28
MASAKAN kampung yang
terhidang di atas meja itu benar-benar menaikkan selera Baizura.
“Wau... banyaknya lauk.
Keli bakar, sotong masak lemak cilik padi, udang masak sambal petai pun ada. Siap
ada kuah asam lagi. Alamatnya gemuklah Baizura bila balik KL nanti.” Baizura
terus mengambil tempat di meja makan.
“Apa tunggu lagi mak?
Jomlah makan.” Baizura benar-benar sudah terliur.
“Tunggulah adik kamu
sekejap.” Rasidah turut mengambil tempat di sisi anak sulungnya itu.
“Elena pergi mana mak?”
Baizura memandang emaknya.
“Dia pergi hantar
makanan pada Mak Muliana kamu.” Rasidah memaklumkan.
“Lah... kenapa tak ajak
Mak Muliana makan sekali dengan kita?” Hairan Baizura.
“Dia tak nak.” Laju, Rasidah
menjawab.
“Kenapa pula?” Laju
juga Baizura menyoal kembali.
Rasidah tidak terus
menjawab persoalan anaknya itu. Keluhan tanpa sempat ditahan terhambur keluar, “Hati
orang tua ni... susah kita nak pujuk.”
“Maksud mak?” Baizura
kian menepatkan pandangannya ke wajah mak kandungnya itu.
“Kamu ingat Mak Muliana
kamu tu bodoh ke bila kamu cakap yang si Mel tu terlalu sibuk sampai tak dapat
nak balik sekejap pun jenguk dia? Baizura... kamu tahu tak yang selama ni Mak
Muliana kamu tu asyik makan hati je dengan perangai anak tunggal dia tu. Dahlah
tak balik, bila Mak Muliana callpun...
langsung dia tak nak angkat! Bongkak sangat. Baru jadi model dah lupa daratan!”
Meninggi sedikit suara Rasidah.
Baizura diam. Dia tahu
yang mak kandungnya itu sedang menahan baran.
“Mak betul-betul tak
sangka sejauh itu Mel boleh berubah. Dulu... dia budak yang baik. Susah nak
dengar dia membentak, melawan cakap mak dia. Tapi tulah baru sedikit kekayaan
yang ALLAH berikan, terus dia lupa diri. Lupa asal usul,” sesal Rasidah dengan
sikap anak kawan baiknya itu.
“Sabarlah mak...
Insya-ALLAH... satu hari nanti Mel akan sedar tentang kesilapan yang telah dia
lakukan ni.” Perlahan, Baizura bersuara.
“Mak takut bila dia dah
sedar nanti segalanya telah terlambat. Kamu tengoklah keadaan Mak Muliana kamu
tu... asyik-asyik sakit, asyik-asyik sakit. Entahlah... susah mak nak cakap.
Mak cuma berdoa dan berharap semoga Mel tu terbuka pintu hatinya untuk balik
menjenguk mak dia tu. Kamu tu pun tolong-tolonglah nasihatkan dia sikit.”
Rasidah membalas pandangan anak sulungnya itu.
“Dah berbuih dah mak,
mulut Baizura ni nasihatkan dia. Tapi langsung tak dihiraukannya. Baizura balik
yang dimaki hamunnya,” adu Baizura.
Mendengarkan kata-kata
anaknya itu, sekali lagi keluhan terpacul keluar dari bibir tua Rasidah.
“Assalamualaikum.”
Terdengar salam diberikan dari arah luar rumah.
“Waalaikumussalam...
ha, tu... adik kamu dah balik tu. Bolehlah kita makan sama-sama,” tutur
Rasidah.
Beberapa saat kemudian
terpacul wajah Elina di ruang dapur itu. Dia menatang sepinggan nasi yang masih
banyak lagi baki hidangannya.
“Sikitnya Mak Muliana
makan. Kamu tak suapkan Mak Muliana makan ke, Elina?” soal Rasidah kepada anak
bongsunya itu.
