20
TERKEJUT Mustafa
mendengar cerita yang disampaikan oleh sahabatnya itu. Tidak disangkanya segila
itu model yang telah pun mengukir nama itu.
“Betul ke apa yang kau
cakapkan ni?” soal Mustafa kepada insan di hadapannya itu.
“Betullah. Takkanlah
aku nak reka-reka cerita pula tentang hal ni,” tutur Asyraf.
“Gila! Gila betul si
Mel tu,” komen Mustafa.
“Bukan setakat gila...
entah apa lagilah aku nak namakan perempuan kejam tu!” Kemarahan masih
menguasai emosi Asyraf.
“Habis tu, kenapa kau
tak buat laporan polis je?” soal Mustafa kemudiannya.
Asyraf tidak terus
menjawab. Dia menghelakan nafas berat.
“Apa kes pula ni? Yang
kau bantai mengeluh ni kenapa?” Pelik Mustafa dengan sikap sahabat yang satu
itu.
“Bukannya aku tak nak
buat laporan polis. Tapi...” Terhenti kata-kata Asyraf.
“Tapi apa?” soal Mustafa
laju.
“Juliana... dia tak nak
aku perbesar-besarkan perkara ni. Dia kata yang dia tak nak jadi ‘glamour’ kalau wartawan dekat luar sana
tahu tentang kes ni. Kau tahu jelah... kadang-kadang wartawan-wartawan tu
sanggup pusing cerita 360 darjah untuk lakukan news dia orang. Karang tak pasal-pasal, si Juliana pula yang
dilabelkan sebagai perampas. Aku tak nak nama baik Juliana tercalar.” Asyraf
kian menepatkan pandangannya ke wajah Mustafa.
“Sayang juga kau ya
pada kekasih olok-olok kau tu,” tawa terdengar di hujung usikan.
“Gila kau tak sayang.”
Serius Asyraf menjawab.
Tawa Mustafa terhenti.
Wajah sahabatnya itu ditatapi penuh erti.
“Apa hal kau pandang
aku sampai macam tu sekali?” soal Asyraf, gelisah.
“Aku rasa yang kau
ni...” Sengaja Mustafa tidak menghabiskan bicaranya. Idea untuk menyelongkar
isi hati sahabatnya itu berlegar-legar di minda.
“Kau rasa apa pula ni?”
Perlahan, Asyraf bersuara.
“Aku rasa yang kau ni
dah terjatuh cintalah pada kekasih olok-olok kau tu!” Yakin Mustafa menyatakan
telahan hatinya.
Asyraf terdiam. Di
dalam diam hadir pula degupan rasa indah di dadanya.
“Betulkan? Kau sukakan Juliana,
kan?” Mustafa mahukan kepastian.
“Tak... mana ada.”
Asyraf menafikan kenyataan hatinya. Dia kemudiannya menyandarkan tubuhnya di
kerusi.
Mustafa tersenyum
mengejek. Dia tahu apa yang diperkatakan oleh bibir sahabatnya itu tidak sama
dengan apa yang berdetik di hatinya.
“Baguslah kalau kau tak
terjatuh cinta dengan Juliana. Bukan apa... sebenarnya aku pun dah lama tersuka
dekat setiausaha kau tu.” Selamba sahaja reaksi wajah Mustafa tika ini.
Sepantas kilat, tubuh
yang tadinya tersandar kini didudukkannya tegak, “Apa ni bro... takkanlah tak ada perempuan lain dalam ofis ni yang kau
boleh tergila-gilakan. Tu... minah kepohci, Mira tukan ada. Tak pun kalau kau
nak yang ada standard sikit, kau
ambillah Nazira. Bagus minah tu. Dahlah berpelajaran, baik pula tu budi
bahasanya.”
Mustafa ketawa
tebahak-bahak. Tak pernah sepanjang sepengenalannya, Asyraf segelabah itu. Siap
mengenen-ngenenkannya dengan perempuan lain lagi. Kini tahulah dia siapakah
wanita bertuah yang sudah bertapak namanya di hati sahabatnya itu.
“Tahu pun takut. Ha...
tulah. Aku tanya baik-baik, kau nafikan. Sekarang siapa yang sudah terkena,”
tawa Mus bersambung semula. Gembira benar hatinya dapat mengenakan sahabatnya
itu.
“Kurang asam betullah
kau ni. Sempat lagi kau kenakan aku!” Asyraf berpura-pura marah untuk menutupi
rasa malu di hatinya.
“Kiranya... kau
betul-betul dah terjatuh hati pada kekasih olok-olok kau tulah, ya?” soal Mustafa
setelah tawanya reda.
