Mentari kian
meninggi. Terbias cahaya di balik selaan langsir tingkap di ruang tamu.
Rancangan televisyen yang sedang keudara di hadapan mata ditatap. Namun tidak
satu pun yang menyentap tangkai hatinya untuk terus melekap, melihat dan
mendengar. Akhirnya suis `off’ ditekan. Perlahan nafas dihela. Kedua-dua tangan
meraup wajah. Dia menyandar, mata
dipejam.
“Oiii minah! Itu
ajelah kerja engkau. Berangan, kan?” laung Zita. Wajah Qaseh direnung tajam.
Terbuka luas matanya kala mendengar teguran itu.
Meleret senyuman di bibir nipis kala mata mereka bertautan. Wajah comel itu
ditatap lembut. Jelas terpancar cahaya keriangan di mata temannya. Begitu dia
terpesona dengan kecantikan gadis yang berasal dari Sabah ini. Berbaju kurung
moden warna biru dan berbunga kecil warna putih dipadankan pula dengan tudung
bawal bermanik kecil di tepi.
“Jom
ikut aku, Qaseh. Daripada kau duduk sorang-sorang kat rumah,” ajak Zita dan
kemudian duduk bersebelahan Qaseh.
“Tak maulah,” jawab Qaseh “Kau sajalah pergi.
Aku lebih suka duduk rumah. Sekurang-kurangnya aku boleh buat…” Qaseh berhenti
seketika. Lupa Qaseh, mujur rahsianya tidak terbongkar. Zita merenung teman
baiknya dengan mata yang terbuntang.
“Aik!
Kenapa berhenti. Kau nak buat apa? Eh! Macam ada rahsia. Atau kau memang sedang
berahsia dengan aku,” teka Zita.
“Sorrylah, kali ini aku terpaksa berahsia
dengan kau,” terang Qaseh sambil menepuk-nepuk peha gadis yang begitu comel dipandangannya.
Zita
merenung wajah Qaseh dalam-dalam lantas merapatkan bibirnya ke telinga, “atau,
kaulah Penyair Bidasari yang sering berpuitis, tu?” tebaknya lagi.
Pandangan
mereka beradu. Akhirnya Qaseh tersenyum malu dengan tekaan temannya itu.
“Arghhhh,
pandai ajelah kau ni, Zita,” marah Qaseh dan cepat-cepat dia mengawal dirinya
agar tidak nampak kekalutan di wajahnya.
“Bukan akulah dan aku tak kenal pun siapa dia tu,” jelas Qaseh sekali
lagi. Lantas merenung mata temannya tepat-tepat agar dia mempercayai
kata-katanya.
Zita
tiba-tiba bangun dengan mulutnya terkumat-kamit. Seperti ingin berkata sesuatu tetapi tergendala kerana
telefon bimbitnya tiba-tiba berdering. Mengintai-intai di balik langsir tingkap
sambil menggangguk-angguk. Qaseh perhatikan sahaja gerak-geri gadis itu.
“Cik
kak, aku keluar dululah. Kalau kau perlukan apa-apa, call aku ya,” katanya sambil mengucapkan salam dan meninggalkan
Qaseh yang masih mahu mengajak temannya berbual.
Gopoh-gapah Qaseh bangun menuruti
langkah Zita hingga ke jenang pintu. Menyandar di sisi jenang pintu sambil
melambai-lambaikan tangan kanannya. Dia menggeleng melihat telatah Zita yang
turut membalas lambaiannya. Sebaik dia beredar, Qaseh melirik mengitari sekeliling.
Nemun cuaca panas terik menghalang niat Qaseh untuk berlama berdiri di laman
rumahnya.
‘Argghhh… baik nonton tv. Emmm… tak pun, baik
layan `facebook’ sambil baca cerpen atau novel yang tersiar di laman Portel
Ilham,’ ngomel Qaseh.
Akhirnya,
perlahan-lahan kakinya melangkah kea rah pintu istananya.
Di
bilik, butang kuasa kipas angin segera Qaseh tekan. Terasa lega apabila udara
dingin memenuhi ruang biliknya. Mendekati meja tulis, lalu kerusi ditarik dan
dia duduk sambil menarik lagi meja. Lalu dia mengeluarkan dairi yang tersimpan
kemas di dalam laci itu. Helaian demi helaian Qaseh kembali membaca, dalam masa
yang sama tangan kanannya segera menekan butang kuasa di tepi komputer riba.
Fail Penyair Bidasari segera ditatap. Meletakan semula dairi yang dipegang di
sisi kanan komputer. Satu persatu puisi yang dinukilkan olehnya dibaca.
Termenung seketika. Dalam sedar dia mula menulis sesuatu di dada layar komputer
ribanya :
KERANA
DOA.
