“Adik, lorong mana? Dah sampai Taman Bidara ni,”
tegur pemandu teksi.
Matanya yang masih terpejam segera dibuka. Qaseh
perhati sekeliling. Tersenyum pemandu teksi itu ketika memandangnya lewat
cermin pandang belakang. Dia tersipu-sipu.
“Lorong 2/1 pak cik. Emmm, lepas lorong depan tu,
lorong satu lagi. Nanti, pak cik masuk simpang kiri,” arahnya. “Pak cik depan
tu, kat pokok kelapa tu. Berhenti ya,” arahnya sekali lagi.
Setelah pembayaran dibuat, dia turun dari teksi
tersebut. Sewaktu dia tiba di hadapan rumah satu tingkat tiga bilik itu, kedengaran
azan Maghrib sedang berkumandang dari sebuah surau berdekatan. Dia membuka gatelalu menutupnya kembali. Kereta
Zita sudah di porch menandakan dia
sudah lama pulang. Qaseh berdiri lama di taman kecil di sudut rumah sambil
mengitari sekeliling. Cahaya lampu jalan samar-samar menerangi ruang legar halaman
rumah. Segera pintu utama dibuka. Kosong. Gelap dan sunyi.
`Arrrggghh, sebab itulah aku tak suka balik awal,’
ngomelnya lagi.
`Sedih? Kenapa? Dia bertanya kepada diri sendiri. Dia
tersandar di pintu utama selepas menutupnya. Dalam reda, tanpa disedari air
mata perlahan-lahan menuruni membasahi pipi. Dia menekup muka dengan kedua
belah tangan. Semakin lama semakin deras. Terhenjut-henjut bahunya. Dia
lepaskan segalanya. Perlahan-lahan dia menarik nafas, lega. Tiba-tiba terasa
ada tangan yang memaut bahunya. Segera dia menoleh sambil mengesat saki-baki
air mata yang masih bersisa di pipi.
“Kau kenapa? Balik-balik terus menangis. Aku cari
kau di pejabat tadi, kau tak ada?” tegur Zita. Terasa tangan kanan temannya
menarik dan mereka beriringan ke sofa di ruang tamu lantas menghenyakan diri di
situ.
“Jangan sedih Qaseh. Kau tak boleh selalu begini.
Hmmm! Cuba kau baca surah At-Taubah ayat 40. Kalau tidak silap aku begini maksudnya,
`Janganlah kamu bersedih. Sesungguhnya ALLAH bersama kita.’ Sudah, pergi masuk
bilik, mandi dan solat. Mintalah petunjuk dengan-NYA. Janji ALLAH itu pasti.”
Qaseh angguk. Perasaannya hanyut bagaikan
disorongkan bantal, mengikut saja saranan teman serumahnya. Beg sandang
digalas, kaki dihayun perlahan. Dia meninggalkan Zita yang berdiri di sisi
tanpa sebarang kata. Entah bila temannya itu muncul, dia sendiri tidak sedar.
Namun tidak tergerak pula hatinya untuk bertanya.
Di dalam bilik, Qaseh menghempaskan badan di atas
katil yang bercadar kain kapas berwarna merah lembut. Mata terus memandang
siling yang sudah kekuningan warnanya. Hatinya sedikit lega sebaik dia melepaskan
tangis yang tiba-tiba meledak saat itu. Disangka teman serumah tidak sedar akan
kepulangannya. Malu pula dia sedang menangis mengongoi dilihat Zita. Hilang sudah
ego yang dipertahankan. Persetankan!
`Emmm, dah
bersawang rupanya bilik ni,’ bisik hati kecilnya tatkala mata terlihat sawang
di bucu dinding. Sempat dia menjeling jam bulat di dinding. Segera dia bangun.
Jam sudah merangkak ke angka lapan. Segera dicapainya kain tuala dan
berlari-lari anak menuju ke bilik air. Teman serumah yang masih lagi menonton
hanya menggeleng memerhatikan gelagatnya.
Usai solat Maghrib, sementara menunggu azan Isyak
berkumandang, Qaseh duduk bersimpuh seraya mengalunkan Surah Yassin. Tidak lupa
juga Surah Al-fatihah untuk disedekahkan kepada kedua ibu-bapanya dan
rakan-rakan. Moga mereka dilindungi olah Maha Pencipta.
