14
RASA bersalah kian
memanjat jiwa Asyraf saat kebisuan terus-terusan mengunci bicara insan di
hadapannya. Dia tahu wanita itu masih berasa marah dengan tindakan luar
kawalannya sewaktu di pejabat tadi.
“Terima kasih,” tutur
Asyraf kepada seorang pelayan yang membawa hidangan yang dipesannya sebentar
tadi. Insan di hadapannya itu turut menuturkan ucapan yang sama. Namun wajahnya
masih tidak mesra.
“Awak masih marahkan
saya?” soal Asyraf setelah pelayan tersebut berlalu pergi.
“Awak rasa?” soal
Juliana. Dia masih enggan memandang seraut wajah yang sudah melampaui batas
itu.
“Saya minta maaf.”
Ikhlas tuturan itu meluncur keluar dari mulut Asyraf.
Juliana tidak menerima
mahupun menolak kata maaf itu. Dia meneguk perlahan minuman di hadapannya.
“Juliana... saya
betul-betul minta maaf. Saya tak sengaja tadi.” Kemaafan Asyraf pinta lagi.
“Tak sengaja pegang
tangan saya. Macam tu?” Sedikit tegas nada suara Juliana. Kini sepasang mata
miliknya memandang seraut wajah sayu di hadapannya itu.
“Saya tahu yang
tindakan saya tu agak melampau.” Perlahan suara Asyraf.
“Agak melampau awak
cakap? Mungkin untuk wanita lain perkataan ‘agak’ tu, awak boleh gunakan. Tapi
tidak untuk saya!” Tegas Juliana.
Asyraf menghelakan
nafasnya berat. Tidak tahu untuk memujuk bagaimana lagi kekasih olok-oloknya
itu.
“Juliana... boleh tak
kalau awak maafkan saya kali ni? Saya betul-betul tak sengaja.” Kesayuan kian
dipasakkan ke seraut wajah kacak miliknya.
Juliana buat tidak
peduli terhadap pohonan maaf itu. Sejujurnya dia masih marah dengan tindakan
Asyraf sewaktu di pejabat tadi.
“Saya tak suka awak main
pegang-pegang je tangan saya!” Masih serius wajah Juliana.
“Saya tahu. Kan, saya
dah minta. Maafkanlah saya. Please...”
Kali ini Asyraf menggenggam kedua-dua belah tangannya sambil ditongkatkan
tangannya itu ke dagunya dan seraut wajah penuh penyesalan dipamerkan buat
insan yang bernama Juliana.
Juliana tersenyum.
Kelakar pula dirinya dengan tindakan Asyraf itu.
“Ha…, senyuman tu...
tandanya awak dah maafkan sayalah, kan?” Segaris senyuman mengusir kesayuan di
wajah Asyraf.
“Baiklah. Saya maafkan
awak. Tapi lain kali jangan suka-suka je main pegang-pegang tangan saya. Faham?!”
Juliana memandang tepat ke arah Asyraf.
“Faham, cikgu,” gurau
Asyraf sambil mengenyetkan matanya.
Sekali lagi sikap
spontannya itu mengundang senyuman di seraut wajah kacukan di hadapannya itu.
‘Manisnya senyuman
dia...’ nakal hati Asyraf memuji.
Buat seketika Asyraf
dan Juliana menikmati hidangan di hadapan mereka. Sekali sekala sahaja
terdengar bicara dari keduanya.
Juliana meneguk
perlahan minumannya setelah dia menyudahkan kunyahan terakhirnya. Asyraf pula
sudah lama mendahuluinya.
“Kenyang?” soal Asyraf.
Juliana menganggukkan
kepalanya, “Terima kasih.”
“Sama-sama,” balas
Asyraf sebelum senyuman diukirkan semula.
“Asyraf... kalau saya
nak tanya sikit dekat awak boleh tak?” soal Juliana sedikit berhati-hati kerana
persoalan yang bakal ditanyai agak berbentuk peribadi.
“Banyak pun boleh.
Tanya jelah.” Bersahaja, Asyraf menjawab.
“Emm... saya nak tanya
tentang awak dengan... Melisa.” Perlahan sahaja suara Juliana.
Saat nama wanita yang
amati dibencinya itu disebut oleh insan di hadapannya, riak wajah Asyraf terus
berubah rupa. Kemarahannya memuncak tiba-tiba.
Juliana perasan akan
perubahan emosi kekasih olok-oloknya itu, “Maaflah... kalau kata-kata saya tadi
naikkan kemarahan awak.”
“Tak adalah. Awak nak
tanya apa?” Asyraf cuba memperbetulkan semula emosinya. Wajahnya cuba
dimaniskan.
