Home Novel Komedi/Romantik Komedi Kekasih Olok-Olok
Kekasih Olok-Olok
Eija Khadeeja
25/7/2014 15:49:50
229,368
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 1

1

JULIANA masih leka memerhatikan patung kristal di hadapannya. Senyumannya memekar saat mata dan hati memuji kehalusan dan keunikan patung yang berbentuk pasangan kekasih itu. Patung kristal yang diukir indah itu ‘melahirkan’ si jejaka yang sedang memayungi kekasih hati dengan menggunakan tangannya.

“Cantiknya...” Mulut melahirkan pujian di hati.

“Cantikkan cik,” tutur seorang juru jual perempuan yang menghampiri Juliana. Bibirnya menguntum senyum. Sikap biasa bagi seorang juru jual sepertinya.

“Kalau cik berminat, saya boleh bagi diskaun.” Masih ramah juru jual itu ‘mengumpan’ sasarannya.

“Saya rasa... saya tak mampulah. Mahal sangat,” jujur Juliana.

“Mana ada mahal cik. Kalau cik nak, saya boleh bagi harga istimewa buat cik,” ‘umpan’ juru jual itu lagi.

“Tak apalah. Saya cuma tengok-tengok je.” Juliana sudah berkira-kira untuk melangkah pergi sementelah dia tahu akan kemampuan diri. Tidak mungkin untuknya memiliki patung kristal itu. Jumlah yang perlu dibayar untuk memiliki apa yang diingini itu bukanlah kecil angkanya.

“Nanti dulu cik.” Juru jual perempuan itu menahan langkah insan di sisinya.

Juliana menghentikan langkahnya. Matanya menatapi juru jual yang mempunyai sikap bersungguh-sungguh itu.

“Macam ni cik... kalau cik berminat dengan patung kristal ni, saya boleh bagi cik diskaun,” tutur juru jual itu kemudiannya.

Juliana masih diam. Dia tahu yang juru jual di hadapannya itu masih hendak meneruskan percakapannya.

“Saya boleh bagi cik diskaun sebanyak 30%. Maknanya daripada harga asalnya, RM 4444 kita tolak sebanyak RM 1333.20... cik cuma perlu bayar RM 3110.80 sahaja.” Jumlah akhir disebut bersama senyuman yang kian manis.

“Sahaja?... Bagi saya, harga tu masih mahal lagi. Tak apalah...” Juliana berpaling sekali lagi. Kali ini dia benar-benar ingin melangkah keluar dari kedai yang menjual pelbagai barangan kristal itu.

“Tapi cik, bukan mudah tau untuk cik nak dapatkan patung kristal yang begitu unik dan halus buatannya ni. Cik boleh tengok di mana-mana kedai yang menjual barangan kristal... takkan ada satu pun patung kristalnya yang mempunyai nilai dan kualiti yang sama dengan patung kristal ni.” Juru jual itu masih enggan berputus asa.

Dia menghalang langkah Juliana sekali lagi. Kini dia berdiri betul-betul di hadapan wanita itu. Di tangannya pula tersedia sebuah patung kristal yang menjadi pujian bibirnya sebentar tadi.

“Saya tahu yang patung kristal ni memang begitu halus buatannya. Mesti si pengukir mempunyai kemahiran yang tinggi. Tapi saya... saya tak mampu. Harganya masih mahal buat saya.” Juliana menolak lembut tangan juru jual itu. Sebagai tanda yang dia benar-benar tidak mampu untuk memiliki inginan hatinya. Namun entah di mana silapnya, patung kristal yang sedang dipegang oleh juru jual itu terhempas ke lantai dan berderai.

Membulat mata Juliana. Dadanya berdebar laju. Dirinya terasa mahu meraung tika ini. Takut seandainya dirinya dipersalahkan.

“Aiyo... apa sulah jadi?” soal seorang wanita berbangsa Cina. Telo percakapannya jelas menunjukkan ketidakfasihannya bertutur di dalam Bahasa Malaysia.

“Maaf bos. Tapi bukan salah saya, perempuan ni yang tolak tangan saya tadi.” Juru jual perempuan itu cuba mempertahankan dirinya.

“A... apa pula salah saya. Saya tolak tangan awak dengan lembut. Lagipun saya bukannya tolak patung kristal tu. Saya tolak tangan awak.” Giliran Juliana pula tampil untuk mempertahankan kebenarannya.

“Lembut awak cakap? Kalau lembut tak adalah tercampak patung kristal tu. Lagipun awak sendiri dah mengaku yang awak tolak tangan saya tadi, kan? Sekarang apa lagi alasan awak? Awak mesti bayar ganti rugi untuk patung kristal ni!” Tinggi nada suara juru jual itu.

Juliana diamuk kegelisahan dan ketakutan. Juru jual dan empunya kedai kristal itu memandang tajam ke arahnya. Kedua-duanya bagaikan sudah berpakat untuk ‘menjerut’ dirinya.

‘Ya ALLAH... apa yang perlu aku lakukan ni? Ya ALLAH... bantulah aku,’ rintih Juliana di hatinya.

“Apa lagi yang you tunggu! Bayarlah. Sulah hancurkan balang olang, tak mau bayar pula. Kalau you tak mau bayar, saya call polis. Suluh tangkap you!” ugut tauke perempuan itu.

“Tapi... saya betul-betul tak hempaskan patung kristal tu. Patung kristal tu tercampak sendiri. Lagipun masa tu, pekerja you ni yang pegang patung kristal tu. Bukannya saya,” tutur Juliana masih enggan mengaku bersalah.

“Apa awak cakap! Sekarang ni, awak nak salahkan saya pula! Kalau awak tak tolak tangan saya tadi, tak adalah tercampak patung kristal tu!” jerkah juru jual perempuan itu.

