BAB 24: Jadual Rumah Tangga II
Pada hari cuti, Nadirah sedang sibuk menyapu ruang rumah. Daniel pula sedang bermesyuarat secara online bersama rakan-rakan untuk perihal kerja kursus. Setelah selesai menyapu, Nadirah memasukkan pakaian kotor ke dalam mesin basuh. Setelah itu, beberapa barang dalam kotak pindahan dari rumah lama disusun di rak-rak. Perabot yang berhabuk juga dilap Nadirah.Setelah itu, Nadirah mula memotong sayur-sayuran dan bahan masakan lain untuk mula memasak.
Daniel kembali ke ruang tamu setelah selesai bermesyuarat online.Dia duduk di sofa sambil membuka televisyen. Bekas makanan berisi kerepek-kerepek yang ada di atas meja juga dijamahnya.
Apabila Nadirah mendengarkan bunyi televisyen dibuka, Nadirah melihat ke ruang tamu.
“Sayang dah habis perjumpaan? Kalau tak ada nak buat apa… tolong lapkan kipas siling tu boleh. Dah berhabuk hitam-hitam dah… Lepas tu kasi sapu lantai sikit ya”, pinta Nadirah.
Daniel mengeluh,“haa ya ya”. Dia langsung bangun pergi ke stor belakang rumah untuk mencari tangga lipat. Langsung dilapnya kipas siling seperti yang diarah Nadirah.Sungguh dia berasa sangat malas sebenarnya, tapi dia terpaksa juga membantu. Gaya lap kipas juga seakan nak tak nak saja.
Dia terpaksa mengelap kipas siling kerana melihat Nadirah sedang memasak. Bau bawang yang ditumis dan beberapa bahan yang dimasukkan isterinya juga berbau harum hingga fikirannya juga tertanya-tanya apa yang Nadirah hendak masa di hari cuti ini.Kalau dia tidak mahu mengelap kipas siling ini, mahu dia tidak dapat makan tengahari. Tak dapatlah hendak merasa masakan Nadirah yang semakin menggiurkan anak tekaknya.
Setelah selesai menyapu sedikit lantai yang terdapat jatuhan habuk dari kipas siling, Daniel kembali duduk di sofa. Dia kembali menonton televisyen sambil menjamah kerepek.
“Ohh terima kasih sayang… emm boleh tak tolong sidai baju yang ada dalam mesin basuh tu. Saya nak masak ni karang hangus pula”, pinta Nadirah lagi.
‘Aduhh… lagi? Baru je nak duduk duduk kejap’, getus hati Daniel.
‘Tak apa Daniel…sabar-sabar. Sidai baju je pun’, hatinya memujuk.
“Mmmm”, sahut Daniel acuh tak acuh. Daniel bangun dan pergi ke bilik dobi yang ada di belakang dapur lalu keluar ke laman untuk menyidai pakaian. Di luar sudah terik walaupun tidak sampai pukul 12 tengahari lagi. Daniel merungut, “Ohh panas ni kat luar…”. Berkerut saja mata Daniel menyidai pakaian diluar dengan silauan-silauan cahaya mataharinya.
“Kenapalah baru nak sidai tengahari tengahari macam ni?”, keluh Daniel. Badannya mula berpeluh.
‘Kejap!’, satu fikiran nakal Daniel menjengah di fikiran. Daniel tersengih gatal.
Daniel mencari sesuatu di dalam bakul yang berisi pakaian lembap itu. Fikirannya hendak mencari pakaian dalam Nadirah kalau-kalau ada ke, rasa berbaloi sedikit tugas menyidai pakaian ini.
“Hampeh! Tak ada!”, Daniel merengus. Dia kembali menyidai pakaian yang ada sehingga habis. Setelah selesai dia kembali masuk ke dalam rumah dan langsung menghempaskan diri ke sofa ruang tamu tadi. Bajunya dikibas-kibas bagi membuang rasa peluh.Dia juga sedikit tercungap-cungap.
Air masak yang ada di atas meja diminum.
“Danny…”, panggil Nadirah dari dapur.
Daniel tersentak dari hendak meminum air, ‘aduhh… janganlah disuruhnya apa-apa lagi’.
“Boleh tak tolong saya…”, Nadirah tidak habis lagi berbicara tetapi sudah dipotong Daniel.
“Nad!... Saya letihlah sekarang baru habis sidai baju. Peluh ni tak hilang lagi. Bagilah saya rehat kejap. Tak boleh ke?”, Daniel bernada tegas.
