27
ASYRAF melangkah
perlahan untuk menaiki anak tangga di hadapannya itu. Namun saat dia
terlihatkan bayangan seseorang di bawah simbahan cahaya lampu di luar rumahnya,
dia pantas mematikan niatnya. Langkahnya diatur mengikut kata hatinya.
Sudah diagak ‘insan’
itulah yang sedang bersantai di atas buaiyan berhadapan taman mini di luar
rumahnya itu.
“Ehem!!!” Kuat dehem
Asyraf.
“Astaghfirullahal azhim...
adik ni teruklah. Nasib baik akak tak ada sakit jantung.” Sarlina mengurut laju
dadanya sambil menjeling ke arah insan yang sedang melabuhkan punggung di
sisinya itu.
“Teringat buah hati ke,
sampai adik berdiri sebelah akak pun akak tak perasan…” seloroh Asyraf.
“Macam mana akak nak
perasan kalau dah adik tu berjalan macam penyamun. Sikit derap pun tak dengar.”
Sarlina sudah memaniskan wajahnya.
Asyraf membalas senyuman
kakaknya itu.
“Lambat balik hari
ni... jumpa buah hati ke?” Sengaja Sarlina hendak mengenakan adiknya itu pula.
“Ha’ah.” Sepatah
jawapan Asyraf. Senyuman bertukar kepada sengehan.
“What?! Akak ingat yang adik betul-betul tak ada apa-apa hubungan
dengan Mel.” Sedikit terkejut Sarlina dengan jawapan sepatah adiknya itu.
“Ish... apa akak ni…
Bila masa pula adik kata yang si Mel tu kekasih hati adik. Simpang 44 malaikat.
Tak ingin adik nak ada hubungan dengan perempuan yang langsung tak layak untuk
berdamping dengan adik tu. Dahlah cengil, kurang ajar pula tu!” Berombak dada
Asyraf dan semerta peristiwa sewaktu dia menghantar Juliana pulang ke rumah
sebentar tadi terimbau semula.
‘Macam mana Mel boleh
dapat nombor telefon Juliana?’ Bergema semula persoalan tersebut di hati
Asyraf.
“Dah tu kalau bukan
Mel... siapa? Model mana pula kali ni?” soal Sarlina kemudiannya.
“Sorry... Rahsia. Belum tiba masanya adik nak kenalkan dia pada
akak. Tapi apa yang pasti dia bukannya model bagai. Dia cuma insan biasa yang
terlalu istimewa...” senyuman kembali menghiasi wajah kacak milik Asyraf.
Hilang sebentar amarahnya kepada Melisa.
“Entah-entah... Rossa?
Anak kawan papa tu ke?” Sarlina masih berusaha untuk meneka.
“Opsss... jawapan yang
salah. Sudah-sudahlah tu akak meneka. Tak payahlah akak nak bazirkan usaha akak
tu. Adik tetap dengan pendirian adik, adik takkan beritahu siapakah gerangannya
sebelum tiba masa yang sesuai.” Asyraf mengenyitkan matanya. Sengaja mahu
menyakat kakaknya itu.
“Kedekut!” Sarlina
menunjukkan protes sambil memuncungkan bibirnya.
Asyraf tertawa kecil
dengan sikap kakaknya itu, “Dah tua pun nak merajuk-rajuk.”
“Siapa yang tua? Akak
muda lagilah,” rajuk Sarlina lagi.
“Ya tak ya juga...
kalau akak tua takkanlah Abang Borhan nakkan akak, kan?” Asyraf kian ligat
menyakat insan di sisinya.
“Adik ni... ada je
tau... saja je nak sakat akak.” Sarlina menepuk perlahan lengan adik bongsunya
itu.
“Adui... sakitlah kak.
Macam manalah Abang Borhan tu boleh tahan tiap-tiap hari kena ‘pukul’ macam ni.”
Sengaja Asyraf meraba-raba lengannya.
“Adik ni... bila masa pula
akak pukul Abang Borhan... Akak cuma pukul budak yang nakal macam adik ni je,”
tutur Sarlina.
“Yalah... yang nakal
semuanya adik. Yang baik semuanya Abang Borhan. Itulah namanya kalau dah angau
bercinta. Nak buat macam manakan... adik rasalah dah tiba masanya akak dan
Abang Borhan mendirikan rumah tangga.” Asyraf memandang ke arah kakak di sisi.
Berubah terus riak
wajah Sarlina. Suram tersusun rapi menyembunyikan derita di hati.
Asyraf menyedari
perubahan riak wajah kakak kesayangannya itu, “Akak ada masalah dengan Abang
Borhan ke?”
