Home Novel Komedi/Romantik Komedi Encik Tunang 17 Tahun (COMPLETE)
Bab 30

BAB 30: Isteri Idaman?


Daniel dapat melihat kereta Nadirah sudah ada di rumah.


‘Eh Nad balik awal hari ini?’.

Daniel langsung mengetuk pintu rumah dan memberi salam beberapa kali. Terasa lama menanti, Daniel membuka kunci pintu dan masuk ke dalam rumah setelah salamnya tidak disahut. Saat melangkah masuk ke dalam rumah, Daniel dapat melihat rumahnya dua kali ganda lebih kemas dan bersih dari sebelum-sebelumnya.


‘Nad mana? Kipas siling ada je berpusing...’, getus hati Daniel. Dia meletakkan begnya di atas sofa ruang tamu lalu mencari-cari isterinya.


Nadirah yang baru keluar dari tandas dan ke ruang tamu agak terkejut melihat keberadaan Daniel.Tak ada angin, tak ada ribut… tiba-tiba sahaja suaminya berada di ruang tamu rumah. Bunyi ketukan pintu dan salam pun tidak didengarnya. Mungkin dia berada di dalam tandas dan tidak mendengari jika ada ketukan di pintu, fikir Nadirah.


Suaminya juga tidak ada memberitahunya untuk pulang awal waktu asar hari ini. Maklumlah sudah beberapa hari berturut-turut asyik pulang lewat malam dan bermalam di rumah rakan.


“Nad…”, spontan kata Daniel apabila melihat Nadirah.


“Aah ya”, Nadirah tersedar daripada lamunannya dan langsung pergi ke arah suami untuk bersalam.


Daniel terkejut apabila Nadirah masih lagi bersalam tangan dengannya seperti beberapa hari lepas. Walaupun terpinga-pinga dengan gaya sambutan Nadirah yang agak berbezadan janggal bagi Daniel, dia hanya mengikut sahaja. Setelah selesai bersalam, situasi kembali membisu. Masing-masing memandang antara satu sama lain tetapi tidak tahu hendak berkata apa. Suasana terasa janggal dan sangat formal.


Daniel hanya menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal, “aaa… mmm…”.


“Oh sekejap ya…”,Nadirah teringat sesuatu.


“Hah okay”, Daniel hanya mengangguk. Dia kembali duduk di sofa ruang tamu. Daniel kembali bermain-main jari, tidak tahu hendak berkomunikasi apa dengan isterinya.


‘Janggal gila…’,getus hati Daniel.


Nadirah ke dapur kembali untuk sambung memasak. Tadi dia mematikan api sebentar kerana hendak ke tandas. Sambil memasak, Nadirah turut membuat air teh o panas untuk suaminya. Tidak sampai lima minit, Nadirah menghidangkan teh panas kepada suaminya diatas meja berhadapan tv.


“Terima kasih…”,Daniel cuba bersenyum.


“Ahh ya ya. Sama-sama”, balas Nadirah dan pantas kembali ke ruang tamu untuk menyambungmemasak.


Daniel asyik melihat-lihat isterinya yang sedang memasak di dapur. Senyuman terukir, ‘Nad macam dah okay’. Setelah menikmati air teh o panasnya, Daniel naik ke bilik untuk solat Asar dan membersihkan diri.


Setelah selesai,Daniel kembali turun dan mendapati meja makan sudah siap dihidang dengan lauk pauk. Nadirah juga kelihatannya sedang mengemas-ngemas dapur selepas selesai memasak. Apabila Nadirah terpandang suaminya, spontan Nadirah langsung membasuh tangan dan mengelap tangannya dengan kain.


“Danny nak makan?”, kata Nadirah.


“Oh haa ya ya”,Daniel pantas mengangguk.


Nadirah langsung mengambil dua pinggan dan satu mangkuk air basuh tangan lalu dibawa ke mejamakan. Daniel juga langsung duduk di meja makan. Nadirah menuangkan nasi dipinggan lalu dihulurkan kepada suaminya.


Daniel menyambut dengan senyuman lalu berkata, “terima kasih sayang… rasa dah lama tak makan sama-sama macam ni”.


Nadirah hanya mengangguk dan senyum acuh tak acuh, ‘dah awak pun tak balik rumah beberapa hari…’.


Suasana di meja makan juga senyap, masing-masing hanya menikmati makanan masing-masing. Daniel pula asyik mencuri-curi pandang isterinya yang sedang makan. Apabila Nadirah menyedari hal itu, Nadirah membalas pandangan suaminya. Daniel pantas melarikan pandangan ke arah lain. Nadirah pula bingung, ingatkan Daniel memandangnya kerana ingin berkata sesuatu. Tetapi apabila dipandang, dia pula melarikan pandangan ke arah lain.


“Emm…”, Daniel ingin mengatakan sesuatu dan hanya memandang tepi.


Nadirah masih senyap, menanti sambungan percakapan Daniel.


“Kalau hari-hari macam ni kan bagus”, kata Daniel lalu memandang anak mata isterinya.


Nadirah terdiamdan hanya melarikan pandangan. Nadirah hanya tersenyum kecil dan mengangguk,“hmmm”.


Jauh di sudut hati Nadirah, permintaan suaminya agak mengganggu fikirannya. Dia tidak tahu maksud sebenar-benar Daniel berkata demikian. Mungkin apa yang difikirkannya juga berbeza dengan fikiran suaminya.


