17
TERDENGAR kuat pintu utama penthouse itu ditolak kasar. Petanda ada insan yang sedang melangkah ke dalam rumah mewah itu. Baizura yang sudah dapat menjangka siapakah gerangannya, pantas bangkit dan menghampiri wanita yang kusut masai itu.
“Baru balik?” soal Baizura saat dia berdiri betul-betul di hadapan Melisa.
Melisa yang masih berasa bengang dengan kejadian yang telah berlaku di kondominium milik Asyraf tadi, langsung tidak mengendahkan PAnya itu.
“Aku tanya ni...”
“Diamlah! Kalau kau tak memekak satu hari tak boleh ke?!!!” Melisa pantas mencantas kata-kata Baizura.
Terkejut Baizura dengan perubahan emosi sahabatnya itu. Rasa kecil di hati segera dinafikan kehadirannya. Baizura tidak mahu terus-terusan tenggelam dengan emosinya sendiri. Ada sesuatu yang lebih penting yang ingin dimaklumkan kepada wanita bongkak itu.
“Kau ada apa hal datang ke penthouse aku pagi-pagi ni? Aku bagi kau kunci pendua rumah aku ni, bukannya lesen untuk kau senang-senang nak melepak dekat sini,” sinis kata-kata Melisa. Langsung tidak dipedulikan perasaan sahabat yang sanggup bersusah senang dengannya itu.
“Aku tahu. Aku sedar siapa diri aku.” Perlahan kata-kata Baizura. Terdengar sayu intonasi suaranya.
“Baguslah kalau kau sedar. So... silakan keluar. Semak mata aku pandang kau!” Cengil segera menguasai figura Melisa.
Terpempan Baizura mendengar kata-kata itu. Tidak disangkanya sekejam dan sebongkak itu wanita yang dikenali sedari kampung lagi.
“Apa hal kau pandang aku macam tu? Apa lagi yang kau tunggu! Berambuslah!!!” jerkah Melisa.
“Aku akan keluar dari sini. Tapi ada sesuatu yang aku perlu maklumkan pada kau.” Masih perlahan suara Baizura. Dia memalingkan wajahnya. Tidak ingin dipandangnya wajah yang penuh dengan kebongkakan itu.
“Apa dia?” Laju, Melisa bertanya.
“Mak kau. Dia...”
“Ah! Sudahlah! Kalau pasal perempuan yang dah nak mati tu yang kau nak bebelkan, aku tak nak dengar! Dah muak dah telinga aku ni dengar pasal perempuan miskin tu. Asyik-asyik sakit! Tak nak pula dia mampus!” Melisa sekali lagi memotong percakapan Baizura.
Kali ini Baizura benar-benar terkejut mendengarkan penghinaan yang keluar dari mulut Melisa. Penghinaan buat wanita mulia yang telah melahirkan wanita bongkak di hadapannya itu. Baizura mengangkat wajahnya. Dia memandang Melisa dengan sebuah pandangan penyesalan. Berkaca matanya.
“Astaghfirullahal azhim... sampai hati kau hina mak kau sendiri? Wanita yang kau caci maki tu adalah wanita yang telah melahirkan kau! Yang telah berkorban apa sahaja untuk kau! Sedar sikit diri kau tu Mel... kalau tak disebabkan mak kau... kau takkan boleh meraih segala kemewahan yang sedang kau megahkan sekarang!” Sedikit meninggi suara Baizura.
“Pengorbanan apa yang kau cakapkan ni? Hei... kalau tak disebabkan aku dilahirkan oleh perempuan miskin tu, aku takkan sanggup untuk menjadi perempuan simpanan pada lelaki-lelaki tak guna tu! Aku takkan rendahkan maruah aku untuk mendapatkan segala kemewahan pada hari ini!!!” jerit Melisa.
“Kau silap Mel. Bukan mak kau yang menjadikan diri kau sehina sekarang. Tapi kau! Kau yang sanggup merabakkan maruah kau semata-mata kerana harta dunia! Jangan pernah kau meletakkan dosa kau pada bahu wanita yang telah bersusah payah membesarkan kau!” Kali ini Baizura menatap pandang sepasang mata milik Melisa.
Melisa mengalihkan pandangannya, “Suka hati kaulah nak cakap apa. Kalau kau nak bela perempuan miskin tu pun... aku langsung tak kisah. Dahlah... lebih baik kau berambus sekarang. Aku nak berehat.”
“Nanti dulu,” tutur Baizura untuk menghalang langkah Melisa.
“Apa lagi yang kau nak?!” Tinggi kembali suara Melisa.
“Aku nak beritahu kau yang mak aku call aku pagi tadi. Dia cakap yang mak kau dimasukkan sekali lagi ke hospital. Mak kau... dia rindu sangat nak dengar suara kau. Nak pandang wajah kau. Baliklah Mel. Lagipun... sekarang ni kau bukannya ada job sangat. Baliklah jenguk mak kau selagi dia masih boleh mencelikkan mata,” pujukan pula dilembutkan agar dapat ‘diusik’ hati batu milik Melisa.
Melisa berpaling semula menghadap Baizura. Senyuman sinis terukir jahat di bibirnya, “Aku nak balik ke kampung? Kampung yang tak pernah membahagiakan aku? Macam tu?”
“Apa salahnya kau balik jenguk mak kau,” tutur Baizura.
“Memang salah! Aku tak nak peminat-peminat aku dapat tahu yang aku ni berasal dari kampung.” Laju, Melisa membalas kata-kata Baizura.
“Tapi mak kau... dia betul-betul rindukan kau. Aku akan pastikan yang takkan ada seorang paparazzi pun dapat hidu perkara ni. Rahsia kau akan selamat dengan aku. Peminat-peminat kau takkan tahu asal usul kau. Percayalah cakap aku.” Baizura cuba meraih lembut lengan Melisa. Namun tingkah Melisa lebih pantas menepis tangannya itu.
“Ah! Aku takkan balik. Biarlah! Lantaklah kalau perempuan tu nak mati pun. Aku tetap dengan keputusan aku! Aku takkan jejakkan lagi kaki aku dekat tempat kelahiran aku tu!” Habis menuturkan kata-katanya, Melisa segera melangkah masuk ke biliknya. Langsung tidak ditangguhkan birpun sesaat.
Air mata terus-terusan mengalir di pipi Baizura. Dia hanya memandang kecewa langkah laju Melisa. Tidak disangkanya yang sahabatnya itu akan berubah sebegitu rupa. Tidakkah dirinya merindui biarpun seketika terhadap insan yang telah melahirkannya? Dan di manakah salah dan silap Mak Muliana sehingga sebegitu sekali anak kandungnya itu membenci dirinya?
“Ya ALLAH... apakah yang harus aku lakukan?” soal Baizura sendirian saat dia melangkah keluar dari rumah yang penuh dengan kegelapan dosa-dosa daripada seorang insan yang kian melupakan asal usulnya.