HARI
Khamis, Juita terpaksa menghadiri mesyuarat bersama klien di pejabat mereka di
Bandar Raya Melaka. Dia terpaksa menghadirkan diri bagi menggantikan Syifa yang
ada kecemasan.
Sahabatnya
itu balik Seremban kerana ibunya masuk hospital. Seperti biasa, Izuddin yang
akan membawa Juita ke sana. Mujur Sharmini, setiausaha Syifa akan menemaninya
menghadiri mesyuarat itu. Kalau tidak, mahu mati kutu Juita duduk dalam
mesyuarat itu.
“Mesyuarat
hari ini pasal apa, Sham?” Sebaik masuk dalam kereta, Juita terus bertanya
kepada Sharmini.
Dia
memang tidak tahu langsung pasal projek di Melaka ini. Selama ini, memang Syifa
sahaja yang menguruskan semua perkara berkaitan projek tersebut. Lagipun projek
itu baru di peringkat perbincangan dan belum tentu lagi mereka akan dapat.
“Syifa
tak sempat beritahu apa-apa ke?” soal Sharmini pula. Dia mati-mati ingat Syifa
sudah berbincang dengan Juita pasal projek ini.
“Saya
yang tak tanya. Takkanlah dalam keadaan dia risau pasal ibu dia, saya sibuk nak
tanya pasal mesyuarat pulak, kan?” Apa yang Juita tahu, mesyuarat bermula pukul
10.30 pagi. Pukul 7.00 pagi tadi dia dan Sharmini memang sudah sampai di
pejabat. Cuma Izuddin yang sedikit terlewat kerana terlambat bangun.
“Macam
mana nak cakap, ya? Dalam mesyuarat nanti bos kena buat keputusan dan beri
jawapan pasal projek ni. Bos jangan risaulah, Syifa dah pernah bincang dengan
saya pasal isu ini,” jelas Sharmini mengurangkan kerisauan bosnya.
“Keputusan
apa yang kita kena beri? Saya dahlah tak ada maklumat sangat pasal projek ni,”
soal Juita pula.
“Sebelum
saya beritahu, ini minit mesyuarat yang lalu. Bos baca dulu, mana yang bos tak
faham nanti saya terangkan.” Sharmini mengeluarkan minit mesyuarat dari beg
kerjanya lalu diserahkan ke tangan Juita.
“Aduhai
Sham… saya boleh pening kalau baca dalam kereta. Awak terus cerita ajelah kat
saya,” pinta Juita. Kalau tidak pening pun, Juita memang malas hendak meneliti
minit mesyuarat itu.
“Nombor
satu, saya nak beritahu yang Datuk Malik ni memang kerek sikit orangnya. Kalau
ada perubahan yang dia nak buat, memang kena cepatlah tindakan perlu diambil,”
terang Sharmini.
“Dah
tahu macam tu, buat apa kita berurusan dengan Datuk ni? Sudahlah jauh, satu hal
pulak kita nak pantau,” potong Juita pula.
Sharmini
tersenyum. “Tak apa bos. Walaupun Datuk Malik ni kerek, tapi kalau pasal duit,
dia tak berkira dan tak pernah bertangguh buat bayaran,” beritahu Sharmini. Itu
juga yang buat Syifa berminat dengan projek ini.
“Okey…”
balas Juita.
“Cuma
ada satu masalah,” beritahu Sharmini.
“Apa
masalahnya?” tanya Juita sambil menoleh memandang Sharmini.
“Masalahnya,
ada bahagian tertentu kita tak ada kepakaran,” beritahu Sharmini.
“Kita
boleh aje minta tolong syarikat lain dan sub
bahagian tu kat dia orang,” saran Juita. Bukan syarikat dia tidak biasa
bekerjasama dengan syarikat lain dalam menangani bahagian projek yang bukan
kepakaran mereka.
Sebelum
ini, sekiranya dalam satu masa tiba-tiba ada banyak projek masuk, Juita juga
tidak tamak makan sorang-sorang. Malah dia akan beri kepada rakan syarikat lain
yang tidak mempunyai sebarang projek.
Namun,
tentu sahaja ada syarat-syaratnya. Apa yang penting, dia mahu mendedahkan staf
baru dengan projek sebegini untuk menambah pengalaman mereka. Dalam bisnes
memang kena pandai merebut peluang.
“Tak
semudah itu, bos. Biasanya macam-macam syarat yang Datuk ni kenakan kalau kita nak jugak projek
ni,” terang Sharmini.
“Kalau
dah macam tu, buat apa Syifa nak pening kepala dengan projek ni? Banyak ke
untungnya kalau kita dapat dan setuju buat projek ni?” soal Juita.
“Sebab
banyaklah Syifa nak buat jugak projek ni. Kalau kita berjaya buat projek ni
dengan lancar, peluang dapat projek lain pada masa akan datang memang cerah,”
beritahu Sharmini.
