BAB 48: Pangkal Jalan
Semalam…
Nadirah memandu di kawasan alma mater suaminya. Dia mencari-cari kawasan fakulti pengajian bidang agama. Dia juga melalui kawasan berhampiran asrama. Dia juga bertanyakan beberapa pelajar yang ada di situ. Niatnya ingin mencari Lina dan berbicara. Dia juga agak berhati-hati agar tidak terserempak dengan suaminya dan rakan-rakan.
Nadirah termenung sebentar di dalam kereta. Sudah hampir dua jam dia di alma mater itu. Baru sahaja hendak terlelap, dia terlihat satu wajah yang agak dikenalinya lalu di hadapan kereta.
Nadirah berkerut dan melihat betul-betul, ‘Perempuan ni… Lina!’.
Nadirah pantas keluar dari kereta dan pergi ke arah segerombolan gadis.
“Emm kejap-kejap… awak Lina kan?”, tanya Nadirah kepada Lina.
Lina terkejut. Dia sememangnya kenal dengan wajah yang menyapanya ini. Jantung Lina mula berdegup kencang. Dia berasa agak takut.
‘Eh… ni Nadirah isteri Danny. Pasai apa dia cari kami?’, getus hati Lina.
“Kakak kau ke Lina?”, tanya rakannya yang lain kepada Lina.
Lina menggeleng tanda bukan.
“Saya kakak-kakak yang dia kenal”, senyum Nadirah kepada rakan-rakan Lina yang lain.
Rakan yang sebilik dengan Lina memerhati sahaja situasi yang terjadi. Dia melihat muka Lina seakan cemas. Pasti ada sesuatu yang berlaku antara Lina dan kakak ini. Fikirnya.
Lagipula, perangai Lina sudah lain sejak akhir-akhir ini. Lina seakan merahsiakan sesuatu daripadanya. Padahal mereka itu berkawan baik. Keluh rakan sebilik Lina.
Lina berkerut dan wajahnya agak cemas.
“Mari keluar makan dengan akak… Akak ada nak cakap benda penting. Takpe akak belanja makan”, ajak Nadirah dengan senyuman.
“Weyhhhh! Seronoknya dapat belanja makan! Pergilah Lina… jimat duit kau!”, teruja rakan Lina yang lain.
“Tak apalah kak. Saya tak mau… susah-susah saja”, Lina agak takut.
Nadirah berbisik kepada Lina, “tak apa… akak tak marah. Akak cuma nak cakap tentang suami akak saja”.
Lina terdiam dan melihat keadaan sekeliling. Harapnya agar tiada rakannya yang mendengar apa yang dibisikkan Nadirah.
“Hah ya ya… Saya ikut akak”.
“Okaylah gitu… bye Lina”, lambai rakan-rakannya.
Lina turut melambai ke arah rakannya dan masuk ke dalam kereta Nadirah.
“Dahlah jom…”, ajak rakan mereka kepada rakan sebilik Lina.
“Hah ya ya jom”, rakan sebilik Lina menyahut tetapi matanya masih lagi tidak lepas memandang kereta Nadirah yang beransur pergi.
Di dalam kereta, masing-masing senyap. Lina turut melihat-lihat Nadirah yang sedang memandu.
‘Memang lawa kakak ni… Patutlah Danny jatuh hati’, fikir Lina.
Nadirah turut mencuri-curi pandang gadis bertudung labuh di sebelahnya, ‘Lina ni memang nampak macam perempuan solehah. Lawa pula tu… Memang percaya jelah Danny boleh suka’. Nadirah mengeluh. Wajahnya sedih saja sepanjang memandu. Oleh kerana itu, dia ingin berbicara dengan Lina agar hatinya menjadi tenang.
Lina turut mendengar keluhan Nadirah. Lina tertanya-tanya apalah agaknya yang difikir Nadirah.
Setelah tiba di restoran, Nadirah memesan minuman. Nadirah memandang Lina, “pesan saja apa-apa… akak belanja”.
Lina memesan ais kosong setelah dipelawa Nadirah begitu.
“Jadi pasai apa akak nak jumpa kami? Nak khaba’ pasal Danny?”, berkerut tanya Lina.
Nadirah mengangguk.
“Kenapa dengan kami dan suami akak?”, tanya Lina.
“Danny… dia suka awak Lina…”, perlahan kata Nadirah dengan wajah tidak puas hati.
Lina berkerut, ‘biar betul?!’. Lina mula bingung dengan keadaannya. Dia tidak tahulah hendak gembira atau sebaliknya. Hal ini kerana Daniel itu suami orang. Lina tahu dia suka kepada Daniel tetapi dia tidaklah sampai tahap hendak memiliki Daniel. Dia hanya tidak suka tindakan Nadirah yang queen control itu dan dia kasihan kepada Daniel sahaja.
