26
MELISA menghempas kuat handphone miliknya ke permaidani.
Jeritannya bergema di seluruh penthousemiliknya
itu.
“Tak guna!!!” Melisa
semakin kurang kewarasan.
“Aku akan musnahkan kau
Juliana! Kau betul-betul dah mencabar aku!” Kebencian terjadap ‘musuhnya’ itu
bertingkat-tingkat menghempas kemarahannya.
Melisa duduk di sofa
kulit di ruangan tamu yang besar itu. Dadanya berombak laju, selaju makian yang
terus-terusan meniti di bibirnya, “Perempuan tak guna! Aku takkan biarkan kau
menang. Aku tetap akan dapat Asyraf! Asyraf adalah milik aku!!!”
Ting tong, ting tong,
ting tong...
“Siapa pula yang datang
rumah aku time-time macam ni?!”
bentak Melisa sebelum dia bangkit dan mendapatkan pintu utama penthousenya.
Terpacul wajah Baizura.
Tiada segaris senyuman pun yang terukir di wajah Melisa tika dia menyambut
kehadiran PA merangkap sahabat baiknya itu.
“Masuklah!” Kasar
tuturan Melisa.
Sedikit pun Baizura
tidak terasa hati dengan sikap bongkak dan sombong sahabatnya itu. Andai tidak
disebabkan yang dia terdesak untuk bertemu dengan Melisa, tidak akan dijejakkan
kakinya ke ‘istana’ yang penuh dengan noda dan dosa itu. Penghinaan Melisa
tempoh hari telah menyedarkan dirinya yang statusnya kini tidak lagi sama
dengan model cengil itu.
“Kau nak apa datang ke
rumah aku malam-malam macam ni?” Masih kasar tuturan Melisa saat dia mengambil
semula tempatnya di atas sofa kulit itu. Kemarahannya terhadap Asyraf dan
Juliana masih belum reda.
“Aku nak ambil cuti,”
tutur Baizura.
“What?!!! Kau, kan tahu
yang sekarang ni aku tengah busy.
Mana boleh kau sesuka hati nak ambil cuti!” Tajam Melisa memandang Baizura.
“Bukan ke yang sekarang
ni kau tengah tak ada job?” Sedikit
sinis kata-kata Baizura.
“Kau jangan nak hina
aku, Baizura! Sedar sikit diri tu, kalau tak disebabkan aku... kau takkan boleh
merasa gaji sebanyak tu!” Kian tajam pandangan Melisa.
“Aku bukannya nak
menghina. Aku cuma nak sedarkan kau je. Memang pun yang sekarang ni kau tengah
tak ada job... so... salah ke apa
yang aku cakap?” Baizura masih berani mendepani Melisa.
Melisa kehilangan kata.
Hanya dadanya sahaja yang berombak kencang. Puting beliung terhadap Asyraf dan
Juliana yang masih belum reda kian bertambah teruk akibat sikap Baizura.
Sahabat yang sepatutnya memahami dirinya, menambahkan pula kemarakan amarahnya.
“Buat apa kau nak ambil
cuti?!” Masih kasar suara Melisa.
“Aku nak balik
kampung.” Laju, Baizura menjawab.
“Buat apa kau nak balik
kampung? Bukannya mak kau yang sakit.” Selamba sahaja kata-kata itu meniti di
bibir Melisa.
“Memanglah bukannya mak
aku yang sakit. Tapi insan yang telah aku anggap sebagai mak aku sendiri masih
menderita akibat kerinduan terhadap anaknya yang semakin lupa diri. Mak kau!
Dia rindukan kau... aku tahu kalau pun aku balik, kerinduan dia terhadap kau
takkan surut. Tapi sekurang-kurangnya aku boleh meyakinkan dia yang kau betul-betul
tengah ‘sibuk’ sampai tak sempat nak jenguk dia langsung.” Setiap patah
perkataan yang dibarisi sebagai bicara dilenggokkan dengan nada sinis yang
benar-benar mencengkam jiwa insan yang kian lupa akan asal usulnya.
Melisa menjeling tajam
ke arah Baizura. Namun jelingannya itu dibalas selamba oleh insan yang masih
utuh berdiri di sisinya itu.
“Kenapa kau jeling aku?
Salah ke apa yang aku cakapkan tu? Kalau aku salah... tolong betulkan.” Baizura
kian berani menentangi keegoan sahabatnya itu.
“Bila kau nak balik?”
Akhirnya Melisa kalah dan mengalihkan pandangannya ke hadapan. Tidak mahu
dipandang seraut wajah yang tidak tahu menghargai kemewahan yang telah
diberikan kepadanya.
“Esok.” Sepatah jawapan
Baizura.
“Kenapa kau tak balik
malam ni je?” perli Melisa bersama senyuman mengejek.
“Kalau kau jawab
panggilan aku tadi... mungkinlah aku balik lepas maghrib. Tapi tak tahulah aku
sama ada kau pekak ke atau pura-pura pekak sampai tak dengar langsung deringan
daripada handphone kau tu.” Perlian
daripada Melisa dibalas dengan sindiran oleh Baizura.
“Kurang ajar!!! Kau...”
Melisa bangkit mendepani Baizura. Berombak dadanya untuk memuntahkan amarahnya.
“Saki hati? Aku ingat
orang yang suka memaki hamun macam kau ni langsung tak kenal erti sakit hati.
Kalau kau boleh sakit hati dengan perangai aku yang sentiasa memperkatakan hal
yang betul... kau rasa apa perasaan mak kau bila dia tahu yang selama ni kau
mengkhianati dia?! Kau tipu dia! Mel... sebagai orang yang pernah rapat dengan
kau... aku harap kau dapat fikirkan semula tindakan kau pada mak kau yang
tengah terlantar sakit dekat kampung tu! Kalau kau masih anggap dia sebagai mak
kau, jenguklah dia biarpun seketika...” Baizura pantas memusingkan tubuhnya dan
menghampiri daun pintu utama penthouse
itu. Cepat sahaja dia mengghaibkan dirinya daripada pandangan anak derhaka itu.
Melisa terduduk.
Terduduk kerana kemarahan dan bukannya keinsafan. Sedikit pun kata-kata Baizura
sebentar tadi langsung tidak meninggalkan kesan di hatinya. Merasakan yang
dirinya kian tidak tenteram, dia berlalu ke dapur dan peti ais yang bersaiz
besar itu dibukanya. Pantas pula tangannya mencapai berbotol-botol minuman
keras. Dia berlalu ke meja makan bersama minuman-minuman keras itu.
Melisa membuka sebotol
minuman keras dan dengan rakus meneguk air kencing syaitan itu, “Ada hati
perempuan bodoh tu nak bagi ceramah dekat aku... kau siapa? Kau tu cuma kuli
batak aku je! Makan pakai kau pun aku yang beri... Hahaha...” tawa Melisa
bersambung dengan tegukan demi tegukan air yang berbau hancing itu.
“Kalau pun perempuan
tua tu sakit... ada aku kesah? Hahaha... perempuan tua tu dah nak mampus! Elok
kau mati je... baru tak menyusahkan aku... hahaha.” Mabuk Baizura semakin
bermaharajalela sehingga biul di kepala menampakkan bayangannya.