RINDU.
Ingatannya terus mengebu saat wajah anak-anaknya
di bingkai gambar itu ditatap sebentar tadi. Tulus, mulus wajah mereka. Sebak
bertandang. Hampir sahaja dia menitiskan air mata.
`Ibu, balik nanti... belikan kakak anak patung
Barbie, ya.’
Kalimah keramat yang sering menerpa dan menerjang
ke segenap jiwa. Tidak boleh dikikis dan dibuang dari ingatan.
“Oiii minah, udahlah tu. Masa terus bergerak.
Nanti aku kena marah dengan Tuan Abdul Malik. Kerja masih banyak aku belum
selesaikan,” jerit Zita yang sedang menanti di pintu utama rumah.
Hilang terus
kisah yang bermain di ruang matanya. Cepat-cepat dia menutup pintu utama rumah
mereka.
`Selamat tinggal sayang, nanti ibu balik ya.’ Terdetik
kata-kata itu di hatinya.
Renungan suram mengiringi pagi. Hatinya menangis
lagi. Sendu.
Zita sudah masuk ke perut kereta. Dia masih
terkial-kial mencapai kasut tinggi dua inci jenama Bonia dari rak kasut Segera disarungkan
ke kaki. Dia melangkah longlai namun demi anak-anaknya, rezeki harus dicari.
Walaupun mereka masih punya datuk dan nenek, tetapi sampai bila hidup harus
menumpang. Cukuplah dia saja yang merasa peritnya kehidupan itu. Dia tidak mahu
mereka merasainya. Walang hatinya memikirkan nasib mereka.
`Ya ALLAH, jika diberi peluang, ingin aku mengubah
nasib hidupku. KAU bantulah aku demi mereka, anak-anakku yang aku sayangi dan
kasihi.’
Di dalam kereta Kembara Auto berwarna merah hati, dia
duduk di tempat penumpang manakala Zita memandu dengan berhati-hati. Di kiri
dan kanan jalan penuh dengan kereta bersimpang siur. Kereta Zita di lane tengah. Masing-masing berlumba
untuk ke tempat kerja. Dia pula hanya merenung jauh. Hatinya berdebar. Entah mengapa
resah dan gelisah mengundang lagi. Kali ini lebih hebat. Terasa ingin gugur
jantungnya. Kenapa ingatannya masih kepada mereka. Apa yang telah terjadi?
‘Wahai hati, tenanglah kau, tabahlah kau. Usah ditambah
galau yang ada. Usah menyiksa badan yang sudah tersiksa. Jauhilah mereka
daripada malapetaka. Hidupkanlah mereka dalam aman sejahtera. `Ya ALLAH, Ya
RAHMAN, Ya RAHIM. Sesungguhnya ENGKAUlah Yang Berkuasa lagi Maha Melindungi.
Aamiin.’ Dalam diam dia bermunajat kepada Maha Pencipta memohon perlindungan
untuk anak-anak tercinta.
******
JAM di pergelangan tangan
dipandang sekilas. Penunjuk tanda sudah menunjukkan angka empat petang. Dia baru
sahaja selesai perjumpaan dengan clientdi
sebuah pasaraya terkenal di Damansara.Satu
jam perjalanan daripada pejabatnya yang terletak di Bandar Menjalara. Masih
ada satu jam lagi waktu bekerja untuk dihabiskan.
`Arrrgghh, bosanlah nak balik ke pejabat. Baik aku jalan-jalan di
sekitar Taman KLCC. Mungkin boleh bagi ketenangan. Lantaklah, dia orang nak
cari aku, carilah. Esok pagi, baru beritahu Encik Jeffry, kenapa aku tidak
terus pulang ke pejabat,’ bisik hati kecilnya.
Projek Menara Berkembar Petronas atau lebih
dikenali dengan panggilan KLCC ditatap bangga. Mungkin mereka yang terlibat
dalam pembinaan dua menara ini,terpaksa bersengkang mata untuk membinanya.
`Termasuklah aku yang terpaksa berhempas pulas menyiapkan lukisannya,’ sekali
lagi Qaseh meluahkan rasa hatinya.
Dia bangga kerana berdiri megahnya mercu tanda ini
adalah kerana usaha mereka yang tidak pernah kenal erti lelah demi memajukan
Malaysia di mata dunia. Tambahan pula dan yang lebih menarik tentang bangunan
ini adalah motif dan unsur-unsur Islam dalam senibina dan rekabentuknya.
Qaseh duduk di kerusi yang disediakan oleh pihak
pengurusan KLCC sambil menyaksikan kehadiran manusia di hadapannya. Ada yang
bersendirian, ada yang sudah berkeluarga. Berkejar-kejaran di hadapan pancutan
air yang mengagumkan setiap mata yang memandang.
Ya ALLAH. Hatinya terusik lagi. Melihat
kebahagiaan yang tersaji di hadapan mata sedangkan dia bergelut dalam kerinduan
yang panjang. Saat perginya insan tersayang. Meninggalkannya tanpa sebarang
kata. Tanpa ucapan selamat tinggal. Tanpa ucapan azimat menjadi peneman. Hanya air
mata dihadiahkan.
Apa yang sangat dia kesali, kenapa segala sejarah
hitamnya masih menjadi bualan teman-teman sepejabat. Sedangkan selama ini,
seboleh-bolehnya dikunci rapat bibirnya dari bercerita hal-hal peribadi. Namun,
dia sedar... mulut tempayan bolehlah ditutup. Inikan pula mulut manusia.