Nadirah terdiam sebentar. Lalu Nadirah mencebik seraya berkata, “hishh… saya baru je nak minta tolong rasa lauk asam pedas ayam ni”.
‘Hah?’, Daniel tersalah tanggapan.
“Kalau tak nak tolong rasa tak apalah…”, kata Nadirah dengan wajah muncungnya lalu kembali memasak.
Daniel tersengih sambil menggaru-garu kepalanya yang tak gatal seraya berkata, “ehhh? Nak sayang, nak sayang… Meh sini saya tolong rasa”. Daniel pergi ke arah isterinya yang sedang memasak. Kening Daniel juga tak habis berkerut dengan sengihan dimulutnya, menghampiri isterinya.
**
Seperti biasa lagi, Daniel mencuci pinggan setelah selesai makan. Lalu, mengambil kain di jemuran. Dia juga melihat-lihat tandas jika perlu dibasuh. Tenaga efisiennya semakin berkurangan. Pinggan mangkuk yang dicuci tidak berapa bersih. Tandas yang sepatutnya dibasuh, Daniel hanya menyembur febreeze sahaja. Baju-baju yang dikutip dari ampaian juga diambilnya dengan rasa malas-malas.
Maklumlah, Daniel sememangnya tidak terbiasa dengan kerja rumah sedemikian rupa. Dia fikirkan kerja-kerja rumah ini senang sahaja, tetapi kerja leceh-leceh sebegini jika tidak dibiasakan dari awal sememangnya rasa menyusahkan. Kerja rumah selalunya Mak Esah yang lakukan semuanya. Bila sudah berumah tangga lama sedikit, baru dia merasa buat kerja rumah. Daniel mengeluh. Dia sememangnya tiada hati dengan kerja-kerja rumah yang leceh sebegini. Dia hanya terpaksa melakukannya kerana isteri kesayangannya yang meminta tolong. Jika tiada hati dengan sesuatu pekerjaan, lakukan sebanyak mana sekalipun tak dapat mengubah tabiatnya.
‘Alah… apa kau nak kisah sangat. Kalau rasa tak nak tolong berhenti jelah buat. Tolong jekan?Kalau tak nak tolong pun tak apa’, bisik sebahagian diri Daniel.
‘Haah… lagipun kerja-kerja macam ni asalnya memang orang perempuan yang kena buat. Orang lelaki cuma tolong-tolong je… Kalau lelaki tu tak nak tolong pun, tak ada masalah sebab memang ini asalnya kerja orang perempuan kan’.
‘Betul tu perempuan zaman moden ni saja yang dah advance nak ubah peranan dalam rumah tangga!’.
‘Bukan ke pahala diorang lagi berlambak kalau diorang buat je semua kerja rumah sendiri? Itupun tak nak ke?’.
‘Alah Danny… kau rehat jela sehari dua. Tak payah buat apa-apa. Tak adanya Nad nak marah kau’,bisik sebahagian dirinya.
Daniel mengeluh lagi. Dia berbaring di sofa dengan buku nota kelas menutup wajahnya. Kipas siling yang memberikan udara sejuk di malam hari sememangnya menyedapkan pembaringannya. Setelah beberapa minit, Daniel tertidur kepenatan.
Nadirah yang baru balik kerja duduk sebentar di sofa. Dia melihat Daniel yang sudah tidur mati dengan dengkuran kepenatan. Nadirah ketawa kecil. Suasana rumah senyap. Hanya kipas siling sahaja berbunyi.
‘Danny penat ni…’,bisik hati Nadirah lalu mendekati suaminya. Dia mengusap-usap rambut Daniel.
“Mmm”, Daniel berbunyi.
Nadirah tersenyum.Wajah suaminya diamati.
‘Kacak juga Daniel ni kalau tengok lama-lama’, getus hati Nadirah dengan senyuman.
Semakin lama dia perhati wajah suaminya, senyumannya semakin lebar. Ada satu perasaan yang makin berkembang di dalam lubuk hatinya. Nadirah tersenyum lagi memandang ke bawah.Dia teringat perbualannya dengan Liza di pejabat.
**
“Nad… aku tengok kau sejak-sejak ni smooth je. Ada berita baik ke?”, tanya Liza.
Nadirah berhenti menaip lalu memandang Liza dengan sedikit tersenyum, “maksud kau? Berita baik macam mana tu?”.
Liza terbatuk lalu berdeham, “yelah berita baik… macam”.
“Macam?”, tanya Nadirah dengan kerutan.