Jika Daniel suka kepadanyapun, apa yang perlu dibuat? Berkahwin dengan Daniel? Kalau begitu bagaimana dengan keadaan Nadirah? Dia tidak mahu dirinya menyebabkan perpisahan Daniel dan isterinya. Walaupun dia ada perasaan kepada Daniel, tetapi dia lebih rela untuk memendamkan perasaannya saja.
‘Nadirah layak terima semua ni Lina… Ini semua balasan sebab dia layan suami dia lagu tu. Hang menjadi asbab untuk dia sedar kesalahan dia dekat Danny”, bisik hatinya yang lain untuk membuang perasaan Lina yang ragu-ragu.
‘Betul tu Lina… hang kena fight kan perasaan hang. Perasaan Danny… Perempuan ni dia dah buat macam-macam dekat Danny. Hang kasi dia pengajaran sikit’.
Kata-kata Rais terngiang di ingatan.
‘“Danny kahwin di usia muda… tepat-tepat habis sekolah terus kahwin. Isteri dia pula lebih tua lima tahun daripada dia. Awal-awal macam okay… tapi itulah, bila isteri lebih matang ni kan. Isteri dia jadi macam queen control. Itulah yang Danny sekarang macam rasa terganggu. Kadang-kadang stress, sebab asyik fikir masalah rumah tangga dia. Dia memang tak cerita… tapi kadang-kadang tu nampak sangat muka dia stress sampai kitorang yang kena tanya dia”.’
Lina merenung mata Nadirah.
“Memang kami pun suka Danny! Walau macam manapun suami akak tu… kami tahu dia laki baik-baik. Akak memang tak pandai jaga laki. Akak tak hargai Danny! Akak tak layan Danny sebaiknya… La ni kami dah suka sama suka… Akak nak buat apa?! Akak nak dera lagi perasaan Danny?”, luah Lina dengan rasa geram. Biarlah dia balik ke universiti berjalan kaki ataupun naik Grab, yang penting dia berasa puas dapat berkata-kata sedemikian. Dia ingin menyedarkan Nadirah yang Nadirah perlu ubah layanan queen control terhadap suaminya.
Nadirah terdiam. Satu perasaan amarah menyelubungi dirinya. Siapa saja tidak marah mendengar pengakuan orang ketiga yang mengakui perasaannya kepada suaminya.
“Perempuan tak guna!!!!!!!!!! Kau rampas laki aku!!!!!! Kau goda laki aku!!! Tudung je labuh! Tapi perangai macam perempuan tak ada agama!!”, Nadirah melempang Lina dan menarik tudung Lina.
Lina juga meronta-ronta dan turut menarik tudung Nadirah. Lina mengambil air minumannya di atas meja lalu membaling ke arah Nadirah.
“Kau!!! Dasar perempuan!!!!”, jeritan batin Nadirah.
Nadirah tersedar dari lamunannya saat merasa air matanya jatuh ke pipi. Tersedar dengan keadaan itu, Nadirah mengelap air matanya. Lina turut menyaksikan wajah Nadirah terkesima dan mata Nadirah berair lalu mengalirkan air mata.
Nadirah terbayang untuk melepaskan kemarahan kepada Lina seperti yang difikirnya tadi. Tetapi hakikatnya dia tidak mampu. Dia terasa lemah. Dia hanya mampu terdiam mendengar pengakuan Lina. Dia berasa sangat kecewa. Marah memang marah, tetapi apa yang perlu dilakukannya? Perasaannya sudah hancur berkecai. Wajah Daniel terbayang. Kecewa. Sangat kecewa.
Nadirah memandang bawah dan tersenyum tipis. Matanya masih berair. Hidungnya menarik dan menghembus nafas. Nadirah menguatkan diri dan senyum memandang Lina. Dia memang terasa hendak menangis, tetapi dia cuba menahan diri.
Nadirah mengangguk lalu berkata, “baiklah kalau macam tu Lina. Saya memang sayang suami saya. Sangat sayang… tapi mungkin saya ni seorang isteri yang tak cukup baik lagi untuk Danny agaknya. Tapi baguslah Danny ada awak sekarang. Kalau awak rasa awak boleh jaga suami saya lebih baik daripada saya. Baiklah saya terima. Saya rela lepaskan dia untuk awak. Cuma satu saja saya minta, saya nak minta awak tolong beritahu Danny supaya Danny berpisah dengan saya… sebab saya tak sanggup lagi nak hadap situasi macam ni. Saya rasa terseksa”.
Air mata Nadirah mula mengalir laju dan memandang ke arah lain.
Lina terdiam dengan kata-kata Nadirah. Lina terkesima. Hatinya terjentik merasakan sesuatu.
