat saya ni `bagai sayang kaki pada terompah’ tau tak?”

Dalam keadaan marah dan tegang. Hilang sudah panggilan sayang buat kekasih hatinya.

“Qaseh, dengar dulu!” Arah Adif Haikal sambil menyinsing kedua-dua belah lengan panjang kemeja yang dipakainya. “Tak elok bertekak kat sini. Malu dengar dek orang. Sayang tahu semua tu, tetapi ini hak keluarga awak. Saya tak mahu dikatakan oleh mereka yang saya mengajar anak mereka menjadi anak derhaka. Semata-mata kerana cinta.”

“Tapi sayang… cinta, harapan dan impian, macam mana?” soal Qaseh pantas berdiri, menolak perlahan tubuh kekasihnya yang menghadang laluannya. Dia mula menyusur ke tepi tasik.

“Buangkan saja perasaan itu, Qaseh,” balas Adif Haikal lalu mendekati Qaseh yang mengelamun merenung tasik.

“Sayang!” laung Qaseh. Dia menoleh dan mendongak sedikit lalu menatap wajah kekasih dengan air mata penuh membasahi pipinya.

Melihat air mata yang bercucuran di wajah kekasihnya, segera Adif Haikal menghulurkan kain kecil yang tersimpan di dalam kocek seluarnya. Menyedari dia tidak mempunyai tissue, gesit tangan kanannya menyambar huluran itu.

“Begitu mudah! Kenapa tidak mahu mempertahankannya? Mana janji sayang selama ini? Mana kata sayang yang sanggup merentasi segala rintangan andai cinta ada penghalang. Mana?” soal Qaseh bertubi-tubi sambil menyapu air matanya dengan kain kecil yang dihulur oleh buah hatinya sebentar tadi. Qaseh kembali menunduk. Hujung kasutnya dikuis-kuisnya tanah.

“Qaseh, mereka orang tua awak. Lebih arif dari segalanya. Mesti kebahagiaan ada di situ,” sekali lagi perlahan suara Adif Haikal memujuk.

“Habis! Kalau dengan awak, bebahagiaan itu tak wujud. Begitu!” Bidas Qaseh yang geram dengan tingkah-laku jejaka itu.

QASEH tidak sedar esakkannya semakin kuat.

“Hey, hey… cik kak. Kenapa ni? Makin teruk pula kau menangis. Apa yang kau ingatkan lagi, ni... . Tiba-tiba saja menangis terus. Isk.. parah sudah kau ni,” Bebel Zita.

“Dia bukan jodoh aku. Namun dia tetap sahabat aku,” luah Qaseh dengan tangis yang masih bersisa.

“Jadi, kalau bukan jodoh kau, kenapa kau tak boleh lupakan dia. Kau masih cintakan dia, kan?”

“Ya, aku memang cintakan dia, sampai bila-bila pun aku akan cintakan dia. Cuma, cukuplah sabagai sahabat sejati.”

“Iskkkk, tak faham aku. Atau dia sudah punya anak isteri. Sebab tu kau kata biarlah dia sekadar menjadi sahabat sejati?” soal Zita sambil menggeleng.

“Yang kau tergeleng-geleng tu… kenapa?” Tanya Qaseh.

“Qaseh, kau terlampau menyeksa diri kau. Kau sakiti hati kau sendiri, cik kak!”

“Tak! Aku tak pernah rasa sakit. Mengingatkan dia, buat aku rasa tenang. Terasa aku masih berada di bawah kasih sayangnya. Terasa dia berada di sisi aku. Kau tak faham dan kau tak kan faham! Sebab kau masih muda dan belum melalui saat getir perit kehidupan.”

Perlahan Zita meraih jari-jemari Qaseh. “Entahlah, aku sendiri naik geram dengan sikap dan cara kau. Kau seperti orang yang masih bermimpi, berangan pada sebuah kehidupan yang tak pasti. Kau menghukum diri kau sendiri,” bidas Zita sambil meramas-ramas jari-jemari Qaseh.

“Aku? Aku menghukum diri aku sendiri? Adik manis, Akak kau ni… tidak pernah rasa seperti dihukum. Cuma akak kau sering terfikir mengapa akak sering diuji? Mengapa akak sering disakiti saat kebahagian menghampiri? Mengapa?” bentak Qaseh lantas menarik jari jemarinya yang berada di gengaman Zita.

“Cik kak, dengar sini. Buang ajalah rasa kasih tu. Impian ke… apa ke. Tu semua dah tak mendatangkan hasil. Sudah tertulis dari awal lagi dia bukan untuk akak! Redalah dan relakanlah dia pergi. Kumbang bukan seekor. Mana tau yang kat luar sana tu… boleh bagi segala yang akak nak. Mana tau, bakal jadi imam akak, seperti yang akak nak sangat tu.” Pujuk Zita.

Qaseh bungkam, hilang kata-kata. Zita disebelah dipandang. Merenung jauh ke dalam mata gadis itu. Suasana sekeliling yang kian redup ditambah dengan suara sang unggas dan angin sepoi-sepoi yang menerobos dicelahan tingkap dapur yang terbuka, meredakan hatinya.

“Emmm, sudahlah. Pergi basuh muka kau tu. Nanti kita makan sama-sama. Kau tengok tu, apa aku beli?” arah Zita sambil jari telunjuknya menunding ke arah sebuah kotak empat segitepat.