Kini, dia dan bosnya menghampiri Juliana. Sejengkal sahaja jarak mereka dengan insan yang sudah teriak ketakutan di wajahnya itu.

Juliana menjarakkan perlahan tubuhnya. Takut untuk berhadapan dengan ‘singa-singa’ betina di hadapannya itu, ‘Ya ALLAH... tolonglah aku. Bantulah aku Ya ALLAH. Aku benar-benar memerlukan pertolonganMU saat ini...’ Doa terus-terusan dipanjatkan pada Yang Maha KUASA.

“I kata lepaskan I!” terdengar seorang lelaki menjerit. Jeritan itu kedengaran di hadapan pintu utama kedai kristal itu.

Juliana tertoleh ke belakang. Jeritan lelaki itu menggamit dirinya. Tanpa disangka-sangka, sepasang mata garang milik lelaki itu bersimpul dengan pandangan sayu miliknya. Buat seketika pandangan mata mereka bersatu.

“Apa yang you pandang-pandang tu!” Garang seorang wanita berskirt pendek memarahi lelaki bertubuh bidang itu.

“I pandang buah hati I. Takkan salah kot.” Lelaki itu mengenyitkan matanya dan melangkah masuk ke kedai kristal itu. Dia menghampiri wanita berkebaya nyonya di hadapannya.

“Apa maksud you?!” terjerit wanita seksi itu saat dirinya melangkah laju menghampiri lelaki idamannya itu.

“Maksud I... Inilah kekasih hati I,” tutur lelaki kacak itu bersama segaris senyuman menggoda. Senyuman itu ditujukan khas buat wanita di sisinya.

Juliana terlopong. Matanya membulat saat lelaki di sisinya itu melahirkan kata-kata itu. Dirinya dijadikan kekasih hati lelaki itu? Tapi kenapa? Bila masa pula dia ada menjalinkan hubungan istimewa dengan lelaki itu? Apatah lagi, dia langsung tidak pernah mengenali siapakah lelaki bertubuh tinggi lampai itu!

“You jangan nak main-mainkan I!” jerit wanita seksi itu lagi.

“I tak pernah main-mainkan you. Dah lama dah sebenarnya I nak perkenalkan buah hati I ni dengan you. Cuma tak ada kesempatan je,” senyuman melebar di bibir lelaki kacak itu.

“Asyraf! Cukup! Jangan nak main-mainkan perasaan I lagi. I tahu yang you langsung tak ada hubungan dengan perempuan ni!” Kian cengil wajah wanita seksi itu tika ini.

‘Ooo... Asyraf nama mamat ni,’ celah hati Juliana.

“I tak pernah nak main-mainkan perasaan you Mel. Memang selama ni I langsung tak pernah ada hati pun dengan you. Cuma you tu je yang tak boleh nak terima hakikat. Sekarang... I harap you tolong hentikan kegilaan you tu! Tolong jangan ganggu hidup I lagi!” Tegas kata-kata Asyraf.

‘Mel! Takkanlah dia ni... emm... takkanlah dia ni model terkenal tu?’ teka hati Juliana. Dia merapatkan dirinya dengan wanita berpakaian seksi di hadapannya itu.

Mel berasa tidak senang dengan sikap ‘pesaingnya’ itu. Asyraf pula cuba menghalang langkah wanita yang langsung tidak diketahui akan namanya itu. Tetapi wanita itu terlebih awal mendapatkan Mel.

“Awak... awak ni Melisa, kan? Model terkenal tu?” soal Juliana.

Berubah riak muka Melisa. Dia menolak perlahan kaca mata hitam yang dipakainya. PAnya di sisi, ditoleh.

“Maaf. Cik salah orang ni.” Baizura yang merupakan PA kepada Melisa terus bersuara.

“Tak! Saya tak salah orang. Awak ni pula, Baizura, kan? PA kepada Cik Melisa?” Juliana terus cuba untuk mendapatkan kepastian.

“Cik... cik betul-betul dah salah orang ni.” Baizura masih meneruskan pembohongannya.

“Sayang... tak payahlah you nak teka-teka lagi. Memang pun perempuan yang selalu kacau I ni namanya Melisa aka Mel, model terkenal tu.” Asyraf mendapatkan kembali wanita berkebaya nyonya dan berseluar panjang itu.

“Mel... I rasa lebih baik kita balik dulu sebelum paparazzi dekat luar sana tu dapat cari you. Lagipun, keadaan makin ‘panas’ sekarang ni.” Baizura menasihati model terkenal itu.

Melisa mendengus. Amarah di hatinya kian membara. Di sebalik kaca mata hitam itu dia ‘memanah’ sepasang mata milik wanita di sisi lelaki idamannya itu dengan sejuta kebencian.

“Baik. I akan beredar dulu. Tapi... itu tidak bermakna yang I akan lepaskan you Asyraf. You tetap akan jadi milik I sama ada you suka atau pun tidak dan kau! Lebih baik kau berhati-hati, sebab aku takkan teragak-agak untuk ‘melenyapkan’ perempuan murahan macam kau ni!” amaran keras, Juliana terima sebelum wanita bongkak itu dan PAnya berlalu pergi dari kedai kristal itu.

‘Kurang ajar! Tak ada sesiapa pun yang berani panggil aku perempuan murahanlah, biol!!!’ Sakit hati Juliana saat penghinaan itu menjamahi telinganya.

Juliana terus menoleh ke sisi. Wajah lelaki yang baru pertama kali ditemuinya itu dipandang tajam. Dia mahu lelaki itu menjelaskan segala-galanya! Dia mahu lelaki itu menerangkan mengapa harus dia yang dijadikan kekasih olok-olok lelaki itu?!

 

 

Previous: PROLOG
Next: BAB 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.