“Macam mengandung ke?”, perlahan kata Liza,
“Hishh… taklah!”,Nadirah terkejut lalu tersenyum ketawa.
“Lah kenapa? Lama lagi ke? Hmm aku nak main dengan anak kau”, kata Liza disertai dengan gelak tawa.
“Jauh lagi perjalanan…”, kata Nadirah sambil menyambung pekerjaannya.
“Jauh sampai manalah tu agaknya?”, Liza mencebik.
Nadirah ketawa kecil lalu berhenti menaip.
“Sebenarnya kan Liza… aku bukan tak nak ada anak langsung. Aku ada perancangan keluarga tersendiri. Aku rancang yang aku dah boleh pregnant kalau Danny dah habis pengajian atau dah ada kerja yang menjamin… macam ada KWSP, SOCSO tu semua”, cerita Nadirah.
“Ooh… suami kau tahu tak pasal perancangan keluarga kau ni?”, tanya Liza.
“Hmm… aku tak adalah beritahu dia pun”, Nadirah mengangkat kening sambil matanya melirik kebawah.
“Macam mana tu?Suami kau tak tahu?”, tanya Liza.
“Aku tak adalah nak beritahu dia pun sebab dia tak ada nak tanya soal anak dengan serius. Kalau dia tanya aku beritahulah perancangan aku ni”, kata Nadirah.
Liza tersengih-sengih kerang busuk mendengar cerita Nadirah. Apabila Nadirah melihat rakannya yang asyik tersengih-sengih, Nadirah pelik.
“Apa kau ni pandang aku macam tu?”, Nadirah ketawa kecil.
“Tak adalah… aku suka tengok muka kau berseri-seri je”, senyum Liza.
“Ya ya je kau”,sengih Nadirah.
“Hah! By the way kan… aku ingat lagi masa kau dulu-dulu”, sambung Liza ingin bersembang panjang.
“Masa dulu-dulu?”,Nadirah mengerutkan keningnya.
“Yalah aku ingat lagi masa dulu kau pernah cakap yang kau tak nak ada anak dengan Daniel kan…tapi sekarang kau macam dah boleh consider,siap ada perancangan keluarga lagi. Apa faktor perubahan hati ni?”, Liza menjengket-jengket keningnya disertai dengan sengih kerang.
Nadirah tersenyum malu.
“Tak adalah…faktor pertamanya sebab mak mertua aku dah tanya-tanya pasal cucu. Lepastu yang keduanya…”, Nadirah belum sempat menghabiskan kata-katanya.
“Sebab kau dah sayang suami kau betul tak?!”, sambung Liza dengan teruja.
Nadirah terdiam.Senyumannya semakin melebar, tapi dia cuba menahan senyumannya.
“Hish kau ni…”,malu Nadirah.
“Apa? Salah ke aku cakap?”, tanya Liza.
“Ya… aku mengaku aku dah sayang Danny. Gila tak sayang?! Dah nak 4 tahun kahwin… dah duduk sebumbung, makan sama-sama, tengok tv sama-sama, tidur pun sama-sama. Memang tipulah kalau tak sayang… perasaan marah ke, gaduh-gaduh sikit ke, tapi sayang jugalah. Kalau tak sayang tak kanlah aku pakai cincin ni sampai sekarang”,Nadirah berterus terang. Malas hendak berego untuk menafikan pertanyaan Liza.
“Uuuu fufufu”,Liza menutup mulutnya.
“Apa?”, Nadirah ketawa kecil.
“Nad… you are so sweet..”,sengih kerang Liza semakin melebar.
“Dahlah tu!...”,ketawa Nadirah melihat reaksi Liza.
**
Nadirah tersedar daripada lamunannya. Dia langsung bergegas ke bilik air untuk membersihkan diri. Setelah selesai, Nadirah turun lagi ke ruang tamu dan melihat Daniel masih tidur. Nadirah ke dapur untuk makan. Saat hendak mengambil pinggan di almari pengering, Nadirah perasan kebanyakan periuk tidak dibasuh atau disental dengan baik. Masih ada lagi minyak-minyak dan sisa makanan degil yang melekat di periuk. Ada juga cawan dan pinggan yang sedikit berbuih sabun, mungkin tidak dibilas dengan baik.
Nadirah mengerutkan kening sambil menoleh ke arah suaminya yang sedang asyik berbaring di sofa. Kepalanya digeleng-geleng. Mahu saja dia menegur tetapi dia cuba pendamkan niatnya.
‘Nasib baik aku sayang…’, getus hati Nadirah.