“Kau memang sahabat aku. Tahu aku suka makan apa dan pandai pulak buat aku tergelak. Tapi kan… satu aja aku tak suka, kau ni,” sekali lagi sengaja Qaseh mematikan kata-katanya di situ. Dia bangun dan menuju ke arah sinki.

“Apa?” soal Zita sehingga mengikut Qaseh ke sinki. Berdiri di sebelah Qaseh sambil melaga-lagakan bahunya dengan bahu Qaseh. “Apa, cik kak? Cakaplah…” rayunya lagi.

“Mulut kau, kadang-kadang busuk macam longkang,” jawab Qaseh serius. Qaseh kembali memandang temannya yang berdiri di sebelah. “Cik adik manis, lain kali jaga sikit tutur kata kau tu. Jangan sembarangan bercerita kepada orang lain. Lebih-lebih lagi hal aku. Ingat sayang, jangan asyik sibuk membasuh kain kotor orang, sedangkan kain sendiri yang kau basuh, belum tentu bersih,” sambung Qaseh lagi.

Zita terus memeluk Qaseh, “Maafkan Zita kakak yang ayu, kau memang pandai menegur aku dengan kata-kata simbolik kau itu. Terima kasih, kakak ayu,” ucap temannya.

“Sama-sama adik manis. Tak payah nak berterima kasih sangat, kita ini saudara seagama memang patutpun tegur menegur. Takut-takut… kita tersalah langkah, lalai. Bukan apa, bimbang dosa yang dilakukan terpalit pula pada kita. Dah sah-sah dapat dosa kering. Nahuzubillah,” nasihat Qaseh lagi.

“Sudahlah kakak ayu, nanti sejuk pulak makanan tu. Jom kita menghiburkan hati kita dengan makanan pulak. Lepas tu kita boleh beristirehat dengan aman. Sudah, jangan membazir lagi air mata tu. Simpan sikit,” tegur Zita yang masih sempat membuat lawak dengan kata-katanya.

“Emmmm, sedap baunya. Siapa belanja ni? Kau atau sepupu kau?” soal Qaseh sambil menarik sekeping dan perlahan-lahan membawa ke mulutnya.

“Sudah tentulah sepupu aku. Dia nak sangat kau ikut sekali, ini pun dia yang belikan. Itu pun sebab aku cakap, kau suka makan roti yang penuh dengan inti di atasnya,” balas Zita sambil senyum meleret.

“Emmm, tengok? Baru sebut, baru pesan. Apa lagi yang kau bualkan? Adik manis, ingat… jaga mulut tu,” pesan Qaseh sekali lagi sambil memandang tepat ke temannya.

“Alaaa, kakak ayu. Janji, tak cakap apa dah,” tuturnya. “Kakak ayu, cepat habiskan makanan tu. Sudah solat Asar? Kalau belum boleh kita solat berjemaah nanti. Lepas tu, kalau boleh kakak ayu ceritalah siapa jejaka bertuah yang masih bermukim di sanubari dan macam mana pula boleh mendirikan rumahtangga dengan jejaka pilihan keluarga,” sambung Zita dan dalam masa yang sama masih sempat mengerdipkan matanya.

Tercuit hati Qaseh dengan gelagat gadis manis di hadapannya. Kepingan terahkir Qaseh habiskan.

“Hai nasib kaulah perut, tadi sudah kuisikan dengan beberapa keping roti. Kali ini aku paksa kau terima beberapa keping roti juga,” tegur Qaseh sambil mengosok-gosok perutnya.

Zita ketawa kecil melihat gelagat sahabatnya. Sekilas dia memandang jam di pergelangan tangan kirinya. Cepat betul masa bergerak. Rasanya baru saja dia melepaskan lelah. Kini sudah menghampiri lewat petang. Dia bangun dan menutup tingkap dapur.

“Qaseh… cepatlah makan tu. Ayam, itik semua dah masuk reban. Kau tu aja yang meroyan tak habis. Dah… dah… cepat. Dengar cerita kau, sampai esok lusa pun tak habis,” bebel Zita yang begitu pantas membersih meja makan.

“Amboi… sedapnya mulut mengata. Tadi kau juga yang nak dengar cerita?” pangkah Qaseh lantas bangun dan membersih kedua-dua tangannya di sinki. “Dahlah, malas nak cerita dengan kau lagi,” rajuk Qaseh. Segera dia meninggalkan Zita yang terkulat-kulat memandang temannya yang melintas di depan mata.

“Ala… janganlah merajuk. Nanti kau cerita erk, siapa teman lelaki kau tu?” pinta Zita. Lantas segera membontoti Qaseh hingga mereka berpecah menuju ke bilik masing-masing.

Di hadapan pintu biliknya, Qaseh berhenti dan memanggil nama temannya. Zita yang sedang menolak daun pintu segera menoleh.

“Apa?” Tanyanya dengan wajah masam kelat.

“Terima kasih Zita. Terima kasih banyak-banyak sebab sudi dengar cerita aku. Terima kasih juga aku ucapkan kat sepupu kau tu,” tutur Qaseh perlahan.

“Okay aje… . Kawan, kalau tak nasihatkan kawan, siapa lagi… kan.”

Akhirnya, kedua-dua mereka berbalas senyuman sebelum masing-masing menghilangkan diri dalam bilik.

Previous: Bab 4
Next: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.