“Tak. Bukan dengan
Abang Borhan...” Sarlina sudah menundukkan wajahnya. Kesedihan dan kekecewaan
di hati jua cuba dikedapkan.
“Papa? Papa buat hal
lagi ke?” telah Asyraf.
Tiada jawapan. Hanya
keluhan dari bibir merah itu sahaja yang kedengaran. Ternyata tekaan Asyraf itu
benar belaka.
“Papa buat apa pula
kali ni?” Asyraf masih hendak mengetahui perihal yang sebenarnya.
“Entahlah dik... susah
akak nak cakap.” Perlahan, suara Sarlina.
“Kak... tak ada apa
yang susahnya kalau akak bersama adik. Adik tahu yang akak tengah menderita
sekarang ni. Apa kata akak cuba luahkan derita hati akak tu, Insya-ALLAH...
adik akan cuba memahami.” Asyraf menggenggam perlahan bahu kakaknya itu.
“Adik tahukan yang papa
tak pernah sukakan Abang Borhan?” sayu kedengaran di dalam persoalan.
“Bukan tak suka. Papa
cuma belum mengenali Abang Borhan dengan sepenuhnya lagi. Adik yakin yang satu
hari nanti papa akan menerima Abang Borhan sebagai bakal menantu dia.” Asyraf
memujuk kakaknya itu.
“Tapi bila? Akak dah
penat dik... penat mendengar penghinaan yang papa hamburkan buat Abang Borhan.
Papa tak adil. Hanya disebabkan syarikat milik keluarga Abang Borhan menjadi
pesaingnya dalam bidang perniagaan, papa terus menjatuhkan hukum ke atas insan
yang akak betul-betul cintai.” Sarlina terus meluahkan rasa sedihnya.
Asyraf masih membisukan
mulutnya. Dia tahu masih ada bebanan perasaan yang ingin ‘diluluhkan’ oleh
kakaknya itu.
“Papa sebenarnya takut
dengan bayang-bayang dia sendiri. Papa takut... kalau dia serahkan syarikat tu
pada akak, akak akan serahkan bulat-bulat pada Abang Borhan. Tapi papa silap!
Kalaulah papa dapat mengenali Abang Borhan sebagaimana akak mengenalinya, mesti
papa akan malu dengan dirinya sendiri,” gugur jua permata yang cuba
ditahan-tahan.
“Itulah sebabnya adik cakap
yang papa tu belum lagi mengenali Abang Borhan sepenuhnya. Kalau papa dah kenal
hati budi Abang Borhan, mesti semua ni takkan terjadi.” Lembut, Asyraf
bersuara. Tujuannya agar kata-katanya itu dapat menghapuskan sedikit kesedihan
kakaknya itu.
Sarlina menyeka air
mata yang mulai berlinangan. Dia menarik nafasnya perlahan. Pandangannya juga
sudah dihalakan ke hadapan. Melihat keindahan taman yang dipenuhi dengan
pelbagai jenis bunga-bungaan, “Adik rasa suatu hari nanti, papa akan dapat
menerima Abang Borhan?”
“Adik tak rasa. Tapi
adik yakin!” Yakin Asyraf.
“Macam mana kalau
keyakinan adik tak mampu untuk ‘menebas’ kepala batu papa tu?” soal Sarlina
kemudiannya.
“Emm... kalau macam tu
kita ikutlah rentak papa.” Bersahaja Asyraf menjawab.
“Ikut rentak papa?”
Berkerut dahi Sarlina saat dia memusingkan tubuhnya menghadap Asyraf.
“Ya... kita ikut rentak
papa. Kalau papa masih bersikap keras kepala dan kekal dengan kepala batu dia
tu, kita pun ikutlah sama. Akak tahu tak kenapa sampai sekarang papa masih tak
berjaya untuk menyatukan adik dengan Rossa?” soal Asyraf di akhir bicaranya.
“Sebab... adik lawan
cakap papa?” teka Sarlina.
“Bukan lawanlah. Adik
mempertahankan hak adik! Adik ada hak dalam menentukan siapakah pasangan yang
bakal menghabiskan sisa hidupnya dengan adik dan kalau betul akak cintakan
Abang Borhan... akak juga perlu mempertahankan pendirian akak untuk membina
mahligai cinta dengan insan yang akak damba-dambakan tu!” Kali ini sepasang
mata milik Asyraf bertaut pandang dengan sepasang mata milik Sarlina. Pandangan
Asyraf bagaikan mengalirkan satu keyakinan di hati kakaknya itu.
“Ya! Akak akan
mempertahankan hubungan akak dengan Abang Borhan!” Yakin benar Sarlina saat
menuturkan azam itu. Semerta senyuman membarisi bibir Asyraf, bangga kerana
nasihatnya itu akhirnya membuahkan hasilnya.