Asyraf tidak terus
menjawab. Hanya senyuman terukir di bibirnya.
“Orang kata... diam tu
tandanya setuju. Dalam hal kau ni... maknanya kau setujulah dengan kata-kata
aku, kan? Kau betul-betul dah tangkap cintan ke dengan Juliana tu?” Mustafa
masih enggan berputus asa. Dia mahu Asyraf meluahkan isi hatinya.
“Entahlah... susah aku
nak mengiyakan atau menidakkan kata-kata kau tu,” tutur Asyraf.
“Kenapa pula? Kalau dah
susah nak gunakan mulut. Gunakan je kepala kau tu. Kau cuma perlu angguk atau
geleng. Kan, senang.” Mood hendak
mengusik masih kuat bertapak di dalam diri Mustafa.
Asyraf merapatkan
kerusinya ke meja. Dia menongkatkan wajahnya dengan tangan kirinya dan tangan
kanannya pula bermain-main dengan pen yang berada di atas meja.
“Asyraf... kau ni dah
kenapa? Kau ada masalah lain pula ke?” Setelah seketika, barulah Mustafa
bertanyakan soalan itu.
Jari jemari tangan
kanan Asyraf menghentikan kelincahannya dan tangan kiri yang menongkat wajahnya
juga sudah menamatkan ‘perkhidmatannya’. Asyraf kini memandang tepat ke arah
Mustafa, “Kau tahukan pasal kes papa aku tu?”
“Kes mana pula ni?”
Berkerut dahi Mustafa. Sungguh! Otaknya gagal untuk mengingati perkara yang
ditanyai kepadanya itu.
“Alah... pasal anak
kawan papa aku tulah...” Asyraf cuba memberikan hint.
“Anak kawan papa kau...
Ooo... yang papa kau nak jodohkan dengan kau tu?” Mustafa cuba meneka dan
Asyraf mengangguk laju.
“Bukan ke kes tu dah
‘tutup’? Kau dah tolak mentah-mentahkan usul papa kau tu?” soal Mustafa lagi.
“Memanglah aku dah
tolak. Tapi papa aku tu langsung tak kenal erti berputus asa. Ada je peluang
pasti perkara tu diungkitnya,” keluhan kedengaran di hujung bicara Asyraf.
Tampak benar yang dirinya tertekan dengan isu tersebut.
Mustafa mendiamkan
mulutnya. Mood mengusik ‘dimatikan’.
Dia tidak mahu sahabatnya itu kian tertekan dengan usikan yang entah apa-apa
daripadanya nanti.
“Kau rasa papa aku akan
terus paksa aku ke?” Perlahan, Asyraf bersuara.
“Entahlah... susah aku nak
cakap. Kau tahu jelah senekad mana papa kau tu,” komen Mustafa.
“Itulah sebabnya aku
takut untuk mengiyakan perasaan aku pada Juliana. Aku tak nak bagi harapan pada
dia. Aku tak nak hati dia terguris seandainya papa aku nekad dengan keputusan
dia tu.” Terdengar sayu suara Asyraf.
Mustafa menganggukkan
kepalanya sebagai tanda mengerti.
“Lagipun... belum tentu
lagi yang Juliana tu mempunyai perasaan yang sama dengan aku.” Asyraf cuba
tersenyum. Tujuannya cuma satu! Agar rasa gelisah di hatinya terusir pergi.
“Alah... pasal perasaan
Juliana pada kau tu, tak payahlah kau nak risau. Aku yakin kalau dia nampak
kebaikan dan keikhlasan yang ada pada diri kau, pasti pintu hati dia akan
terbuka buat kau.” Mustafa cuba mengembalikan semula semangat sahabat baiknya
itu.
“Kiranya aku ada
peluanglah ni?” senyuman yang lebih ikhlas terukir manis di seraut wajah kacak
milik Asyraf.
“Mestilah kau ada
peluang selagi Juliana tu bukannya tunangan mahupun isteri orang. Tetapi ada
dua orang yang perlu kau hadapi sebelum kau nekad dengan perasaan kau pada
Juliana!” Wajah Mustafa berubah serius.
“Siapa dia?” Laju Asyraf
menyoal.
“Papa kau dan Melisa.
Mereka adalah penghalang terhebat buat kau dan Juliana!” Kian serius wajah
Mustafa. Nada usikan benar-benar sudah menghilang. Mustafa mahu sahabatnya itu
tahu sehebat mana rintangan yang perlu dihadapi seandainya dia nekad dengan
perasaan yang kian bercambah di hatinya itu.