Home Novel Komedi/Romantik Komedi Kekasih Olok-Olok
Kekasih Olok-Olok
Eija Khadeeja
25/7/2014 15:49:50
229,382
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 24

24

ASYRAF membukakan pintu kereta buat Juliana. Juliana yang tidak menyangka akan tindakan Asyraf itu hanya berdiri dan langsung tidak bergerak. Tidak pernah sekalipun Asyraf bersikap sebegitu terhadap dirinya sebelum ini.

“Kenapa tak masuk?” soal Asyraf.

“Ha... oh... ya, ya... saya masuk,” kegagapan Juliana jelas kelihatan.

Asyraf tersenyum melihatkan sikap polos kekasih olok-oloknya itu. Dia kemudiannya turut memboloskan dirinya ke dalam kereta Audi R8 berwarna hitam miliknya itu. Cepat sahaja kereta dua pintu itu meluncur di atas jalan raya.

“Asyraf... hari ni saya ingat... nak...” kata-kata Juliana terhenti. Entah mengapa rasa segan menjengah di jiwa.

“Nak apa?” soal Asyraf namun perhatian tetap jua ditumpukan terhadap pemanduan.

“Saya ingat nak ajak awak keluar makan.” Perlahan suara Juliana.

“Apa? Awak nak apa? Maaflah... saya tak berapa dengar tadi,” tutur Asyraf.

“Saya... nak ajak awak keluar makan dengan saya malam ni. Boleh?” Kali ini nada suara Juliana lebih tinggi daripada tadi.

Terkejut Asyraf mendengar kata-kata insan di sisinya itu. Dadanya berdegup laju bersama persoalan yang terbuku, ‘Betul ke apa yang aku dengar ni? Betul ke Juliana nak ajak aku keluar makan malam, ni?’

“Kenapa awak diam? Ke... awak ada temu janji dengan orang lain? Tak apalah... kalau macam tu, saya faham,” tutur Juliana saat melihatkan kebisuan Asyraf itu.

“Tak! Bukan... bukan macam tu. Saya cuma tak percaya yang... awak sudi nak ajak saya menikmati makan malam bersama. Yalah... selalunya saya yang beria-ia ajak awak. Tapi jarang sangat awak nak terima pelawaan saya.” Laju, Asyraf bersuara.

Suasana sunyi kembali. Juliana masih menantikan jawapan yang pasti daripada insan di sisi.

So... awak nak belanja saya makan dekat mana?” riang Asyraf bertanyakan soalan itu dan entah mengapa rasa yang sama berbunga di hati Juliana.

“Apa kata awak yang tentukan,” cadang Juliana.

“Tapikan awak yang nak belanja. Awaklah yang tentukan lokasinya,” balas Asyraf pula.

“Emm... kalau macam tu... apa kata kalau kita makan dekat Restoran Hari-Hari Istimewa, nak tak?” Cadangan, Juliana suarakan.

As you wish...” romantik Asyraf menuturkan kata-kata itu dan sekali lagi debaran halus kembali menggetarkan jiwa wanita milik Juliana.

JULIANA dan Asyraf dibawa ke sebuah meja oleh seorang pelayan wanita. Selepas mengambil pesanan, pelayan tersebut kembali melakukan tugasnya.

“Nasib baik kita cepat. Kalau tak... tak merasalah kita nak menikmati makan malam dekat restoran ni.” Asyraf menebarkan pandangannya ke sekeliling. Begitu ramai pasangan-pasangan kekasih mahupun mereka yang sudah berkeluarga sedang menikmati makanan enak di restoran tersebut.

“Ramai juga ya pelanggan hari ni,” komen Asyraf lagi.

“Biasalah. Sekarang nikan hujung-hujung bulan. Ramai yang dah dapat gaji,” ulas Juliana kemudiannya.

Asyraf mengalihkan pandangannya ke arah wanita di hadapannya, “Macam awaklah, kan?”

Juliana mengerutkan dahinya, tanda tidak mengerti.

“Maksud saya, hari ni... awak mendapat gaji pertama awak semenjak awak bekerja di syarikat saya. Sebab tu ke awak nak belanja saya makan malam hari ni?” soal Asyraf di akhir kata-katanya.

Juliana tersenyum, ‘Pandai juga mamat ni,’ desis hati kecilnya sebelum mulutnya melahirkan patah-patah kata, “Bukan sebab tu je... saya juga nak ucapkan terima kasih banyak-banyak pada awak.”

“Untuk apa?” Laju, Asyraf bertanya.

“Untuk segala-galanya.” Saat bicara itu dilahirkan sepasang mata milik Juliana memanah seraut wajah milik Asyraf dan panahan itu terus-terusan menghadirkan debaran di dada kekasih olok-oloknya itu.

“Saya... betul-betul terhutang budi dengan awak. Awak terlalu banyak membantu saya. Siap bagi saya kerja dan tempat tinggal lagi. Terima kasih ya.” Ikhlas Juliana melahirkan tiap patah kata yang membentuk bicaranya itu.