“Betul ni awak tak
kisah kalau saya nak tanya tentang awak dan Melisa?” Juliana mahukan kepastian.
Asyraf menganggukkan
kepalanya perlahan.
“Saya nak tanya...
macam mana awak boleh terlibat dengan Melisa? Awak bekas kekasih dia ke?”
Susunan ayat diaturkan sesempurna mungkin oleh minda agar mulut mudah untuk
menuturkannya.
Asyraf tidak terus
menjawab. Dia menundukkan wajahnya.
“Asyraf... kalau awak
tak nak jawab, tak apa. Saya takkan paksa awak,” tutur Juliana.
“Bukan saya tak nak
jawab. Saya cuma malas nak ungkit balik tentang kisah lepas. Kisah yang
berpunca daripada kesilapan saya sendiri.” Asyraf mengangkat semula wajahnya.
Dia menatapi wajah kekasih olok-oloknya itu.
Juliana diam. Dia tidak
mahu bertanya apa lagi. Seandainya Asyraf ingin melanjutkan bicaranya, dia akan
mendengar. Tetapi seandainya sebaliknya dia juga tidak akan terasa apa. Asyraf
berhak sepenuhnya ke atas masa lampaunya.
“Tiga tahun lepas
sewaktu Syarikat SCA Sdn. Bhd. ditubuhkan... saya memutuskan untuk mencari
seorang model untuk dijadikan duta bagi syarikat saya tu. Waktu tu, Melisa
masih setahun jagung dalam bidang modeling... so, bayaran yang dikenakan juga tak adalah tinggi berbanding
model-model yang sudah senior...”
Asyraf menghentikan kata-katanya. Terdengar keluhan di hujung bicaranya.
“Memang saya tak
nafikan yang syarikat mendapat feed back
yang sangat baik daripada client-client
kami sewaktu Melisa menjadi duta syarikat. Malahan peratusan keuntungan bagi
tahun tersebut juga meningkat naik dengan kadar yang saya sendiri tak
jangkakan. Melisa yang saya kenal pada waktu tu langsung tak sama dengan Melisa
yang sekarang. Malahan gosip-gosip liar mengenai dirinya juga belum meliar.
Namanya masih bersih. Sebersih gadis kampung yang saya kenali dengan nama
Melisa. Ya! Melisa dulu sungguh polos...” Sekali lagi kata-kata Asyraf
terhenti.
Juliana pula masih
membisukan mulutnya. Hatinya masih sabar hendak mendengarkan cerita sepenuhnya
tentang kekasih olok-oloknya itu dengan wanita yang bernama Melisa.
“Orang-orang di luar
sana mulai mengenali namanya setelah dia menjadi duta Syarikat SCA Sdn. Bhd.
Tapi malangnya dia tersalah memilih langkah... dia sanggup untuk menjadi habuan
‘binatang-binatang’ di luar sana semata-mata ingin cepat kaya! Dia ingat saya
tak tahu tentang semua tu. Dia ingat saya tuli!” Terdengar amarah di dalam
bicara Asyraf kali ini.
“Jadi apa kaitannya
dengan awak? Awak telah menjadi pasangan Melisa ke waktu tu?” soal Juliana,
sudah tidak dapat menahan rasa mahu tahunya.
“Tak. Saya tak pernah
menjalinkan hubungan istimewa dengan dia. Tapi saya hampir-hampir jatuh cinta
dengannya... Namun saya yakin ALLAH S.W.T itu lebih mengetahui apakah yang terbaik
buat hambaNYA. Di saat... Melisa kembali hadir dalam hidup saya dan mengatakan
yang dia telah lama mencintai saya, di saat itu juga saya sedar yang jiwa saya
telah kosong dengan rasa cinta buat dirinya. Tapi perempuan tu tak pernah kenal
erti putus asa... Sehingga kini dia masih berusaha untuk memiliki saya dan
awak... awak telah hadir di dalam hidup saya sebagai seorang penyelamat.
Penyelamat yang telah melepaskan saya dari genggaman wanita itu,” senyuman
Asyraf kali ini lebih sempurna. Tidak terlihat lagi kecampingannya. Senyuman
yang lahir dari hati yang penuh kesyukuran.
Namun kata-kata akhir
Asyraf itu telah melahirkan persoalan-persoalan di hati Juliana, ‘Benarkah aku
seorang penyelamat? Seandainya aku mampu menyelamatkan lelaki di hadapanku ini,
mengapa pula aku tidak mampu untuk menyelamatkan diriku sendiri? Mengapa harus
aku lari dari khilaf bapaku?’