18
SETELAH Juliana sedar dari pengsannya, seorang doktor bersama seorang juru rawat masuk ke biliknya. Beberapa minit kemudian kedua-dua pekerja hospital swasta itu melangkah keluar.
Asyraf segera menepa ke arah lelaki berpakaian putih itu, “Macam mana dengan keadaan kawan saya, doktor?”
“Kawan encik sudah sedarkan diri dan keadaannya juga semakin stabil,” terang doktor tersebut.
Kelegaan segera menerpa ke dalam jiwa Asyraf dan syukur terlahir di hatinya, ‘Alhamdulillah. Syukur Ya ALLAH...’
“Jadi... bila kawan saya boleh discharge?” soal Asyraf, tidak sabar-sabar.
“Insya-ALLAH... kalau keadaan dia terus stabil, petang ni juga dia boleh discharge,” tutur doktor lelaki tersebut.
“Terima kasih doktor.” Laju, Asyraf menuturkan ucapan itu.
“Sama-sama,” balas doktor muda itu bersama senyuman sebelum melangkah pergi.
Asyraf pula melangkah masuk ke bilik yang menempatkan Juliana tika ini. Dia berjalan perlahan ke arah katil di hadapannya. Dia mengambil tempat di atas kerusi yang kedudukannya di sisi katil itu. Dia mengukirkan segaris senyuman.
“Dah lama ke saya pengsan?” Juliana membalas senyuman Asyraf sambil menyandarkan tubuhnya di kepala katil.
“Lama jugak. Saya risau sangat...” akui Asyraf.
“Tak payahlah awak risau. Saya memang macam ni,” polos Juliana.
“Maksud awak?” Asyraf kian menepatkan pandangannya ke wajah putih bersih di sisinya itu.
“Sebenarnya... saya ni ada satu fobia.” Perlahan, Juliana bersuara.
“Fobia?” Laju Asyraf menyoal.
“Ha’ah. Saya fobia melihat darah. Sebab...” Juliana sudah menundukkan wajahnya. Terlihat genangan air mata di sepasang mata sayu itu.
Asyraf membisukan mulutnya. Dia memberikan ruang kepada kekasih olok-oloknya itu untuk meluahkan perasaannya.
“Sebab... bila saya nampak darah, saya teringatkan ‘peristiwa’ itu. ‘Peristiwa’ yang telah memisahkan saya dengan mama saya.” Air mata yang ditahan-tahan gugur jua.
Rasa sedih segera menempel di hati lelaki milik Asyraf.
“Boleh... saya tahu tentang peristiwa tu?” Berhati-hati Asyraf menyoal.
Juliana mengangkat wajahnya dan nafas ditarik dalam, “Mama saya... dia terlibat dengan sebuah kemalangan dan kemalangan itulah yang telah memisahkan saya dengan dia. Semuanya salah saya... kalaulah saya sempat untuk mendermakan darah saya untuk mama saya, pasti mama saya masih hidup sampai sekarang,” bergetar suara Juliana saat dia mengimbas kembali peristiwa duka dan air mata itu.
“Juliana... saya tahu yang awak teramat sedih dengan perpisahan itu. Tapi... awak tak boleh menyalahkan diri awak. Ketentuan daripadaNYA tidak dapat kita percepat mahupun perlambatkan biarpun sesaat. Ajal... ianya satu perkara yang sudah pasti buat kita semua. Jangan salahkan diri terhadap apa yang telah terjadi kepada mama awak... Tapi... jarang juga ya orang mengikut jenis darah sebelah ibu kandung dia. Awak ni kiranya insan yang bertuahlah,” seloroh Asyraf diakhir tazkirahnya.
Juliana hanya membalas dengan segaris senyuman hambar terhadap gurauan Asyraf itu. Air mata yang kian berlinangan di pipi pula segera diseka.
“Juliana...” panggil Asyraf lembut.
Juliana menoleh ke sisi. Dia tahu yang kekasih olok-oloknya itu masih hendak melahirkan kata-kata.
“Saya... saya nak minta maaf terhadap apa yang telah berlaku pada awak,” tutur Asyraf.
“Tak perlulah awak nak minta maaf. Bukannya salah awak pun semua ini berlaku,” balas Juliana.