“Juliana... kan, saya dah cakap yang saya ikhlas membantu awak. Sebetulnya saya yang terhutang budi dengan awak sebab awak sudi bersetuju dengan rancangan gila saya tu. Awak sudi untuk menjadi kekasih olok-olok saya. Tapi... saya tak sangka yang rancangan gila saya tu telah membawa bahaya pada awak. Maafkan saya ya.” Ikhlas juga, Asyraf menuturkan kemaafan itu.

“Benda dah berlaku. Tak perlulah awak nak ungkit-ungkit lagi. Apa kata, kita makan puas-puas malam ni. Ha... tu, makan pun dah sampai.” Juliana memuncungkan sedikit mulutnya ke arah pelayan wanita yang tadinya mengambil pesanan mereka.

Elok sahaja makanan diletakkan, doa pun dibaca dan hidangan yang begitu membuka selera segera Juliana masukkan ke mulutnya. Tersenyum Asyraf melihat gelagat kekasih olok-oloknya itu.

“Sedap sangat ke?” Asyraf menyoal.

Juliana tidak menjawab secara lisan sementelah mulutnya masih penuh dengan pulunan makanan. Anggukan perlahan bersama senyuman menawan sudah menggambarkan betapa makanan yang sedang dirasai tekaknya itu benar-benar menetapi cita rasanya.

“Awak pernah datang ke sini ke, sebelum ni?” soal Asyraf lagi.

Juliana meneguk sedikit jus tembikai sebelum melahirkan jawapan, “Pernah.”

“Dengan pakwe ke?” Entah mengapa saat Asyraf bertanya soalan yang satu itu hatinya dilanda rasa cemburu.

“Kan, saya dah pernah beritahu awak yang saya ni tak ada pakwe. Saya masih solo.” Bersahaja, Juliana menjawab.

“Habis tu... awak datang dengan siapa?” Asyraf masih mahukan kepastian.

“Saya datang dengan papa. Itu pun kalau terlanjur kami ada urusan di Petaling Jaya ni.” Perlahan sahaja suara Juliana saat menyebut insan yang amat dirinduinya itu dan tanpa sedar dia sudah menundukkan wajahnya. Riak sedih jelas terukir.

Asyraf menyedari akan perubahan emosi Juliana itu, “Awak rindukan papa awak?”

Diam. Juliana tidak menjawab apa.

“Juliana... boleh saya tanya sikit dekat awak tak?” Agak berhati-hati, Asyraf bertanya.

“Apa dia?” Masih perlahan suara Juliana.

“Kenapa saya perasan yang awak seolah-olah cuba untuk mengelak dari berbicara mengenai papa awak? Awak... ada masalah dengan papa awak ke? Maaflah kalau persoalan-persoalan saya ini melampaui batas.” Kemaafan, Asyraf selitkan di akhir pertanyaan-pertanyaannya.

Sebak menyerbu dan bertapa di dada Juliana. Ah! Mengapa perlu persoalan mengenai insan yang telah mengkhianatinya itu yang ditanyai oleh Asyraf?

“Kalau awak tak nak jawab, saya faham. Dahlah... jom kita sambung makan.” Asyraf bersuara semula. Dia tidak mahu terus-terusan ‘menekan’ kekasih olok-oloknya itu.

Juliana masih membisu. Langsung tiada bahasa tubuh yang diberikan oleh wanita itu.

Resah dan rasa bersalah berlumba-lumba ‘menampar’ jiwa Asyraf, “Juliana... please... jangan terus membisu macam ni. Saya tahu yang saya dah melampaui batasan. Saya tak patut tanyakan soalan-soalan tu. Maafkan saya ya.”

Juliana mengangkat wajahnya. Segaris senyuman tempang cuba diukirkan, “Awak tak salah. Saya je yang terlebih beremosi. Mungkin saya terlalu rindukan papa saya.”

Lega sedikit hati Asyraf dengan reaksi Juliana itu, “Kalau betul awak terlalu rindukan papa awak, saya benarkan awak ambil cuti. Awak baliklah ke kampung. Jenguklah papa awak tu.”

“Tak apalah. Terima kasih atas niat baik awak tu. Tapi... saya tak rasa yang saya nak balik ke kampung buat masa sekarang ni. Mungkin lain kali. Asyraf... saya nak pergi ke tandas sekejap. Awak makanlah dulu ya.” Juliana bangkit dan terus berlalu. Air mata yang cuba ditahan-tahan juga sudah mengalir lesu.

‘Tabahlah wahai hati. Andai derita ini mampu memaafi khilaf papaku... aku sanggup! Sanggup untuk terus berjauhan dengan insan yang teramat aku sayangi!’ rintih jiwa Juliana bersama tangisan yang kian hiba.

Previous: BAB 23
Next: BAB 25

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.