Qaseh masih lagi berteleku di lantai sejadah
seusai mengerjakan solat Isyak. Sambil mengangkat kedua-dua tangannya menadah,
lalu.
`Ya ALLAH,
sesungguhnya aku juga mencari belas kasih-MU. Menanti pandangan cinta-MU.
Sesungguhnya aku menunggu harapan petunjuk-MU kepadaku. Amin.’
Kain telekung disangkutnya di rel yang tersedia
bersebelah almari bajunya. Perlahan dia melangkah
ke tingkap dan membuka daun tingkap seluas-luasnya. Dia merenung dada langit.
Kelam. Bulan tetap bersinar namun bintang tidak pula kelihatan. Udara panas
membahang, peluh dingin mula memercik manja.
`Mungkin malam ini hujan agaknya, lain macam panas
ni,’ bisik hati kecilnya.
Sedang mengelamun, kedengaran pintu bilik diketuk.
Pantas dia menghampiri pintu bilik. Memulas tombol pintu dan membuka.
‘Dia lagi.’ Hatinya berbisik.
Dia hairan dengan sikap Zita yang kadang-kadang
suka menikam orang. Bermulut manis di hadapan tapi amat berbisa di belakang. Jika
diikutkan hatinya, mahu sahaja dia berpatah arang tapi akalnya meningkah. Orang
yang bertingkah-laku begini jangan dibuat musuh, jadikannya sahabat baik sambil
perlahan-lahan mendidiknya. Malah, Qaseh sering memaafkan kesilapan sahabatnya.
Itu lebih baik. Dia tersenyum. Nipis.
“Cik kak, lamanya kau dalam bilik. Aku tunggu kau.
Nak ajak kau makan malam sekali. Aku buat nasi goreng kampung. Jomlah...” Ajak Zita sambil berjalan menuju ke arah Qaseh yang sudah pun berdiri semula di sisi
tingkap bilik.
“Ohhh, terima kasih. Aku dah makan petang tadi.
Kenyang lagilah,” balas Qaseh yang masih leka melangut ke dada langit yang
kelam.
“Emmmm, sampai bilalah kau nak simpan masalah kau
ini, Qaseh. Takut kau yang sakit nanti…” Sindir Zita.
“Sampai kaki kau muat apabila sarung kat kasut
aku,” segera Qaseh membalas tanpa menatap wajah sahabatnya.
Tercengang Zita mendengar. Baju kelawarnya dikibas-kibas.
Gesit tangannya menampar lengan Qaseh. Bermain pula dengan anak matanya ketika
Qaseh memaling muka tatkala terkejut dengan tindakan Zita.
“Kaki aku?” soal Zita sambil melihat kakinya.
“Kasut kau?” mula menelek kaki kawannya.
“Ya, kaki kau,” spontan Qaseh menjawabnya.
“Tak faham aku, Qaseh,” balas Zita sambil
menggeleng beberapa kali.
“Kau fikirlah sampai kau faham. Esok baru kau
tanya aku. Itupun kalau kau masih belum temui jawapannya.
“Esok? Baiklah, Aku tunggu esok saja. Hari pun dah
jauh malam. Aku tidur dulu.”
******
TIBANYA fajar di pagi
hari, menandakan subuh sudahpun berlabuh. Indah sungguh suasana alam. Mujur
hari ini hari Sabtu. Cuti, jadi bolehlah dia bermalas-malasan di atas katil
kesayangannya. Dia berbaring sambil kedua-dua tangannya sengaja disilangkan di
bawah kepala. Puas memikirkan masa hadapan yang semakin sepi tanpa berteman.
Sedangkan lelaki yang pernah menjadi pendampingnya suatu ketika dahulu sudah
pun punyai pasangan. Hanya dia terkontang-kanting. Kehilangan arah. Dia
mengeluh.
Kedengaran bunyi ketukan dari arah pintu bilik
bertalu-talu. Dia membiarkan sahaja bunyi itu sehingga kedengaran salam diberi.
Dia buat-buat pekak. Malas hendak menjawab. Kedengaran salam diberi sekali
lagi. Dia tiada pilihan selain menjawab lemah.
