15
PIL ecstasy ditelan
rakus dan air kencing syaitan diminum puas. Melisa tersenyum saat lalok di
kepala kian menguasai emosinya. Dia ketawa terbahak-bahak bak orang gila.
“Kau bodoh Asyraf! Kau
bodoh! Perempuan tak guna tu yang kau tergila-gilakan! Apa kurangnya aku!!!”
jeritan ditindih dengan jeritan yang akhirnya menjerumuskan Melisa kelembah
kemarahan.
Melisa bangkit. Tubuh
yang terhuyung hayang cuba distabilkan saat langkah demi langkah diatur. Dia
kembali ke ruang tari. Tariannya bak perempuan murahan saat seorang demi
seorang lelaki di kelab malam itu mengerumuninya.
“Asyraf... akhirnya kau
datang...” gedik Melisa bersuara saat seorang lelaki yang entah siapa
gerangannya datang memeluk erat pinggangnya.
“Asyraf...” Kian lembut
godaan Melisa saat dia membalas pelukan lelaki berhidung belang itu.
“Kenapa you pilih
perempuan tu Asyraf... kenapa?” Bayangan Asyraf kian jelas dipenglihatan Melisa.
Sedangkan lelaki yang sedang melayan godaannya itu bukanlah lelaki yang
digilainya.
“Mana ada I pilih
perempuan tu. I sayangkan you. Hanya you sahaja...” Lelaki itu memainkan
peranannya. Dia membelai lembut wajah yang sedang tersenyum gatal itu.
“Betul ni you pilih I?”
soal Melisa kian mengada-ngada.
“Betul. I akan buktikan
pada you, hanya you pilihan I!” balas lelaki miang itu.
“Bila? Bila you akan
buktikan?” desak Melisa dalam kegedikan.
Bau arak kian kuat
menerpa ke rongga hidung lelaki itu. Namun dia sudah lali dengan bau hancing
minuman itu. Sementelah dirinya juga kerap meminum minuman air kencing syaitan
itu.
“Sekarang. Sekarang
juga I akan buktikan pada you.” Lelaki itu pantas memeluk erat tubuh Melisa dan
didukungnya penuh nafsu tubuh ramping itu. Tepukan gemuruh menguasai ruang tari
itu. Begitulah kebiasaanya seandainya maksiat demi maksiat menjadi tatapan
mata. Pasti keaiban dan dosa itu akan digahkan.
“You nak bawa I pergi
mana?” soal Melisa sambil ketawa gatal.
“I nak bawa you ke
syurga,” balas lelaki itu saat dia melangkah keluar dari kelab malam eksklusif
itu. Dia sudah mengatur sebuah rancangan jahat di mindanya. Aturannya cukup
kemas dan licik. Tidak sabar-sabar untuknya ‘menikmati’ tubuh muda di dalam
dakapannya itu.
“Bro... nak pergi mana tu?” soal seorang lelaki bertubuh tegap yang
datang bersama beberapa orang konconya.
Langkah lelaki yang
sedang mendukung Melisa itu terhenti. Rasa takut memanjat keberanian lelakinya.
“Aku tanya! Mana kau
nak bawa perempuan tu?!” soal Megat lagi selaku ‘along’ kepada ‘adik-adiknya’.
“A... aku... aku nak
bawa dia balik,” tergagap-gagap lelaki itu bersuara.
“Balik? Balik mana?”
soal Megat saat dia menghampiri ‘mangsa’ di hadapannya.
Gugup lelaki itu. Kelu
lidahnya untuk memberikan jawapan.
“Kenapa kau diam? Kau
kenal ke siapa perempuan ni?!” Kini hanya sejengkal sahaja jarak mereka.
Melisa yang berada di
dalam dakapan lelaki berhidung belang itu pula sudah sunyi mulutnya dan terhenti
aksi miangnya. Semuanya akibat mabuk dan lalok yang melampau.
“Dia... dia... adik
aku,” tipu lelaki itu.
“Banyaklah adik kau!!!”
Sebuah penumbuk melayang mengenai mulut lelaki kurus itu. Tubuhnya terjatuh dan
dihimpap oleh tubuh seksi milik Melisa.
“Kalau kau nak tahu
perempuan yang kau nak ‘jamah’ ni adalah ‘milik’ bos aku!!! Lagi sekali aku
nampak batang hidung kau dekat kelab malam ni, mampus kau aku kerjakan!... Apa
lagi yang kau orang tercegat tu! Cepat angkat perempuan ni!” Megat menoleh ke
belakang dan arahan diberikan kepada konco-konconya.
Segera orang-orang
bawahan itu menuruti arahan ketuanya. Tubuh Melisa diangkat dan dibawa ke
kereta. Lelaki yang tadinya gah merangkul dan memeluk erat tubuh Melisa masih
rebah. Malang sungguh nasibnya pada malam ini. Malam yang disangkanya penuh
dengan kerlipan angan-angan. Angan-angan untuk ‘menjamah’ ‘hidangan mewah’.
