Home Novel Thriller/Aksi PEMBUNUH DALAM DIAM
PEMBUNUH DALAM DIAM
AD Rahman Ahmad
20/6/2015 14:37:17
24,802
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Bab 1

Seusai solat Subuh, Qaseh mengemas tempat tidur. Bersiap ingin ke tempat kerja. Berharap dalam hati agar jalanraya hari itu tidak terlampau sesak seperti hari-hari sebelumnya. Letih kakinya menekan pedal minyak dan brek masih bersisa. Sesekali anak matanya menjeling ke arah jam loceng yang terletak di atas meja sisi katil.

`Emm, awal lagilah,’ dia mengomel.

Dia kembali duduk di kerusi meja tulis di biliknya, membuka laci lalu mengeluarkan sebuah dairi berwarna merah jambu yang semakin pudar warnanya. Dibuka dairi itu dan membacanya seperti selalu. Di situlah tempat dia meluahkan segala isi hati yang terbuku saban hari. Dalam dairi itu jugalah tempat dia meratapi segala yang telah terjadi dalam sejarah hidupnya.

Namun tidak sesekali dia kesali apa yang terjadi. Takdir telah tertulis begitu rupa. Cuma yang dikesali oleh dia, sikap mereka disekelilingnya. Mereka yang selama ini disayangi dan disanjung tinggi. Malah kepada dirinya jugalah tempat mereka meminta pertolongan kala dihimpit kesusahan, tetapi beginikah balasan yang diterima? Hatinya membengkak. Titis airmata jernih sudah bergelayut. Menunggu masa untuk tumpah bagaikan gerimis.

Dia akur dan sedar, hidup menumpang kasih dan sayang sukar untuk dibalas. Namun, setiap yang baik itu ada hikmahnya dan yang jahat itu tetap akan mendapat balasannya. Dia hanya menumpang dan ditumpang. Menumpang kasih sayang dan ditumpang pula untuk mendapat kasih dan sayang.

Tujuh warna pelangi berserta berjuta warna dunia, mendampingi kehidupan dalam berbagai bentuk dan cara. Di setiap lukisan kehidupan, yang terdampar hanyalah kenangan. Warna pelangi hanya sekadar hiasan. Tiada warna yang menemani, hanya hitam dan putih. Siang dan malam, bulan dan bintang menjadi teman perjalanannya. Kicauan sang unggas sebagai melodi. Hujan dan panas menjadi bayangannya.

Titik pertemuan yang dirancang dan pengharapan kepada sebuah kebahagian nyata hanya lakonan kehidupan duniawi. Manis yang diharap, pahit yang terhirup namun dalam keresahan, dia tetap tenang menempuh gelombang. Kecundang atau tidak, perit atau pedih, senyum tetap dibuang.

QASEH masih duduk menghadap dairi. Dicapainya sebatang pen yang sentiasa berada di dalam bekas pensil. Dia mencoret sesuatu, meluahkan isi hati yang tidak pernah surut dengan erti rindu.

`Ya, aku rindu.’


Seketika dia terdongak daripada khusyuk yang panjang apabila terdengar bunyi ketukan dari luar bilik. Terkocoh-kocoh dia menyembunyikan dairi yang dipegang di dalam laci meja. Airmata yang bergenang cepat-cepat dikesat dengan tissue yang terletak di atas meja tulis. Dia tidak mahu sahabatnya melihat airmatanya. Airmatanya mahal untuk ditunjukkan kepada semua. Selagi boleh dia bertahan, selagi itu dia akan bertahan. Itu prinsipnya!

“Pagi... . Wey, menung apa ni...?” tegur Zita lalu terus duduk di hujung katil.

“Isk... .” Dengus Qaseh. “Engkau tahu?” tiba-tiba dia menyoal begitu kepada teman serumahnya.

Wajah yang manis sebentar tadi terus bertukar tegang. Dahi yang licin terus berkedut seribu. 

“Tak tahu. Mana aku tahu. Kecuali, engkau bagitau.”

Seketika dia mengangkat wajahnya. 

“Kisah aku?” luahnya perlahan. Kembali menunduk sambil pen di hujung jari kanannya diketuk-ketuk di atas meja tulis.

“Ya, kisah kau. Sudah berapa kali aku bilang. Kalau kau nak cerita. Cerita aje... aku dengar. Ayuh, Qaseh…” pinta Zita. Dia bangun dan kembali duduk betul-betul menghadap temannya yang masih monyok.

“Aku? Kisah yang telah meragut segala kebahagiaanku? Kau tahu, saat meningkatnya usia, saat aku masih ingin bergelak-ketawa bersama kawan-kawan, ingin mengenal dunia yang dipenuhi pelbagai ragam, aku tersungkur sebelum waktunya. Tapi..., untuk apa lagi disesali. Semuanya hancur, yang tinggal cuma sekeping hati. Hati!” Suara Qaseh mulai sebak. Nafas tertahan-tahan.

“Hati? Kenapa?” soal Zita lantas jari jemarinya terus mengamit tangan Qaseh.

“Kau tanya aku, kenapa?” soal Qaseh sambil memandang Zita dengan bibir dibega-begakan.

