Hari pertama
sememangnya membosankan. Dia masih belum biasa untuk melakukan sebarang kerja.
Masih perlu di suruh dan di arah untuk membuat sebarang kerja.
“ Nak buat apa ni?”
tanya Amir Rifqi.
Farid yang sibuk
meneliti sebuah fail mula memberi tumpuan kepada Amir Rifqi. Dia berasa kasihan
dengan Amir Rifqi yang masih belum membiasakan diri dengan pekerjaan barunya
itu.
“ Buat apa? Buat bodoh
je lah,” kata Farid sambil ketawa.
Amir Rifqi mengetap
bibir. Geram pula dia dengan sikap loyar buruk teman barunya itu.
“ Hah, kau boleh tolong
aku tak?” tanya Farid tiba-tiba. Apabila melihat Amir Rifqi yang hanya
termenung tanpa sebarang kerja membuatkan dia mendapat satu idea.
“ Tolong apa?”
“ Kau tolong beli nasi
lemak kat warung depan opis kita tu. Tolonglah, aku lapar ni,” kata Farid. Dia
sudah membuat muka seposen. Kononnya meminta simpati dari Amir Rifqi.
“ Iskh tak naklah aku.
Tak fasal-fasal terkantoi pula. Kau pergilah sendiri,” kata Amir Rifqi. Dia
ingat aku ni orang suruhan dia ke? Memang cadangan Farid itu tidak masuk dek
akal. Sudahlah hari ini adalah hari pertama dia bekerja di sini.
“ Alah sekejap je. Tak
sampai lima minit pun. Kalau bos cari kau, aku cakaplah kau pergi toilet. Tolonglah. Aku sakit perut ni,”
rayu Farid.
“ Kau pergilah sendiri.
Nanti aku tolong cover kau,” kata
Amir Rifqi pula.
“ Kau tak de kerja, kau
pergilah. Aku banyak kerja nak disiapkan ni. Please…”
Amir Rifqi mendenggus
geram. Melihatkan wajah seposen Farid itu membuatkan dia tidak sampai hati.
“ Kalau aku kantoi
nanti, siap kau! Hah kau nak makan apa?”
AMIR RIFQI terkejut. Tiba-tiba
ruang pejabat menjadi sunyi sepi. Tiada sesiapa di dalamnya. Begitu juga dengan
Farid yang kononnya mahu meng’cover’
dirinya. Eh mereka semua pergi mana ni? Amir Rifqi tertanya-tanya sendirian.
Dengan membawa beg
plastik yang berisi dua bungkus nasi lemak untuk dirinya dan Farid, Amir Rifqi
tawaf ke sekeliling ruang pejabat. Dia cuba mencari rakan sekerjanya yang lain.
Tiba-tiba telinganya menangkap suara seseorang memberi taklimat di dalam bilik
mesyuarat. Amir Rifqi mengeluh lemah. Dia tertanya-tanya sendirian. Mahu
masukkah?
Perlahan-lahan Amir
Rifqi membuka pintu bilik mesyuarat. Seperlahan yang dia mampu sehingga ketika
dia membukanya dia menahan nafasnya buat seketika. Dia tidak mahu ada sesiapa
menyedari kemunculannya di sini. Dia mahu menyelinap masuk seperti ala-ala
James Bond.
Krekkk…nampaknya pintu
tidak mahu bekerjasama dengannya. Malah bunyi pintu menyebabkan semua staf
Tetuan Hasan & Associates terus menumpukan kepada kehadirannya. Sudahlah
tatkala itu Ayris Imani sedang memberi taklimat. Oh tidak, pasti bencana besar
akan menimpanya!
Mata Ayris Imani yang
tajam mencerlung memandang Amir Rifqi yang tersengih macam kerang busuk. Dengan
selamba Amir Rifqi mengangkat tangannya kepada Ayris Imani walaupun hati di
dalam kecut semacam.
Tetapi dek kerana gabra
punya pasal dia telah mengangkat tangan bersama dengan beg plastik nasi
lemaknya. Apa lagi terkantoilah dia! Mata Amir Rifqi membulat. Oh tidak, dia
sudah mengundang kemarahan kali kedua majikannya itu. Terus sahaja dia
menyembunyikan beg plastik di tangannya ke belakang.
“ Apa yang ada di
tangan you tu, Rifqi?” tanya Ayris
Imani dengan sinis. Amir Rifqi pula hanya menunduk tanpa berani memandang
kepada Ayris Imani yang merenung tajam kepadanya.
“ Berani you keluar pejabat waktu kerja? Hari
pertama you dah berani tunjuk
belang,” panjang lebar Ayris Imani memperli Amir Rifqi. Suaranya kedengaran
tegas. Amir Rifqi menelan liur. Alahai, kenapalah bos aku garang macam singa
betina?
“ Baiiiiikkkkkk….bos.”
Amir Rifqi
mempraktikkan ajaran Farid kepadanya. Perkataan baik itu dia sebut panjang
sekali sampai dia perasan yang ada beberapa staff tertawa sambil menutup mulut
mereka. Takut ketawa mereka di dengari oleh Ayris Imani yang sedang menyinga
itu.
“ You sengaja mempermainkan I?” tanya Ayris Imani.
Ayris Imani sudah
mengamuk. Suaranya bergema nyaring. Hampir pecah gegendang telinga Amir Rifqi
tatkala itu.
“ Bos cakap dengan
siapa tu?” tanya Amir Rifqi sambil mengorek-ngorek telinganya. Kalau seminggu
dia di sini boleh jadi pekak telinga dibuatnya mendengarkan jeritan histeria lady bosnya ini.
“ Dengan youlah!”
“ Kenapa bos menjerit?