Dia kembali merenung nasib diri. Ditinggalkan tika
perasaan sayang mulai mekar dalam taman hati. Perasaan rindu yang datang menggoda
kala jendela dunia tergelohok. Tidak terdaya dia menepisnya. Dia menyandar di
bangku dengan mata terpejam. Hanyut di dalam dunianya. Berputar ligat. Bagai
gasing menari-nari di atas tanah. Tiba-tiba
telinganya menangkap satu suara yang menegurnya.
`Qaseh…’
Kelopak matanya terbuka luas sambil tercari-cari suara
yang memanggil. Namun kelibat tubuh manusia tidak pula kelihatan. Apakah suara
itu datang dari hatinya. Hati sebelah kanan yang sering menjadi penemannya. Dia
tertanya-tanya.
`Qaseh,’ sekali lagi suara itu memanggilnya.
`Ya,’ Tanpa lengah dia menjawab.
Meliar matanya mengitari sekeliling, bimbang
dikata orang `sewel apa budak ni… cakap sorang-sorang.’
`Kenapa kau ke sini? Kau cuba mengekori aku atau…’
belum sempat Qaseh meneruskan katanya, ‘dia’ terus menjawab.
`Atau apa? Jangan kau fikir hanya kau saja yang
boleh ke sini? Aku atau sesiapa saja berhak ke mari. Hiburkan hati.’
`Ohhh, maafkan aku. Selalu berprasangka tidak baik
terhadap ‘kau’.’
`Tak apa. Kau seperti rindukan seseorang. Siapa?
Wajah kau muram. Sedikit pun tiada cahaya keriangan. Sedangkan di hadapan kau,
terbentang berbagai corak kegembiraan. Cuba kau lihat di sana, di situ… bawah
pohon yang besar tu.’
Qaseh menoleh, kelihatan seorang anak kecil
berlari-lari sambil dikejar seorang lelaki, mungkin ayahnya. Dibelakang pula
kelihatan seorang wanita, berpakaian penuh sopan, bertudung tersenyum memandang
cahaya mata di hadapannya.
`Ya, aku nampak. Tapi itu semua lakonan. Dalam
hati... siapa tahu?’
`Emmm, kau ni pandai sangat menilik hati orang.
Aku tahu kau sangat rindukan seseorang. Dari renungan kau, dari tatapan mata
kau. Kau tidak memandang dengan jujur, kau seakan-akan terbuai dengan angan kau.
Kenapa?’
`Aku rindukan seseorang?’ soal Qaseh. Senyumnya
melebar. `Kau buat aku tersipu malu
sendirian.’
Sambil
berjalan ke arah kolam yang sedang mempamirkan air pancutannya. Sekejap tinggi,
sekejap rendah. Berkocakan hingga terpercik mengenai sesiapa saja yang berdiri berhampiran.
Matanya masih lagi memerhati sekeliling. Malu jika dilihat orang yang dia
berkelakuan sebegitu rupa. Mulut terkumat kamit tetapi tiada sesiapa di
sebelahnya atau di hadapannya.
`Baguslah, kalau kau masih boleh tersenyum. Kerana
itu yang aku mahu melihatnya. Senyuman kau...’
‘Kenapa dengan senyuman aku? Kau, kau…’
`Sudahlah, baliklah kau. Hari pun dah lewat petang.’
Geleng. Matanya terus memandang jauh. Dia kembali ke
kerusi yang didudukinya tadi. Kembali duduk menyandar sambil mata memandang di
kejauhan. Merenung bagai mencari sesuatu yang hilang dari hidupnya. Setitik air
matanya tumpah. Segera diseka dengan sapu tangan kecil yang senantiasa di
tangannya dari terus mengalir laju.
`Baliklah. Senja ni. Waktu Maghrib pun dah dekat.
Sembahyanglah, mohon ampun kepada-NYA. Pintalah kepada-NYA, ketenangan,
kebahagiaan. Pintalah tanpa rasa jemu. ALLAH Maha Mendengar.’ ‘Dia’ bersuara
lagi untuk kesekian kalinya
`Ya ALLAH, khilafnya aku, lekanya aku. Terima
kasih kerana menegur. Tapi..., aku pelik, kau selalu ada waktu aku benar-benar
kesunyian.”
`Aku bayangan kau, ke mana pun kau pergi, kita
tetap seiringan. Selagi kau sudi mendengar nasihat aku, selagi itu aku sudi
menemani kau.’ ‘Dia’ berkata tegas.
Qaseh bangun. Kali ini dia nekad, meninggalkan
taman yang serba indah. Keindahan yang kadang kala melekakan. Dia terus
melangkah, jalan besar disusuri menuju ke perhentian teksi berdekatan. Dia
berdiri sambil menanti di persimpangan Persiaran Petronas. Warna jingga mulai
memenuhi dada langit, sedang gundah menanti teksi, akhirnya dia tersenyum
apabila sebuah teksi masuk ke hentian. Dia membuka pintu teksi lalu bertanya
kepada pemandu yang dilihat sebaya ayahnya.
“Taman
Bidara, Selayang. Boleh pak cik?” Dia berbasa-basi walaupun dia tahu
teksi-teksi yang masuk ke perhentian tidak boleh menolak pelanggan. Salah di
sisi undang-undang pengangkutan jalan. Walaupun ada segelintir pemandu teksi
yang dungu dan degil. Sesuka hati melanggar undang-undang. Seperti Malaysia ini
mereka yang punya. Hatinya mendengus.
Tanpa membuang waktu, dia terus masuk ke dalam
perut teksi. Deruan enjin sebentar kemudian membelah kesibukan kotaraya. Qaseh
duduk diam, menyandar. Memejamkan mata seketika. Bukan mudah untuknya melupakan
segala.