**
Lina termenung di bilik asramanya. Dia berkerut kerana asyik terkenang peristiwa dirinya dan isteri Daniel. Hatinya berasa tidak tenteram. Setelah Nadirah mengucapkan kata-kata sebegitu. Lina sememangnya terkesima. Kemudian, Nadirah bangun dan meletakkan RM50 di atas meja dan berlangsung pergi meninggalkan Lina keseorangan di situ.
Kemudian seorang pelayan mengambil duit yang ada di atas meja dan memberi baki kepada Lina. Dengan duit baki itulah Lina gunakan buat menaiki teksi untuk pulang ke asrama. Hal ini kerana kebetulan telefonnya sudah kehabisan data, jadi dia tak dapat menggunakan perbankan internet untuk memesan Grab.
Lina mengeluh, ‘Ya Allah… apa yang kami dah buat ni sebenarnya?’.
Apabila mengenang kembali peristiwa tadi, wajah, tutur kata dan tangisan air mata yang ditunjukkan oleh Nadirah sangat berbeza seperti apa yang diceritakan oleh Rais. Sangat berbeza seperti apa yang digambarkannya.
‘Betui ka Kak Nad tu queen control? Macam bukan ja…’, getus hati Lina.
Rasa serba salah Lina menggunung, ‘macam mana kalau kami yang salah faham situasi ni semua’.
‘Macam mana kalau Nadirah tu memang baik…’.
‘Takkan ada perempuan yang sanggup nak korbankan apa yang disayang… tapi Kak Nad tu sanggup asalkan suami dia bahagia’, Lina berkerut memikirkan.
‘Macam mana kalau kami antara punca penyebab keretakan hubungan depa’.
‘Ya Allah pasai apa kami khaba’ lagu tu!’, Lina sangat takut dengan apa yang telah dibicarakannya tadi kepada Nadirah.
‘Ya Allah… kami ni penghancur rumah tangga ka?! Astaghfirullah!’, Lina makin menyedari kekhilafan tindakannya.
‘Astaghfirullah Ya Allah… kami nak buat apa lagu ni?’.
‘Ya Allah… kami tak pernah happy kalau dapat kebahagiaan tang ni’, risau Lina. Dia berasa sangat sedih dengan dirinya.
Lina berpeluk tubuh di katil. Hatinya tidak tenang. Dia asyik memikirkan bagaimana dia hendak menyelesaikan masalah hatinya ini.
Tiba-tiba rakan sebilik menepuk bahu Lina yang sedang berbaring.
“Lina okay tak ni?”, tanya rakan sebilik itu.
Lina bangun dan langsung memeluk lalu berbicara, “kami dah buat dosa ka Jannah?”.
Rakan sebiliknya berkerut kening, “kenapa cakap macam ni Lina?”.
“Kalau kami cerita ni… hang janji jangan khaba’ mai kat sesiapa… dan kami harap juga hang dapat beri nasihat untuk kami”.
Rakan sebiliknya mengangguk.
Kemudian, Lina menceritakan segalanya.
“Astaghfirullahalazim Lina…”, mata rakan sebiliknya itu membulat mendengar cerita Lina.
“Lina… aku memang dah lama sedar yang kau sejak akhir-akhir ni memang lain. Aku dapat rasakan itu… tapi kau tak pernah beritahu aku apa-apa. Jadi aku ingat kau okay. Tapi tak apa Lina, sekarang kau kena bertaubat dengan apa yang kau dah buat… Kau kena beritahu Danny yang isteri dia jumpa kau. Aku akan sentiasa sokong kau. Biarlah kita bersahabat saling ingat-mengingati ke arah yang betul”, pujuk rakannya membelai belakang Lina.
Lina terasa sedih, “lepas ni kami berazam untuk lebih ikhlas datang Usrah, mendalami agama… Walaupun jasad kami solat mengilahkan tuhan, tetapi hati kami masih belum cukup”.
“Sesungguhnya… kita ni dalam golongan orang yang diberi pengetahuan agama Lina, tetapi tidak semestinya kita istiqamah dalam melaksanakan apa yang kita tahu. Kita mungkin serba-serbi cukup tahu tentang agama, tapi bila tuhan uji dengan ujian seperti Lina… Diuji dengan lelaki atau benda lain… belum tentu kita amalkan pengetahuan agama kita dengan cara yang betul. Walau sehebat manapun kita, kita semua manusia biasa. Semua sedang berperang… berperang dengan nafsu yang ada dalam diri. Ada kalanya kita tumbang, tetapi Allah tu Maha Pengampun as long as kita bertaubat dekat Dia”, beritahu Jannah iaitu rakan sebilik Lina itu.
“Okaylah Lina… marilah hari ini kita tenangkan diri sama-sama. Kita muhasabah diri, apa yang salah kita perbetulkan. Mari kita solat Isya’ berjemaah dalam bilik ni dua orang”, ajak Jannah dengan senyuman.
Lina turut tersenyum dengan matanya yang berair, “jom!”.