Bagi Nadirah,permintaan Daniel seolah-olah suka dengan apa yang dilakukannya sekarang.Contohnya, suka disalam, suka dihidangkan air teh sehingga ke atas meja, suka dituangkan nasi, suka Nadirah melakukan segala-galanya seperti suri rumah sepenuh masa. Apa yang dilakukannya sekarang wajar saja, fikir Nadirah. Tetapi bagaimana jika Daniel juga mengharapkan lebih? Daniel mengharapkan dirinya berterusan melakukan sebegini. Daniel berkata demikian kerana ingin dilayan lebih. Jika Daniel tidak berada di hadapannya ingin saja dia mengeluh. Maklumlah, dia cuba mengikhlaskan diri tetapi terdapat bisikan juga agar membuatnya berasa sangsi dengan tanggungjawabnya sebagai isteri.


Nadirah tidak boleh melakukan semua kehendak suaminya, menjadi isteri seperti isteri orang lain. Nadirah bekerja dan kadangkala penat bekerja. Ada masa yang dia juga tidak mempunyai kudrat untuk melakukan semuanya. Andai saja dapat suami yang memahami dan mengurus rumah bersama-sama.


Daniel melihat saja reaksi Nadirah yang senyum kecil memandang tepi. Daniel sedikit berkerut.Dia tidak tahu apa yang difikirkan isterinya. Adakah isterinya malu-malu? Atau isterinya tidak suka? Daniel juga tidak faham tetapi dia hanya berfikiran positif. Lagipula, dia juga merindui isterinya. Jadi kerana itu, dia mahu fikir yang baik-baik saja.


Pada malamnya pula, Nadirah sudah baring di katil terlebih dahulu dan baring membelakangi pembaringan suaminya. Suaminya sedang menonton televisyen di bawah sambil menikmati kerepek di dalam balang. Apabila terkenang saja hal itu, hati Nadirah rasa tidak selesa. Dia agak tak suka melihat gaya suaminya menonton televisyen barusan tadi. Gaya Daniel yang membuka bungkusan-bungkusan kerepek dan dibiarkan bersepah di atas meja. Ada juga kaki Daniel diletakkan di atas meja. Daniel juga mengunyah kerepek sambil baring di sofa, gaya kunyahannya berbunyi sehingga terdapat serpihan-serpihan kerepek yang terjatuh ke sofa tanpa Daniel sedari.


Nadirah tidak tahu samada dia yang terlalu sensitif atau sememangnya Daniel yang salah. Nadirah bukan apa… dia rasa tidak memercayai suaminya dalam bab bab mengemas. Pasti esok dia juga yang harus mengutip sampah-sampah kerepek Daniel dan mengibas-ngibas sofa bagi membuang habuk-habuk kerepek.


Maklumlah, Daniel tidak pernah memudahkan kerja Nadirah. Selalunya Daniel harus dipaksa atau disuruh saja untuk membantu. Nadirah melihat Daniel tidak ada tekad untuk meringankan kerjanya tanpa disuruh. Jadi apabila Nadirah melihat Daniel menonton televisyen dengan gaya begitu juga, Nadirah terasa tidak suka. Rasa menyampah! Rasa macam Daniel berlagak seperi raja di rumah.


Semakin Nadirah memikirkan hal itu, semakin dirinya tidak boleh tidur. Asyik memikirkan, pasti dirinya yang kena mengemaskan segala sepah di ruang tamu esok pagi. Nadirah mengeluh. Keningnya berkerut.

Okay… Nad jangan fikir dah! Tidur Nad! Get a good sleep!’, bisik kata hatinya.Setelah menggoyang-goyangkan kakinya, Nadirah mula rasa terbuai dan ingin tidur.


Baru sahaja matanya hendak lelap, ada satu tubuh yang berbaring di sebelahnya. Katil terasa sedikit terhinjut. Nadirah sudah malas untuk berfikir dan hanya menyambung tidur. Kemudian ada tangan yang memeluk lengkungan pinggangnya. Ada juga kepala yang didekatkan dengan kepalanya dari belakang lalu mencium kepalanya.


“Kenapa tidur awal daripada suami ni? Tahu tak apa hukumnya?”, bisik Daniel pada telinga Nadirah.


Nadirah mula rasa terganggu. Perlahan-lahan dia membuka matanya seraya berkata, “saya letih hari ini…”.


“Ohh… okay. Kalau macam tu peluk saya balik”,pinta Daniel.


“Awak… saya nak tidur sekarang ni”, suara Nadirah jelas menunjukkan moodnya terganggu. Sudahlah tadi lagaknya macam raja di ruang tamu! Kini nak minta dilayan, suruh dipeluk pula! Beberapa bisikan menjelma di fikiran Nadirah.


Lagipula Nadirah tidak mahu terlalu memberi 100%. Jika Daniel dilayan seperti raja, pasti Daniel akan terbiasa dengan keadaan itu. Jika ada sedikit cacat cela darinya, pasti Daniel akan mengeluh. Mengeluh seperti membanding-bandingkan dirinya dengan orang lain… seperti yang pernah terjadi dulu. Nadirah juga tidak tahu apa yang difikirkannya sekarang betul atau tidak… dia cuma tidak mahu menyakitkan diri sendiri dan bertindak sedemikian.


Okay okay… tak apa kalau macam tu.Walaupun Nad membelakangi saya… Biar saya peluk Nad dari belakang”, kata Daniel lagi kerana tidak mahu mengganggu mood tidur isterinya.


Nadirah hanya diam. Malas hendak melayan. Cuma Nadirah terasa pelukan Daniel semakin erat. Nadirah hanya membiarkan. Terasa hangat juga pelukan suaminya. Kehangatan pelukan Daniel itu membuatkan dirinya tidur dengan lebih selesa.



Previous: Bab 29
Next: Bab 31

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.