“Ya, masakan kau tak bahagia? Habis, yang selama ni... kau gelak sana, gelak sini... tak bahagia ke tu?”

“Hmmm... sayang. Kau tak tahu lagi rupanya, Zita. Jangan kau anggap bila aku jadi macam tu... aku sedang bahagia. Tidak, Zita. Tidak! Tapi ya, mungkin ada betulnya. Aku tak nafikan. Tapi, bahagia yang aku maksudkan di sini lain.”

“Hah, engkau! Pagi-pagi dah macam ni. Dah bikin aku pening kepala. Bagi akulah kan. Kalau dah sengih sana... sengih sini. Lepas tu keluar jalan sana, jalan sini. Okaylah tu. Muka pun nampak ceria aje. Taklah macam awan mendung. Gembiralah tu... kan, namanya.”

Qaseh hanya mampu menggeleng. Mengaku benar tidak, berkata salah pun tidak. Seketika.

“Betul cakap kau tu. Aku setuju. Tapi, di sebaliknya...  kau kena faham. Biarlah, nanti... bila ada masa, aku cerita kat kau, ya.”

Zita mengangguk tanda setuju.

Jam di dinding bilik berdenting-denting. Memberi isyarat jam merangkak ke angka lapan pagi, tetapi mereka berdua masih enak duduk bersembang.

“Ayuh! Kerja,” ajak Zita sambil menepuk bahu Qaseh.

“Kau pergilah dulu.”

“Apa lagi, ni? Kau fikir apa. Tentang siapa dan kenapa?”

“Tentang dia, Zita. Kau tahu? Saat dia diapit bintang dan bulan, aku pula dihimpit tohmahan dan cacian. Aku mabuk tahi telinga, mengong.”

Meletus ketawa Zita, saat dia mendengar khabar berita yang terbit dari bibir munggil sahabatnya.

“Kau buat lawak, boleh kan. Mana ada mabuk tahi telinga. Mana kau dapat peribahasa tu?” soal Zita dengan ketawa yang masih berbaki.

“Gelaklah kau, suka hati kan. Aku tak marah pun...” rajuk Qaseh lantas menundukan menekur lantai.

“Alaaa, jangan begitu kakak manis,” Pujuk Zita. Kedua-dua belah tangannya segera mengcempung kedua belah pipi Qaseh. “Kakak manis, boleh aku tanya? Apa itu mabuk tahi telinga? Pelik pulak aku dengar?”

“Aduh Zita, tak kan tak tau... kot. Nama je... sekolah tinggi. Maksudnya... samalah macam kau sekarang, Tercegat, terpinga-pinga… berdiri diam, kaku, begitulah.”

“Sudahlah. Jangan layan sangat perasaan tu. Aku kenal kau lama, sejak kau duduk dengan aku, dah lebih tiga tahun, kan? Jangan dikenang kisah lalu. Cik kak! duit poket perlu dicari. Sara hidup kau, anak-anak kau.”

Qaseh memandang wajah sahabatnya. Bersahaja pula Zita membalas pandangannya sambil mengungkit kedua-dua belah kening sebelum kembali bersuara.

“Cepatlah, tumpang aku saja. Kau, kalau lagi mengong, baju kau pakai pun boleh terbalik. Entah-entah pandu kereta pun nanti, kau sesat. Mahu ke Kepong, kau pergi ke Kuala Lumpur. Bukan aku tak kenal kau, bukan sehari dua tahu gerak geri kau. Qaseh, kau pakai baju terbalik atau memang gitu fesyennya?” Zita berbisik sambil menekup bibirnya menahan ketawa. Namun rona merah di mukanya menandakan ketawanya bakal meledak.

Sepantas kilat dia bangun dari tempat duduk. Tunduk memerhati baju kurung yang tersarung di badan dengan mata terbeliak. Kembali menatap wajah Zita. Senyuman semakin melebar, mekar. Gempeta pun berbunyi. Meledak ketawa mereka berdua memecah kesunyian pagi. Qaseh berlari menuju ke bilik air. Segera menukarkan kepada bentuk yang sebenar. Kemudian terkocoh-kocoh masuk ke dalam bilik. Seketika, berdiri di hadapan meja solek, cermin muka ditatap. Dia membelek lagi. Setelah berpuas hati, dia keluar dan beg sandang berjenama Bonia yang terdampar di atas katil, di capai lantas digalaskan ke bahu dan terus melangkah menuju ke muka pintu.

Sedetik kaki melangkah keluar dan pintu ditarik, hatinya terasa berat tiba-tiba. Dia mengalihkan pandangan ke arah meja tulis. `Arghh, bila lagi aku dapat balik dan peluk mereka? Anak-anakku,’ rintihnya sambil merenung bingkai gambar yang terletak kemas di atas meja.

"Oiii minah! Kau nak tumpang tak ni?" laung Zita dari luar rumah.

Bagaikan petir meyambar cuping telinganya. Sepantas kilat dia menutup pintu biliknya. Namun, retinanya tetap mengukir bayangan. Jelas kelihatan wajah anak-anaknya yang comel sedang tersenyum memandangnya. Merekalah buah hati pengarang jantungnya. Hendak dipeluk dan dibelai selalu, tidak kesampaian. Dia nanar.

Previous: INTRO
Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.