Kerana
doa aku merasa lebih BERKEYAKINAN,
Dan
Kerana doa, aku merasa lebih dekat dengan TUHAN.
Insya
ALLAH. ~Penyair Bidasari.
Dia
mula menulis sambil bibirnya tidak henti-henti berselawat. Tenang..
Kembali
membelek dairi. Membaca sambil tersenyum. Tanpa dia sedari, sekeping kertas
tebal yang sudah kekuningan warnanya terselit di sebalik helaian yang
dibeleknya.
“Adif
Haikal!”
Rindu
kembali bertamu. Satu-persatu kenangan lalu datang bertandang dimindanya.
Menari-nari di hadapan mata. Dia yang berjaya mengetuk pintu hati Qaseh buat
pertama kali.
Kembali
mengingati sejarah perhubungan mereka. Adif Haikal jejaka bertubuh tinggi lampai.
Rambutnya lurus dan panjang hingga ke bahu. Nampak kemas bila diikat. Matanya
sepet, wajahnya seakan-akan rupa cina. Senyumannya sentiasa meleret. Kelihatan
lesung pipit di kedua-dua belah pipinya. Dirinya yang lebih selesa dengan hanya
memakai T- Shirt dan berseluar Jeans kelihatan sangat bergaya. Memang sungguh
tampan dan bergaya.
Berusia
lewat tigapuluhan. Dia yang duduk selang dua tiga meja daripada Qaseh, sentiasa
menegurnya dengan berbagai panggilan. Sekiranya Qaseh tidak menjawab
panggilannya, wajah yang tadi tampak girang tiba-tiba bertukar tegang kelat.
Pernah suatu waktu ketika itu mereka sedang menikmati `tea time’. Adif Haikal
datang tiba-tiba dan duduk bersebelahan Qaseh dengan dua cawan air panas di
tangan kanan dan kirinya.
“Qaseh, berhentilah kejap. Office dah bagi masa untuk berehat.
Rehatlah! Ni, abang dah bawakan air untuk Qaseh. Pilih, nak kopi `o’ atau teh
tarik,” arahnya sambil menghulur kedua-dua cawan yang masih lagi berasap.
Qaseh,
senyumannya terukir mekar. Galak matanya mencuri pandang wajah yang tiba-tiba
mengganggu amannya. Tertanya-tanya dalam hati mengapa abang yang disebutnya.
Sedangkan selama ini, dia hanya memanggil jejaka itu dengan nama singkatannya
sahaja. Satu cawan yang masih berasap di genggaman tangan Adif Haikal kini
beralih tangan. Dia membalas renungan.
“Abang?”
Terpinga-pinga Qaseh menyoal.
“Kenapa
tak boleh? Atau nak tukar panggil… sayang. Macam tu?” balas Adif Haikal sambil
mengerdipkan sebelah mata.
Qaseh,
senyuman semakin melebar. Sejuk jiwa mengingati peristiwa lama. Tercuit hati
apabila kenangan itu semakin galak bermain di hadapan mata. Panggilan itu,
baginya satu ungkapan yang teristimewa. Sangat-sangat bererti.
Senyum
mengapung angan. Dia yang begitu ralit tiba-tiba terdengar bunyi `bising’ begitu
dekat dengannya. Dia mengangkat muka, melihat sekitarnya. Jam bulat di atas
peti sejuk dipandang.
`Emmm, patutlah berbunyi. Minta diisi
rupanya,’ bisik hati kecil Qaseh. “Dah tengahari,” rungut Qaseh sambil
memicit-micit perutnya.
Bingkas
bangun meninggalkan meja tulisnya. Lantas segera menuju ke dapur. Di atas meja
makan, sebungkus roti yang dibeli semalam dipandang dengan lahapnya. Segera
membuka peti sejuk dan mengambil botol mentega kacang berserta sekotak air
berperisa oren. Kembali duduk di meja makan. Menghadap beberapa keping roti,
sambil melayan perasaan.
Saat
itu, bunga-bunga kasih mulai mekar dalam taman hati. Cinta pandang pertama,
amat indah terasa. Kemesraan antara mereka tidak dapat disangkalkan lagi. Mereka
bagaikan pasangan sejoli. Kemana sahaja berdua. Hingga menjadi usikan
teman-teman sepejabat.
Namun,
dia hanya mampu merancang, selebihnya ALLAH yang menentukan. Tidak semua cinta
berakhir dengan sebuah ikatan pertunangan dan seterusnya ke mahligai impian.
Kebahagiaan yang dirancang sebaliknya kekecewaan yang datang mengundang. Berita
dari kampung diterima dengan hati yang hancur.
Kolam
matanya pecah lagi.