PROLOG
Sekeping kertas diambil dan
kata-kata ditintakan sebagai pengganti bicaranya.
Assalamualaikum,
Apabila papa membaca surat ini,
Juliana sudah jauh melangkah pergi meninggalkan rumah ini. Bukan niat Juliana
untuk melarikan diri. Tetapi... Juliana terpaksa membuat keputusan ini.
Semuanya kerana Juliana tidak dapat menerima khilaf yang telah papa lakukan ke
atas diri Juliana.
Papa... setiap kali Juliana
terpandangkan wajah papa, pasti Juliana terfikir satu perkara... mengapa harus
papa mengkhianati Juliana?
Maafkan Juliana kerana tidak mampu
memujuk diri ini untuk terus berada di sisi papa.
Salam kasih daripada anakmu,
Juliana.
Mengalir air mata Juliana saat dia
menyudahkan luahan hatinya. Dia melipat kemas kertas itu dan diletakkan di atas
meja soleknya.
Perlahan, Juliana melangkah keluar
dari biliknya sebelum mendapatkan pintu utama rumah kayu dua tingkat itu. Cepat
pula dia memboloskan dirinya keluar. Di dalam rintik hujan, dia mengharungi
subuh yang dingin. Sedingin hatinya saat ini.
‘Papa... maafkan Juliana,’ rintih
hati Juliana bersama langkah yang tiada tujuannya.