“Masuk sajalah,” arah Qaseh apabila dia melihat
separuh badan kawannya itu di balik daun pintu biliknya. “Sejak bila kau pandai
ketuk pintu? Sejak bila pula pandai beri salam ni? Selalunya kau main terjah
saja, masuk. Pagi-pagi lagi dah ganggu aku?” Soal Qaseh. “Kau nak apa.
Tersengih macam kerang busuk?” Soal Qaseh lagi bertalu-talu.
“Kau tengok aku tersengihkah? Kau buta apa?” masam
wajah Zita sambil meluru masuk dan duduk di kerusi meja tulis Qaseh. Tangannya
mula menguis-guis papan kekunci komputer riba milik Qaseh yang tidak dimatikan
suis.
“Eh, nanti,” arah Qaseh dan segera bangun dari
pembaringan dan membetulkan duduknya. “Tolong `off’ kan lappy aku tu,” arah
Qaseh. “Kau nak apa sebenarnya ni?” dia
menyoal temannya yang sedari tadi menjadi pak turut. Tersengih dirinya melihat
Zita yang tidak langsung membantah arahannya.
“Alhamdulillah, kau dah tanya. Ni… mengenai kasut kau
dan kaki aku. Puas aku fikir, tapi terus jadi bingung. Apa kena mengenanya. Kau
cerita ajelah.” Pinta Zita.
“Baiklah, tapi kau jangan kecil hati ya. Kita ni
kawan, harus berlapang dada terima teguran. Harus berfikiran terbuka. Harus
sedia terima nasihat. Ingat! Nasihat membawa berkat, yang baik jadikan
tauladan, yang jahat jadikan sempadan.”
“Aduh… ceramah la pulak. Kalah Ustazah Siti Nurza
yang bagi ceremah kat office kita minggu lepas. Cepatlah, kau nak cerita atau
tak, ni? Aku nak keluar sekejap lagi.” Jelas Zita.
“Emmm, kalau begitu. Kau pergilah buat hal kau
dulu. Boleh aku sambung anganku tadi.”
“Tak maulah macam tu. Kau cerita sekarang? Aku
dengar. Now!” Suara Zita sedikit
tegas.
“Baik, sabar. Gini, jom ikut aku ke depan. Kat
luar sana.”Ajak Qaseh.
Qaseh terus bangun, melangkah perlahan. Zita
mengekori dari belakang. Pintu utama di buka, lalu kasut jenama Bonia yang juga
kasut kesayangannya diambil dari rak kasut, dihulurkan kepada Zita yang
tercengang dengan perbuatan Qaseh.
“Nah! Cuba kau pakai kasut aku ni. Lepas kau
pakai, kau berjalan pula… ikutlah mana kau suka.”
Zita pegang kasut temannya. Membelek seketika dan
kemudian menggeleng. “Gila kau, mana muat kaki aku nak sarung kat kasut kau?
Mau melecet tumit aku.”
“Makanya, jangan berani cakap lebih tentang aku.
Tentang kisah aku. Tentang hidup aku yang kau sering jajakan pada semua teman
sepejabat. Kau ingat aku tak tahu? Aku dengar, Zita... tapi aku tak kisah. Cuma
seperti yang aku cakapkan tadi, jangan lebih-lebih. Seperti kasut aku yang tak
muat kat kaki kau,” nasihat Qaseh panjang lebar.
Qaseh perhatikan wajah temannya. Wajah yang tadi
berseri-seri kini seperti langit yang dijajah mendung. Dia merenung sambil
melepas nafasnya perlahan-lahan. Zita yang masih berdiri di sebelah Qaseh
tiba-tiba tersedu-sedan sambil menunduk. Kedua-dua tangan Qaseh memegang bahu Zita.
Kemudian tangan kanannya perlahan menyentuh dagu dan menolak ke atas. Terdampar
di hadapannya, raut wajah manis sudah dibanjiri air mata. Kedua-dua keningnya
diangkat bagai memberi isyarat pertanyaan kepada Zita.
“Qaseh, maafkan aku. Mungkin selama ini aku
terlupa. Terima kasih nasihatnya. Kaulah sahabat aku,” kata gadis berkulit
putih kemerahan itu sambil memeluk Qaseh rapat.
“Sudahlah, sudah lama aku memaafkan kau.”