2
OLD TOWN WHITE COFFEE menjadi pilihan Asyraf.
Secawan white coffee menjadi dambaan tekaknya. Juliana turut membuat pesanan
yang sama.
“Terima kasih,” ucap Asyraf kepada pelayan yang
berbangsa asing itu.
Juliana turut menuturkan ucapan yang sama saat
secawan white coffee dihidangkan kepadanya.
“Terima kasih kerana selamatkan saya tadi.”
Lembut Asyraf memulakan perbualan setelah pelayan tersebut berlalu pergi.
Juliana hanya menganggukkan kepalanya. Dia
meneguk sedikit minuman di hadapannya.
“Saya tahu yang saya bersalah kerana melibatkan
awak dalam permasalahan peribadi saya. Saya... saya tak sangka yang Mel akan
terus mengganggu saya sampai ke tempat awam macam ni,” tutur Asyraf lagi.
Bisu masih mengunci mulut Juliana. Sejujurnya
dia sendiri tidak tahu untuk mencelah bagaimana.
“Juliana... awak masih marahkan saya lagi ke?”
soal Asyraf cuba untuk memecahkan kebisuan insan di hadapannya.
“Emm... saya... saya memang masih terasa dengan
penipuan yang awak lakonkan tadi. Tapi... saya faham akan situasi awak.
Lagipun, kan awak dah bantu saya. Kalau awak tak ada tadi, ‘masak’ juga saya
dibuatnya. Manalah saya nak cekau duit sebanyak tu untuk membayar ganti rugi
pada tauke yang tak berhati perut tu!” terukir riak kemarahan di wajah Juliana
saat mindanya mengimbau kembali peristiwa malang yang telah menimpa dirinya di
kedai kristal itu.
Tertawa kecil Asyraf melihatkan sikap polos dan
jujur wanita yang baru ditemuinya itu.
“Kenapa awak gelak? Tak ada apa yang
kelakarnya?! Sakit tau hati saya dengan juru jual dan bos dia tu! Boleh pula
dia orang berpakat nak kenakan saya. Mentang-mentanglah saya tengah sengkek,
tak ada duit... kalau saya ada duit dah lama dah saya campak duit depan muka
dia orang. Sakit hati saya!” Berombak dada Juliana meluahkan isi hatinya.
Tawa Asyraf terhenti dan terus diperhatikan
wajah putih bersih di hadapannya itu. Wajah itu tidak terlihat keaslian sebagai
wanita Melayu. Kacukankah dirinya?
“Memang betullah kata arwah mama saya... kalau
ikut kepercayaan orang Cina, nombor empat tu nombor pembawa malang tau. Tapi
sebagai orang Islam, kita tak boleh nak mempercayai perkara-perkara khurafat tu,
kan?” Juliana membalas pandangan Asyraf.
Asyraf menganggukkan kepalanya. Segaris senyuman
terukir sebelum sebuah pertanyaan terlahir, “Arwah mama awak orang Cina ke?”
“Ha’ah. Arwah mama saya orang Cina. Tapi sebelum
mama berkahwin dengan papa... mama memang dah lama dah memeluk agama Islam.
Arwah atuk dengan nenek sebelah mama turut memeluk agama Islam setelah arwah
mama tunjukkan contoh dan tauladan yang baik kepada mereka sebagai seorang
pengganut agama Islam.” Terdengar sayu di hujung bicara Juliana. Kerinduannya
terhadap arwah mamanya itulah puncanya.
“Patutlah...” Laju perkataan sepatah itu meluncur
di bibir Asyraf.
Sepatah kata itu mengundang persoalan di bibir
Juliana, “Patutlah apa?”
“Patutlah muka awak tak macam orang Melayu
sepenuhnya. Ada nampak macam wajah kacukan. Rupa-rupanya arwah mama awak
berbangsa Cina,” jawab Asyraf.