Kini bukan sahaja tubuh model muda itu tidak dapat ‘dirasainya’, malahan
kesakitan akibat tumbukan padu daripada lelaki yang sudah berlalu pergi itu
kian terasa di bibirnya bersama aliran darah merah.
DATO EZMAN mengusap
penuh kasih sayang wajah yang sedang memejamkan matanya itu. Sungguh! Dia
mengakui yang dia sudah mulai mencambahkan rasa cinta di hatinya buat perempuan
simpanannya yang satu itu.
Melisa... wanita yang
sudah menjadi ‘miliknya’ semenjak tiga tahun yang lepas itu kian ketara
perubahannya. Daripada seorang yang tiada apa-apa, kini wanita itu boleh
bermegah dengan kemewahan yang dimilikinya. Tetapi nampaknya sebanyak manapun
wang yang ditaburi ke atas wanita jelita itu, masih belum mampu untuk
meluputkan satu nama dari terus melekap di sekeping hati milik Melisa. Asyraf!
Ya... Lelaki itu masih disanjungi oleh perempuan simpanannya itu!
“Asyraf...” Tanpa sedar
Dato Ezman menyebut nama ‘musuhnya’.
“Asyraf! You ke tu?”
Semerta Melisa terjaga saat terdengar nama lelaki kegilaannya disebut.
“Asyraf? Asyraf mana?”
Sengaja Dato Ezman menyoal saat Melisa sedang bangkit dan menyandarkan tubuhnya
di kepala katil.
Melisa gugup. Rasa
sakit di kepala akibat pengambilan pil ecstasy bersama minuman keras itu masih terasa.
Namun rasa sakit itu tidak diendahkan sementelah rasa takut terus-terusan
menguasai emosinya tika ini.
“Kita dekat mana ni?”
soal Melisa untuk mengalih perhatian Dato Ezman.
“Dekat hotel.
Orang-orang I terjumpa you di dalam keadaan yang cukup memalukan. You sendiri
tahukan apa yang telah you lakukan semalam?” Masih lembut intonasi suara Dato
Ezman. Sepanjang dia menjalinkan hubungan dengan Melisa, tidak pernah sekalipun
dia meninggikan suara terhadap perempuan muda itu.
Melisa menundukkan
wajahnya, “Dato marahkan I?”
“I tak marahkan you. I
cuma tak nak you memalukan diri you sendiri. You sendiri tahukan yang you tu
adalah seorang model yang sudah dikenali ramai. Melisa... I tak suka you
terkinja-kinja di luar sana.” Dato Ezman masih memandang tepat ke arah Melisa.
“I tak sengaja. I... I
cuma betul-betul tertekan semalam. Maafkan I ya...” Melisa pantas mengangkat
wajahnya dan segera tubuh tua di hadapannya itu didakapnya.
“Maafkan I...” rengek
Melisa sekali lagi saat Dato Ezman enggan menerima kemaafannya itu.
“Baiklah. I maafkan
you. Tapi... I harap yang you takkan buat lagi benda-benda yang bodoh tu. Kalau
betul pun you tengah tertekan... jangan pergi ke tempat-tempat yang terbuka
macam tu. Dahlah sekarang ni ramai yang nak menjaja nama you di luar sana. I
tak nak, perempuan yang I ‘jaga’ tercalar lagi maruahnya. You fahamkan apa yang
I maksudkan ni?” Dato Ezman menolak perlahan tubuh Melisa dan sepasang mata
milik model itu dipandangnya penuh kasih.
“I faham.” Ringkas
sahaja jawapan Melisa.
“Baguslah. Tapi... you
belum lagi jawab soalan I tadi. Siapa Asyraf tu?” Dato Ezman masih hendak
menilai kejujuran perempuan simpanannya itu.
Melisa terdiam.
Wajahnya tertunduk sekali lagi dan bibirnya diketip rapat.
“Melisa... you ada
mencintai orang lain ke selain I?” Dato Ezman menyentuh perlahan dagu Melisa
sebelum wajah yang tertunduk itu diangkatnya.
“Tak. Hanya Dato sahaja
yang I cintakan. Percayalah cakap I,” dusta Melisa.
“Kalau macam tu...
siapa Asyraf? Tadi I dengar yang you sebut nama Asyraf. Siapa dia?” desak Dato
Ezman.
“Sebenarnya...
sebenarnya... Asyraf tu...” tergagap-gagap Melisa. Namun kegagapannya terhenti
saat Dato Ezman memberikan isyarat tangan supaya dia membisukan mulutnya.
Kebiasaan yang akan dilakukan seandainya Datin Azilah menghubungi.