“Tapi... kalau Mel tak fikir yang kita ni pasangan kekasih mesti dia takkan serang awak sampai macam tu sekali. Kepala awak tu... mesti takkan luka.” Asyraf memandang penuh sesal ke arah kepala Juliana yang sedang berbalut itu.
Juliana meraba-raba perlahan kepalanya yang sudah dibaluti dengan kain putih itu, “Dah tak sakit pun kepala saya ni,” tipu Juliana. Dia tidak mahu Asyraf terus dihimpit dengan rasa bersalah.
Lega Asyraf mendengar kata-kata Juliana. Senyumannya juga terukir semula dan kian melebar.
“Bila saya boleh discharge?” soal Juliana kemudiannya.
“Doktor kata kalau keadaan awak terus stabil, petang ni juga awak dah bolehdischarge,” terang Asyraf.
“Baguslah kalau macam tu.” Gembira hati Juliana mendengarkan perkhabaran itu.
“Tapi sebelum tu awak kena ikut saya ke satu tempat dulu.” Asyraf memandang tepat sepasang mata milik Juliana.
“Ke mana?” Juliana membalas pandangan Asyraf.
“Balai polis,” tutur Asyraf.
“Balai polis? Nak buat apa kita pergi sana?” soal Juliana, laju.
“Nak buat apa lagi. Nak buat laporan polislah. Saya nak awak buat laporan tentang kes serangan Mel terhadap awak.” Terlihat kemarahan terukir di wajah Asyraf saat dia menuturkan kata-kata akhirnya.
“Tak. Tak payahlah.” Segera Juliana membantah. Gelisah pula hatinya tika ini.
Berkerut dahi Asyraf mendengarkan kata-kata Juliana. Pelik pun ada dengan sikap kekasih olok-oloknya itu.
“Kenapa pula tak payah?” Akhirnya kehairanannya terluah melalui kata-kata.
“Yalah... tak payahlah kita nak perbesarkan perkara ni. Lagipun... saya tak naklah jadi ‘glamour’ pula lepas ni,” senyuman kepuraan-puraan diukirkan untuk menutupi resah di hati.
Asyraf mempamerkan riak wajah tidak mengerti. Juliana memahami erti tersirat di sebalik bahasa tubuh yang diperlihatkan oleh lelaki di sisinya itu.
“Yalah. Melisa tukan model terkenal. Kalau wartawan dapat tahu tentang kes serangan Melisa terhadap saya... mesti hebohlah satu Malaysia ni. Silap-silap hari bulan sampai ke luar negara. Saya tak nak jadi ‘glamour’ disebabkan gosip-gosip murahan tu.” Juliana beralasan. Sedangkan penyabab utama kenapa dia tidak mahu membuat laporan polis, masih dikedapkan di hati.
Asyraf mengeluh. Dia mengakui kebenaran terhadap kata-kata kekasih olok-oloknya itu. Sejujurnya dia juga tidak mahu menjadi tumpuan umum. Yang lebih ditakutinya adalah papanya itu akan terus-terusan memaksanya menikahi anak kawan baiknya seandainya perihal Melisa sampai ke pendengaran ayah kandungnya itu.
“Betul ni awak tak nak buat laporan polis.” Asyraf mahukan kepastian.
“Betul.” Sepatah jawapan Juliana.
“Tapi... macam mana kalau perempuan gila tu buat hal lagi? Takkan kita nak biarkan je? Lagipun... saya tak nak awak tercedera lagi.” Risau kembali menguasai hati lelaki milik Asyraf.
Tersenyum Juliana mendengar kata-kata itu. Entah mengapa jiwa wanitanya terusik, “Awak janganlah risau. Saya takkan biarkan perkara tersebut berulang lagi. Lepas ni saya akan lebih berhati-hati sewaktu bersendirian di kondominium itu.”
“Baiklah. Kalau macam tu saya akan ikut kemahuan awak.” Akhirnya Asyraf akur dengan kehendak Juliana.
Juliana melebarkan senyumannya, ‘Alhamdulillah. Akhirnya papa takkan tahu ke mana aku menghilang. Aku yakin selagi aku tidak menjadi tumpuan umum, selagi itulah aku akan selamat dari khilaf papaku itu.’