Juliana tersenyum. Bukan berbangga dengan pujian
itu, sekadar bersyukur dengan pemberian daripadaNYA.
Sunyi membungkam sebentar suasana. Juliana
meneguk sekali-sekala minuman panas itu. Asyraf turut melakukan perkara yang
sama. Namun mata lelaki miliknya tidak habis-habis ‘memuji’ kecantikan wajah
wanita bertinggi lampai di hadapannya itu.
“Awak biasa ke datang ke Klang Parade ni?” soal
Asyraf tiba-tiba.
“Tak. Saya jarang ke sini. Saya ke sini
sebab...” Juliana pantas mengetip bibirnya. Wajahnya juga sudah berubah muram.
Permasalahan yang sedang digalas masih belum ringan bebanannya.
“Sebab apa?” soal Asyraf lagi.
“Tak... sebenarnya saya datang ke sini sebab
saya nak cari kerja.” Perlahan, suara Juliana.
“Cari kerja? Maksud awak, awak baru tiba dari
kampunglah ni?” Persoalan masih meniti di bibir Asyraf.
Laju Juliana menganggukkan kepalanya. Suram
terus menguasai wajahnya. Simpati pula meluruh di hati Asyraf.
“Awak dah dapat kerja dah?” Lembut Asyraf
bertanya.
Juliana menggelengkan kepalanya.
“Tempat tinggal? Awak dah dapat tempat tinggal
dah?” soal Asyraf lagi.
Juliana menggelengkan kepalanya lagi. Kali ini
lemah benar gelengannya.
“Habis tu... awak nak tidur mana malam ni?”
Asyraf kian menetapkan pandangannya di wajah putih bersih milik Juliana.
“Tak tau... entahlah... saya carilah motel-motel
yang murah dekat sekitar sini.” Juliana semakin buntu.
“Tak! Jangan... awak tu perempuan. Macam mana
kalau sesuatu perkara buruk berlaku pada awak nanti... saya tak rasa itu idea
yang baik.” Laju Asyraf membantah.
“Habis tu, apa lagi pilihan yang saya ada?”
Juliana memandang tepat insan di hadapannya.
Simpati terus-terusan mengalir di jiwa Asyraf
saat dia melihatkan pandangan sayu Juliana itu.
“Emm... macam nilah. Apa kata kalau awak bekerja
di syarikat saya?” tawar Asyaf.
Hatinya benar-benar memberontak untuk membantu
wanita malang itu. Dia yakin yang Juliana jujur dalam menuturkan
permasalahannya. Sebuah beg besar milik Juliana yang diletakkan di lantai
itulah buktinya. Dia pasti beg itu disumbatkan dengan pakaian dan pelbagai lagi
dokumen penting di dalamnya.
“Syarikat awak? Syarikat apa?” soal Juliana.
Asyraf menyeluk kocek seluarnya dan dompetnya
diambil. Asyraf menghulurkan name card
miliknya kepada Juliana, “Nah.”
Cepat sahaja Juliana menyambut huluran Asyraf.
“SCA Sdn. Bhd...” Perlahan Juliana menyembut
nama syarikat milik lelaki di hadapannya itu.
“Semarak Cinta Abadi Sdn. Bhd... Makna sebenar
untuk singkatan SCA Sdn. Bhd.” terang Asyraf tanpa dipinta.
“Wah... macam nama butik pengantin je. Awak ni
pak andam ke?” senyuman terukir di bibir Juliana.
Terbayang di mindanya, seandainya lelaki tegap
seperti Asyraf itu benar-benar seorang pak andam. Semerta senyumannya kian
melebar.
Asyraf bagaikan mengerti apakah yang sedang
berlegar-legar di minda Juliana. Pantas penjelasan diberikan, “Awak jangan
salah faham. Saya bukan pak andam dan syarikat SCA Sdn. Bhd. langsung tak ada
kaitan dengan perkhidmatan andaman.”
“Habis tu?” Juliana terus menoleh ke arah
Asyraf.