Saya dekat je pun. Kalau berbisik pun saya boleh dengar lagi,” selamba sahaja
Amir Rifqi menjawab.
Pang! Ayris Imani
menepuk meja dengan kuat.
“ You ni memang nak kena!”marah Ayris Imani.
“ Hah, bos nak buat apa
dekat saya?”
Dek kerana gabra punya
pasal, Amir Rifqi terus membuka buah silat yang ternyata sumbang lagaknya.
Ayris Imani dan staff yang lain kepelikan memandang Amir Rifqi yang sedang
berpancak silat. Dan selepas itu, apa lagi, bergema bilik mensyuarat dengan
tawa mereka. Masing-masing memegang perut kerana tidak tahan melihat reaksi
spontan Amir Rifqi itu.
Muka Amir Rifqi sudah
bertukar merah. Malu semalu malunya. Dia menggaru kepalanya sendiri. Itulah,
apasal dia gelabah semacam. Tidak fasal-fasal jatuh reputasinya yang kacak lagi
macho ini.
“ You ni dah kenapa? Tak fasal-fasal boleh bersilat bagai di sini. Tu
lah lain kali kalau nak masuk bagi salam. Ini tak main redah je. Ataupun you ni sememangnya tak tahu cara nak
bagi salam? Tak kan perkara asas itu pun tak tahu? Al maklumlah staff baru.
Banyak sangat yang tidak tahunya,” perli Ayris Imani.
Amir Rifqi mendenggus
geram. Marahnya semakin membuak-buak. Lantas dengan selamba sahaja Amir Rifqi
menjawab,
“ Saya tahulah! Tak
perlu nak ajar saya!”
“ Hah kalau macam tu
cubalah bagi salam!” kata Ayris Imani terus menduga.
“ Marabbuka!!!”
Senyap. Tiba-tiba
sahaja Amir Rifqi rasa bilik mesyuarat itu
menjadi senyap. Sunyi sepi bagaikan malaikat sedang lalu. Eh peliknya,
kenapa mereka boleh senyap pula? Aku tersalah cakap ke?
Masyalah! Apa yang dah
aku buat ni? Aku sepatutnya bagi salam. Amir Rifqi ketap bibir. Semua yang ada
terdiam untuk sesaat. Masing-masing memandang antara satu sama lain. Sungguh
mereka tidak menyangka Amir Rifqi akan berkata begitu.
Kemudian, apa lagi, terburai
terus ketawa mereka. Begitu juga dengan Ayris Imani yang sentiasa berwajah
serius itu. Baginya pekerja barunya itu memang kelakar. Lebih kelakar dari
Zizan Raja Lawak sampai dia boleh ketawa hingga terkeluar airmata.
“ You ni dah kenapa? Tiba-tiba je nak ambil tugas mungkar dan nakir,”
perli Ayris Imani sambil menggelengkan kepalanya. Ketawanya masih berbaki.
Manakala Amir Rifqi hanya mampu menunduk. Tidak sangka hari pertamanya telah
mencipta sejarah baru di sini.
“ Marabukka..”
Farid tergeleng sambil
ketawa geli hati. Manakala Amir Rifqi hanya mampu menahan perasaannya.
“ Ah ini semua kau
punya fasal,” marah Amir Rifqi. Di dalam hati dia terus mengutuk dirinya.
“ Kau ni macam
kartunlah. Kelakar!” komen Farid lagi. Mengekek dia ketawa.
“ Asyik ketawa dari
tadi. Kau tak puas-puas lagi ke nak mempersendakan aku?” kata Amir Rifqi sambil
menjeling tajam. Manakala Farid terus lagi dengan sengihan lebarnya. Kepalanya
tergeleng-geleng.
“ Marabuka? Macam mana
kau boleh sebut perkataan itu?” tanya Farid.
“ Ah aku gelabahlah.
Tiba-tiba je perkataan tu yang terpacul keluar dari mulut aku,” terang Amir
Rifqi.
Farid ketawa lagi.
Pelik Amir Rifqi melihatnya. Dah macam orang kurang siuman dia rasakan Farid
tatkala ini. Asyik dari tadi mengekek tawanya. Temannya ini tidak penatkah
ketawa dari tadi lagi? Atau satu wayar dalam kepalanya sudah tercabut
disebabkan dia terlalu banyak ketawa?
“ Atau kau sememangnya
tak tahu bagi salam,” Farid masih giat mengusik.
“ Eh aku tahulah.
Assalamualaikum..assalamualaikum…puas hati?” marah Amir Rifqi sambil dia
membuntangkan matanya kepada Farid.
“ Bukan Marabukka?”
Usik Farid lagi.
Amir Rifqi hanya mampu
menahan rasa. Tidak fasal-fasal hari ini dia sudah menjadi raja lawak di
pejabatnya ini. Aduh, macamana pula skill
ini boleh ada dalam dirinya? Amir Rifqi terus mengutuk diri.
“ Kau memang selalu
begini ya?” tanya Farid.
Amir Rifqi yang sedang
menunduk memanggungkan kepalanya. Dia terpinga-pinga dengan pertanyaan Farid
itu.
“ Begini?” tanya Amir
Rifqi kembali.
“ Tak pasal-pasal
berpacak silat bagai.”
Amir Rifqi mendenggus
kasar. Sungguh dia tidak mahu mengingati peristiwa yang cukup memalukan itu
lagi.
“ Bos tu garang sangat.
Tengok muka dia sahaja macam dah nak terkeluar kencing aku. Ni kan pula bila
dia dah mengamuk. Sebab tu aku mengelabah semacam sampai aku buka buah silat
aku,” terang Amir Rifqi.
Bicara Amir Rifqi itu
membuatkan Farid semakin giat dengan tawanya. Sungguh dia rasa temannya yang
seorang ini begitu kelakar sekali.