“Dah. Elina dah
suapkan. Tapi Mak Muliana kata yang dia tak ada selera. Itu pun Elina yang
paksa Mak Muliana makan. Kalau tak, langsung dia tak nak jamah makanan tu.”
Elina mengambil tempat berhadapan dengan mak dan kakak kandungnya.
“Ya ALLAH... macam mana
lagi mak nak buat ni? Dahlah semalam pun dia makan sikit je. Macam manalah, nak
baik,” risau hati tua Rasidah.
“Alah mak... Mak
Muliana tu bukannya apa. Dia rindu sangat dengan Kak Mel tu. Mak Muliana asyik
sebut-sebut nama Kak Mel je. Kesian betullah adik tengok Mak Muliana tu,” adu
Elina.
“Dah nasib dia dapat
anak yang tak kenang budi tu, nak buat macam mana... Ha, kamu ada bagi Mak
Muliana makan ubat tak?” soal Rasidah di hujung bicaranya.
Elina menganggukkan
kepalanya sambil menyenduk nasi ke pinggannya, “Mak kita makan dululah mak.
Elina dah lapar sangat dah ni. Akak pun mesti belum makan lagikan?”
“Mana ada akak makan.
Akak driveterus dari KL ke sini.
Langsung tak singgah mana-mana kedai makan. Saja nak simpan ‘kelaparan’ ni
untuk menjamah lauk pauk yang dimasak istimewa oleh chef terkenal kita ni.”
Baizura cuba mengusir jauh kesedihan yang merantai suasana. Namun ternyata
usahanya itu sia-sia.
“Mak kenapa ni? Kenapa
mak menangis pula ni?” risau Baizura dengan tingkah insan di sisi.
“Mak bukan apa... mak
kesiankan Mak Muliana. Dahlah tinggal seorang diri dekat rumah tu. Kalau
apa-apa terjadi dekat dia, macam mana?” Air mata kian membasahi wajah Rasidah.
“Baiklah, kalau macam
tu apa kata kita ajak je Mak Muliana tinggal dengan kita. Lagipun rumah ni
bukannya ada orang lelaki pun,” pujuk Baizura.
“Mak dah ajak dah. Tapi
Mak Muliana tu degil. Dia kata dia tak nak susahkan mak. Baizura... cubalah
kamu callsi Mel tu, suruhlah dia
balik. Kesian dekat Mak Muliana kamu tu....” Rasidah menyeka air matanya.
“Bukannya Baizura tak
nak call... tapi Baizura yakin yang
dia takkan jawab panggilan Baizura,” tutur Baizura.
“Cubalah. Cubalah kamu call dia. Sekalipun jadilah. Kalau dia
tak nak angkat juga, kamu SMSlah dia. Suruhlah dia jenguk mak dia yang tengah
sakit tu. Sekejap pun jadilah.” Berharap benar Rasidah kali ini.
Biarpun merasakan yang
tindakannya menghubungi Melisa hanyalah sia-sia, namun Baizura mengikuti jua
kemahuan mak kandungnya itu. Handphone
yang diletakkan di dalam kocek seluar, diambil. Nombor sahabat baik merangkap
majikannya itu didail. Deringan bertalu-talu kedengaran, tetapi insan yang cuba
dihubungi itu masih enggan menjawab panggilannya. Baizura mencuba sekali lagi.
Tetapi kehampaan yang menyapa.
“Dahlah tu... kalau dia
tak nak jawab. Kamu SMS jelah dia. Suruh dia balik, jenguk mak dia yang tengah
sakit tu,” sayu benar nada suara Rasidah tika ini. Kehampaan di jiwalah
puncanya.
Baizura mengikuti
sekali lagi arahan maknya. Satu SMS dihantar buat sahabat yang sudah bergelar
anak derhaka itu. Tetapi persoalannya mahukah hati yang sudah gelap dek kerana
noda dan dosa itu boleh ‘terpanggil’ untuk pulang melawat si ibu yang sedang
menderita kesakitan?