“Tapi
tak ada pulak Syifa cerita dengan saya pasal hal ini,” Tiba-tiba Juita berasa
lain pula.
“La… dah
bos tak berminat sangat, sebab itu dia tak cerita lebih-lebih.”
“Kut ya
pun, takkan dia tak sempat beritahu saya langsung?” soal Juita.
Syifa yang
dia kenal memang tidak pernah begini. Kalau tidak sempat cakap di pejabat, di
rumah mereka masih boleh bersemuka. Pendek kata, semasa tidur dan dalam mimpi
sahaja masing-masing buat hal sendiri!
“Perbincangan
pasal projek ni pun masih di peringkat awal. Syifa memang tengah buat strategy paper pasal projek ni. Tak
sangka pulak klien panggil mesyuarat seawal ni,” terang Sharmini agar Juita
tidak salah faham.
“Oo…
Okey!” Juita menarik nafas.
“Dalam
mesyuarat nanti, kita dengar dulu apa yang Datuk Malik nak cakap. Kalau ada
benda yang saya rasa Syifa takkan setuju, saya akan beritahu bos. Tapi rasanya,
bos sendiri akan beri komen sebab otak bos memang sepesen dengan Syifa pun!”
Sharmini sudah tersenyum.
“Pandai
awak nak buat lawak bodoh, ya? Nanti saya tak nak beri bonus hujung tahun ni,
baru padan muka!” Sengaja Juita berkata begitu.
“Janganlah
macam tu, bos. Saya penat-penat study
dengan Syifa pasal projek ni. Kalau tak bagi syarikat profit juta-juta, tak
adanya kita orang nak buang masa.” Cepat sahaja Sharmini mahu membela dirinya.
“Saya
gurau ajelah! Kau orang berdua, kan orang kanan saya? Takkan saya nak
ketepikan?” Juita sudah tersenyum melihat reaksi Sharmini.
“Lega
saya mendengarnya,” ucap Sharmini. Dia memang sudah berangan hendak melancong
dan membeli-belah di New Delhi setelah dapat bonus nanti.
“Ada
apa-apa lagi yang awak nak beritahu saya?” tanya Juita.
“Hmm… cuma
bos kena tahan sikit dengan Datuk Malik ni. Dia bukan sahaja kerek, dia punya
miang kalah miang buluh!” sebut Sharmini.
“Apa
awak cakap? Datuk ni gatal macam miang buluh?” ulang Juita seakan tidak
percaya.
“Saya
memang risau kalau dia terberkenan dengan bos.” Mata Sharmini sampai mengecil
sebab kena beritahu juga perangai kurang elok Datuk Malik. Sudahlah bosnya
cantik molek orangnya, sesiapa yang terpandang mesti mahu pandang lagi dan
lagi!
“Awak
janganlah nak buat saya rasa cuak pulak. Saya dahlah pantang berurusan dengan
klien yang macam ni,” rungut Juita. Ini yang buat dia berasa seram sejuk.
“Tapi
tak apa bos, Izuddin ada untuk jadi bodyguard
bos. Dia anytime aje boleh menyamar
jadi sesiapa pun, kan Iz?” Terus Sharmini memukul bahu Izuddin dengan dokumen
di tangan.
“Jue
punya pasal, Iz okey aje,” balas Izuddin dengan selamba bagai Juita kawannya
sahaja.
Dia
memang tidak pernah memanggil Juita dengan panggilan bos. Lagipun Juita ada
sebab tersendiri tidak mahu Izuddin memanggilnya begitu. Cuma Sharmini yang
kadang-kadang memanggil Juita dengan panggilan bos, tetapi ketika tiada orang
lain. Biasanya dia panggil Jue sahaja, tengok situasi juga nanti pecah pula rahsia
bosnya.
“Kalau
Datuk Malik tu sudah ada tanda-tanda nak menggatal, kau terus jadi tunang Jue
tau.” Sharmini mengingatkan Izuddin.
“Menyamar
jadi suami Jue pun Iz tak kisah,” balas Izuddin pula tanpa berasa segan.
“Korang
berdua jangan nak berangan lebih-lebih, ya? Mentang-mentang saya selalu bagi
muka kat korang, tak bermakna saya selalu akan setuju dengan apa yang korang
nak buat,” tegur Juita pula. Sesekali dia mahu bertegas juga walau kebiasaannya
dia tidak berlebih dengan staf sendiri.
“Ya, Cik
Juita…” Serentak Sharmini dan Izuddin bersuara.
Di
pejabat, siapa Juita yang sebenarnya hanya diketahui beberapa staf senior dan
orang kepercayaan Juita sahaja. Pejabat Juita yang berasingan dengan pejabat
pengurusan dan operasi syarikat menyebabkan staf yang lain tidak tahu pasal hal
itu.
Kebanyakan
staf juga beranggapan Juita adalah pembantu peribadi Syifa kerana dia selalu
masuk ke bilik Syifa. Tidak tahu, dari bilik Syifa ada laluan khas menuju ke
pejabat Juita pula!