“Cuba awak baca ayat di bawah nama syarikat saya
tu,” arah Asyraf.
Juliana mengikuti arahan itu, “Agen Mencari Jodoh!”
Terkejut menguasai jiwa Juliana saat kepastian sudah diperolehi.
“Betul. Syarikat kami merupakan agen mencari
jodoh. Tapi awak jangan salah tafsir pula... kami hanya menawarkan perkhidmatan
yang legal dari segi undang-undang
sahaja.” Serius wajah Asyraf.
Juliana yang pada mulanya hendak memuntahkan
tawanya, terus terbantut niatnya. Dia harus menjaga hati lelaki di hadapannya.
Apatah lagi lelaki itu merupakan penyelamatnya.
“Macam mana? Awak berminat tak?” Masih serius
wajah Asyraf.
“Emm... saya memang berminat. Tapi alamat yang
tertera dekat sini... Petaling Jaya. Jauh sangatlah tempat tu,” jujur Juliana.
“Pasal tu, awak tak payah nak risau,” senyuman
kembali mengacakkan lagi wajah milik Asyraf.
“Apa maksud awak?” Laju Juliana menyoal.
“Macam ni... kalau awak setuju, saya akan
aturkan tempat tinggal buat awak. Saya ada sebuah kondominium sekitar kawasan
tu. Kondominium tu pun dah lama kosong. Kalau awak sudi, awak boleh duduk di
situ selama awak bekerja dengan syarikat saya,” tawar Asyraf lagi.
Juliana terus menatapi figura milik
penyelamatnya itu. Cuba dicari garisan-garisan penipuan. Namun langsung tidak
ditemuinya.
“Awak jangan risaulah... saya ni bukannya agen
menjual orang.” Bagaikan mengerti perasaan apakah yang bergolak di jiwa
Juliana, lantas keyakinan cuba disuakan kepada wanita itu.
“Emm... saya... saya...” Masih tergagap Juliana
dalam membuat keputusan.
“Kalau awak tak sudi tak apa. Saya doakan semoga
awak dapat mencari tempat berteduh untuk malam ini dan akan ada yang sudi
berikan awak pekerjaan.” Asyraf melambaikan tangannya kepada seorang pelayan.
“Berikan saya bil ya,” tutur Asyraf setelah
pelayan lelaki itu tiba di mejanya.
“Baik encik,” jawab pelayan itu sebelum berlalu
ke kaunter.
Dada Juliana diamuk kegelisahan. Jiwanya
tertekan untuk membuat keputusan, ‘Apa yang perlu aku putuskan ni?!’
Pelayan tadi kembali membawa bil. Segera Asyraf
melunaskan bayaran. Dia bangkit setelah pelayan itu berlalu pergi.
Melihatkan keadaan itu, Juliana kian ‘dipaksa’
untuk membuat satu keputusan!
“Nanti dulu!” Sedikit terjerit Juliana.
Asyraf menghentikan langkahnya. Dia berpatah semula
mendapatkan wanita kacukan itu. Dia duduk semula di tempatnya.
“Dah buat keputusan dah?” soal Asyraf, lembut.
“Dah.” Sepatah jawapan Juliana.
“Apa keputusan awak?” soal Asyraf lagi.
“Saya... saya sudi untuk menerima
tawaran-tawaran awak tu.” Perlahan Juliana menuturkan keputusannya.
Senyuman memekar terukir di bibir Asyraf. Entah
mengapa kegembiraannya benar-benar nyata membahagiakan jiwanya.
“Tapi... boleh saya tahu... apa jawatan yang
bakal saya sandang?” Juliana memandang tepat ke sepasang mata milik Asyraf.
Persoalan itu memang sudah lama dinanti-nantikan
Asyraf. Bersama pandangan penuh ‘makna’, bibirnya melahirkan jawapan, “Awak
akan bekerja sebagai... setiausaha saya aka...
kekasih olok-olok saya!”