‘Nasib baik isteri dia call.’ Lega hati Melisa.
“Emm... nak apa?” Tanpa
salam, Dato Ezman terus menghamburkan pertanyaan.
“You nak buat apa
dengan duit sebanyak tu?” soal Dato Ezman kemudiaannya setelah isterinya itu
menjawab persoalan pertamanya.
“Betul ke butik you ada
masalah? Ke... you nak ‘sedekahkan’ duit I pada pelaburan kawan-kawan you yang
langsung tak mendatangkan untung tu?” sinis Dato Ezman setelah isterinya
memberikan alasan.
“Yang you nak membebel
ni kenapa? I cuma tanya je. Tengoklah nanti... I akan fikirkan dulu. Lagipun
bukan ke baru minggu lepas I dah berikan you RM 10 ribu, takkan tak cukup
lagi?” soal Dato Ezman kepada insan di hujung talian.
Beberapa saat Dato
Ezman mendengar bicara isteri tunggalnya itu dan akhirnya kata putus
ditamatkan, “Yalah. Petang nanti I suruh akauntan I sedikan cek untuk you.”
Sekali lagi tanpa ucapan
salam Dato Ezman terus mematikan talian. Dia mendengus. Rasa marah menjengah
sebentar sebelum tubuhnya itu dipeluk erat oleh Melisa yang berada di
belakangnya.
“Dato jangan
marah-marah. Nanti kalau Dato kena serangan jantung... I yang susah...” Melisa
sengaja melunakkan suaranya setelah Dato Ezman memalingkan tubuhnya. Melisa
melirik manja ke segenap tubuh lelaki tua itu.
“Dato nak I ‘hapuskan’
kemarahan Dato tu?” Jari jemari Melisa meliar di segenap dada yang sedang
ditutupi dengan kemeja panjang itu. Dia cuba membuka butang teratas pada
pakaian itu. Namun kelincahan jari jemarinya dihalang oleh Dato Ezman.
“Kenapa ni? Dato ‘tak
nak’ ke?” Masih manja suara Melisa.
“Bukan. Bukan I tak
nak. Tapi I ada meeting pagi ni.”
Lembut suara Dato Ezman.
“Pagi-pagi sabtu ni?”
ragu-ragu Melisa.
Dato Ezman pantas
menganggukkan kepalanya dan kucupan diberikan pada pipi gebu di hadapannya itu.
“Takkan Dato tak boleh
nak batalkan meeting tu?” soal
Melisa.
“Tak boleh. Meeting tu penting. Lagipun kalau I dapat
projek besar tu... you juga yang untung. I akan berikan apa sahaja yang you
mahukan kalau I dapat tackle pelabur
luar tu.” Tanpa sengaja Dato Ezman menuturkan sebuah janji.
Keterujaan terus
menguasai wajah milik Melisa. Dia terlompat kecil. Girang benar hatinya dengan
taburan janji Dato Ezman itu. Dia yakin yang lelaki tua itu tidak akan
membohongi dirinya.
Dato Ezman hanya
tersenyum lebar melihatkan sikap ‘kebudak-budakan’ perempuan simpanannya itu.
Senang hatinya dengan kelincahan dan kemanjaan Melisa.
“I yakin yang Dato akan
berjaya.” Melisa menuturkan lembut kata-kata peransang itu sewaktu Dato Ezman
hendak melangkah keluar dari bilik mewah itu.
Dato Ezman hanya
menganggukkan kepalanya sebelum mengucup sekali lagi pipi Melisa. Hilang sahaja
bayangan Dato Ezman, Melisa kembali mendapatkan katil. Dia merebahkan tubuh
ramping miliknya. Senyumannya kian melebar saat angan-angan meninggi menerokai
ke segenap ruang mindanya. Angan-angan yang berpusatkan tentang permintaannya
terhadap Dato Ezman seandainya lelaki itu berjaya mendapatkan projek mega itu.
Namun senyumannya
termati dan angan-angannya terhenti saat episod semalam kembali menjengah
memorinya. Episod dilukai oleh lelaki yang teramat dicintainya. Asyraf! Lelaki
itu dengan beraninya mengakui sekali lagi bahawa Julianalah teman wanita dan
bakal isterinya. Malahan lelaki itu dengan selambanya menggenggam erat jari
jemari milik wanita berwajah kacukan itu.
“Juliana! Aku takkan
lepaskan kau. Asyraf adalah milik aku!” Seraya menuturkan kata-kata itu, Melisa
bangkit dan menuruni katil.
Dia pantas mendapatkan
tas tangannya tanpa memperkemaskan dahulu penampilannya. Satu destinasi sudah
tersemat kemas di otaknya. Ya! Dia akan ke ‘tempat’ itu untuk memberikan
pengajaran kepada wanita yang cuba untuk menghancurkan kebahagiaannya!